Pihak kapitalis industri yang datang tanpa dijemput, menjamah tanah dengan niat menanam wang di landasan Petani dan Pekebun, secara halus merampas hak asasi penduduk, ujar Danielle Rhye Avrahamovic. (Bahagian 2).
Bahagian 2 seterusnya:
Projek songlap tanah rizab, 2010
“Seingat akak, tahun 2010 kerajaan ada nak bangunkan projek naik taraf untuk daerah Pasir Panjang dekat Sungai Kerang, masih dalam kawasan Teluk Senangin. Dulu dekat kampung ni ada satu Bangunan Kerajaan Pusat, Pejabat Tanah. Kerajaan bawa masuk beberapa pegawai dengan setiausaha untuk uruskan hal ehwal kampung dan penduduk sini. Kalau ikut mulut manis boleh tunduk cair dekat dia orang ni, dik; janji 1000 kali janji, tapi habuk. Sedihnya sebab anak-anak jati Teluk Senangin ni 100 peratus Bumiputera yang layak dapat tanah yang dirizabkan untuk orang kita lah dik, bangsa kita. Lagipun orang kampung sini majoriti penyokong kuat kerajaan, kami tak pernah minta lebih-lebih; cuma jangan aniaya kami. Kira aniaya lah, dik, kalau ikut perjanjian Rizab Tanah Melayu di daerah-daerah yang kebanyakan di hutan simpan. Kalau adik pergi ke mana-mana pejabat kerajaan tanya pun, mereka hanya akan jawab, khas untuk orang Melayu sahaja. Tapi lain jadinya dik.”
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
“Cuba cerita, kak, apa jadi?”
“Mula-mula kami seronok dapat berita baik: Pegawai Pejabat Tanah hantar memorandum pada JKK; mereka bakal jalankan projek naik taraf Teluk Senangin; peruntukan sebanyak 100,000 akan diberi pada penduduk termasuk pesara tentera. Jadi mereka pun buka Pemohonan Rizab Tanah Melayu untuk penduduk kampung sini. Siapa-siapa anak jati Teluk Senangin yang mahu tanah dan bina rumah kos rendah, boleh isi borang pemohonan. Dalam masa sebulan, boleh kata 90 peratus penduduk sini, lebih kurang 30 buah keluarga yang dah memohon, hantar borang dan tunggu keputusan. Kami diberi kata jaminan dari Pejabat Tanah masa tu: mereka akan hantar surat ke alamat rumah. Jadi kami pun tunggu; sabarnya tak tau nak cerita lah, dik. Siang malam, pagi petang, turun laut naik laut, kami tunggu. Tunggu punya tunggu; adik tau apa jadi?”
“Apa jadi kak? Jadi ke tak tak jadi?”
“Jadi! Jadi, dik, tapi bukan jadi dapat kat kami; jadi dapat kat orang lain! Kami punya lah sedih, marah, geram; semua perasaan ada masa tu. Rasa kena tipu, kena aniaya, kami turun ke Pejabat Tanah. Ni, tanya laki akak ni, dia dengan nelayan-nelayan semua turun ke Pejabat Tanah, sampai ada yang baling batu pecahkan cermin tingkap pejabat tu, dik! Sebab kami geram!”
“Kenapa, kak? Apa jadi?!”
“Yang dapat tanah rizab tu, bukan anak jati Teluk Senangin, tapi kroni-kroni kerajaan dan orang-orang kaya dari mana entah; luar Perak pun ada, tak ada kena-mengena dengan kampung ni – waris pun bukan – tapi entah macam mana boleh guna nama dan alamat orang kampung sini! Itu yang kami pelik; mesti ada pengkhianat. Cuma separuh dari keluarga kampung ni saja yang diluluskan – ada lah dalam 10 keluarga; yang lagi 20 keluarga langsung tak dapat, padahal itu yang kerajaan janjikan khas untuk anak jati sini. Kami keluarga yang tak dapat ni, kami lapor kat JKK, kata setiausaha pegawai kerajaan tu; dia akan bagitahu hal ni ke YB. Masa tu kami percaya lah yang kes kami ni dapat keadilan. Tunggu lagi, dik; lama-lama, suami akak dengan keluarga lain, buat laporan polis. Kami tak peduli; kami dah kena tipu. Masa tu polis ambil laporan, dan kami masih juga mengharapkan dapat penjelasan dari Pejabat Tanah.”
“Lepas tu akak dapat tak apa-apa jawapan?”
“Kami buntu juga; tapi selepas hampir setahun kami tunggu kata putus, akhirnya kami dapat jawapan dari setiausaha pegawai. Dia buat mesyuarat dengan JKK dan pihak lelaki datang untuk wakilkan ahli keluarga. Dalam mesyuarat tu, dia sampaikan berita baik: kononnya, ahli keluarga yang gagal dapatkan tanah waktu pemohonan tu atas masalah teknikal, dan pihak Pejabat Tanah memohon maaf. Kami dengar sekadar buka telinga, tapi hati masih sakit. Kami pun lega sikit bila Pejabat Tanah janji akan bagi pampasan sebanyak RM5,000 pada 20 buah keluarga yang gagal masa pemohonan, dan wang pampasan akan diberi pada tahun itu juga. Kami tunggu, tapi tak sampai lima buah keluarga yang dapat pampasan tu, dik! Kami dengan yang lain-lain, haram! Sampai ke hari ini, langsung kami tak dapat apa-apa!”
“Kena tipu lagi, kak?!”
“Ya, dik, sampai Pejabat Tanah tu tutup sebab ada keluarga yang datang hari-hari minta hak mereka; jadi kerani-kerani pejabat takut, menggelabah. Akhirnya kerajaan biar pejabat kosong, mereka tutup kes, lari! Waktu tu kami putus asa; biar lah, lantak lah. Cuma kami minta, sudah-sudah lah; jangan kacau hak kami; jangan ganggu hidup kami. Tapi tak sangka kerajaan buat kacau lagi, dik.”
Projek highway tepi laut, 2014
“Tak lama lepas kes Projek Songlap Tanah Rizab tu, dalam tahun 2014, kerajaan hantar lagi pegawai-pegawai dia orang, datang beritahu kami mereka nak buat projek jalanraya baru. Alasannya sebab nak berkhidmat. Jadi kami sokong lah. Masa tu JKR datang buat penyelenggaraan jalanraya, sebab jalan tu memang patut dibetulkan, dah berlubang-lubang. Tak lama lepas tu, tak guna betul; kami dapat tahu yang kerajaan ada agenda lain: rupanya mereka nak buat projek highway, sambungan jalanraya dari Lumut, Teluk Batik, terus ke Segari. Projek ni nak dijalankan atas tanah rizab pantai! Betul-betul berhadapan dengan laut ni dik. Ini orang kerajaan sendiri yang datang; bukan syarikat swasta. Terkejut lah kami; mana boleh bangunkan highway dekat pasir laut Teluk Senangin. Sini bukan macam tanah di Pangkor. Kalau kami yang orang kampung ni pun tahu pasal sains, takkan orang bijak pandai macam dia orang boleh buat benda bodoh? Bukan ke akan ganggu graviti alam, dah lah highway ni kena atas tanah konkrit ,dik. Apa ke gila nak bina atas pasir dekat sebelah laut pula tu?”
“Saya setuju.”
“Tapi, kali ni kami tak nak pisang berbuah dua kali. Kami tak mahu kena aniaya lagi; kami pakat dengan keluarga lain. Walaupun Tok Sidang tu menyebelahi pihak kerajaan dan tak setuju dengan cara kami, tapi kami tetap nekad nak pertahankan hak kami. Lagipun kalau projek highway tu nak dijalankan, kerajaan akan bina atas Rizab Pantai. Mereka salahkan kami bina chalet atas alasan ini – rizab pantai – tapi kerajaan boleh pula nak bina highway? Macam mana tu, dik, guna cara penindasan macam tu; kami rasa tak adil. Kalau chalet kami ni dirobohkan, macam mana kami nak cari makan? Kerajaan guna alasan nak robohkan chalet kami sebenarnya ada kepentingan dia orang juga, dik. Kami dah muak dengan taktik main tarik-tali kerajaan ni.”
“Apa yang akak dengan orang kampung buat untuk halang projek tu?”
“Kami laporkan terus ke pejabat YB Dato’ Dr Zambry. Nasib baik YB ni dia pernah turun padang jumpa orang kampung Teluk Senangin; hubungan YB ni dengan orang kampung mesra. Dia tak mengelak jumpa dengan kami. Masa kat pejabat dia, kami luahkan semua pada dia. Rupanya, dia tak tahu kes duit pampasan dan kepincangan pemohonan Rizab Tanah Melayu yang lepas masih tak selesai; lagipun, masa itu YB belum ada pegang Pangkor lagi. Jadi kami cerita semua pada dia. Pasal pembinaan highway tu pula, kami minta dibatalkan sebab kami masih tak dapat pampasan pada 2010 lepas yang masih tertunggak. Kalau kerajaan robohkan chalet kami, akak fikir, kerajaan akan berjanji beri pampasan lain lagi. Tapi kami tak ada kepercayaan pada kerajaan selagi hak kami yang kami tuntut masih tak dilunaskan.”
“Jadi, apa keputusan YB?”
“Alhamdulilah, atas desakan dan rayuan kami, dia batalkan projek highway tu. Kalau tak, adik pun takkan dapat peluang duduk dekat khemah tu, sebab semua satu kawasan ni akan jadi highway.”
‘Segila-gila Kim Jong Ill dekat North Korea tu pun, tak lah dia gila nak buat highway dekat tepi laut.’ Aku serabut. Serabut dengan kegilaan, keborosan dan korupsi pemerintah.
Projek kasino hutan simpan, 2016?
“Tahun lepas, kami dapat tahu, kemungkinan ada projek baru tahun depan. Baru-baru ni, ada Mat Saleh datang ke Teluk Senangin. Dengarnya dia beli tanah dari hutan simpan atas bukit sana. Sepatutnya, mana boleh senang-senang bagi tanah kat orang luar, dik; lagi-lagi hutan simpan. Kita orang biasa ni cuma dengar, tengok, tapi tak boleh buat apa lah. Tak lama lepas tu, dia rancang nak buat hotel … Kamu bayangkan, dik, hotel yang macam Genting Highlands tu dekat atas bukit tengah-tengah hutan ni? … Hotel yang dia nak buat tu pun memang akan jejaskan ekologi, eko-sistem tempat ni; rosaklah alam semulajadi…”
Luahan hati Keluarga Pak Yang
“Apa harapan Pakcik dengan keluarga untuk masa depan Teluk Senangin dan Chalet Pak Yang?”
“Harapan Pak Yang, kami ni anak jati sini. Kami bukan kakitangan awam atau swasta; kami hidup sederhana sebagai nelayan dan pengusaha chalet. Pada kami, inilah kehidupan kami. Sekalipun kerajaan nak kami pindah keluar dari Teluk Senangin ni atas macam-macam alasan yang kerajaan akan bagi, kami minta kerajaan bagi lah pampasan yang setimpal untuk jangka masa panjang, dan beri kami tempat tinggal baru! Yang penting, harap kerajaan bela dan jagalah hutan ni baik-baik; buatlah pembangunan yang tak merosakkan alam semulajadi, resort, chalet lain atau perumahan sekalipun. Tapi janganlah abaikan pantai ni. Kita dah hilang Teluk Batik, Teluk Rubiah sejak ada kilang gas dan minyak di sana. Janganlah Teluk Senangin ni yang jadi mangsanya selepas ni. Percaya lah, dik, Pangkor dan jadi pusat beli-belah; tinggal Segari saja yang boleh bagi ketenangan kat pengunjung, dik. Kami pun tak tahu lah apa nasib kami lepas ni.”
Aku tidak langsung memandang remeh pada warga nelayan, petani, pekebun dan penternak yang digelar Orang Kampung, atau Village People. Ilmu mereka dahsyat, tapi mereka memilih untuk hidup sederhana dan jauh dari kepincangan industri. Ketajaman akal orang-orang kampung Teluk Senangin, hingga boleh berbicara tentang Ekologi, Eko-Sistem dan Earth Gravity. Maka mereka tidak sewenang-wenangnya bisa dibodohkan atau dianggap bodoh oleh mana-mana pihak yang ingin menindas mereka – kerana dalam diam, mereka ada plot tersendiri yang hanya menunggu masa untuk ditebarkan ke muka kapitalis keparat.
Projek songlap bot nelayan, 2014
Terdapat lebih kurang 20 buah keluarga nelayan yang berasal dari Teluk Senangin. Pada awal tahun 2014, kerajaan telah merancang untuk menaik-taraf ekonomi anak jati Teluk Senangin dengan menyediakan bot percuma untuk nelayan-nelayan di kampung tersebut. Apa yang berlaku adalah disebaliknya: bot-bot mereka di ‘rampas’ oleh orang luar yang tiada kaitan dengan bidang perikanan.
“Habis separuh dari jumlah bot-bot tu dapat kat orang luar; kebanyakan yang dapat tu kroni kerajaan! Ada juga ketua pemuda yang sekali-sekala turun ke laut, sekadar nak tangkap ikan dua tiga ekor – dia yang dapat bot! Kami yang betul-betul cari makan kat sini, kenapa kami tak dapat?”
Penuh emosi suami Kak Ani merungut, “Kami pun turun ke pejabat kerajaan. Kami buat laporan. Lepas tu, baru pegawai-pegawai kerajaan minta maaf. Tak lama lepas tu, kami dapat balik bot-bot tu semua. Kalau kami diam, memang kena pijaklah!”
Sementara itu, Mohd Sufi, salah seorang nelayan berusia 20an dan wakil aktivis bagi Persatuan Nelayan Teluk Senangin, turut meluahkan kerisauannya akan nasib anak jati di kampung itu. “Saya berjuang sebab saya sayang kampung ni. Kami semua satu keluarga. Kalau bukan kami yang berjuang untuk kampung kami, siapa lagi,” kata Mohd Sufi dengan penuh hiba, sambil menghembus asap rokok dia termenung ke arah laut; entah apa yang difikirkan nelayan muda itu.
Projek loji janakuasa Tanjung Hantu, 2016
- Projek loji gas cecair asli; keluasan: 60,000 hektar
- Projek kilang besi dan keluli; keluasan: 202.35 hektar
Projek yang berisiko
Setelah sebulan aku bersama kumpulan NGO dan Aktivis alam sekitar Kuasa dan SAM yang berpusat di Teluk Senangin, pemerhatian khusus yang telah aku jalankan adalah berkenaan satu projek yang sangat berisiko dan membahayakan mungkin bakal dinaikkan di pulau kecil ini.
Mengikut laman web rasmi kerajaan, satu kenyataan rasmi tender bagi projek yang telah disenarai-pendek dan diluluskan sejak tahun 2013, bakal dijalankan pada pertengahan tahun 2015 dan dijangka siap pada awal tahun 2016.
Projek industrial ini akan mengganggu eko-sistem dan bio-diversiti hutan simpan, hutan hujan dan penyu di Segari.
Sumber: Laman Suruhanjaya Tenaga
Tidak cukup dengan projek kilang gas dan minyak yang telah dibina di Teluk Rubiah pada tahun 2013, hingga mencemarkan kebersihan dan keindahan Teluk Batik… Mengikut kata pelancong, selepas mereka bersantai dan mandi di Teluk Batik, mereka mendapati air berlumut, berminyak dan menyebabkan kulit badan gatal; bahkan orang tempatan juga turut menyuarakan dilema mereka.
Cerita Kak Ani tentang politik wang, “Kerajaan pernah offer pampasan dalam bentuk rumah bernilai RM5000-10000 untuk penduduk yang mendiamkan diri. Itu yang terjadi setiap kali rakyat mahu membela tempat mereka, tapi mereka disogok duit.”
Adakah wang jawapan pada segala masalah pihak yang gagal melindungi dan menyelesaikan konflik yang dicipta oleh kebodohannya sendiri?
Jika habis alam sekitar ini ditarah dan diratah, maka, apa yang akan tinggal untuk dinikmati generasi akan datang?
Mungkin untuk anak-anak kita, bau asap dari kilang-kilang industri yang memuntahkan racun kimia dan bermandian dalam laut hitam berkarat.
Impak kepada penyu
Dua jenis penyu yang mendiami habitat alami mereka di Segari, penyu agari (chelonia mydas) dan penyu karah (eretmochelys imbricata).
Species penyu yang hidup di Tanjung Hantu semakin pupus kerana pelbagai faktor alam sekitar, cuaca, selain dari menerima ancaman dari kilang-kilang industri yang membawa pencemaran.
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari
Merupakan salah satu lokasi di negeri Perak yang menjadi tumpuan para pelancong untuk melihat penyu yang terletak di tepi pantai Pasir Panjang, Segari, Perak.
Terletak kira-kira 5km dari Pekan Segari dan 7km dari simpang Jalan Lumut – Pantai Remis, Pusat Konservasi Penyu Segari mula dibina pada tahun 1990 di atas tapak seluas 0.1 ekar. Kajian kesesuaian tapak telah bermula pada pertengahan tahun 1989 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan. Pada tahun 1992, seluas 10 ekar tanah telah dipohon untuk tujuan pemuliharaan penyu, dan 5.5 ekar telah diluluskan di atas tanah rezab Jabatan Perikanan Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1994.
Pada tahun 2002, sebanyak 13,670 telur penyu telah dipungut dan daripada jumlah itu hanya 4,367 anak telah berjaya menetas. Statistik ini semakin berkurangan pada 2012 iaitu hanya 6,007 ekor telur penyu telah di pungut dan hanya 2,391 anak penyu berjaya menetas.
Selain penyu yang mendarat di Pantai Pasir Panjang, pusat ini juga melakukan konservasi ke atas spesis penyu yang lain seperti penyu karah, penyu lipas dan beberapa jenis spesis tuntung dengan harapan lebih banyak spesis-spesis reptilia ini akan mendarat di pantai Pasir Panjang pada masa hadapan.
Fakta penyu Pasir Panjang dan Teluk Senangin, Segari:
- Telah wujud sejak 150 juta tahun
- Penyu adalah khazanah marin negara
- 90 peratus anak penyu yang menetas mati dalam tempoh setahun
- Tanjung Hantu dan sekitarnya dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dan 2
- Pantai Pasir Panjang adalah satu-satunya kawasan pendaratan penyu di negeri Perak
- Hutan Simpan, Tanjung Hantu adalah di antara hutan rawa yang masih terdapat di Semenanjung Malaysia
- Penyu mengembara sejauh 20,000km dan direkodkan sebagai kembara penyu mencari pantai sesuai membuat sarang
- Pasir Panjang dan Teluk Senangin telah dizonkan sebagai zon pembangunan pelancongan negeri Perak
- Pendapatan nelayan terjejas dan kawasan penangkapan ikan semakin mengecil.
Danielle Rhye Avrahamovic is the pseudonym of a flight attendant who considers herself a free spirit: she writes, composes songs, plays the guitar, paints and collects rare masterpieces wherever she travels. Familar with the underground subcultures of her hometown, Ipoh, she finds her playground in jamming studios and alternative music stores in the midst of old-town shophouses and abandoned colonial mansions.
Danielle recently participated in Aliran’s Young Writers Workshop on Good Governance, Gender and Vulnerable Groups held in Ipoh with the support of the Canada Fund for Local Initiatives.
“It was truly an amazing journey, being guided and taught extensively by highly experienced and knowledgeable facilitators; I couldn’t have asked for better,” she says. “As a young writer who still has so much to learn, I am grateful that Aliran has given me this life-enriching experience. I hope there will be more of these liberal movements to ignite social awareness that writing is part of human nature…”
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme