Home Newsletters Umno kembali berkuasa: Apa yang akan berlaku?

Umno kembali berkuasa: Apa yang akan berlaku?

Politik Malaysia perlu kelahiran semula

Ismail Sabri Yaakob - WIKIPEDIA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pada 20 Ogos 2021, Agong melantik timbalan presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Kenaikan Ismail Sabri yang tidak disangka-sangka bagi menjawat jawatan tertinggi negara merupakan hasil dari gerak kerja politik yang sekaligus didukung oleh 114 dari 220 Ahli Parlimen. (Dua daripadanya sudah pun meninggal dunia). Beliau dilantik sebagai timbalan perdana Menteri pada 7 Julai – hanya enam minggu sebelumnya (rujuk “Who is Ismail Sabri?”?).

Di dalam perlumbaan untuk mentadbir negara, ketua pembangkang Anwar Ibrahim sekali lagi dikalahkan di garisan akhir.

Dengan Ismail Sabri memimpin, Umno, yang kalah pada pilihan raya umum 2018, kembali berkuasa.

Realitinya, Malaysia memasuki tempoh perkongsian kuasa politik yang tidak diketahui sejak kejatuhan Umno pada pilihan raya itu. Ironinya, walaupun berdepan kekalahan yang mengejutkan, politik Malaysia tampaknya terus berlegar di sekeliling Umno.

Gabungan Pakatan Harapan menang pada 2018 kerana Umno berpecah lagi, dengan bekas orang kuat parti Dr Mahathir Mohamad dan Mahiaddin Yasin melalui parti baru, Bersatu, bergabung bersama-sama dengan PKR, DAP dan Amanah, sebuah parti serpihan dari parti Islam, Pas.

Di dalam rombakan kerajaan baru-baru ini, kejatuhan Mahiaddin berlaku oleh kerana ‘kluster mahkamah’ melibatkan ahli Parlimen Umno, iaitu mereka yang berdepan dakwaan rasuah serta sekutu mereka, memilih untuk menarik sokongan mereka.

Pelantikan saat akhir Mahiaddin melibatkan wakil Umno – Ismail Sabri selaku Timbalan Perdana Menteri serta Hishamuddin Hussein selaku menteri kanan – tidak dapat menghalang penarikan sokongan kluster mahkamah melibatkan 14 ahli Parlimen Umno dari kerajaan diketuai Perikatan Nasional.

Saatnya ketika seorang pemimpin Umnolah yang menjawat jawatan tertinggi, adakah ia akan menyumbang kepada kestabilan politik? Apakah kesan jangka masa panjang dan pendek kepada masa hadapan Malaysia?

READ MORE:  Isu pakaian seragam jururawat 'ketat' mendedahkan prestasi buruk pembangkang di Parlimen

Tiada undi tidak percaya?

Ismail Sabri berpotensi untuk berdepan kemarahan mereka yang sangat terkesan akibat salah tadbir kerajaan ketika pandemik. Petisyen dalam talian dengan lebih dari 350,000 tandatangan rakyat Malaysia menolaknya sebagai perdana menteri.

Namun, tampaknya perdana menteri baru ini tidak kisah akan berita itu. Di dalam siri kerusi muzik yang baru, beliau melantik hampir semua barisan menteri untuk menjawat jawatan mereka semula.

Bagi mengelakkan pembangkang dari meneruskan undi tidak percaya dijalankan ketika Parlimen bersidang semula pada 13 September 2021, Ismail Sabri nampaknya menandatangani perjanjian keyakinan dan pembekalan melibatkan pemimpin parti pembangkang.

Namun, perjanjian gencatan senjatanya dengan parti pembangkang barangkali goyah dengan pemilihannya untuk melantik Mahiaddin untuk mengetuai jawatankuasa pemulihan kebangsaan serta ketidakpastian sama ada undi percaya akan berlaku atau tidak.

Persoalan jangka masa pendek adalah sama ada Ismail Sabri dapat sokongan yang cukup bagi Umno untuk berhadapan ketidakpastian politik semasa. Untuk sekarang, PM baru ini mestilah diabsahkan oleh Parlimen melalui undi percaya pada sesi persidangan Parlimen akan datang, yang nampaknya mahu dielakkan beliau.

