“Laksanakan pembaharuan atau kami akan turun ke jalan raya, kata Bersih” terpampang tajuk utama di satu portal berita dalam talian pada awal Februari.
Gabungan reformasi pilihan raya Bersih berkata ia kecewa dengan reformasi yang dijanjikan berjalan cukup perlahan. Ia memberi amaran bahawa kegagalan melaksanakan agenda reformasi akan menyebabkan kelelahan politik dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan.
Namun, kelelahan politik dan kemerosotan kepercayaan orang ramai telah lama terjadi.
Tinjauan awal tahun ini oleh firma penyelidikan pasaran Ipsos Malaysia menghasilkan penemuan yang membimbangkan. Walaupun majoriti rakyat Malaysia yang ditinjau masih percaya negara berada di landasan yang betul, jumlah itu telah menjunam daripada 74% pada 2023 kepada 53% pada 2024.
Kebimbangan utama responden? Rasuah dunia perniagaan atau politik, inflasi, pengangguran, kemiskinan dan kesenjangan sosial, serta cukai.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampak tidak terpengaruh dengan kejatuhan sokongan rakyat terhadap pentadbirannya. Beliau mengisytiharkan bahawa pembaharuan awal yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membuahkan hasil: pentadbirannya telah mengatasi pentadbiran yang sebelumnya dengan menghasilkan lebih banyak dasar yang mengutamakan rakyat.
Anwar seolah-olah secara tersirat menyatakan bahawa golongan “elit” dan “kumpulan liberal” sahaja yang mendesak untuk perubahan radikal dengan segera di mana ‘rakyat’ mungkin tidak bersedia. Pasti ada yang tertanya-tanya siapa rakyat ini sebenarnya.
Beberapa laporan media telah mencatatkan pencapaian kerajaan “Madani”. Laporan ini keluar walaupun pihak berkuasa terpaksa menangani hingar-bingar yang dicetuskan oleh isu kaum dan agama.
Laporan berita menyerlahkan bahawa bukan sahaja lebih sedikit orang yang hidup dalam kemiskinan tegar, tetapi beberapa negeri juga telah berjaya menghapuskan keadaan itu.
Bukan itu sahaja, ekonomi Malaysia telah berkembang pada suku kebelakangan ini. Anggaran awal menunjukkan kadar pertumbuhan 3.9% pada suku pertama 2024 – meningkat daripada pertumbuhan tahunan 3.7% tahun lepas. Ekonomi dijangka berkembang 4-5% pada 2024.
Inflasi teras berada pada hanya 1.7% pada Mac 2024 dan diramalkan meningkat sehingga 2-3% untuk 2024 berbanding secara purata 3% untuk 2023.
Keadaan pasaran buruh telah bertambah baik, dengan kadar pengangguran pada 3.3% pada bulan Mac – yang secara teknikalnya, menandakan kadar pekerjaan yang penuh.
Pelaburan langsung asing yang diluluskan telah mencecah paras tertinggi setakat ini. Dan ringgit dijangka pulih menjelang akhir tahun.
Langkah-langkah untuk memulakan reformasi parlimen sedang dijalankan, dengan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan penangkapan dan penyiasatan hampir setiap minggu, dengan “rekod cemerlang” dalam rampasan dan mengambil semula aset.
Namun, secara paradoks, memetik pelawak Colin Jost, “Suasananya buruk tetapi statistiknya seakan mengatakan ia kukuh.” Beliau sudah tentu bercakap tentang keadaan ekonomi AS. Tetapi perkara yang sama boleh dikatakan tentang ekonomi Malaysia.
Menurut ahli ekonomi yang berpangkalan di Hong Kong, Yun Liu, terdapat lebih banyak keyakinan di luar negara tentang Malaysia dan prospek pertumbuhannya berbanding dalam negara.
Di sebalik optimisme dan potensi besar Malaysia, negara ini dilihat masih kurang pencapaiannya. Perangkaan rasmi tidak menangkap rentetan kelemahan yang ada, manakala ramai di Malaysia bergelut dalam kehidupan seharian mereka, “hidup di pinggiran”.
Di banyak negara, parti sayap kanan ultranasionalis dan ahli politik yang taksub seperti Donald Trump semakin ramai. Mereka telah memanfaatkan sokongan penuh mereka yang bersemangat terutamanya daripada mereka yang menjadi mangsa dasar kerajaan yang telah menggagalkan mereka. Ini terbukti juga di sini.
Di Malaysia, walaupun terdapat banyak skim untuk menangani kemiskinan dan memperkasakan bumiputera, kumpulan etnik yang dominan masih merupakan sebahagian besar daripada golongan miskin.
Golongan yang tidak berpuas hati di kalangan mereka ini kemudiannya mencari ‘penyelamat’ dan pelindung baru. Inilah apa yang berlaku dalam budaya ‘ketuanan Melayu-Islam’ itu.
Peningkatan sokongan kepada parti ultranasionalis dan Islamis dalam gabungan Perikatan Nasional juga jelas, di tengah-tengah kebimbangan wujudnya “gelombang hijau”.
Baru-baru ini, etnik India yang pernah menyokong kerajaan pimpinan Pakatan Harapan melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran Anwar kerana “janji yang tidak ditepati” dan masyarakat mereka diketepikan. Malah ada yang mengugut untuk tidak hanya memboikot PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini malah akan mengundi pembangkang iaitu PN.
Benar, peruntukan kewangan untuk kaum India sebenarnya telah meningkat sejak dua tahun lalu. Tetapi perbelanjaan ini tidak menghasilkan hasil dasar yang diharapkan, dengan ramai orang India masih terpinggir.
Pandangan Anwar yang merendah-rendahkan dan juga ejekannya kepada masyarakat India tidak membantu. Ahli politik yang licik kemudiannya mengeksploitasi keadaan ini untuk menimbulkan kebencian terhadap pentadbiran Anwar.
Defisit kepercayaan (trust deficit) kelihatan begitu jelas sehingga lebih ramai orang beralih kepada TikTok dan media sosial lain dan bukannya data daripada sumber rasmi, sama ada di peringkat tempatan atau global.
Kehilangan kepercayaan dan krisis keyakinan terhadap kerajaan dan institusi awam ini merupakan fenomena global. Tahap kepercayaan terendah telah direkodkan di negara Barat seperti AS dan UK.
Untuk memenangi semula kepercayaan orang ramai dan membina semula keyakinan orang ramai, kerajaan perlu menunaikan janjinya kepada rakyat, lebih cepat lebih baik.
Kekangan sebenar wujud dalam usaha membawa perubahan dalam sistem tadbir urus yang dipanggil demokrasi, seperti di Malaysia. Malangnya, kebanyakan golongan miskin dan tidak berkuasa mendapati hasrat dan aspirasi mereka dikecualikan daripada proses penggubalan dasar.
Kumpulan masyarakat sivil, aktivis, pemimpin masyarakat dan ahli akademik memainkan peranan penting yang tidak boleh dipandang remeh. Mereka secara konsisten menonjolkan kegagalan dasar dan mengkritik tindakan tidak adil oleh kerajaan. Mereka juga menggesa pembaharuan institusi dan ekonomi.
Apa lagi ditambah pula dengan keupayaan mereka untuk membentuk pendapat umum dan menggerakkan sokongan popular untuk pembaharuan dasar, yang telah mencapai beberapa kejayaan di Malaysia, terutamanya sejak dua dekad yang lalu.
Tetapi perubahan nampaknya bergerak cukup perlahan.
Sebagai contoh, pada tahun 2002, menteri sumber manusia ketika itu melantik suruhanjaya siasatan untuk mengkaji keperluan gaji minimum dalam tiga sektor pekerjaan.
Buat pertama kalinya, komposisi suruhanjaya itu diperluaskan. Ia melibatkan bukan sahaja wakil daripada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetapi juga tiga ahli akademik (termasuk saya).
Kami melengkapkan tinjauan di seluruh semenanjung dalam tempoh setahun dan mengemukakan cadangan kami untuk gaji minimum, dalam terma rujukan yang terhad.
Bagaimanapun, menteri kemudiannya mengembargo laporan itu, dan ia tidak pernah digunakan. Tiada alasan diberikan. Hanya pada tahun 2013 barulah perintah gaji minimum pertama diperkenalkan.
Kelesuan dalam ruang pembikinan dasar ini mungkin disebabkan, sebahagian besarnya, oleh kerana paradigma dasar awam yang diwarisi dan keutamaan elit politik yang banyak bersandar kepada pendekatan beransur-ansur (incremental). Pendekatan ini melibatkan penambahbaikan kecil dan beransur-ansur kepada sistem dan dasar sedia ada. Ia melibatkan pengukuhan pangkalan data sedia ada dan hanya meningkatkan kecekapan sistem dan struktur sedia ada.
Pendekatan radikal yang alternatif melihat dasar dan sistem sedia ada ini sebagai memang lemah pada asasnya. Oleh itu, ia mencadangkan memulakannya semua dari awal, untuk menggantikan dengan cepat apa yang bobrok dengan sebuah sistem yang benar-benar baharu serta dasar yang inovatif.
Namun, ia tidak semestinya soal ‘memilih atau tidak’. Dengan pihak kerajaan menghadapi begitu banyak isu yang pelbagai, ia mempunyai ruang untuk menggabungkan kedua-dua pendekatan tambahan dan radikal untuk membawa perubahan.
Beberapa isu seperti pencen penjawat awam mungkin dapat diatasi sebaik-baiknya secara berperingkat-peringkat kerana ia melibatkan pihak yang mempunyai pelbagai jawatan di peringkat akar umbi yang memerlukan lebih banyak masa untuk ditenangkan serta diyakinkan.
Isu lain seperti perubahan iklim memerlukan perhatian segera yang mungkin lebih sesuai dengan pendekatan radikal, bermula dari awal.
Beberapa isu lain menawarkan peluang untuk pendekatan hibrid. Ini menggabungkan kedua-dua perubahan radikal dan tambahan – kadang-kadang yang dirujuk sebagai radikalisme pragmatik. Mungkin inisiatif pendapatan rakyat menteri ekonomi sesuai dengan kategori ini, kerana ia adalah inisiatif perintis yang sama sekali baru di samping meneruskan langkah pembasmian kemiskinan tegar sedia ada.
Namun, untuk radikalisme pragmatik berjaya, kerajaan mesti bersedia untuk mengagihkan semula kuasa secara radikal ke peringkat terendah untuk sistem tadbir urus yang lebih saksama dan partisipatif.
Ada yang berpendapat bahawa di negara-negara yang mempunyai kerajaan yang berpecah-belah menghadapi defisit kepercayaan, perubahan secara beransur-ansur adalah cara yang perlu dilakukan.
Yang lain berpendapat bahawa apabila terdapat krisis keyakinan terhadap kerajaan, pendekatan beransur-ansur hanya akan menyatukan kedudukan pihak yang berkelebihan di dalam sistem, menjadikannya lebih sukar untuk menggantikan mereka.
Walaupun Anwar baru-baru ini mengisytiharkan bahawa “kerajaan perpaduan” beliau kekal “teguh dan tidak goyah”, beliau nampaknya lebih suka menggunakan pendekatan beransur-ansur. Beliau secara terbuka menyatakan bahawa pembaharuan yang dijanjikan tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana kerajaan mengamalkan “jalan sederhana dan pertengahan” dan perlu mempertimbangkan kesan daripada sebarang perubahan.
Sebahagian besar daripada apa yang telah dianggap sebagai ‘pembaharuan’ sehingga kini nampaknya hanyalah pengubahsuaian dasar dan struktur sedia ada.
Mungkin, jika pentadbiran Anwar dapat menyatukan lebih banyak kuasa dan mengekang suara-suara sumbang dalam kerajaan, kita mungkin melihat lebih banyak perubahan struktur dan dasar yang canggih.
Tetapi dengan kerajaan sudah pun menguasai majoriti dua pertiga dalam dewan rakyat, adalah lebih mudah untuk meminda undang-undang yang berkaitan dan juga Perlembagaan Persekutuan untuk membawa pembaharuan institusi.
Namun, adakah wujud tekad politik? Ini adalah soalan yang terus diwarisi.
Walaupun kerajaanlah yang lazimnya menjadi sasaran kritikan, janganlah kita mengabaikan kawalan malah genggaman oleh “tuan sekalian alam semesta”, seperti yang digambarkan oleh Noam Chomsky. Mereka yang digambarkan ini adalah golongan elit ekonomi yang mewakili konglomerat multinasional dan institusi kewangan. Mereka juga termasuk kumpulan tersusun yang mewakili kepentingan perniagaan nasional dan antarabangsa.
Berhati-hati, sesetengah negara yang punya demokrasi hari ini mungkin menjadi oligarki yang bersembunyi di depan mata kita. Dan berurusan dengan mereka ini memerlukan cara lain pula.
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
13 Mei 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme