Sebaliknya, pilihan raya umum 2018 menyaksikan sebuah revolusi senyap yang diputuskan sepenuhnya oleh unsur domestik tanpa dibantu secara substantif oleh pihak luar, ujar Muhamad Takiyuddin.
Pendedahan mengenai surat memohon sokongan Amerika Syarikat yang ditulis oleh ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid kepada CIA barangkali merupakan antara pendedahan paling menarik pasca pilihan raya umum 2018.
Apabila beliau mendakwa bahawa Najib tidak tahu menahu mengenai surat tersebut dan disertai dengan pengakuan yang sama dari Najib, itu juga bukan merupakan satu dakwaan yang tidak perlu dipercayai.
Plausible deniability
Dalam konteks rantaian arahan khususnya dalam dunia perisikan, wujudnya pendekatan yang dipanggil plausible deniability. Konsep ini bermaksud adakalanya sesuatu tindakan pegawai awam yang kontroversi tidak perlu dimaklumkan kepada ketua eksekutif untuk mengelakkan ketua eksekutif menerima kebertanggungjawaban seandainya perkara tersebut bocor ke pengetahuan umum. Dengan kata lain, ketua eksekutif boleh menggunakan alasan yang beliau tidak tahu menahu tentang tindakan tersebut untuk mengelakkan pendakwaan.
Duluan (precedent) paling klasik bagi kes plausible deniability ialah skandal Iran Contra membabitkan Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan (1981-1989). Apabila skandal penjualan senjata tersebut terbongkar ke pengetahuan umum, para penasihat Reagan yang terlibat dalam skandal tersebut menggunakan alasan plausible deniability dengan berhujah bahawa Reagan tidak tahu menahu tentang skandal tersebut dan ia bukan datang dari arahan presiden. Presiden Reagan akhirnya terselamat dari skandal tersebut walaupun beliau berpotensi untuk dikenakan tindakan pemecatan (impeachment).
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Hal ini juga boleh timbul berikutan bahasa arahan seseorang ketua eksekutif (seperti presiden AS umpamanya) adakalanya bersifat kabur dan tidak perlu dijelaskan dalam bentuk eksplisit bagi mengelakkan implikasi di kemudian hari.
Ambil contoh fiksyen seperti yang digambarkan dalam filem Clear and Present Danger, filem yang diadaptasi dari novel Tom Clancy dan diinspirasikan dari skandal Iran Contra. Dalam filem tersebut, ‘Presiden Bennet’ yang sedang berhadapan dengan ancaman kartel dadah menegaskan, “These drug cartels represents a clear and present danger to the national security of the United States”.
Mendengar penegasan tersebut (tanpa sebarang arahan eksplisit), ‘Penasihat Keselamatan Negara James Cutter’ mengangguk tanda setuju dan kemudiannya melancarkan operasi rahsia tanpa kebenaran Kongres bagi memerangi penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat. Apabila operasi tersebut terbongkar pada akhirnya, ‘Presiden Bennet’ menafikan yang beliau ada memberikan arahan untuk melancarkan operasi rahsia tersebut.
CIA dan naratif ancaman asing
Namun aspek yang lebih menarik berikutan pendedahan surat itu ialah bagaimana entiti yang sering dijadikan naratif dalam penanaman unsur ketakutan oleh rejim Umno-BN dijadikan pula sebagai tempat mendapatkan sokongan politik.
Sejak sekian lama, naratif ‘CIA-Yahudi/Zionis-liberalisme-pendanaan asing’ merupakan kembar empat yang sering dipasakkan oleh Umno, media perdana dan NGO konservatif Melayu dalam merangsang sentimen dan emosi umat Islam di Malaysia. Dalam hubungan ini, CIA merupakan sasaran yang mudah untuk digunakan kerana latar belakang organisasi itu yang sememangnya notorious dan terkenal dengan operasi sulit dan subversif.
Apa yang tidak dilakukan oleh agensi itu? Dari aktiviti separa-ketenteraan, sabotaj, menggulingkan pemimpin kerajaan dan sehinggalah didakwa terlibat dalam pembunuhan presidennya sendiri iaitu John F Kennedy. Gambaran yang ditunjukkan dalam budaya popular seperti filem Hollywood turut menebalkan lagi kemistikan agensi perisikan tersebut.
CIA seolah-olah merupakan sebuah deep-state seperti yang banyak disokong oleh pendukung teori konspirasi. Hakikatnya CIA merupakan salah satu sahaja dari 17 agensi perisikan AS dan gagal dalam banyak perkara besar seperti gagal meramalkan kejatuhan Soviet Union dan juga menyekat tragedi 9/11. Namun kepada pendukung teori konspirasi, CIA adalah segala-galanya.
Dalam era reformasi, dakwaan hubungan Anwar Ibrahim dengan CIA merupakan antara sebab mengapa beliau harus dicurigai. Pada April 1999, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Hamid Othman, berkata kerajaan sedang memantau pergerakan beberapa individu tertentu yang disyaki menjadi ejen CIA untuk menggugat perpaduan umat Islam di negara ini. Beliau menjelaskan, selepas parti LDP di Jepun, Kongres di India dan beberapa parti utama di Pakistan dan Bangladesh berjaya dijatuhkan, Umno yang pada ketika itu menduduki tempat kelima sebagai parti yang paling lama memerintah di dunia menjadi sasaran baru Amerika Syarikat.
Mahathir sendiri turut mempercayai yang CIA terlibat dalam kehilangan pesawat MH370. Sewaktu penahanan Maria Chin, kaitan hubungan dengan CIA turut diutarakan oleh ketua penerangan Umno ketika itu Annuar Musa.
Pilihan raya umum 2018 dan Revolusi Senyap
Di sebalik naratif kembar empat yang dipasakkan secara berterusan, pilihan raya umum 2018 menyaksikan sebuah revolusi senyap yang diputuskan sepenuhnya oleh unsur domestik tanpa dibantu secara substantif oleh pihak luar seperti yang berlaku dalam Revolusi Berwarna khususnya di Ukraine.
Majoriti rakyat Malaysia menghantar mesej bahawa revolusi tidak semestinya disinonimkan dengan sesuatu yang ganas tetapi juga boleh dilakukan secara aman, tidak kelihatan dan tanpa sebarang bantuan pihak luar.
Paling penting, ia turut merupakan kemenangan moral kepada organisasi mayarakat sivil Malaysia yang sering dituduh cuba menjalankan revolusi dan melaksanakan pertukaran rejim khususnya dalam kempen penutupan ruang yang berlaku antara 2011-2016.
Tanpa angin dan tanpa ribut, rupa-rupanya rejim BN sendiri ingin menari tango dengan CIA.
Muhamad Takiyuddin merupakan dosen di program sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme