Oleh Safiyuddin Sabri
Isu tentang rintihan individu tidak bernegara kebelakangan ini buat saya terfikir: apa maksud menjadi seorang rakyat Malaysia?
Setiap individu boleh mempunyai makna menjadi rakyat Malaysia yang tersendiri. Oleh itu, saya telah menjalankan temu bual santai bersama beberapa orang untuk mengumpul pandangan yang berbeza.
Untuk segelintir, ethnik mereka adalah identiti mereka sebagai seorang rakyat Malaysia sebagai contoh, Melayu.
Sejarah tamadun Melayu yang membawa ke kerajaan Melayu lama di Tanah Melayu serta budaya tempatan membuatkan sesetengah masyarakat Melayu berasa menjadi Melayu bermaksud mereka menjadi rakyat Malaysia yang bertapak di Tanah Melayu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Masyarakat etnik Cina dan India pula ada berasa mereka lain dengan masyarakat itu di tempat lain. Budaya mereka, bahasa mereka dan gaya hidup berlainan kerana membesar atau lahir di Malaysia. Itu yang membuatkan mereka berasa Malaysia adalah rumah mereka.
Budaya Melayu sinonim dan tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Banyak elemen dalam budaya, tradisi dan cara hidup Melayu yang dipengaruhi Islam. Oleh itu, ada yang mendefinisikan kerakyatan mereka berdasarkan bangsa dan agama rasmi Malaysia iaitu Melayu-Islam.
“Kalau nak berbakti kepada bangsa, perlu berbakti kepada agama dan negara. Kalau nak berbakti kepada agama, perlu berbakti kepada bangsa dan negara. Bukan bangsa Melayu sahaja kerana Islam tak mengira warna kulit.”
Ada juga yang mengetengahkan agama Islam iaitu agama persekutuan menjangkaui soal bangsa Melayu. Kebiasaannya mereka berpandangan lebih inklusif dalam aspek bangsa kerana seperti yang dikatakan, Islam tidak mengira warna kulit. Dan agama persekutuan yang dianuti inilah identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.
Untuk golongan Peranakan pula, memelihara budaya mereka adalah makna menjadi rakyat Malaysia. Seperti Sherman Ong yang memelihara budayanya melalui lensa kamera (Loong, 2016).
Namun, ramai yang mempunyai definisi menjaungkaui soal kaum dan agama.
Hak. Hak yang datang bersama apabila menjadi rakyat Malaysia melambangkan kerakyatan itu – seperti hak mendapat pendidikan, perubatan, hak untuk mengundi dan hak bersuara.
Menurut daripada seorang yang ditemu bual, tidak cukup hanya boleh berbahasa dan mengamalkan budaya tempatan. Rakyat perlu ada hak di negara ini untuk menunjukkan yang seseorang itu ialah rakyat Malaysia.
Tetapi menurut pengamatan saya, untuk mendapat apa-apa hak pun seseorang perlu menjadi rakyat. Ini yang terjadi kepada anak-anak tidak bernegara yang dinafikan hak asas kerana tidak dikira rakyat Malaysia kerana tiada dokumen sah walaupun lahir dan membesar di sini tetapi dinafikan hak kerakyatan.
Seorang responden yang berasal dari Sarawak menekankan tentang kepelbagaian dan tanggungjawab dalam menjaga nilai kepelbagaian juga menjadi makna dan definisi rakyat Malaysia.
“Menjadi rakyat Malaysia bermaksud terikat kepada rasa kekitaan kepada budaya etnik masing-masing tetapi pada masa yang sama nilai penyatuan dalam kepelbagaian.”
“Kepebagaian ini menjadi kelebihan dan cabaran.”
“Menjadi rakyat Malaysia bukan tentang menjadi rakyat sahaja, ia datang dengan tanggunggjawab dan hak.”
Kesedaran dan rasa hormat terhadap semua kaum dan agama bukanlah menjadi perkara yang rumit untuk dilakukan oleh rakyat Malaysia.
Saya ingin kongsikan cerita seorang lagi responden. “Kawan india saya beli ayam halal untuk jemput datang rumah semasa Deepavali.
“Kawan Cina saya pula cari spam halal semata-mata nak saya makan masakan dia.
“Dan kalau saya sembahyang, semua terus senyap. Walaupun saya tak kesah pun mereka bercakap perlahan.”
“Ini semua berlaku dan tidak janggal sebab dah lama cara hidup kami sebegini, untuk saling menghormati itu seperti suatu perkara semulajadi, ‘common sense’ untuk rakyat Malaysia.”
Rasa kekitaan juga antara makna menjadi rakyat Malaysia. Salah seorang responden berkata mudah untuk rasa kagum dengan negara lain sebagai contoh Jepun. “Saya baru balik dari Jepun dan semua benda saya kagum.
“Walau macam mana baik sekalipun Jepun, tetap nak balik Malaysia. Saya sayang Malaysia sebab dah dibesarkan dengan cara hidup di sini.”
Keazaman untuk berjasa kepada negara boleh juga menjadi definisi kepada sesetengah individu.
Ada juga daripada responden yang ditemu bual yang mementingkan hal jasa. Menurut Haziq, “Menjadi rakyat Malaysia adalah untuk berbakti, tak kesah dalam bentuk apa sekalipun.”
“Kalau nak kata Islam, tu identiti global. Kalau nak kata Melayu, adakah kalau kaum lain kurang Malaysia?
“Asalkan ada rasa cinta pada negara.”
Bagi sesetengah yang lain, memegang dan mengamalkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian adalah makna menjadi rakyat Malaysia. Prinsip-prinsip Rukun Negara seharusnya tertanam dalam setiap rakyat Malaysia.
Tapi saya rasa selain dari berikrar pada zaman sekolah dahulu, tiada lagi penekanan kepada kepentingan Rukun Negara. Boleh cuba tanya orang di sekeliling jika mereka masih ingat Rukun Negara.
Setiap rakyat Malaysia ada pendapat, nilai dan definsi masing-masing dalam memberi makna kepada kerakyatan mereka. Makna ini pun boleh berubah mengikut masa dan situasi.
Tapi apa yang penting adalah rasa sayang dan keinginan untuk melakukan yang terbaik untuk negara dalam apa cara sekalipun.
Saya ingin kongsikan beberapa belia yang berjasa untuk negara tapi kita jarang atau tidak pernah dengar.
Dr Suraya Abdul Rashid mencipta produk menggunakan teknologi nano (nanotechnology) untuk mempercepatkan pertumbuhan tanaman.
Beliau melihat penduduk rumah flat atau di tempat dengan kekurangan ruang sukar untuk dapat hasil tanaman jadi produk ini dicipta untuk membantu.
Kai Song Er dan Vicky Tan memulakan perusahaan sosial GuruLab. Ia merupakan teknologi penganalisa data untuk menambahbaik dan mengenalpasti secara bersasar hasil pembelajaran bahasa Inggeris murid di Malaysia.
Teknologi ini dapat membantu guru dan juga murid sehingga ia melayakkan mereka untuk menerima dana sebanyak RM1 juta daripada sebuah telco.
Tharma Pillai pula salah seorang pengasas Undi18. Untuk yang tidak tahu, Undi18 ialah NGO yang melobi untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun.
Saya percaya mereka pun ada makna tersendiri menjadi rakyat Malaysia. Pada masa yang sama ia tidak mengubah matlamat untuk berjasa kepada negara.
Safiyuddin Sabri merupakan pelajar sains politik yang sedang menjalani latihan ilmiah di Aliran
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Typical limiting Malaysian to only Malays, Chinese and Indian.