Home Newsletters Tiada lagi derita dalam senyap: Undang-undang baharu Malaysia bagi menangani gangguan secara...

Tiada lagi derita dalam senyap: Undang-undang baharu Malaysia bagi menangani gangguan secara langsung

Malaysia memperkenalkan reformasi undang-undang yang menyeluruh untuk melindungi mangsa gangguan dengan hukuman jenayah dan proses penyelesaian sivil yang baharu.

JUAN PABLO SERRANO ARENAS/ PEXELS

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Daripada siulan sampailah ke perangai menjengkelkan di tempat kerja, gangguan bukan lagi perkara yang mesti ditoleransi dalam diam. Ia kini merupakan satu kesalahan undang-undang yang diiktiraf di Malaysia. Artikel ini meneroka bagaimana pembaharuan baru-baru ini telah mengubah landskap undang-undang. Ia termasuk Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025, Akta Anti Gangguan Seksual 2022 dan pengiktirafan kehakiman terhadap tort gangguan. Dengan kesalahan jenayah baharu, kaedah penyelesaian sivil, dan tribunal yang berpaksikan mangsa yang terselamat, Malaysia akhirnya mengakui kesan bahaya psikologi disebabkan oleh gangguan. Namun, perubahan undang-undang mestilah berpadanan dengan kebertanggungjawaban individu dan kolektif. Perjuangan untuk maruah, keselamatan dan keadilan mesti diteruskan.

Gangguan lebih daripada sekadar tingkah laku yang tidak wajar.

Gangguan telah ditakrifkan sebagai “kelakuan yang berterusan dan sengaja secara tidak munasabah dan menindas, disasarkan kepada orang lain, serta dengan niat dan menyebabkan seseorang itu merasa cemas, takut atau tertekan” (Lord Sumpton dalam Hayes v Willoughby [2013]).

Apa yang menjadikan gangguan berbahaya ialah sering berulang dan disasarkan. Ia menyebabkan mangsa berasa tidak berdaya dan tertekan dari segi emosi.

Peristiwa baru-baru ini yang dilaporkan dalam media telah menarik perhatian orang ramai terhadap kesan gangguan dalam merosakkan kehidupan seharian.

Ada pelajar universiti telah melaporkan diikuti, diambil gambar, atau dihantar mesej berulang kali oleh rakan sesama pelajar walaupun sudah memfailkan aduan.

Wartawan dan ahli politik wanita terus menghadapi gangguan dalam talian, termasuk ancaman secara tersurat dan penghinaan berbentuk seksis.

Di sekolah, membuli dan mengejek nama – sering dianggap sebagai ‘mengusik’ semata-mata – telah membawa akibat yang dahsyat, termasuk kemurungan dan percubaan membunuh diri dalam kalangan remaja. Dalam satu kes, gangguan dalam talian membawa kepada kes bunuh diri seorang anak muda.

Contoh-contoh ini menunjukkan bagaimana gangguan – sama ada dalam dunia fizikal atau dalam talian – boleh membawa akibat emosi dan psikologi yang serius.

Untuk memerangi keadaan ini, Malaysia kini mempunyai perundangan yang semakin berkembang. Ini turut melibatkan kedua-dua hukuman jenayah dan penyelesaian sivil kepada mangsa.

Artikel ini mengkaji cara gangguan, termasuk gangguan seksual, dan bagaimana ia ditangani di bawah Akta Pekerjaan 1955, pindaan 2025 kepada Kanun Keseksaan, Akta Anti Gangguan Seksual 2022 dan pengiktirafan kehakiman terhadap tort gangguan.

Kemudaratan psikologi, penjenayahan gangguan

Gangguan, termasuk gangguan seksual, perlahan-lahan menjadi subjek undang-undang berbentuk perlindungan.

Undang-undang Malaysia telah maju dalam bidang ini melalui Akta Pekerjaan 1955, pindaan kepada Kanun Keseksaan, pengiktirafan tort gangguan, dan perundangan yang bertujuan untuk menangani gangguan seksual.

Perkembangan undang-undang anti-gangguan yang perlahan ini disebabkan oleh wujudnya kesukaran dalam menentukan gangguan dan kemudaratan yang ditimbulkannya. Ini benar terutamanya apabila mudarat yang wujud tidak berbentuk fizikal.

READ MORE:  Suhakam calls for urgent anti-bullying action

Undang-undang jenayah tradisional memberi tumpuan kepada bahaya fizikal. Mereka tidak memasukkan kesan bahaya psikologi – seperti cemas, ketakutan dan kesusahan – yang sebahagian besarnya tidak ditangani.

Walau bagaimanapun, kemajuan perubatan dalam rawatan gangguan mental dan diagnosis perubatan melibatkan keadaan sebegini dapat mengatasi kesukaran bukti dalam mewujudkan kesan bahaya bukan berbentuk fizikal. Ini telah membawa kepada penciptaan undang-undang baharu yang menyasarkan pelbagai bentuk gangguan, termasuk buli dan gangguan seksual.

Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025

Pindaan Kanun Keseksaan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 dan kemudian oleh Dewan Negara pada 16 Disember 2024.

Bertujuan untuk membendung buli, ia memperkenalkan kesalahan baharu bagi menangani gangguan, ugutan dan bahaya psikologi. Ini termasuk apa yang terjadi dalam talian seperti buli siber dan doxing.

Peruntukan ini mencerminkan hak yang wujud melibatkan keselamatan psikologi. Mereka menyedari bahawa kemudaratan tidak hanya terhad kepada kecederaan fizikal atau kerosakan reputasi semata-mata.

Akta pindaan mewujudkan lapan kategori kesalahan baharu (Seksyen 507B hingga 507F). Dua daripadanya melibatkan kata-kata atau perbuatan yang mengancam, kesat atau menghina yang menyebabkan – atau berkemungkinan menyebabkan – gangguan, kesusahan, ketakutan atau cemas kepada seseorang (Seksyen 507B), walaupun ia tidak ditujukan kepada mana-mana orang tertentu (Seksyen 507C).

Hukuman boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 507B, dan penjara setahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 507C.

Seksyen 507D(1) menjadikannya satu kesalahan bagi sesiapa sahaja untuk menggunakan perkataan atau perbuatan yang mengancam, kesat atau menghina terhadap mana-mana orang. Ini terpakai apabila mereka tahu perkataan atau perbuatan akan menyebabkan orang itu percaya bahawa sesuatu yang merbahaya akan berlaku kepada dirinya sendiri atau mana-mana orang lain.

Jika ada kata-kata atau perbuatan dibuat terhadap seseorang dengan niat untuk memprovokasi orang itu dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau orang lain, itu akan menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum. Hukuman adalah sama seperti di bawah Seksyen 507D(1).

Seksyen 507D(2) juga melanjutkan hukuman kepada 10 tahun dengan denda jika orang yang diprovokasi cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi tersebut.

Seksyen 507E pula memberi tumpuan kepada doxing. Adalah menjadi satu kesalahan untuk menerbitkan atau menyediakan maklumat peribadi seseorang dengan niat untuk mengganggu, menakut-nakutkan atau menyebabkan kesusahan. Hukuman bagi kesalahan ini ialah penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 507F(1) dan 507F(2) menangani soal penerbitan atau pengedaran maklumat dengan niat untuk menyebabkan bahaya.

Seksyen 507F(1) menjadikannya satu kesalahan untuk mengedarkan atau menerbitkan identiti atau maklumat seseorang. Niatnya mestilah untuk menyebabkan mereka atau orang berkaitan mereka percaya bahawa mereka akan dicederakan. Seksyen 507F(2) memperluaskan perkara ini. Ia menjadikannya satu kesalahan untuk menerbitkan, mengedarkan atau menyediakan maklumat sedemikian, kerana mengetahui ia berkemungkinan akan memudahkan kemudaratan kepada orang itu atau orang yang berkaitan dengan mereka. Kedua-dua subseksyen membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya.

READ MORE:  Bullying: A call for urgent, decisive action

Seksyen 507G memperkenalkan takrifan baharu berkaitan kemudaratan, meluaskan skopnya untuk memasukkan bahaya psikologi. Walaupun tidak mentakrifkan gangguan, peruntukan baharu itu turut menjenayahkan kelakuan yang mengakibatkan gangguan terhadap orang lain. Peruntukan baharu mengisi jurang dalam undang-undang sedia ada yang sebelum ini tidak menangani tekanan emosi yang disebabkan oleh gangguan, intimidasi dan penerbitan maklumat peribadi dalam talian (doxing).

Gangguan seksual

Gangguan seksual, yang dahulunya difahami secara sempit sebagai isu tempat kerja yang memberi kesan kepada wanita, kini diiktiraf di Malaysia sebagai kemudaratan masyarakat yang lebih luas. Ia boleh menjejaskan individu tanpa jantina, termasuk lelaki dan transgender.

Bentuk gangguan ini berpunca daripada ketidakseimbangan kuasa dan boleh berlaku dalam pelbagai ruang. Ini termasuk tempat kerja, institusi pendidikan, ruang awam dan dalam talian.

Kesan psikologi dan emosi ke atas mangsa cukup mendalam. Ia terdiri daripada kebimbangan dan kemurungan kepada trauma jangka panjang.

Daripada peraturan tempat kerja kepada statut khusus

Tindak balas undang-undang Malaysia terhadap gangguan seksual telah berkembang dengan ketara.

Perlindungan perundangan awal telah diperkenalkan pada 2012 melalui pindaan kepada Akta Pekerjaan. Pindaan ini mengenakan kewajipan undang-undang ke atas majikan untuk menyiasat aduan gangguan seksual di tempat kerja. Mereka wajib mengambil tindakan tatatertib terhadap pelaku sekiranya aduan itu terbukti.

Anjakan besar berlaku melibatkan penggubalan Akta Anti Gangguan Seksual 2022. Ini menyediakan rangka kerja yang lebih terangkum, boleh diakses dan berpaksikan mangsa untuk penyelesaian.

Pengiktirafan kehakiman terhadap tort gangguan seksual

Dalam keputusan kehakiman yang penting, Mahkamah Persekutuan mengiktiraf gangguan seksual sebagai kesalahan tort yang boleh diambil tindakan (Mohd Ridzwan Abdul Razak lwn Asmah Hj Mohd Nor). Keputusan ini memberi kuasa kepada mangsa untuk meneruskan tuntutan sivil bagi ganti rugi dan pelepasan injunksi, bebas daripada mekanisme berkanun.

Kedua-dua Akta Pekerjaan dan Akta Anti Gangguan Seksual mengguna pakai takrifan yang neutral jantina bagi gangguan seksual. Ia merangkumi sebarang kelakuan yang tidak diingini yang bersifat seksual, sama ada lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal. Tingkah laku ini mestilah menyinggung perasaan, memalukan atau mengancam kesejahteraan seseorang.

Mahkamah Persekutuan menghuraikan perkara ini dalam kes Mohd Ridzwan, dengan menyatakan bahawa gangguan seksual termasuk:

Perbuatan lisan dan fizikal seperti sindiran seksual, komen dan teguran, bunyi yang tidak senonoh, lucah atau menghina, ancaman seksual yang tersirat, menjeling, menjegil, memaparkan gambar yang menyinggung perasaan, membuat gerak isyarat lucah…semuanya berkongsi suasana berbaur kebencian dan menyebabkan gangguan atau kegusaran kepada mangsa.

READ MORE:  Police booths in schools - discipline or dangerous precedent?

Penyelesaian yang diperluaskan di bawah Akta Pekerjaan

Di bawah Seksyen 81F Akta Pekerjaan 1955, majikan bertanggungjawab di sisi undang-undang untuk menyiasat aduan gangguan seksual yang dibuat oleh pekerja. Sekiranya aduan itu dibuktikan, majikan boleh:

  • Buang pelaku
  • Turunkan pangkat pelaku
  • Kenakan tindakan tatatertib lain, termasuk penggantungan tanpa gaji (tidak melebihi dua minggu)

Selain itu, Seksyen 13(2) membenarkan pengadu menamatkan pekerjaan mereka tanpa notis sekiranya majikan gagal bertindak ke atas aduan tersebut. Mereka masih boleh menuntut faedah penamatan perkhidmatan.

Majikan juga mesti memaparkan notis tentang gangguan seksual untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya tempat kerja yang menghormati.

Pelepasan di bawah Akta Anti Gangguan Seksual

Akta Anti Gangguan Seksual menubuhkan Tribunal Anti-Gangguan Seksual. Ini menawarkan jalan yang lebih mudah diakses dan tidak formal untuk penyelesaian.

Tribunal mendengar aduan daripada mana-mana orang, bukan hanya pekerja, dan beroperasi di luar sistem mahkamah tradisional.

Tribunal boleh memerintahkan bentuk pelepasan berikut:

  • Pampasan atau ganti rugi kewangan sehingga RM250,000 untuk tekanan emosi, kecederaan reputasi atau kerugian lain
  • Permohonan maaf bertulis atau diterbitkan daripada pelaku, terutamanya jika gangguan berlaku secara terbuka
  • Penyertaan dalam program pemulihan atau pendidikan untuk mencegah daripada ia berulang
  • Perintah lain yang sesuai, termasuk arahan interlokutori untuk melindungi pengadu semasa prosiding

Pelepasan mesti dipatuhi dalam tempoh 30 hari dan boleh dikuatkuasakan sebagai perintah mahkamah. Ketidakpatuhan boleh mengakibatkan hukuman jenayah, termasuk denda atau penjara.

Era baru untuk undang-undang anti-gangguan

Pengiktirafan gangguan sebagai satu kesalahan jenayah dan kesalahan sivil menandakan detik perubahan dalam undang-undang Malaysia.

Dengan mengakui bahaya psikologi dan mengembangkan kaedah penyelesaian undang-undang, pembaharuan ini mengalihkan tumpuan daripada hukuman reaktif kepada perlindungan proaktif.

Akta Pekerjaan kini memberi kuasa kepada pekerja untuk menuntut kebertanggungjawaban daripada majikan mereka.

Akta Anti Gangguan Seksual menawarkan jalan yang bermaruah dan berpaksikan kepada mereka yang terselamat menuntut keadilan.

Bersama-sama dengan pengiktirafan kehakiman terhadap gangguan sebagai tort, perkembangan ini menandakan komitmen yang semakin meningkat terhadap keselamatan psikologi, kesaksamaan jantina dan maruah manusia.

Sistem perundangan Malaysia tidak lagi berdiam diri mengenai kesan gangguan emosi. Ia mula bersikap – tegas, jelas, dan dengan janji untuk menanganinya.

Walau bagaimanapun, bagi undang-undang ini menjadi transformatif, ia mesti dihebahkan melalui program pendidikan. Ini harus dijalankan di sekolah, kolej, universiti dan tempat kerja.

Hanya dengan itu akan wujud pemahaman dan penghayatan umum terhadap undang-undang bagi mengubah tingkah laku di kalangan kedua-dua pelaku dan mangsa.

UK Menon
Editor bersama, surat berita Aliran
10 Ogos 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x