Peguam Negara Idrus Harus mencadangkan bahawa undi percaya bukanlah sesuatu yang mandatori. Ia berlawanan dengan titah Agong yang secara jelas menyatakan bahawa PM baru perlu menunjukkan bahawa beliau mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen.

Perkembangan ini membawa kepada satu kenyataan: gabungan yang belum diberi nama diketuai oleh Umno ini lemah dan bila-bila masa boleh dijatuhkan oleh tiga kelompok yang menjadikannya tebusan: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 18 ahli Parlimen; Bersatu, yang memegang 31, serta kluster mahkamah Umno dengan 14. Pas akan tetap setia pada sesiapa yang berkuasa.

READ MORE:  Perikatan Nasional and their 'Save Malaysia' rally

Di pihak pembangkang, PH memegang bilangan ahli Parlimen seramai 88 orang. Di saat getir, lapan dari Warisan dan empat dari Pejuang memainkan peranan penting. Ketika kiraan awal terhadap Mahiaddin, terdapat sekurang-kurangnya 120 orang ahli Parlimen yang barangkali mengundi bagi menolak kerajaan PN.

Lanskap politik yang berubah

Politik gabungan di Malaysia berubah dan menjadi semakin fleksibel selepas Langkah Sheraton. Dengan pemecahan parti Melayu, wujudnya serpihan melibatkan parti bukan Melayu di Semenanjung serta kebangkitan parti berpengkalan di Sarawak dan Sabah, mencari gabungan politik dengan kemampuan untuk menang menjadi semakin rumit.

Kerajaan PN merupakan gabungan tiga parti berasaskan Melayu – Bersatu, Pas dan Umno – dengan 18 ahli Parlimen dari parti Sarawak di dalam GPS menjadi pemain utama. Bilangan 114 ahli Parlimen dimiliki PN memberinya bilangan tipis dari 111 undi yang diperlukan bagi majoriti mudah di Parlimen. 

Ahli politik dari Malaysia Timur hari ini berterusan menggesa kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan isu tertunggak melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 dan memberikan autonomi lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.

Menyelesaikan tuntutan ini bagi menjamin dukungan kerusi Parlimen dari Malaysia Timur barangkali lebih penting dari memberi jawatan dalam kabinet kepada para ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Ujian penting bagi PM baru ini adalah sama ada beliau mampu untuk memperbaiki politik Umno yang rosak tanpa perlu melutut kepada presiden parti Zahid Hamidi serta bekas presiden Najib Razak, yang masih mempunyai pengaruh politik. Apakah dua orang yang cukup terkenal ini tidak akan membuat tuntutan mereka sendiri? Apa yang akan dituntut mereka – untuk menggugurkan dakwaan jenayah mereka di mahkamah? 

READ MORE:  Six state elections: Boon or bust for 'unity government'?

Lanskap politik Malaysia melibatkan parti politik rencam serta pensejajaran parti yang semakin fleksibel menunjukkan bahawa parti yang mempunyai bilangan kerusi yang kecil dapat menjadi penentu. Mempersulitkan keadaan, lompat parti menjadi sifat endemik politik sekarang.

Langkah yang patut dialu-alukan oleh bekas Yang Dipertua Azalina Othman – bagi membentang usul untuk melucutkan jawatan ahli Parlimen yang melompat – mungkin tidak akan berhasil.

Pendek kata, politik gabungan melibatkan dua parti yang stabil – yang menyaksikan penubuhan dua gabungan parti politik yang kuat, PH dan Barisan Nasional – selepas pilihan raya umum 2018 nampaknya tidak lagi terpakai.

Pilihan raya umum akan datang sepatutnya berlangsung pada 2023 namun ia mungkin perlu dilakukan lebih awal jika gabungan politik yang ada sekarang runtuh. Parameter selepas Langkah Sheraton tidak akan berubah secara mendadak dalam jangka masa sederhana: gabungan politik tidak stabil akan terus berlanjutan.

Politik Malaysia perlu dilahirkan semula dan hanya dengan itu, kita akan dapat melihat peralihan bergenerasi melibatkan kelas politik serta kemunculan kepimpinan politik yang lebih inklusif serta beretikal. Harapnya, kemunculan lima juta pengundi baru pada pilihan raya akan datang dapat membawa jalan ke hadapan.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, Surat berita Aliran
7 September 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x