agama itu sebenarnya wujud di dalam pemikiran kita sendiri; oleh itu kita seharusnya menggunakan pemikiran kita dengan sebaik-baiknya bagi mencapai matlamat kehidupan kita, ujar WH Cheng.
Pemikiran di kalangan generasi baru pada hari ini kebanyakan berkisar kepada perasaan ingin tahu atau kehairanan yang mendorong mereka untuk mengetahui dengan lebih lanjut dengan mengemukakan persoalan demi persoalan bagi memastikan sesuatu maklumat tersebut adalah benar dan tepat.
Tidak kurang pula, ada yang meminta agar bukti kukuh dikemukakan agar ianya dapat memastikan lagi kewujudan sesuatu.
Disebabkan itulah, perasaan was-was timbul dalam kalangan generasi baru pada hari ini hasil daripada perkembangan teknologi terkini, media sosial dan sektor pendidikan yang semakin canggih. Apa yang berada di hadapan mereka hendaklah praktikal seberapa yang boleh bagi memastikan suatu perlaksanaan dapat dilakukan dengan serta merta.
Di waktu ini juga, kewujudan pelbagai jenis dan bentuk dakwaan, maklumat dan keadaan yang kurang tepat, tidak memberangsangkan dan ketiadaan bukti yang kukuh. Kebanyakannya dipelopori oleh golongan yang mendakwa diri mereka kononnya “cendikiawan agama” dan ini turut menambah suasana kekeliruan dan ketidakstabilan dalam kalangan masyarakat.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Ramai di antara “cendikiawan agama” ini turut mendakwa diri mereka sebagai golongan yang alim. Ketokohan mereka di dalam agama yang mereka pelopori membawa pelbagai gelaran seperti guru agama, pendakwah, pensyarah agama, pegawai tinggi pihak berkuasa agama, ketua penguatkuasa agama, ketua pengarah agama, ketua jabatan kemajuan agama, menteri hal-ehwal agama dan bermacam-macam lagi karenah yang tidak terkira.
Manakala ada juga parti-parti politik yang menggelar diri mereka terdiri daripada ketua-ketua dan pakar dalam segala-galanya di dalam bidang agama yang mereka pelopori dan menandingi di antara satu sama lain bagi menjaguhi bidang keagamaan tersebut.
Akan tetapi golongan yang kononnya “cendikiawan agama” ini kebanyakannya didapati telah dan sering melakukan pelbagai perbuatan yang boleh dikatakan melanggar ajaran agama yang dipegangi mereka. Malah, ada pula yang melakukan lebih terkutuk lagi dengan mendakwa ianya demi agama.
Lebih-lebih lagi, ramai di antara “cendikiawan agama” ini juga telah memperolok-olokkan agama demi kepentingan politik dan nafsu mereka untuk menguasai orang ramai dan pentadbiran negara.
Persoalan yang patut kita semua kemukakan kepada mereka: adakah segala perbuatan yang mereka lakukan ini berdasarkan ajaran agama yang mereka pelopori kononnya? Dan sekiranya mereka berkeras bahawa ianya adalah demi agama, di manakah kandungan ajaran di dalam buku agama atau kitab yang dapat membuktikan kesahihan segala perbuatan mereka?
Kenapa pula golongan “cendikiawan agama” ini sering memberi amaran demi amaran kepada orang ramai agar tidak lagi mempersoalkan segala perlakuan mereka? Ada pula yang mengatakan “jangan mempersoalkan agama”, wahal kita hanya cuba mempersoalkan perbuatan yang mereka lakukan.
Mereka seakan-akan cuba mengelirukan masyarakat bahawa orang yang mempersoalkan perlakuan “cendikiawan agama” ini bagaikan mempersoalkan atau menentang agama itu semata-mata. Kenapa takut untuk memberikan penjelasan ataupun jawapan kepada persoalan yang dikemukakan orang? Kenapa takut untuk berbincang, berdebat ataupun berkongsi pendapat di antara satu sama lain?
Sehubungan dengan itu, adalah perlu agar rakyat jelata dapat meneliti dan menilai dengan lebih mendalam dan teliti apakah yang sebenarnya sedang dipelopori oleh beberapa golongan “cendikiawan agama” tersebut.
Penelitian dan penilaian tersebut adalah terhadap watak yang sering di bawa oleh “cendikiawan agama” tersebut dan ianya langsung tidak berkait dengan agama. Pendek kata, pemantauan secara praktikal. Perlu kita perhatikan beberapa ciri-ciri di bawah ini bagi menilai perwatakan mereka.
Adakah ‘cendikiawan agama’ itu memberikan intepretasi tepat tentang agama tersebut?
Penekanan perlu diberi terhadap intepretasi yang diberikan oleh “cendikiawan agama” tersebut sama ada ajaran yang diberi atau dipelopori beliau itu adalah berdasarkan dengan apa yang terkandung di dalam kitab ataupun ajaran agama yang diperturunkan oleh Nabi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kadang kala intepretasi yang disampaikan oleh “cendikiawan agama” tersebut tidak tepat, mungkin kerana emosi beliau sewaktu ianya disampaikan; ataupun ianya telah ditokok-tambah bagi menambah citarasa sesuatu tajuk; ataupun lebih-lebih lagi kadang kala beliau dipengaruhi keadaan politik dan parti politik yang beliau sokong.
Satu lagi adalah berkenaan penerbitan buku-buku agama dan kitab, maklumat yang dicetak dan diterjemah serta diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan yang berlainan: kadang kala ada juga yang membawa maklumat yang kurang tepat dan salah.
Kita perlu sedari bahawa, buku-buku agama atau kitab yang kita lihat dan baca pada hari ini hanyalah suatu bahan untuk rujukan di dalam hidupan kita, kerana yang seterusnya adalah bergantung kepada kekuatan, keimanan, perbuatan dan kesungguhan seseorang untuk mara ke hadapan. Buku atau kitab hanyalah sebagai bahan rujukan dan pendidikan semata-mata.
Adakah ‘cendikiawan agama’ itu cuba menangkis sebarang persoalan yang timbul?
Hakikatnya, bagi memperturunkan ajaran sesuatu agama, perlu ada pendekatan yang dapat memberikan kefahaman yang sepenuhnya kepada para pengikut, penganut atau umat yang mengikuti dan sedang mempelajari agama tersebut.
Jika sekiranya timbulnya sebarang persoalan yang dikemukakan oleh para pengikut, penganut atau seseorang umat, adalah wajar “cendikiawan agama” tersebut dapat memberikan penjelasan yang menyeluruh dan terperinci bagi mempertingkatkan kefahaman mereka terhadap agama tersebut.
Cubaan mana-mana “cendikiawan agama” untuk menangkis sebarang persoalan yang timbul sebaliknya mendakwa persoalan tersebut sebagai suatu penentangan atau cubaan untuk mencabar kesahihan agama tersebut adalah tidak tepat – kerana menangkis soalan tidak akan membawa apa-apa kefahaman yang terperinci kepada para pengikut, penganut ataupun seseorang umat. Bahkan, ianya akan menambahkan lagi kekeliruan dan ketidakfahaman seseorang terhadap agama tersebut.
Adakah ‘cendikiawan agama’ itu mengemukakan bukti mengenai ajaran agama tersebut?
Sewaktu sesuatu ajaran agama disampaikan kepada orang ramai, adalah wajar “cendikiawan agama” tersebut untuk mengemukakan bukti, berdasarkan apakah ajaran tersebut disampaikan. Dan sekiranya, sesuatu cerita atau contoh dibuat, maka, ianya perlu memberi rujukan kepada isi kandungan buku agama ataupun kitab bahawa ada wujud ajaran tersebut seperti yang diperturunkan oleh Nabi.
Akan tetapi, jika sekiranya seseorang “cendikiawan agama” tersebut hanya memberikan ceramah dan syarahan yang langsung tidak berkait dengan agama – misalannya, bab-bab politik yang dicampur-adukkan, tanpa mengemukakan sebarang bukti sesuatu perkara itu adalah berkait dengan agama, maka perbuatannya seharusnya ditolak kerana “cendikiawan agama” tersebut secara jelas telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mereka untuk kepentingan diri.
Adakah ‘cendikiawan agama’ tersebut pernah mengutuk seseorang?
Perlu kita sedar bahawa tidak ada sebarang agama di dalam dunia ini yang mengajar atau menggalakkan agar seseorang itu dikutuk hanya kerana beliau pernah melakukan sesuatu kesalahan, kesilapan, perbuatan jenayah tetapi kini telah kembali ke pangkal jalan atau seseorang yang mempunyai kelemahan atau kecacatan fizikal.
Semua agama mengajar para pengikut, penganut dan umatnya agar cuba dengan bersungguh-sungguh untuk membawa orang yang bersalah dan sesat kembali ke jalan yang benar.
Agama yang sebenarnya tidak akan sekali-kali membiarkan anda, walaupun anda telah terjebak dengan dadah, jenayah, ketagihan arak, perjudian ataupun apajua perbuatan yang bertentangan dengan agama. Sebaliknya ia akan berusaha agar dapat membawa anda kembali ke pangkal jalan.
Agama yang sebenarnya tidak akan menyumpah sesiapa yang bersalah ini terus dari bumi ke neraka semata-mata.
Adakah ‘cendikiawan agama’ itu mengutuk dan mengkafirkan agama atau pihak lain?
Agama yang sebenarnya tidak akan mengutuk ataupun mengkafirkan agama serta pihak-pihak lain yang tidak sealiran ataupun sependapat.
Agama yang sebenarnya tidak akan melemparkan sebarang kecaman terhadap agama lain, memperendahkan taraf agama lain, mahupun mengkafirkan pihak-pihak lain oleh sebab perbezaan fahaman politik, bangsa ataupun warna kulit.
Agama yang sebenarnya akan menerima secara terbuka pendapat orang ramai, mengalakkan pertukaran fikiran secara rasional. Ia akan cuba sedaya-upaya untuk memahami di antara satu sama lain dan tidak akan merendahkan martabat pihak-pihak lain semata-mata untuk mengembangkan agama tersebut.
Agama yang sebenarnya akan tetap menerima kelainan dan perbezaan yang wujud dari agama-agama dan pihak-pihak yang lain dengan mencuba memahami ertinya kewujudan kelainan di dalam dunia ini dengan lebih mendalam.
Akhir kata, agama itu sebenarnya wujud di dalam pemikiran kita sendiri; oleh itu kita seharusnya menggunakan pemikiran kita dengan sebaik-baiknya bagi mencapai matlamat kehidupan kita di dalam alam yang kita sedang kecapi sekarang.
Kehadiran para “cendikiawan agama”, kewujudan buku-buku agama ataupun kitab agama hanyalah bahan rujukan semata-mata bagi memperingatkan kita betapa padatnya kehidupan manusia yang penuh dengan cabaran.
Oleh yang demikian,
“jika sekiranya anda mendapati buku atau kitab agama yang anda anuti itu telah dibuang ke dalam mangkuk tandas oleh pihak tertentu, bersabar, janganlah bertindak melulu, ataupun melakukan sebarang tindakbalas, menggalakkan orang ramai keluar berarak dengan menunjuk perasaan sambil merosakkan harta awam.
“Penyelesaian yang mudah adalah dengan hanya satu panggilan kepada tukang paip agar mangkuk tandas yang tersangkut itu dapat diperbaiki dengan segera.”
Kefahaman di sini adalah buku agama itu tetap sebuah buku sahaja dan peranan buku adalah hanya untuk rujukan semata-mata. Sebaliknya, kesucian itu teletak di dalam pemikiran kita sendiri.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme