Oleh Safiyuddin Sabri
Dalam kita mencari makna menjadi rakyat Malaysia, sering kita terlepas pandang bukan warganegara yang berada di Malaysia.
Artikel saya sebelum ini mencari makna menjadi rakyat Malaysia. Ia adalah untuk menyumbang dan berjasa kepada negara.
Namun, bagaimana pula dengan bukan warganegara yang turut menyumbang kepada ekonomi negara? Adakah kita melayan mereka seadanya?
Kebiasaannya di media sosial, ramai ‘Mat Salleh’ dan rakyat Korea dan Jepun datang ke Malaysia dan menjadi pencipta kandungan atau sebagai penyumbang kepada tenaga kerja profesional. Mereka ini, khususnya pencipta kandungan, disambut baik oleh orang tempatan – tambahan pula jika mereka pandai berbahasa Melayu. Kita rasa bangga mereka ini tahu bertutur dalam bahasa Melayu. Sokongan diberikan terhadap kandungan mereka juga sangat tinggi dan apabila terjumpa di tempat awam, mereka dilayan sperti selebriti.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Tetapi adakah layanan yang sama diberikan atau pandangan yang sama kita ada terhadap pekerja kilang daripada Bangladesh, Nepal, Myanmar dan sebagainya? Adakah layanan berbeza ini disebabkan oleh warna kulit, negara asal, sikap atau pekerjaan? Sebagai contoh reaksi apabila pekerja dari Bangladesh tahu bercakap bahasa Melayu tidaklah membanggakan seperti jika ‘Mat Salleh’ boleh.
Mereka ini datang untuk berkerja demi keluarga yang berada di negara asal. Ada juga yang ingin membina kehidupan lebih baik di sini dan berkerja di sini. Mereka sanggup mengambil pekerjaan tiga D (dirty, dangerous and difficult atau kotor, berbahaya dan sukar) yang warganegara kita sendiri tidak sanggup.
Dianggarkan terdapat dua juta pekerja asing dengan dokumen sah di Malaysia. Mungkin terdapat tiga atau empat juta lagi migran tanpa dokumen.
Bagaimana pula dengan pelarian yang lari dari konflik di negara asal? Adakah kerajaan atau kita sebagai rakyat Malaysia melayan mereka seperti manusia?
Sehingga November 2023, 182 820 pelarian serta ‘asylum seekers’ yang berdaftar di bawah UNHCR telah masuk ke negara kita.
Sebanyak 88% daripadanya datang dari Myanmar, termasuklah etnik Rohingya, Chin dan sebagainya. Kira-kira 58% daripada jumlah keseluruhan pelarian ialah dari kumpulan Rohingya iaitu 107, 520. Selebihnya daripada negara lain seperti Pakistan, Yemen, Syria, Afghanistan, Iraq dan Sri Lanka (IOM UN Migration).
Mereka ini inginkan kehidupan yang lebih baik atau tempat selamat untuk melarikan diri. Tetapi mengapa Malaysia?
Ada di antara kumpulan Rohingya yang telah tinggal di Malaysia lama sehingga beberapa generasi. Ada juga yang datang kerana agama rasmi Malaysia adalah Islam. Ada juga yang datang selepas kerajaan membenarkan 40 pelari Rohingya masuk ke Malaysia setelah mereka diselamatkan di Teluk Bengal pada Disember 2013. Sebab-sebab ini membuatkan mereka lebih cenderung untuk memilih Malaysia sebagai rumah baharu. Teradapat rasa biasa dengan cara hidup majoriti rakyat beragama Islam (Togoo, RR dan Ismail, FHBM, 2021).
Individu tidak bernegara bermaksud individu yang tidak mempunyai dokumen kerakyatan sah dari mana mana negara. Tiada data yang tepat mengenai bilangan individu tidak bernegara di Malaysia kerana mereka ini tidak direkodkan.
Tetapi menurut “Development of Human Resources for Rural Areas” (DHRAA), 16,000 permohonan dibuat melalui NGO tersebut dan 87.6% atau 8,223 merupakan anak luar nikah atau anak angkat diambil oleh ibu bapa rakyat Malaysia.
Siapa golongan tidak bernegara ini?
- Anak terbuang yang tiada maklumat ibu bapa
- Anak daripada perkahwinan yang tidak didaftar oleh bapa rakyat Malaysia dan ibu yang bukan warganegara.
- Anak kepada pasangan tidak bernegara
- Anak kepada ibu yang bukan warganegara tetapi bapa tidak diketahui kemudiannya diambil sebagai anak angkat oleh warganegara Malaysia
- Anak yang lahir di luar negara daripada bapa Malaysia tetapi perkahwinan tidak didaftar.
- Anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berkerakyatan Malaysia
Negara ini hasilkan individu tidak bernegara ini dan mangsanya adalah kanak-kanak. Bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia boleh berdiam diri apabila status kanak-kanak ini tidak membolehkan atau menyukarkan mereka untuk mendapat keperluan asas kehidupan seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan sosial.
“Kalau arwah (ayah) hidup melihat saya ke sekolah tentu dia gembira.”
“Aku ‘menyampah’ (mengutip sampah) untuk bayar yuran aku.”
“Apabila dewasa, saya nak tolong mak dapatkan duit.”
“Aku tiada dokumen, sebab itu aku tolong bapak aku di kem (tapak pembinaan) angkat kayu dengan batu.”
Berikut merupakan rintihan Ariel dan Hairi, kanak-kanak tidak bernegara di Sabah. Pada mereka, untuk menjadi rakyat Malaysia adalah untuk mendapatkan pendidikan demi mengubah nasib keluarga.
Adakah kita dan kerajaan melayan golongan-golongan ini seperti manusia? Adakah mereka ini ‘pendatang’ tetapi bukan golongan profesional, berkulit putih, berasal dari negara maju atau kesemua sekali?
“Kedua-dua saya tak ‘respect’ jika mereka tidak menjaga sikap…” petikan komen dari Facebook. Sikap in terdiri daripada banyak perkara: kebersihan, pertuturan, pemikiran dan sebagainya.
Jika sikap yang menjadi punca layanan berbeza, jadi mereka perlukan didikan untuk diterima sebagai jiran kita. Tambahan pula mereka menyumbang kepada ekonomi negara ini.
Paling asas ialah pendidikan.
Anak-anak golongan ini kebiasaannya terpinggir kerana tidak mampu atau tidak dapat langsung peluang untuk ke sekolah. Sikap generasi mereka akan datang bergantung kepada pendidikan mereka sekarang.
Akses kepada sistem kesihatan juga menjadi nadi kepada peningkatan kualiti hidup yang kemudiannya akan memberi impak kepada kesihatan awam. Kini, bukan rakyat Malaysia perlu membayar kos yang tinggi untuk menerima rawatan di klinik dan hospital kerajaan serta swasta.
Ini yang terjadinya kes pendatang tanpa izin ataupun yang sah tetapi tidak mampu, melahirkan anak di hospital kerajaan kemudiannya lari mengakibatkan kerugian besar kerajaan.
Pekerja asing sering dieksploit oleh majikan dan ada keadaan yang memaksa mereka menjadi pendatang tanpa izin seperti keadaan di mana majikan memegang pasport. Apa yang mereka boleh buat jika ada penganiayaan?
Nasib mereka ada di tangan majikan atau jika mereka datang berkerja secara haram dan diburu oleh imigresen, majikan akan lepas tangan dan mungkin tiada tindakan diambil kepada majikan mahupun agen yang membawa masuk mereka.
Ini kerana mereka ini buruh murah yang dilayan seperti barangan pakai buang demi untuk menggerakkan syarikat yang kemudiannya menyumbang kepada ekonomi. Selain itu, perniagaan membawa masuk pekerja asing sangat lumayan sehingga ahli politik juga turut sama dipercayai terlibat.
Jika ada diantara mereka yang hendak berkerja sendiri seperti berniaga, walaupun secara haram, ada masyarakat kita iri hati. Sedangkan yang menjual perniagaan itu orang kita juga.
Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Pada masa ini, terdapat 500,000 buruh asing menganggur di Malaysia. Adalah lebih baik untuk memberikan mereka serta warga tidak bernegara dan pelarian peluang untuk bekerja ataupun memudahkan mereka untuk berniaga kerana ia menyumbang juga kepada ekonomi negara daripada terus menambah pekerja asing baharu.
Bagai menyelam sambil minum air.
Oleh itu kita dapat memanfaatkan golongan ‘lain-lain’ ini. Pada masa yang sama, memberikan hak asas seperti pendidikan, kesihatan dan jaringan keselamatan sosial untuk mereka ini meningkatkan taraf hidup dan menyumbang kepada ekonomi negara. Mungkin ini dapat menamatkan perspektif negatif terhadap mereka di kalangan setengah pihak.
Safiyuddin Sabri merupakan pelajar sains politik yang sedang menjalani latihan ilmiah di Aliran
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme