Carol Yong merenung betapa bahayanya keadaan bagi pekerja-pekerja ladang kelapa sawit serta anak muda perempuan dan lelaki yang tinggal di kawasan pedalaman terpencil dan sukar diakses.
Berita dan statistik sering mendedahkan perempuan dewasa dan kanak-kanak sebagai mangsa utama keganasan rumahtangga, gangguan seksual dan pemerkosaan. Tidak sering diketahui oleh orang ramai adalah jenayah rogol, deraan dan sumbang mahram berlaku juga pada kanak-kanak lelaki, oleh ahli keluarga atau rakan yang dipercayai, mengikut tinjauan Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Penang.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mengingatkan orang ramai bahawa keganasan berdasarkan gender dalam semua bentuk berterusan berlaku di kawasan bandar dan kota, malahan bertambah pada masa pandemik coronavirus dan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Risikonya mengelisahkan terutama bagi mangsa yang tidak dapat meninggalkan rumah mereka atau tidak mempunyai jalan untuk meninggalkan situasi keganasan untuk mendapatkan bantuan. Jadi amatlah penting untuk memastikan wanita, kanak-kanak perempuan dan laki-laki yang berhadapan dengan keganasan mendapat perhatian dan sokongan yang sewajarnya.
Namun, bukan senang bagi masyarakat terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman terpencil dan sukar diakses untuk menghubungi ‘dunia luar’, lantaran kerentanan mereka bertambah tinggi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Peristiwa terbaru adalah pada November ini, satu media antarabangsa telah mendakwa berlaku pencabulan dan jenayah rogol terhadap pekerja wanita dan gadis di ladang-ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia. Menurut lapuran khas media itu, “merekalah gadis dan wanita ghaib dalam industri minyak sawit, di antara berjuta-juta anak perempuan, ibu dan nenek yang bertungkus-lumus di perladangan meluas di seluruh Indonesia dan Malaysia, yang bersama-sama menghasilkan 85% minyak sayuran sawit dianggap paling serba guna di dunia.”
Indonesia dan Malaysia sering bersaing untuk menjadi juara dalam industri pengeluaran sawit. Bahkan banyak projek perladangan mereka didakwa mencabul hak asasi manusia, mengikut pemantauan dan pensiasatan oleh NGO, penyelidik, media dan sebagainya dalam usaha memahami kesan-kesan dan impak-impak perladangan ke atas kehidupan masyarakat tempatan dan Orang Asal.
Namun, pihak atasan dan badan berkanun dan agensi berkaitan dengan industri perladangan lazim bersikap defensif khususnya terhadap NGO, terutamanya dari Barat dan selalu menganggap mereka berat sebelah dan suka memburuk-burukkan industri kelapa sawit Malaysia.
Sebaik sahaja media mendedahkan kes pencabulan dan rogol berlaku, pihak kerajaan Malaysia mengatakan tidak menerima laporan tentang perkosaan di ladang-ladang. Manakala kerajaan Indonesia mengakui penderaan fizikal dan seksual adalah masalah yang semakin meningkat, tetapi kebanyakan mangsa ketakutan bercakap tentangnya.
Adapun pegawai tertinggi Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) turut berkata tuduhan yang disiarkan dalam artikel itu hanya membesarkan perlakuan seperti keganasan, penindasan dan gangguan di ladang kelapa sawit Malaysia, sedangkan kejadian seperti itu jelas terpencil.
Sementara itu, pegawai tertinggi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan, telah menggesa penulis laporan itu bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia atau melalui NGO bebas yang sesuai dengan berkongsi buktinya agar dakwaan itu dapat disiasat secara menyeluruh. Sebabnya, ia adalah kesalahan jenayah dan perlu dikenakan tindakan di bawah undang-undang jenayah negara. Syabas atas reaksi ini.
Memang siasatan teliti harus dijalankan dengan segera dan pesalah jenayah jijik itu harus ditangkap dan didenda hukuman berat. Namun, menyeru mangsa-mangsa untuk tampil diri dan mendedah identiti mereka tanpa memberi perlindungan dan sokongan profesional secara terjamin hanya akan menambahkan tekanan mereka, malahan lebih membahayakan keselamatan mereka.
Memang demikian berlaku pada 2008 berhubung dengan dakwaan pemerkosaan dan gangguan seksual terhadap wanita, gadis dan kanak-kanak Penan di sekitar pedalaman Baram, Sarawak, di mana keselamatan mangsa dan masyarakat mereka terancam.
Hanya selepas orang ramai membantah dengan keras sikap tak acuh pihak berkuasa, barulah siasatan dibuat oleh pasukan penyiasat. Kumpulan penyiasat ini terdiri daripada pegawai atasan pihak kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak, serta melibatkan juga pewakilan NGO dengan kepakaran. Tetapi siasatan sia-sia sahaja, tanpa susulan tindakan segera dan tangkapan dibuat.
Lebih teruk lagi, seorang ahli politik bangsa Dayak dalam kerajaan negeri Sarawak melabel gadis-gadis Penan “pakar cerita dongeng” dan seorang lain menyangkal keganasan bersistematik jenayah rogol ke atas gadis-gadis dan kanak-kanak Penan berlaku.
Isu Penan tidak harus didiamkan sahaja. Oleh demikian, sekumpulan NGOs nasional dan internasional telah mengambil inisiatif sendiri dan menjalankan misi siasatan terperinci di wilayah Tengah dan Ulu Baram untuk lebih memahami realiti sebenar keadaan masyarakat Penan. Delegasi itu juga mengumpul bukti kukuh tentang kes-kes rogol ke atas gadis Penan yang masih berlangsung.
Berbalik kepada isu dakwaan rogol ke atas pekerja wanita di ladang-ladang sawit di Malaysia dan Indonesia: keganasan terhadap perkerja-pekerja wanita dalam industri ladang kelapa sawit nampaknya meluas, contohnya berlaku di Afrika Tengah dan Barat.
Kalau kekejaman ke atas gadis Penan yang dirogol memberi pengajaran, siasatan dalam dakwaan rogol ke atas pekerja wanita dan juga bentuk keganasan lain ke atas pekerja lelaki di industri kelapa sawit jangan-jangan hanya ungkapan manis. Apatah lagi Malaysia berusaha mencerminkan imej positif bagi mengekspot sawit ke Eropah di mana pembelinya mensyaratkan “tiada pencabulan hak asasi manusia”.
Dapatkah diharapkan mereka yang mengawal industri balak dan ladang sawit serta ahli politik yang menyokong konsesi balak dan ladang sawit membabitkan tanah dan hutan adat masyarakat Penan dan Orang Asal lain akan peduli tentang masyarakat terpinggir?
Saya masih bertanya-tanya betapa bahayanya kehidupan pekerja-pekerja ladang kelapa sawit dan anak muda perempuan dan lelaki yang tinggal di kawasan pedalaman terpencil dan sukar diakses.
Tidak hairan kalau mangsa tidak dapat meninggalkan rumah mereka atau tidak mempunyai jalan untuk meninggalkan situasi keganasan untuk mendapatkan bantuan apabila berhadapan dengan perbuatan jijik dan keji ke atas mereka seperti dirogol, didera atau diserang.
Carol Yong ialah seorang aktivis veteran yang telah lama berkhidmat di Sarawak dan kemudian di Sabah
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme