Home Newsletters Untuk Malaysia maju, tiada sesiapa yang patut disisihkan

Untuk Malaysia maju, tiada sesiapa yang patut disisihkan

Diskriminasi akan menghalang kemajuan negara dan memburukkan pelarian intelektual (brain drain)

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Mungkin sesuatu yang memelikkan, enam dekad selepas pembentukan Malaysia, rakyat kita masih perlu diingatkan bahawa mereka mempunyai kepentingan di bumi tercinta ini.

Lebih daripada itu, rakyat dari pelbagai kumpulan dan kepercayaan di Malaysia harus ingat untuk terus bersatu terutama dalam menghadapi persengketaan dan cabaran lainnya. Kita harus meraikan dan memperoleh manfaat daripada kepelbagaian yang wujud di negara kita.

Peringatan yang sedemikian menjadi lebih penting selepas usai pilihan raya umum baru-baru ini. Pilihan raya itu menyaksikan parti politik tertentu secara agresif menggunakan politik yang memecahbelahkan kaum dan agama bagi meraih sokongan.

Yang mengecewakan banyak pihak, parti-parti yang berkempen mengikut garis perkauman dan agama ini kemudian memperoleh sebahagian besar undi. Menjelang pilihan raya, mereka telah menimbulkan ketakutan dan syak wasangka dalam sebuah langkah penuh perhitungan bagi menarik para pengundi dan memperlihatkan mereka sebagai penyelamat utama bagi kaum mereka sendiri.

Parti-parti ini malah membayangkan kepada para pengundi bahawa mereka yang berlainan identiti adalah ‘musuh’ yang kononnya akan memudaratkan kepentingan dan hak mereka. Malah, unsur-unsur tertentu yang cukup tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan momok rusuhan tragis 13 Mei 1969 untuk membuat onar.

Berlatarbelakangkan suasana sebegini, adalah amat difahami bahawa Kementerian Perpaduan Negara pada masa ini perlu untuk memperkenalkan inisiatif Ini Malaysia Kita bagi memupuk perpaduan dan menyemai semangat patriotisme. Usaha itu mungkin dipandu oleh pandangan inklusif pentadbiran Anwar Ibrahim sekarang.

Semangat kekitaan, didorong kepentingan yang tinggi pada tanahair, adalah kunci untuk memupuk rasa cinta kepada negara dan menghargai kepelbagaiannya.

Kita boleh menzahirkan rasa patriotisme dengan pelbagai cara.

Ada yang menunjukkannya dengan mengibarkan Jalur Gemilang, bendera kebangsaan, pada Hari Kebangsaan.

READ MORE:  Unity in resilience: G25's National Day vision for Malaysia

Ada juga yang menawarkan kritikan membina dalam keinginan mereka untuk melihat Malaysia yang lebih baik. Kritikan mereka terhadap kerajaan berpangkal daripada kecintaan mereka kepada negara. Ia bukanlah dilakukan dengan niat jahat.

Digerakkan oleh semangat patriotisme, sesetengah pihak mengambil risiko menjadi pemberi maklumat bagi membendung arus rasuah yang melanda masyarakat selama ini. Mereka sedar bahawa rasuah yang berleluasa, terutamanya jika ia melibatkan berbilion ringgit, cukup merugikan negara: wang negara yang dicuri tidak akan mencukupi bagi membiayai projek pembangunan untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk prihatin apabila masa depan mereka digadai oleh perompak.

Begitulah juga mereka yang digerakkan rasa cinta kepada negara, turut berasa gelisah apabila langkah Sheraton mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih menerusi jalan demokrasi pada 2020. Ketika itu, ramai rakyat biasa mengharapkan pembaharuan besar yang akan menaikkan kualiti kehidupan mereka. Mereka ingin melihat Malaysia yang lebih progresif dan cergas dari segi ekonomi dan budaya. Namun, dalang di sebalik langkah Sheraton memusnahkan harapan rakyat dan merompak mandat mereka ketika di pertengahan jalan.  

Inilah sebabnya mereka yang cintakan keamanan bosan dengan percaturan politik baru-baru ini yang bertujuan untuk menggantikan kerajaan Sabah. Mereka melihat ia sebagai gangguan kepada usaha membangunkan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan miskin. Mereka tidak menganggap perebutan kerusi politik sebagai sesuatu yang lucu.

Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh rakyat Sabah. Rakyatnya terpaksa berhadapan dengan isu kemiskinan, banjir serta keadaan sekolah dan jalan raya yang daif.

Semangat kekitaan merupakan kunci dalam mencintai negara. Bagi memupuk sifat kekitaan ini, adalah penting untuk orang ramai mengetahui bahawa mereka mempunyai peluang yang mencukupi untuk meningkatkan taraf hidup mereka, terutamanya dalam pendidikan, pekerjaan dan perniagaan.

READ MORE:  Selamat Hari Merdeka 2024

Patriotisme tidak boleh dirangsang apabila perasaan terasing wujud di kalangan mereka yang menganggap diri mereka tidak mempunyai peluang yang sama rata – sebahagiannya kerana dasar kerajaan tertentu yang dianggap tidak adil dan memecah belahkan masyarakat. Golongan terpinggir seperti Orang Asli dan Orang Asal juga tidak boleh diketepikan.

Diskriminasi berdasarkan etnik, kepercayaan, jantina, wilayah dan gabungan politik akan menghalang kemajuan negara dan memburukkan lagi fenomena pelarian intelektual (brain drain)

Bakat berharga yang boleh memberi manfaat kepada negara kita sendiri malangnya telah ‘dinikmati’ pula negara lain, khususnya jiran di selatan kita itu. Sepanjang empat puluh tahun yang lalu, kira-kira setengah juta rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang profesional telah meninggalkan negara kita.

Dalam memupuk hubungan antara etnik, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam menyemai persefahaman dan rasa hormat di kalangan anak muda dari pelbagai latar belakang.

Usaha bagi menggalakkan perpaduan nasional tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada ahli politik, kerana mereka mungkin sebahagian daripada masalah yang wujud. Pemimpin agama dan masyarakat juga harus bangkit memainkan peranan untuk menjadi berguna.

Kegembiraan berada di tanah air kita mesti dikongsi secara adil oleh semua jika kita ingin menikmati kemajuan yang tulen dan terangkum

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
10 Januari 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x