Pihak kapitalis industri yang datang tanpa dijemput, menjamah tanah dengan niat menanam wang di landasan Petani dan Pekebun, secara halus merampas hak asasi penduduk, ujar Danielle Rhye Avrahamovic. (Bahagian 1)
Segari, Sri Manjung, 11 Mac 2015
Petang hari itu, angin lembut dari Teluk Senangin datang menyapa ke pipi kering ini. Sambil meneguk sebotol mineral Blu, aku tenang menikmati kejadian Tuhan. Pokok. Air laut.
Butir-butir kecil pasir pantai aku tenung sambil jari kaki manja menyisir lubang yang tertimbus. Pasir Pangkor bertaburan di sekeliling persisiran.
Kelam-kabut ketam bunga lari keluar dari menyorokkan diri menuju ke dalam laut. Mungkin terganggu dengan asakan jari-jemari kaki aku yang agresif menggoyangkan tembok pertahanannya. Mungkin dalam hati ketam itu menyumpah, “Celakalah manusia, ini rumah aku!”
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Habitat dan ekuilibrium
Alam semulajadi. Rumah. Tempat berteduh. Siang. Malam. Berlindung dari ribut. Berehat di pangkin veranda.
Adalah salah satu fitrah bagi setiap yang merasa kehidupan untuk merasai keselesaan, berhak mendapat kebebasan untuk melabuh diri di atas tanah kurniaan Ilahi. Setiap dari organisma punya jiwa yang sama. Di setiap rumah ada kehidupan, di setiap kehidupan ada harapan.
Apakah beban-beban ini masih signifikan untuk dipertanggungjawabkan ke atas kita, manusia? Jawapannya YA. Manusia itu Alam. Alam itu Manusia. Adalah satu hipokrasi jika manusia itu menidakkan bahawa setiap nafasnya sempurna diliputi kapas-kapas atmosfera dari langit yang meneduhkan dan tanah yang menanggung beban. Sudahlah dipijak. Terus jua dilumatkan dengan ketamakan teknokrat-teknokrat industri.
Apakah beban yang dimaksudkan itu?
Kebangsatan: Kapitalis dan industri
Milenia ini, dunia membangun atas kepesatan material. Rakus dan haus dalam perebutan. Tanah. Emas. Minyak.
Atas alasan kemajuan dan kepentingan sosio-ekonomi, para kapitalis mengambil langkah mudah demi mengaut keuntungan jangka-masa panjang yang telah mereka rancangkan secara radikal.
“Kampung ini strategik walaupun ia kecil. Syarikat kita sudah menghantar kertas kerja dan projek telah diluluskan oleh kerajaan pusat. Komuniti di sini terdiri dari petani dan pekebun biasa. Kita akan menjalankan projek pembinaan kilang kimia di kampung ini. Notis pemberitahuan akan ditampal di setiap rumah-rumah penduduk yang terdiri dari 50 buah kesemuanya. Pada hujung tahun ini dijangka projek akan bermula, jadi, kita berharap semua penduduk bakal pindah keluar dalam masa terdekat, jika mereka ingkar, kita terpaksa minta Majlis Daerah dan Pejabat Tanah untuk merobohkan kediaman mereka.”
Bangsatnya Kapitalis Industri bukanlah atas kerana status dan keturunan mereka, namun atas kerakusan dan ketamakan mereka yang tiada sudahnya. Siapa yang tidak mahukan pembangunan progresif? Tetapi, cara mereka salah. Merusuh ke kampung-kampung komuniti kecil di mana hasil ekonomi penduduk setempat adalah dari rezeki yang lahir dari tanaman-tanaman yang bercambah di pinggir tangga rumah usang mereka semata-mata.
Apakah perasaan anda jika rumah anda diceroboh dan harta-benda anda dicabuli sesuka-hati?
Marah! Sedih! Takut! Kecewa! Ditindas!
Ini yang sering terjadi, pernah terjadi dan masih terjadi. Mangsa-mangsanya yang kita panggil Orang Kampung. Mereka inilah para Petani dan Pekebun. Ya, merekalah yang bercucuk tanam siang malam demi memuaskan kehendak komoditi, kuantiti dan kualiti ekonomi. Namun, hak mereka kita tidak pernah pedulikan. Betapa kita gah melaungkan persaudaraan namun hanya sekadar berkata-kata untuk menggempurkan telinga. Realitinya kita masih dibendung nuansa materialisma.
Pucuk paku, ulam-ulaman dan pohon-pohon subur menetap di rentetan hutan simpan. Ketika peluh keringat petani gigih meluhur di dahi, ketika tanaman-tanaman mereka diserbu serangga atau binatang yang hadir kelaparan, adalah satu kelaziman demi kestabilan eko-sistem.
Namun ketika ada kelibat manusia-manusia berbangsa bangsat kapitalis industri yang datang tanpa dijemput, menjamah tanah dengan niat menanam wang di landasan Petani dan Pekebun, secara halus merampas hak asasi penduduk. Mereka hanya mahukan yang terbaik dan meragut yang terbaik itu dari empunya harta. Hanya kerana Kapitalisma itu sebahagian dari kehendak dunia, sehingga hak asasi kemanusiaan dipinggirkan. Perut yang lapar tiada penghujungnya. Nafsu ketika bosan menjalar liar.
Pada hujung minggu kita akan ke pasar-pasar setempat, mencari kenikmatan yang paling asas, iaitu makan. Terlihat kita kepada sudut rak sayuran dan buah-buahan.
Kangkung. Ubi keledek. Petola. Daun Betik. Pisang. – Ini semua hasil tanaman Orang Kampung.
Jika anda bukan penggemar brokoli atau asparagus, anda perlu tahu bahawa sayuran kampung kegemaran anda ditanam oleh Petani-petani yang hidup dan bercucuk tanam di kampung; mereka tidak mengendali sistem ergonomik agrokultur yang sofistikated seperti tanaman terancang botani.
Yang mereka miliki sejak turun-temurun adalah kebun pusaka atau dusun-dusun. Mereka bersusah-payah dengan kudrat empat tulang di tengah panas terik dan hujan ribut, demi mendapat rezeki; selain dari itu, anda juga dapat makan sayuran-sayuran kegemaran anda dengan puasnya.
Adakah anda sanggup menidakkan keringat penanam sayuran kegemaran anda demi membiarkan kapitalis-kapitalis mengaut keuntungan dari hasil mereka yang sepatutnya mendapat keuntungan sama-rata? Apakah sewenang-wenangnya hak-hak Orang Kampung ini dirompak terang-terangan di hadapan mata? Bayangkanlah jika para Pekebun dan Petani ini adalah ibu bapa anda?
Kampung Teluk Senangin: Bilik air
Ketika berkhemah di Segari, lokasi yang paling aku idamkan adalah di tepi laut. Jadi, aku benar-benar telah bertapak di tepi laut. Masalah utama adalah tandas awam yang hanya beroperasi pada hujung minggu: Sabtu dan Ahad. Aku mundar-mandir di dalam kereta mencari tempat sesuai untuk melunaskan fitrah asas sebagai manusia, buang air dan mandi. Hanya ada sebuah surau tetapi kurang sesuai untuk dijadikan tempat mandi harian.
Teluk Senangin terletak di daerah Lumut, di antara lokasi yang paling sinonim dengan pelancongan eko-sistem di negeri Perak: Marina Bay, terletak di Teluk Batik, dan pelabuhan Pulau Pangkor, juga terdapat sebuah resort dinamakan Damar Laut. Di Segari terdapat hutan hujan atau rainforest yang juga sedang mengalami ancaman pembinaan kilang industri.
Pagi Isnin itu, hari pertama aku berjaya ‘membina’ khemah setelah dibantu seorang teman, dan dua khemah lain dipasang untuk kumpulan yang bakal tiba pada hari esoknya. Hati tidak tenteram. Perut memulas. Aku pun berjalan menyelusuri jalanraya kecil sambil mata melilau mencari tandas; terpampang di sebelah kiri sebuah bangunan bertulis ‘Bilik Air’ – Tutup. Dengan nakal aku memasang niat untuk masuk. Nasib menyebelahi aku. Zink bilik air tidak tertutup rapat, lebih kurang lima inci kaki zink tergantung dari lantai simen.
Dengan selambanya, dalam keadaan yang ‘desperate gila’, aku pantas menarik zink ke atas, bunyi kuat geseran keluli itu naik ke siling dengan lajunya, mungkin ada yang terdengar bunyi bising itu dan ia sesuatu yang amat menakutkan aku yang ketika itu tidak tahan ingin berhadas kecil.
“Awak tak boleh masuk! Hari biasa tutup, dik! Kalau awak masuk pun air tak ada. Pergi lah ke surau.”
Keadaan yang memaksa membuatkan aku pandai menyusun kata.
“Sorry kak, saya nak guna toilet sekejap je, saya period, emergency. Kalau ada orang datang, saya cakap sendiri dekat dia orang, ok?”
Dengan muka sugul, wanita berumur lingkungan 30an itu mencebik lalu pergi; peluang keemasan untuk menggunakan Bilik Air!
Setelah dua minit berhadas, air dari paip tidak deras seperti mula-mula tadi. Panik. Padan muka atas kedegilan aku. Tangan cepat mencapai ‘wet tissue’ berjenama Watson’s dari beg tangan. Habis satu pack aku guna. Nak buat macam mana.
Sampainya di khemah, Bhai, seorang teman dan aktivis dari kampung, Ipoh, menegur selamba, “Jumpa ke Bilik Air?”
“Jumpa bilik, tapi takde air.”
Bhai tersengih tapi dalam hati dia ketawa hebat.
Aku turut tersengih; dalam hati lagi ketawa berdekah-dekah.
Keesokan harinya, ketua aktivis Kuasa, Abang Man, memaklumkan bahawa tempat ini dipilih kerana kawasannya yang bersesuaian dengan aktiviti komuniti; jadi, tidak perlu risau tentang tandas awam atau bilik air lagi.
Katanya ada chalet terdekat yang menawarkan perkhidmatan tandas dan bilik air. Bayaran adalah RM1. Tiada cukai tanah, cukai pintu, cukai jalan atau cukai GST. Hanya dengan RM1 kita semua boleh menggunakan tandas dengan senang hati.
Terima kasih, Abang Man.
Setiap pagi, aku ke chalet Pak Yang untuk mandi. Jaraknya dari khemah lebih kurang 100 meter. Disinlah bermula sesi perkenalan dan luahan hati keluarga nelayan yang juga anak jati Teluk Senangin, Pak Yang, isteri dan anak-anak beliau.
Nasib anak jati:
Chalet Pak Yang, 8.00 pagi, Hari Pertama
Selepas menghulurkan wang kertas RM1 untuk mandi, kelihatan seorang lelaki tua berumur lingkungan 70an sedang asyik menyapu daun-daun kering di halaman chalet-chalet yang diperbuat dari kayu itu. Mungkin itulah Pak Yang, tuan punya Chalet.
Stamina orang-orang kampung selalunya lebih dahsyat dari orang-orang bandar, kerana orang kampung masih melakukan kerja-kerja berat seawal subuh hingga petang hari, tambahan pula, rezeki mereka bergantung kepada aktiviti seharian mereka di kampung.
Selesai mandi, aku bersiap dan keluar menuju ke arah laluan utama untuk ke laut, aku dengan sopan menegur ‘Tuan Rumah’, “Tumpang lalu, ya Makcik.”
“Ya, boleh. Adik ni dari mana?”
Adat Melayu, Orang Berbudi Kita Berbahasa. Orang Memberi Kita Merasa.
“Saya dari kem aktivis Kuasa dan Sahabat Alam di kem sebelah, Makcik.” Aku senyum.
Makcik senyum dan mengangguk. Dia menjemput masuk ke ruang meja makan bersebelahan dapur. “Itulah, Makcik dengan Pakcik ni ada nampak kamu punya khemah kat sana, tapi kami tak tahu khemah apa. Nampak macam ada gambar Penyu. Bila kami baca, faham la jugak sikit-sikit; ada nak buka kilang besi di sini, ya dik?”
“Ya, Makcik. Itu sebab kami ada kat sini. Saya sebenarnya baru juga di Teluk Senangin ni. Tapi saya dah lama dengan aktiviti-aktiviti macam ni. Datang sini atas jemputan kawan. Kami ramai kat sini, Makcik. Bertukar-tukar kumpulan ada yang dari KL, kebanyakannya dari Perak.”
“Aktivis ni macam mana, dik? Duduk di khemah tu ada kerja apa?”
Aku senyum lebar. Aku suka soalan ni. “Kami bukan aktivis di khemah sahaja Makcik. Nampak macam tak buat apa, tapi sebenarnya kami berpusat di satu tempat tu selepas kami dah buat kajian tentang kominitu disitu. Ada aktivis yang buat tinjauan dan dapat tahu tentang projek pembangunan yang melibatkan pemaju-pemaju swasta atau kerajaan, sama ada menganggu eko-sistem kawasan kampung. Aktivis ni maksudnya, badan bebas NGO.”
“Oh… orang kampung ada cerita dekat makcik, aktivis sejak dua menjak ni banyak di Teluk Senangin ni. Sebenarnya Makcik tak faham apa yang kamu buat tapi Makcik tau kamu orang bukan calang-calang orang, sanggup datang, berkemah dekat laut ni sampai berminggu-minggu. Mana ada orang biasa yang buat kerja-kerja mencabar ni.”
“Ye ke Makcik, biasa saja Makcik, kami memang ambil serius hal sosial. Biasanya kami fokus pada hak asasi penduduk. Aktivis bukan melawan kerajaan; sebenarnya kami yang keluarkan suara-suara penduduk. Selepas tu, kami dekatkan diri dengan pihak kerajaan untuk cari jalan penyelesaian. Projek kerajaan ni banyak, Makcik; ada yang langgar prosedur, ada yang tak. Sebab tu, kamilah yang salurkan bantuan dan cari kata sepakat untuk selesaikan masalah-masalah yang ada.”
Makcik mengangguk-angguk tanda faham. “Adik ni seorang saja perempuan tidur kat khemah?”
“Bukan, Makcik. Ada lagi aktivis-aktivis perempuan lain, kami selalunya berkhemah asing-asing, dan bakar unggun api.”
“Makan macam mana?”
“Kadang-kadang kami buat cara ‘forest survival’, cari kayu api, bakar ikan, udang, hasil-hasil laut yang nelayan-nelayan kat sini sedekah, kami masak. Sangat seronok pengalaman macam ni, Makcik.”
“Makcik nak ke dalam dulu ya; esok Pakcik kamu tu turun ke laut, anak Makcik ada datang esok, kalau kamu nak sembang dengan dia; tanya lah apa-apa. Dia banyak tahu pasal projek-projek di kampung ni.”
“Ok Makcik, terima kasih.”
Chalet Pak Yang, 10.00 pagi, Hari Kedua
Seperti déjà vu melihat di Pak Yang menyapu daun-daun kering di perkarangan chalet-nya pada pagi itu, seperti rutin hariannya yang dia lakukan setiap pagi. Aku mengucapkan salam, dan Pak Yang menjawab dengan senyuman. Cantik gigi Pak Yang.
Kedengan suara anak kecil merengek, aku memanjangkan leher menjenguk ke dalam chalet. Kelihatan seorang wanita lingkungan lewat 20an mendukung bayinya dan memujuk lagi seorang anak kecil yang bertelagah minta diberi perhatian. Beban ibu muda itu hilang apabila datang seorang lelaki yang lekas mendukung si anak kecil yang memberontak inginkan ibunya juga. Si ayah memujuk.
Aku masih menunggu saat sesuai untuk menegur mereka. Setelah tenang, aku melunjurkan kaki perlahan dan memberi salam sekali lagi; buat kali kedua, aku menerima senyum manis dari keduanya.
“Kak, saya Danielle. Apa khabar?” Aku menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Sihat, alhamdulilah, adik ni dari mana? Nak guna tandas ke dik?” Dia meletakkan bayinya perlahan ke dalam buaian dan mendodoi perlahan.
“Saya dari kem aktivis sebelah, kak. Tak, maaf lah ganggu, semalam saya ada bincang dengan Makcik, dia kata kak dengan abang ada dekat kedai hari ni, saya ada hal nak bincang dan kalau boleh saya nak minta kebenaran kak untuk interview, boleh ke?”
“Oh, boleh, tanya lah dik.
Aku menghabiskan masa selama lebih kurang satu dan setengah jam menemuduga dan bertanya tentang kisah Teluk Senangin.
Mengikut cerita Kak Ani, Chalet Pak Yang adalah nama rasmi bagi perniagaan eko-pelancongan yang dimiliki oleh bapanya dan diuruskan sepenuh masa oleh ahli keluarganya. Ia telah beroperasi selama tujuh tahun sejak ia dibina pada tahun 2009. Terdapat lebih kurang 20 buah chalet-chalet kecil dan besar.
Harga chalet dinilai melalui fasiliti yang terdapat dalam chalet tersebut. Setiap chalet yang mempunyai tandas dan berhadapan dengan laut adalah lebih mahal berbanding chalet biasa yang dibina agak jauh dari lokasi idaman ramai, iaitu betul-betul berhadapan dengan keindahan laut yang mententeramkan jiwa.
“Kami tak pinjam bank, tak dapat dana dari mana-mana agensi kewangan pun, dik. Semua yang adik nampak ni, hasil usaha kami anak-beranak bertungkus-lumus susah senang jatuh bangun, inilah hasilnya. Bila kami dah senang, ada saja pihak yang dengki.” Kak Ani meluahkan beban di hati.
Aku suka bila dia sarkastik terhadap pihak yang digelarnya pendengki, siapa lagi kalau bukan makhluk burgueoise yang tamak memonopoli industri demi kesenangan kroni-kroni mereka.
Sambil merenung ke arah pokok yang berdiri tinggi dan pohonnya yang tunduk hampir menutupi bumbung chalet di hujung kawasan, aku terpegun melihat seekor monyet yang rakus memanjat dan berlari agresif. Jelas terpamer kebahagiaan dari suaranya yang ketawa mungkin, bermain dengan daun-daun dari pokok; betapa dia bebas dari kekangan material dunia dan langsung tiada kaitan dengan hal ehwal manusia. Haiwan itu ceria.
Aku pula runsing runsing dengan kapitalis dan agenda industrial mereka.
“Macam mana keluarga akak boleh pilih kawasan ni?”
“Kami memang anak jati sini. Memang niat kami untuk cari makan kat sini. Kami membesar dengan suasana yang adik sendiri boleh tengok: udara segar, tak ada pencemaran, ikan-ikan dan hasil laut sini semua kami tangkap sendiri.”
“Betul tu, memang bertuah siapa yang lahir dekat kawasan kampung yang ada tasik dan laut; saya pun dah rasa taknak balik. Ayah akak memang nelayan atau dulu pernah kerja kat tempat lain?”
“Kebanyakan orang kat sini memang nelayan, dik. Cuma ada beberapa nelayan saja yang buka chalet; yang lain dia orang memang full time nelayan dan turun ke laut, atau berniaga dekat pasar.”
“Apa hasil tangkapan laut yang istimewa dekat Teluk Senangin ni yang paling nelayan suka, kak?”
“Kalau dekat laut dalam, persisiran pantai sana, rezeki nelayan yang paling untung tu, bila dapat ketam besar; besar dia lebih kurang ketam gred A tapi besar lagi. Tauke Cina yang ada restoran kat Pantai Remis pun cari ketam di Teluk Senangin ni. Ada lagi satu yang popular kat sini, Udang Pasir, orang sini panggil ‘Yat Yat’; paling sedap bila digoreng dengan kunyit, makan garing-garing. Tapi sayangnya sejak beberapa tahun lepas, udang ni dah tak muncul-muncul. Hilang, pupus macam tu aja.”
Udang Pasir (Sea Shrimp dalam Bahasa Inggeris) adalah sejenis species organisma laut masin yang biasanya hidup di kedalaman pasir di persisiran pantai. Nampaknya udang pasir pun seperti sudah dapat menghidu projek kapitalis yang akan membunuh habitat mereka lalu mereka pindah ke kawasan lain? Aku bermonologue dalam hati.
Kak Ani menyambung celotehnya. “Dulu hutan Segari ni hutan ‘banad’, dik. Cuma ada renjer hutan saja yang jaga tempat ni, dari tahun 80an sampai hujung 90an. Lepas tu renjer hutan pun pindah. Teluk Senangin ni terbiar macam tu saja; mana ada orang nak datang sini. Bila ayah akak dengan anak jati lain buka bisnes chalet ni, mula-mula dua buah, lepas tu tiga, lepas tu jadilah maju macam sekarang ni, alhamdulilah pelancong tak henti-henti datang sini. Usahkan pelancong; orang kita pun suka laut. Memang boleh kata customer kita orang dari seluruh dunia, dik; sanggup dia orang datang. Jadi, sebab tu lah, akak risau bila dengar nak buat kilang, loji kimia dekat Tanjung Hantu sana yang orang kampung dah heboh.”
“Dekat kampung ni ada AJK atau persatuan lain yang anak jati sini tubuhkan, selain Persatuan Nelayan Teluk Senangin?”
“Ada, kami ada dua persatuan lagi, JKK, Jawatan Kuasa Kampung, yang uruskan hal ehwal kami. Namanya Tok Sidang; dia lah tempat anak jati sini mengadu. Tapi Tok Sidang bukan boleh suarakan sangat, sebab kat sini ada saja pegawai-pegawai kerajaan yang akan hantar setiausaha dia orang untuk ‘jaga’ kami. Jadi, kalau kami cerita dekat JKK pun setakat sampai ke setiausaha saja lah; memang tak ada perubahan apa-apa dik. Lagi satu persatuan namanya Union, persatuan ni macam NGO juga; yang ni banyak juga nelayan yang uruskan penduduk sini yang aktif dengan aktiviti-aktiviti bersuara pada kerajaan ni, macam kamu lah, aktivis.”
“Boleh tak akak cerita tentang projek-projek yang pernah pihak swasta korporat yang kerajaan luluskan di Teluk Senangin?”
“Banyak, dik; kalau nak cerita, memang sakit hati.”
Danielle Rhye Avrahamovic is the pseudonym of a flight attendant who considers herself a free spirit: she writes, composes songs, plays the guitar, paints and collects rare masterpieces wherever she travels. Familar with the underground subcultures of her hometown, Ipoh, she finds her playground in jamming studios and alternative music stores in the midst of old-town shophouses and abandoned colonial mansions.
Danielle recently participated in Aliran’s Young Writers Workshop on Good Governance, Gender and Vulnerable Groups held in Ipoh with the support of the Canada Fund for Local Initiatives.
“It was truly an amazing journey, being guided and taught extensively by highly experienced and knowledgeable facilitators; I couldn’t have asked for better,” she says. “As a young writer who still has so much to learn, I am grateful that Aliran has given me this life-enriching experience. I hope there will be more of these liberal movements to ignite social awareness that writing is part of human nature…”
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme