Kita berhak memilih. Tapi kita mungkin lupa didikan untuk membuat pilihan yang boleh menjamin kemerdekaan kita, Shazni Bhai menulis.
9.30 malam – Medan Selera TKK Ipoh
Tengah rancak bersembang, meletup-letup bunga api dilancarkan ke angkasa. Bukan sikit yang dibakar.
Mungkin tukang cucuh dah malas nak tunggu. Atau petik puntung rokok terkena longgokan bunga api sudah tersedia yang patut dilancarkan tepat detik tengah malam. Boleh kata juga sekadar gurauan. Orang tua-tua kata nanti jadi bunga tahi. Boleh jadi dek sebab kesunyian yang amat, iri hati lihat manusia lain merdeka dari syif pada malam itu.
Apa saja yang tak sunyi saat perintah kawalan pergerakan (PKP)?
Sesunyi diasingkan demi mencegah wabak, lebih sunyi laungan “Merdeka!” tahun ini. Sendu waktu PKP terbawa melarat ke bulan-bulan pascanya mutakhir sambutan kemerdekaan. Tapi Merdeka tahun-tahun sebelum ini begitu juga bukan?
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Tak semeriah dulu. Ini sekadar suatu pandangan. Setuju atau tidak, itu kena tanya diri sendiri masing-masing. Berapa banyak premis perniagaan yang kibarkan bendera negara dan negeri? Bagaimana dengan rumah-rumah? Kenderaan di jalan raya pun macam itu juga barangkali.
Boleh jadi sebab kurang kes hina Jalur Gemilang kedengaran berbanding tahun-tahun sebelum ini. Boleh jadi orang ramai asyik dengan perjuangan seharian, berebut mencari nafkah. Sedang ada yang kehilangan kerja, ada yang patutnya sudah sampai umur layak pengeluaran KWSP tapi terpaksa cari kerja lagi, ada yang tidak dibayar gaji selayaknya sepanjang bertugas ketika PKP. Ramai orang sedang sibuk menutup lubang-lubang yang digali ketika hilang punca pendapatan dua tiga bulan lalu.
Bolehkah diukur kemerdekaan tanah air ini dengan kibaran bendera semata?
8.00 pagi – di suatu kawasan perkampungan Orang Asli Temiar
Tanggal 31 bulan lapan berlangsung konvoi sempena Merdeka di sebuah kawasan penempatan Orang Asli Temiar.
Di situ semua pun ada. Bendera – besar dan kecil, jersi edisi khas Merdeka ditempah, makan minum, lagu-lagu patriotik yang disulam lagu tema gusti, motorsikal – dua dan empat lejang, penyertaan hampir 200 orang belia Orang Asli Temiar, kepala-kepala parti – dari peringkat kebangsaan, exco negeri hingga ke peringkat dewan undangan negeri, surat-surat permohonan dari penduduk, ucapan-ucapan bergegar-gegar sama naik dengan deruman motorsikal, janji-janji semanis teh tarik yang dibancuh dijamu kepada peserta, dan permberian wang minyak kepada peserta oleh YB.
Jentera politik masuk ke kampung. Tak terlepas, disedari juga ada jentera syarikat projek balak lalu-lalang di jalan kampung itu. Sama-sama masuk walau tak berjanji pun.
Konvoi dimulakan di simpang masuk ke kawasan penempatan dan dilepaskan oleh YB tetamu kehormat. Setelah meronda beberapa buah kampung dalam kawasan itu, konvoi tamat dan acara disambung dengan agenda-agenda lain.
Penempatan itu menarik dari segi lanskap, kedudukan dan tahap capaian kepada kemudahan. Jarak dari simpang masuk kawasan kampung ke hospital di bandar yang terhampir ialah 16km. Dari ladang sawit milik syarikat swasta, sungai punca bekalan air bandar, hutan sekunder bekas dibalak, hingga ke hutan simpanan. Kesemuanya mengelilingi kawasan itu.
Anak muda di situ ada yang kerja kampung, ada yang kerja sektor kerajaan di luar, ada juga yang berulang alik kerja makan gaji di bandar terhampir.
Warga tua ada yang sudah cecah umur 80an dan 90an. Golongan yang ini hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih hidup. Kalau ditanya mereka, pastinya dapat mendengar cerita-cerita pengalaman masing-masing yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Ada yang pernah jadi askar di bawah British, ada juga dengan pasukan polis hutan. Zaman itu boleh dikatakan mereka tiada pilihan.
Jadi sekarang sudah merdeka. Dulu tiada pilihan, sekarang sudah ada. Dari ini bolehkah kita kata yang merdeka itu maknanya ada pilihan? Atau boleh kata ada hak untuk memilih?
Belia dan anak muda di kampung pedalaman sedemikian ada pilihan bila capai umur 18. Mahu tinggal dan kerja di kampung sahaja atau keluar ke bandar makan gaji.
Apa pilihan yang ada kalau tanah-tanah di desa dijarah demi kantung puak-puak tertentu atas nama perbendaharaan negeri. Kemudian daripada tinggal di kampung dengan persekitaran yang makin merosot, perlahan-lahan ditolak keluar ke bandar demi makan gaji dan terdedah dengan serba-serbi diskriminasi dan penindasan.
Merdeka apa kalau menjadi bangsa yang sering dilupakan dalam borang-borang rasmi, dalam media arus perdana, perancangan pembangunan – dan hanya didekati apabila menjelang musim pilihan raya atau kalau mahu cari tenaga kerja upah murah perusahaan di bandar.
Sumber-sumber yang menghidupkan bandar datang dari luar bandar; merdekanya orang-orang di bandar hasil pengorbanan yang di kampung-kampung. Selalunya yang rintis denai, tak dapat nak nikmati hasil jalan itu.
Ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang singkat, umur mengundi 18 tahun telah diluluskan di Dewan Negara. Pilihan di tangan anak muda mulai saat ia dilaksanakan.
Namun, di pedalaman di mana sumber asli jadi lubuk rebutan syarikat pemaju yang direstui permit kelulusan kerajaan-kerajaan negeri, pilihan yang ada tidak semeriah kelulusan undang-undang undi 18 tahun itu.
Memang benar dalam proses mendapatkan kelulusan sesuatu projek pengusaha hasilan sumber asli, terdapat beberapa saluran bagi memungut suara pandangan sebelum projek diberi kelulusan. Namun berapa ramai orang kampung yang terdidik dengan hak untuk memilih sama ada ya atau tidak dalam perbincangan sedemikian?
Ada pun sesetengah kes, perbincangan langsung tidak diadakan. Penduduk hanya tahu akan projek apabila nampak kelibat jentera memasuki kampung.
Terjadi juga banyak kes perbincangan hanya dilaksanakan dengan ketua-ketua kampung yang nampak amat mesra dengan syarikat dan jabatan-jabatan. Bila ditanya anak buah, jawabnya entahlah, tak ada pun dimaklum ketua fasal hal apa-apa projek di kampung.
Lebih ramai tahu akan pilihan raya memilih ahli dewan undangan negeri dan ahli Parlimen. Tapi berapa ramai yang tahu akan hak untuk memilih mengatakan tidak untuk apa-apa projek dalam prosedur seperti kajian impak sosial?
Ya, kita sudah merdeka. Kita boleh membuat pilihan. Kita berhak memilih. Tapi kita mungkin lupa didikan untuk membuat pilihan yang boleh menjamin kemerdekaan kita. Mungkin kemerdekaan itu bak sebatang sungai yang kita guna untuk mandi dan minum darinya sekian lama sejak zaman moyang hingga kini. Esok hari mungkin lebih keruh pekat lagi likat berbanding minuman kebangsaan kita teh tarik.
Merdeka.
Shazni Bhai ialah seorang aktivis alam sekitar
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme