Home TA Online Apa itu hutan di Malaysia? Bergantung sama ada akal atau kocek melihatnya

Apa itu hutan di Malaysia? Bergantung sama ada akal atau kocek melihatnya

Berapa banyak daripada 55% litupan hutan Malaysia adalah hutan tulen?

Indigenous children in a forest – CAROL YONG

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sejak tahun 2012, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) telah mempromosikan 21 Mac sebagai Hari Hutan Antarabangsa. Tetapi, apa itu hutan?

Ini mengingatkan saya tentang pengalaman kerja lapangan saya selama bertahun-tahun di mana saya mengenali ramai keluarga Orang Asal Malaysia dan tinggal bersama mereka. Kanak-kanak perempuan dan laki-laki sering menemani saya sebagai pemandu, jurubahasa dan ‘lensa’ agar saya memahami kehidupan seharian mereka, dan keluarga mereka bergantung pada hutan untuk makanan, ubat-ubatan, pendapatan dan kegunaan lain.

Betapa banyak pengembaraan dan pendidikan yang kaya ekoran daripada berjalan-jalan hutan bersama anak-anak asli. Mereka bersemangat mengajar saya, “Ni boleh makan, tu tidak,” sambil menunjukkan tumbuhan dan cendawan yang kami temui.

“Jangan sentuh!” mereka berteriak apabila melihat saya menjenguk sesuatu di semak, rupa-rupanya bersembunyi perangkap untuk sangke (bamboo rat), landak dan lain-lain binatang kecil. Selain itu, cara ngagau(menangkap ikan dengan tangan), menjejak haiwan dan membaca tanda-tanda hutan, serta lagu hutan, tarian dan permainan mereka.

Kanak-kanak yang lebih besar tahu nama tempatan spesies pokok, tumbuh-tumbuhan dan haiwan – burung, serangga, kelawar, ular dan kulat – di habitat hutan, yang semuanya mempunyai kegunaan yang pelbagai (lihat foto di atas).

Orang dewasa, terutamanya wanita dan orang tua-tua, menceritakan pelbagai kisah nenek moyang mereka, pantang larang, upacara ritual dan lagenda yang berkaitan dengan budaya dan amalan adat mereka.

Pengetahuan mendalam tentang hutan ini diwarisi dari generasi ke generasi. Ia adalah etos yang memastikan kemandirian dan kemampanan ekosistem hutan dengan kelimpahan dan kepelbagaian flora dan fauna. Hutan mampan sangat sebati dengan penduduk tempatan dan Orang Asal serta pelbagai spesies hutan, yang mendapat manfaat daripada ekosistem ini.

Definisi hutan berbeza-beza. Mengapa?

Saat ini, saya bertanya kepada diri sendiri: adakah saya bersikap berat sebelah apabila melihat hutan dengan mengambil pengalaman saya sebagai kayu ukur?

Oleh itu, saya memulakan carian mengenai definisi hutan untuk pengertiannya yang lebih luas, dan siapa yang menentukan istilah ‘hutan’ tertentu dan fahaman seseorang (orang awam, Orang Asal, ahli sains, ahli ekonomi, ahli politik, dan lain-lain) dan negara tentang hutan.

Yang penting juga, saya ingin tahu bagaimana individu, kumpulan dan negara yang berbeza melihat hutan, dan tujuan serta kepentingan di sebaliknya.

Sehingga kini, terdapat lebih 800 takrifan berbeza tentang hutan! Biar saya memberi beberapa contoh bagaimana pihak-pihak tertentu mendefinisi hutan dan tujuannya.

Di beberapa negara di Eropah, ladang pokok epal secara sah diklasifikasikan sebagai tanah ladang atau kawasan pertanian, kerana ia dirawat dengan baja dan racun perosak, seperti di persekitaran ladang.

Walaupun ia terdiri daripada spesies yang sama seperti hutan tradisional, ladang pokok Krismas juga diklasifikasikan sebagai tanah ladang.

Contoh yang agak luar biasa, bagi saya, ialah Hutan Pokok Quiver di Keetmanshoop di selatan Namibia. Ia terdiri daripada kira-kira 250 spesimen aloidendron dichotomum, yang dikenali sebagai pokok quiver oleh penduduk asli San. Dari nama saintifiknya, tahulah kita pokok quiver bukan pokok sebenar tetapi tumbuhan daripada genus aloe.

Namun, ladang pokok quiver kecil milik persendirian ini digelar ‘hutan’ dan telah diisytiharkan sebagai monumen kebangsaan Namibia pada tahun 1995. Tujuannya: untuk menjadikan kawasan padang pasir kecil ini menarik di peringkat antarabangsa untuk pelancong menerokai ‘hutan purba’ Namibia yang terkenal ini.

Dua pokok Quiver menghiasi sebuah perkampungan Namibia – CAROL YONG

Kerajaan Malaysia mengguna pakai definisi hutan oleh FAO untuk mentakrifkan apa yang dimaknakan sebagai hutan di Malaysia. FAO mendefinisikan hutan di negara membangun sebagai kawasan tanah dengan saiz hutan minimum 0.5 hektar yang ditumbuhi oleh pokok-pokok sekurang-kurangnya lima meter tinggi dan 10% litupan pokok. Kedua-dua hutan semula jadi dan ladang hutan dikira sebagi ‘hutan’ (lihat ms15).

Dengan takrifan FAO ini, kerajaan Malaysia mendakwa bahawa saiz kawasan hutan di Malaysia untuk 2018 ialah 18.3 juta hektar, meliputi 55% daripada keluasan tanahnya (lihat ms 45). Oleh itu, kerajaan mendakwa Malaysia memenuhi ikrar yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi 1992 di Rio de Janeiro untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada permukaan bumi negara berada di bawah perlindungan hutan.

Penggunaan definisi hutan FAO juga mendorong kerajaan dan pemilik tanah yang luas di semenanjung, Sabah dan Sarawak menganggap kawasan mereka yang diliputi pokok kelapa sawit sebagai ‘hutan’. Alasan ‘menghijaukan’ Malaysia dengan penanaman secara besar-besaran kelapa sawit dan species pokok sejenis lain – ini menguntungkan siapa? Jangan-jangan hanya segelintir orang sahaja.

Hutan sebenar atau hutan menggalakkan kemusnahan yang mampan? – CAROL YONG

Ladang bukan hutan!

Jadi, adakah ladang monokultur kelapa sawit benar-benar hutan?

Menurut Wikipedia, “Hutan berbeza dengan ladang yang pipinya ditanam oleh manusia dan pada kebiasaannya dipenuhi hanya satu atau dua spesies pokok sahaja.”

Tetapi bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan pihak berkepentingan utama dalam sektor dan industri perhutanan dan perladangan, pemilik dan syarikat ladang komersial (kerajaan dan swasta), malah ramai rakyat biasa, menanam pokok kelapa sawit meningkatkan litupan hutan Malaysia. Begitulah pemahaman mereka yang sempit tentang ‘hutan’.

Tidakkah ironis bahawa kerajaan Malaysia dan pemegang konsesi ladang kelapa sawit yang besar kini mendakwa mempromosikan ‘hutan’? Ini berlaku walaupun masyarakat tempatan dan Orang Asal cuba menarik perhatian bahawa hak tanah dan hutan mereka dibatalkan dan digantikan dengan pembangunan ladang-ladang besar – membawa kepada pengusiran mereka dari tanah sendiri?

Jalan masuk-keluar ladang besar dikawal ketat. Tidak sukar untuk membayangkan bahawa ketidakseimbangan kuasa dan kawalan yang wujud dalam model perladangan besar boleh mewujudkan begitu banyak kemungkinan untuk keganasan dan eksploitasi seksual dan tekanan lain terhadap pekerja dan keluarga mereka yang tinggal atau bekerja khususnya di ladang terpencil.

Terdapat banyak kes yang didokumenkan mengenai perempuan dan lelaki dalam kalangan Orang Asal dan masyarakat tempatan lain yang mempertahankan tanah dan hutan mereka, menyuarakan kekhuatiran diancam atau diancam oleh syarikat kelapa sawit kerajaan dan swasta.

Bagaimana ladang monokultur boleh dianggap sebagai hutan, padahalnya, ladang ini menyebabkan penebangan hutan? Penyelidikan berasaskan bukti dan data satelit resolusi tinggi telah menjejaki kepupusan hutan dan degradasi tanah yang semakin pantas di Malaysia, didorong sebahagian besarnya oleh aktiviti seperti penukaran hutan kepada ladang monokultur.

Memang ladang pokok monokultur tidak mempunyai persamaan dengan ekosistem hutan. Hutan menyediakan habitat dan makanan kepada banyak spesies flora dan fauna asli, iaitu keanekaragaman dan kepelbagaian biodiversiti. Sebaliknya ladang monokultur berdampak langsung terhadap biodiversiti hutan.

Hutan mengawal kitaran hidrologi dan nutrien tanah, manakala ladang menghabiskan sumber air dan nutrien tanah.

Hutan menyediakan mata pencarian kepada orang yang bergantung kepada hutan;ladang memusnahkan sumber pencarian mereka.

Selama beberapa dekad, banyak NGO dan masyarakat madani, ahli sains, Orang Asal, petani dan orang-orang yang prihatin termasuk ahli di bidang perhutanan, pertanian dan alam sekitar, telah menyeru FAO untuk menukar definisi hutan yang membenarkan ladang disalahlabelkan sebagai hutan.

Namun, FAO terus memberikan penyamaran ‘hijau’ kepada industri perladangan monokultur dengan mentakrifkannya sebagai ‘hutan’, sekali gus dimanfaatkan sang pemilik besar.

Menteri lain, slogan lain – inikah cara yang wajar ke hadapan?

Menteri perladangan baru itu menyeru rakyat Malaysia untuk “mari kenali sawit”. Aduhai, ternyata orang ramai belum bersungguh-sungguh “sayangi sawit MY”; apatah lagi selama lebih satu abad, spesies asing “sawit anugerah Tuhan” ini dibawa ke Malaysia, sehingga kementerian masih perlu berbelanja besar untuk ‘mendidik’ rakyat jelata tentang apa itu minyak sawit.

Walaupun terdapat perubahan dalam kerajaan persekutuan beberapa kali sejak 2018, menyebabkan tiga menteri pembangunan perladangan yang berbeza dalam tempoh ini, mereka semua melaungkan slogan (lihat perenggan atas) dan sentiasa membangkitkan nasib pekebun kecil, menekankan model Malaysia untuk pengeluaran minyak sawit berkelanjutan (skim pensijilan) dan melindungi pendapatan Malaysia daripada eksport minyak sawit.

Tambahan pula, sejumlah ahli akademik, wartawan, perunding, kakitangan kerajaan bertugas dan yang telah bersara dan lain-lain justru berperanan sebagai jurucakap pemaju dan pengusaha minyak sawit, dan ahli berpengaruh di kalangan elit politik dan perniagaan.

Sesiapa jua menteri perladangan, tanpa tekad politik untuk membawa perubahan, termasuk reformasi dalam sektor perladangan, bermakna isu ladang sawit berskala besar pasti kekal kontroversial.

Misalnya, penyelesaian persoalan tanah masyarakat Asal dan tempatan dibuat ‘secara paksa’ untuk pembangunan ladang; jaminan hak asasi pekerja ladang (penduduk tempatan dan pendatang) dan keluarga mereka; dan jaminan perlindungan untuk kanak-kanak perempuan dan lelaki, perempuan dewasa dan pekerja ladang, terutama di lokasi terpencil, daripada eksplotasi seksual dan sosial.

Jika hutan ditakrifkan sebagai sesuatu yang menjadikan Malaysia secara rasmi mencapai lebih 50% litupan hutan tetapi sebaliknya mencetuskan kemusnahan pelbagai ekosistem, maka itulah realiti ladang kelapa sawit. Agaknya untuk menarik pelancong ke ladang kelapa sawit, perlu ada zoo berdekatan kerana tidak ada haiwan untuk melihat di dalam ladang, kecuali nyamuk?

Jika hutan adalah yang dimaksudkan oleh kanak-kanak apabila mereka berkata, “Ayo mari kita bermain dalam hutan,” mereka pastinya tidak bermaksud ladang sawit.

Carol Yong ialah seorang penyelidik dan penulis bebas

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x