Noraisah Yusop
Kegagalan sesuatu dasar biasanya bukan berpunca daripada niat yang salah, tetapi daripada cara ia dikomunikasikan.
Dasar diumumkan dengan angka dan akronim, dibentangkan dengan kemas, namun gagal menyentuh realiti kehidupan harian rakyat.
Di sinilah komunikasi dasar sepatutnya bermula – bukan di pentas pengumuman, tetapi di ruang pemahaman bersama antara kerajaan dan masyarakat yang akan menerima faedah ekonomi atau menanggung kesannya.
Libat urus bukan sekadar acara
Dalam beberapa tahun ke belakangan ini, sesi libat urus semakin diberikan tempat dalam wacana tadbir urus.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun, sesi libat urus hanya bermakna jika ia difahami sebagai satu amalan berterusan, bukan acara berkala yang berakhir dengan laporan.
Libat urus yang sebenar mengandaikan bahawa suara rakyat bukan sekadar didengar, tetapi mempunyai implikasi terhadap keputusan.
Apabila pandangan komuniti diterjemahkan kepada keutamaan dasar dan peruntukan belanjawan yang jelas, participatory budgeting tidak lagi menjadi jargon teknokratik, tetapi satu bentuk demokrasi yang boleh dirasai.
Sesetengah kerajaan membangunkan garis panduan (seperti dokumen OECD dan US DoT – Jabatan Pengangkutan AS) untuk berkongsi pengalaman serta mempiawaikan amalan libat urus berkualiti tinggi.
Amalan ini mampu membentuk budaya di mana tadbir urus bukan sahaja untuk rakyat tetapi bersama rakyat – sebagai amalan tatakelola yang baik – dan menghasilkan pelan dan dasar yang disokong rakyat dan dapat dilaksanakan dengan baik.
Merangkumi semua suara
Sesi libat urus perlu melangkaui ‘wajah-wajah biasa’ yang hadir ke setiap mesyuarat. Ia juga perlu memastikan tiada halangan penyertaan supaya golongan muda, pekerja, minoriti, penduduk luar bandar dan golongan rentan turut boleh menyumbang.
Ia melibatkan pemilihan lokasi dan format yang inklusif. Sebagai contoh, sebuah majlis perbandaran di Canada memilih untuk “membawa proses kepada masyarakat” dengan membuka ruang di lokasi popular (jalan utama dan perpustakaan) berbanding mengharapkan orang ramai hadir ke dewan.
Menjadualkan sesi pada waktu berbeza (malam dan hujung minggu) serta menyediakan penjagaan anak atau elaun boleh memperluaskan lagi penyertaan.
Garis panduan OECD mengenai penyertaan rakyat turut menegaskan keperluan untuk merekabentuk proses yang inklusif – merangkumi umur, latar belakang dan keupayaan berbeza – kerana akses yang saksama bukan sahaja adil malah memperkaya input agar tiada sesiapa tertinggal.
Literasi dan koordinasi
Di peringkat negeri dan kerajaan tempatan, pelaksana dasar sering menjadi wajah pertama kerajaan kepada rakyat.
Namun, tanpa latihan dan pendidikan yang mencukupi, mereka dibebani dengan tanggungjawab menyampaikan dasar yang kadangkala mereka sendiri tidak benar-benar kuasai.
Komunikasi awam yang berkesan menuntut lebih daripada penguasaan teknikal. Ia memerlukan keupayaan menterjemah dasar kepada bahasa rakyat – iaitu bahasa yang menjawab persoalan “mengapa ini penting kepada saya” dan “bagaimana hidup saya akan berubah selepas ini”.
Apabila dasar gagal difahami atau tidak mendapat sokongan, penjelasan yang sering diberikan ialah rakyat kononnya kurang literasi politik.
Naratif ini mudah, selesa dan akhirnya tidak jujur.
Hakikatnya, kebanyakan rakyat di Malaysia memahami politik dengan cara yang sangat praktikal. Mereka tahu di mana kuasa sebenar berada.
Respons rasional, bukan kejahilan
Mereka tahu bahawa dalam sistem kerajaan tempatan yang tidak mempunyai kuasa kewangan dan kuasa untuk membuat keputusan, banyak isu tidak boleh diselesaikan di peringkat paling hampir dengan mereka.
Pilihan rakyat untuk terus merujuk kepada ahli Parlimen, menteri atau perdana menteri bukan tanda kejahilan politik. Ia adalah respons rasional terhadap pemusatan kuasa yang telah lama berakar.
Pemusatan ini bukan berlaku semalam. Ia bukan kesalahan satu pentadbiran.
Ia dibentuk melalui dekad pentadbiran yang menyusun kuasa, sumber dan keputusan di peringkat pusat, sementara kerajaan tempatan kekal sebagai pelaksana tanpa mandat sebenar.
Dalam keadaan ini, adalah tidak adil untuk menuntut rakyat ‘memahami proses’ sedangkan proses itu sendiri tidak memberi mereka penyertaan yang bermakna.
Di sinilah kepentingan desentralisasi menjadi jelas. Desentralisasi bukan sekadar pemindahan tugas, tetapi pemindahan kuasa, sumber dan kebertanggungjawaban ke peringkat yang paling hampir dengan rakyat.
Apabila kerajaan tempatan mempunyai autonomi sebenar, sesi libat urus menjadi relevan, penyertaan rakyat menjadi rasional, dan kepercayaan terhadap institusi awam dapat dibina semula.
Tanpa desentralisasi, komunikasi dasar walau sebaik mana sekalipun akan terus berlegar dalam ruang retorik dan di kalangan kelompok-kelompok yang sama.
Projek mega atau projek berimpak tinggi?
Dalam konteks ini juga, pilihan antara projek mega dan projek berimpak tinggi menjadi persoalan nilai.
Projek mega sering menjanjikan simbol kemajuan, tetapi projek berimpak tinggi – walaupun kecil dari segi skala – lebih dekat dengan kehidupan harian masyarakat.
Jalan yang dibaiki, sistem perparitan yang berfungsi, klinik komuniti yang diperkasa – semua ini jarang menjadi tajuk utama, tetapi cukup untuk mengubah persepsi rakyat terhadap kehadiran negara dalam kehidupan mereka.
Semua ini bergantung kepada satu prasyarat yang sering diambil mudah – iaitu data. Tanpa data bersepadu antara kerajaan tempatan dan pusat, dasar dibina atas anggaran dan agak-agak.
Namun , pendigitalan semata-mata tidak mencukupi. Literasi digital dan akses yang saksama perlu berjalan seiring, agar transformasi digital tidak mencipta jurang baru antara mereka yang didengar dan mereka yang terus terpinggir.
Penyertaan bermakna mestilah penyertaan yang adil, memberikan suara kepada mereka yang biasanya tersisih.
Struktur kuasa perlu berubah
Pada akhirnya, walaupun istilah seperti ‘libat urus’ atau ‘maklum balas’ digunakan, struktur kuasa yang tidak berubah menyebabkan komunikasi itu bersifat simbolik.
Dalam amalan desentralisasi, penyertaan rakyat mempunyai implikasi sebenar. Sebaliknya, dalam sistem yang terpusat, komunikasi menjadi ritual.
Rakyat menilai komunikasi bukan melalui keindahan naratif dan tatabahasa yang cantik, tetapi melalui implikasi dasar.
Komunikasi dasar yang berkesan memerlukan satu ekosistem kepercayaan. Rakyat bukan sahaja perlu memahami dasar atau diberi ruang bercakap beberapa minit. Mereka perlu terlibat sepanjang proses merancang dan membentuk dasar yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Dr Noraisah Yusop ialah felo penyelidik pasca-doktoral di International Institute of Public Policy and Management, Universiti Malaya.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

