Home Newsletters Wajah lain Islam

Wajah lain Islam

Free Islamic mosque during sunrise
OPENVERSE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Hari ini, kita telah berpecah-belah – bukan sahaja dek kerana beberapa orang pemimpin jahat yang mendahulukan diri mereka dan menjadikan rasuah serta perkauman sebagai sebahagian daripada budaya kita tetapi juga oleh pemimpin yang telah mempolitikkan Islam.

Begitulah pada hari ini, bagaimana agama, lebih daripada isu perkauman, nampaknya telah mendorong keretakan yang mendalam terhadap identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang budaya dan berbilang etnik.

Untuk sembuh, kita perlu segera menyedari bahawa kelebihan terbesar kita ialah kepelbagaian etnik yang dimiliki. Kini, kita sudah jauh ditinggalkan oleh jiran-jiran kita.

Jadi, Malaysia perlu segera keluar dari kecelaruan ‘multiple personality’ dengan cepat dan memutuskan sama ada mahu menjadi sebuah negara demokrasi yang diterajui Melayu atau kediktatoran Islam!

Identiti kita sebagai rakyat yang penuh harmoni telah perlahan-lahan dihakis oleh para pemimpin yang telah mengetepikan versi Islam yang lebih awal, lebih asli dan rohaniah (lihat Ed Husain tentang Islam, dalam bukunya The House of Islam: A Global History dan The Islamist ). Inilah Islam ajaran Nik Aziz Nik Mat dan mereka yang seumpamanya, yang ramai di antara kita tahu dan membesar dengannya pada tahun 1960-an.

Nik Aziz Nik Mat – FAYEZ/WIKIMEDIA COMMONS

Versi Islam ini lebih murni, lebih rendah hati dan lebih lembut. Inilah Islam yang membuatkan saya untuk melihat rakan-rakan Muslim pada zaman kanak-kanak saya sebagai saudara saya yang beragama lain.

Pilihan raya umum 2022 yang cukup memedihkan membawa harapan untuk perubahan. Selepas semuanya, saya cukup berharap agar “kerajaan perpaduan” akhirnya berpeluang untuk membaiki dan membina semula Malaysia.

Sebaliknya, pentadbiran baru nampaknya terdedah dan berdepan risiko bilamana ada sesuatu yang disebut atau dilakukan oleh mana-mana pihak.

Hampir segalanya dianggap sebagai serangan atau penghinaan kepada kedua-dua belah pihak, samada kepada golongan Islam dan bukan-Islam ini. Isu kem ulang kaji sekolah, program ‘Jom Ziarah’ untuk belajar daripada lawatan ke pelbagai tempat ibadat, pertanyaan tentang komposisi etnik perkhidmatan awam, perarakan Hari Wanita, konsert K-pop dan filem Mentega Terbang telah menjadi ‘api’ yang terpaksa diharungi oleh kerajaan ini.

READ MORE:  Deviant cult movements have no place in Malaysia

Untuk menanggapi perkara ini dengan lebih lanjut, mari kita imbas kembali kontroversi yang berlaku pada bulan Januari lalu mengenai ‘perarakan’ oleh seorang ahli parlimen Pas yang membuat hingar di sebuah pusat beli-belah di Seberang Perai – gara-gara promosi bir Tahun Baru Cina di ruang legar tingkat bawah pusat beli-belah itu.

Tidak kiralah betapa hangatnya perdebatan di media, adalah menarik untuk diperhatikan bahawa ahli parlimen itu seakan terlupa bahawa kebanyakan lapangan terbang antarabangsa secara terbuka mempunyai kedai yang menjual alkohol. Di kebanyakan negara luar, minuman keras juga dijual secara terbuka.

MICHAEL GAIDA/PIXABAY

Sedemikian ‘lemahnya’ sensitiviti  orang Islam terhadap paparan alkohol secara terbuka membawa makna bahawa mungkin orang Islam di Malaysia tidak akan dapat mengembara ke luar sempadan.

Apa pun, adakah hingar-bingar ini benar-benar mengenai Islam? Atau adakah ia tentang ahli parlimen ini yang menunjuk-nunjuk perangai ekstremisnya itu?

Soalan yang sama juga perlu ditanya berikutan rentetan insiden dan aduan yang kita hadapi baru-baru ini mengenai kod berpakaian yang ‘sesuai’ di premis kerajaan, termasuklah balai polis.

Adakah ia benar-benar mengenai sensitiviti Islam? Samalah juga seperti alkohol yang dijual secara terbuka di luar negara, wanita di luar negara juga dapat berpakaian sesuka hati mereka. Melancong barangkali boleh menjadi mustahil jika kita begitu sensitif.

Bukankah akhlak yang sebenarnya lebih kepada mengawal diri sendiri daripada mengawal orang lain?

Reaksi ketua polis negara yang tidak mahu mempertimbangkan semula etika berpakaian di balai polis amat membimbangkan dalam erti kata lain.

Adakah keputusan ini juga bertitik-tolak olehnya untuk menunjukkan bagaimana beliau menggunakan ‘kuasa veto’nya untuk ‘memaksa’ minoriti, supaya mematuhi kod pakaian berunsurkan Islam? Adakah tidak cukup jika orang ramai berpakaian mengikut undang-undang sedia-ada?

Saya juga sangat terganggu kerana ‘etika berpakaian’ itu membayangkan bahawa tindakan yang cepat terhadap jenayah adalah kurang penting berbanding kod berpakaian.

Walaupun ketua polis itu menyatakan akan ada pengecualian berkaitan kes melibatkan ‘hidup dan mati’ , beliau gagal melihat bahawa perkara lain seperti rompakan dan kehilangan harta benda juga harus dilihat sebagai perkara yang mendesak! Apakah beliau tidak sedar akan perkara pokok dalam perbincangan ini?

READ MORE:  Checks and balances at risk: G25 unpacks the Mufti Bill

Selain mengecilkan ruang demokrasi bagi etnik minoriti, pendekatan sebegini memberikan pandangan yang sesat bahawa, di Malaysia, sesetengah orang lebih layak menerima perkhidmatan dari kerajaan berdasarkan identiti budaya dan keutamaan pakaian mereka.

Kita mempunyai masalah apabila kita tidak lagi dapat melihat bagaimana ia akan memberi kesan kepada orang lain.

Adalah mudah untuk bersedih apabila kita mendakwa China menganiaya orang Uyghur dan mengabaikan hak minoriti, agama, sosial dan budaya mereka. Atau apabila Barat dan negara lain mengabaikan hak dan nasib rakyat Palestin.

Sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa apabila sesuatu kaum atau kepercayaan mula merasakan bahawa bangsa atau kepercayaan mereka lebih suci daripada orang lain, ketika itulah kita melihat akan ada percubaan yang tidak berperikemanusiaan serta akan memperlakukan orang lain dengan kurang hormat dan maruah.

Oleh itu, jika orang bukan-Islam akhirnya dilihat sebagai mereka yang kurang layak dihormati, saya tertanya-tanya apa yang diperlukan untuk kita kemudiannya perlahan-lahan tersasar ke arah itu?

Apabila kita mengabaikan hak budaya, kebebasan dan keutamaan mana-mana etnik minoriti atau mana-mana kumpulan hanya kerana mereka ‘menyinggung’ sensitiviti peribadi, politik atau agama kita, maka apa sebenarnya yang kita katakan tentang diri kita sendiri?

Apabila pemimpin agama Islam mula mengeluarkan fatwa kepada orang Islam untuk tidak memasuki rumah ibadat lain, adakah mereka tidak sedar bahawa ia boleh memecahbelahkan keluarga?

Adakah kita menjadi terlalu berfikiran sempit dan menganggap bahawa keluarga di Malaysia hanya datang dalam satu warna kulit?

Jika begitu, saya mahu bertanya, mengapa ibu saudara Muslim pada anak saya tidak dapat memberkati anak perempuan saya yang beragama Hindu (dalam apa jua cara yang dia mahu, jika dia mahu) ketika hari perkahwinannya di kuil Hindu? Dengan cara apakah iman kakak ipar saya akan terancam apabila tidak ada niat di pihaknya untuk menukar agama, mahupun pada pihak kami untuk menukar agamanya?

Di manakah belas kasihan apabila kita menghalang seorang anak perempuan beragama Islam yang berduka dalam memberi penghormatan terakhir di sebuah gereja, kepada bapanya yang beragama Kristian yang telah meninggal dunia?

READ MORE:  Persamaan politik Israel dan politik Melayu?

Bukankah kita semua, saling ‘berkait’ dalam banyak hal, selain dari ‘tidak bersangkutan’ selaku ‘saudara-mara’ daripada ibu dan bapa yang berbeza?

Jadi, apa logiknya dengan semua rasa tidak selamat ini? Apakah 11 tahun ajaran asas Islam di sekolah tidak cukup untuk mengukuhkan akidah sendiri serta mengelakkan rasa untuk memeluk agama lain?

Mungkin sudah tiba masanya untuk memikirkan semula bagaimana ilmu agama diajar di sekolah. Pengajian agama dan gurunya harus memberi bimbingan dan peluang yang lebih untuk pelajar memahami beberapa kepercayaan dan amalan asas tentang agama lain.

Persoalan tentang agama lain juga harus digalakkan, dengan jawapan yang seimbang dan adil, tanpa membahayakan asas kepercayaan Islam mereka sendiri atau menghina agama lain.

Saya memberitahu seorang saudara Islam saya, beberapa hari lalu bahawa ketika saya membesar, tidak seperti dia, saya sama sekali tidak mempunyai pendidikan agama yang formal. Namun, saya tidak pernah merasa terpaksa untuk menukar agama apabila saya masuk ke kuil Cina atau Buddha atau rumah ibadat atau masjid atau gereja atau katedral.

Walau bagaimanapun, saya sentiasa menutup rambut saya dengan penuh penghormatan, menyalakan kemenyan dan lilin dengan hormat dan berteleku dalam diam bagi menghormati setiap rumah ibadat yang berbeza.

Free smoke from incenses in a temple
Kemenyan di kuil – OPENVERSE

Kita memerlukan pendekatan Islam yang lebih merahmati serta terangkum jika kita ingin terus bergerak ke hadapan. Kita tidak perlu mempunyai kepercayaan yang sama, tetapi kita perlu menghormati, bertolak ansur dan menerima perbezaan kita. Kita sepatutnya dapat melihat bahawa pada tahap rohaniah, kita semua adalah sama.

Oleh itu, adalah cukup memberikan inspirasi serta melegakan untuk akhirnya mendengar PM kita secara terbuka menolak ketaksuban agama dan mengisytiharkan bahawa “Malaysia adalah milik rakyat Malaysia” dan bukan milik mana-mana satu kumpulan.

Sekarang, apa yang boleh kita lakukan hanyalah menunggu dan berharap.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Mac 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x