Home Newsletters Teguh menghadapi konflik

Teguh menghadapi konflik

Kita sudah terlalu hampir untuk terjatuh ke dalam kekacauan penuh ketaksuban dan perkauman

Our diversity should be celebrated - DR WONG SOAK KOON/ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pilihan raya umum 2022 akan dikenang selama-lamanya sebagai detik bersejarah apabila selama lebih empat hari negara kita terumbang-ambing dalam ketidaktentuan.

Kita menahan nafas, tertanya-tanya dengan gementar ke arah mana penghujungnya.

Walaupun Anwar Ibrahim akhirnya mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, saatnya ketika kita menarik nafas lega selepas lebih empat hari yang melelahkan tergantung dalam ketidaktentuan, tidak dapat tidak, saya juga perlu berhati-hati dalam meraikan rasa gembira saya yang meluap-luap.

Kerana, walapun dilanda kegembiraan yang amat sangat ini, saya sedar bahawa semuanya masih belum baik dengan negara indah ini yang kita panggil tanah air kita.

Jalan bagi Anwar dan negara akan penuh ranjau. Terlalu banyak liku-liku untuk beliau kemudi. Tidak banyak negara di dunia yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama yang cukup rencam di kalangan rakyat mereka, seperti Malaysia.

Menyatukan kita semula tidak akan mudah, tetapi ia harus menjadi keutamaan.

Pakar pengurusan seringkali mengingatkan kita bahawa konflik tidak semestinya sesuatu yang buruk. Ia tidak seharusnya dielakkan, dan jika diuruskan dengan baik, akan membolehkan kita mengharungi keluk pembelajaran yang curam untuk mengajar kita dalam berkompromi, menyesuaikan diri, mengutamakan dan mempelajari hal baru.

Walau bagaimanapun, budaya di Malaysia seringkali menjadi seperti mengelak daripada konflik dan konfrontasi terbuka. Namun, dengan situasi Parlimen yang tergantung baru-baru ini, ketakutan, kemarahan, ketidakserasian, perselisihan faham dan rasa dendam telah ditonjolkan secara terbuka.

Dan kini kita sedar bagaimana kita telah tinggal di bawah tempurung masing-masing cukup lama dan tidak menyedari akan pengalaman orang lain di Malaysia.

Jadi pada hari ini, saya harus berterima kasih kepada pemimpin gabungan politik tertentu yang telah membakar api ketakutan, kebencian dan kemarahan bagi memenangi undi dengan mudah dan, dalam proses itu, secara tidak langsung melemparkan konflik ini kepada kita.

READ MORE:  Selamat Hari Merdeka 2024

Semua orang sedar bahawa tiada cara yang lebih mudah dan lebih malas untuk memenangi pilihan raya selain dengan memuntahkan retorik ketakutan dan kebencian yang selalu kita dengar dan memperbesar-besarkannya.

Bagi sesiapa yang mendengar ceramah mereka, nampak seolah-olah mereka tidak mempunyai sesuatu yang baru dalam kempen mereka selain daripada benih-benih konflik yang membara ini. Mereka tidak menawarkan sebarang rancangan komprehensif sebenar untuk memulihkan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan bagi pengikut mereka sendiri. Bahkan, barangkali kita berharap terlalu tunggu jika diajukan soalan dan meminta mereka untuk berkongsi rancangan ekonomi mereka itu.

Ini membawa kita kepada dilema yang akan dihadapi oleh kerajaan baharu Anwar nanti. Sejauh manakah kesinambungan antara nilai-nilai Barat moden dalam mencabar dan mempersoalkan akan bertembung dengan nilai kesetiaan dan kepatuhan yang lebih tradisional bagi masyarakat Timur yang wujud sekarang?

Kesetiaan dan kepatuhan tidak semestinya baik kerana seseorang pasti tertanya-tanya sejauh mana budaya diam menunduk sebegini telah menyumbang kepada tahap rasuah, songlap dan penipuan yang memalukan yang pernah dihadapi oleh negara ini.

Oleh itu, kemelut konflik baru-baru ini lanjutan daripada keputusan pilihan raya umum telah berjaya mendidik kita bagi mempertimbangkan semua arah yang berbeza yang bakal dilalui oleh negara ini.

Konflik ini telah menunjukkan kepada kita betapa terpisahnya kita. Kita telah terlalu lama dibuai oleh kewujudan kita dalam tempurung etnik kita sendiri. Kebanyakan kita tidak lagi tinggal, belajar atau bekerja dalam ruang yang sama.

Kita juga diingatkan bahawa etnik Melayu di bandar dan etnik minoriti tidak memahami jiwa Melayu luar bandar. Kita diberitahu bahawa golongan minoriti tidak mendengar percakapan orang Melayu mahupun membaca tulisan mereka.

Memburukkan keadaan, kita diberitahu bahawa kita tidak lagi bercakap bahasa yang sama. Kita diingatkan bahawa kerajaan baharu pimpinan Anwar ini perlu mula belajar ‘psikologi Melayu’.

READ MORE:  Persamaan politik Israel dan politik Melayu?

Ya, saya setuju, kita perlu belajar itu. Saya gembira pengalaman ini telah memberikan kita wawasan baru yang cukup memperkayakan. Ia akan membantu kita membuka jalan maju ke hadapan.

Namun begitu, ia tidak boleh hanya tentang satu pandangan saja. Terdapat juga pandangan lain dari perspektif berbeza.

Orang Melayu juga perlu memahami bahawa etnik minoriti juga mempunyai jiwa mereka sendiri. Sama ada mereka di semenanjung atau di Malaysia timur, mereka juga sama sensitif tentang budaya dan kepercayaan masing-masing seperti orang Melayu tentang adat mereka.

Sekolah merupakan ruang ‘rojak’ yang ideal. Kanak-kanaklah yang paling buta warna dan bangsa, dan tiada siapa yang boleh menyatukan manusia seperti ikatan persahabatan yang dijalinkan di sekolah. Melalui bermain, mereka mempelajari nilai perkongsian dan, melalui menghadapi perbezaan, mereka memperoleh keupayaan untuk melihat dari perspektif orang lain.

Pada tahun 1980-an dan 90-an, sekolah kebangsaan merupakan sekolah pilihan. Namun hari ini, ia tidak lagi. Ramai orang Melayu telah memberitahu saya ia hanyalah ‘sikap angkuh’ para ibu bapa etnik minoriti yang enggan menghantar anak mereka ke sana. Namun, ia lebih daripada itu.

Terdapat keluarga etnik India yang saya kenal telah menghantar anak perempuan mereka yang berumur 11 ke sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Saya tidak bersetuju dengan pilihan mereka pada awalnya, tetapi saya kemudiannya terkejut apabila saya dapat berbual dengan gadis itu tentang [buku klasik] Pride and Prejudice! Tambahan lagi, dia memberitahu saya dengan matanya yang bersinar bahawa watak kegemarannya ialah Mr Darcy. Yang mana di antara gadis remaja yang pernah membaca Pride and Prejudice yang tidak jatuh cinta dengan Mr Darcy!

Namun, perbincangan seperti ini tidak akan berlaku, dan tidak akan dihargai atau dilayan di mana-mana sekolah rendah atau menengah kebangsaan. Saya ingat dengan jelas bagaimana seorang ustazah mengkritik saya kerana meminta pelajar saya menulis karangan tentang orang yang paling mereka kagumi.

READ MORE:  Honouring Malaysia's past, shaping its future - G25

Begitulah yang perlu kita sedari bahwa kita perlu belajar terdapat lebih daripada satu naratif, satu ideologi dan satu perspektif. Kita masing-masing manusia satu hala di dalam peta dua dimensi. Kita semua adalah komuniti berbilang dimensi, dengan perspektif dan keutamaan yang berbeza. Bersuara dan saling menjalinkan hubungan akan menjadi langkah pertama.

Kita sedar bahawa keamanan bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Kita juga tidak mampu untuk mengabaikan perbezaan masing-masing atau kekal dalam tempurung kecil kita sendiri lagi.

Kita sudah terlalu hampir untuk jatuh ke dalam kekacauan ketaksuban dan perkauman. Bahkan, lebih daripada sekali dalam beberapa hari kebelakangan ini, saya tertanya-tanya sama ada akan ada ruang buat saya di sini apatah lagi saya bukanlah seorang Melayu dan bukan Islam pula.

Jika parti politik satu etnik dengan perspektif pelampau agamalah yang mengambil alih negara ini tempoh hari, saya tertanya-tanya adakah hanya satu cara bagi mereka yang bukan Melayu-Muslim untuk wujud di sini – iaitu dengan kekal bisu dan menjadi ghaib untuk selama-lamanya.

Oleh itu, untuk mula mengenali antara satu sama lain, sedikit usaha untuk saling memahami, dengan memohon maaf yang tidak dijangka serta menjabat tangan dengan penuh mesra boleh membawa kita lebih jauh. Kita perlu belajar untuk menjalin hubungan di antara satu sama lain, mendengar dan mengetahui. Itulah permulaan yang kita perlu raikan.

Namun, kita masih mempunyai gunung untuk didaki dan berbatu-batu lagi sebelum kita menjadi sebuah negara yang benar-benar hebat. Dan saya percaya jika sesiapa boleh menjadikan hal ini sebagai kenyataan, ia adalah Anwar Ibrahim.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
25 November 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x