Home TA Online Enam cara untuk menangani masalah kesihatan mental di Malaysia

Enam cara untuk menangani masalah kesihatan mental di Malaysia

Sebuah negara hanya dapat maju jika kesihatan mental rakyat jelatanya dijaga dengan baik dan secara komited oleh pihak kerajaan

GERD ALTMANN/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

By Raveen Jeyakumar

Terdapat beberapa kelemahan dalam sistem negara kita dalam penanganan masalah kesihatan mental rakyat. 

Menurut suatu laporan teknikal yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Disember 2017, sebanyak 29.2% orang dewasa (berumur 16 tahun dan ke atas) – hampir satu dalam tiga dewasa – dan 12.1% kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Statistik ini menjadikannya sebagai masalah kesihatan kedua terbesar yang membelenggu rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

Di samping itu, statistik dalam kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan yang dijalankan pada 2019 mendedahkan bahawa hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan.

Dengan tekanan tambahan yang dialami dari aspek kesihatan, mental dan kewangan yang berpunca daripada lockdown and sekatan Covid berpanjangan, angka-angka tersebut sudah pastinya telah meningkat kepada tahap lebih teruk sepanjang tiga tahun yang lalu.

Secara utamanya, data di atas menunjukkan bahawa sistem negara kita tidak mengambil isu masalah kesihatan yang melanda rakyat dengan cukup serius.

Antara kelemahan sistem negara dalam penanganan masalah kesihatan mental termasuklah:

  • Bilangan pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor yang terlalu kurang dalam negara secara amnya
  • Kebanyakan pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor yang terdapat dalam negara tertumpu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Ini amat menyusahkan mereka yang memerlukan perkhidmatan kesihatan mental dan rawatan tetapi tinggal di negeri dan kawasan selain dua tempat tersebut
  • Terlalu kurang pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor dalam perkhidmatan kerajaan. Ini menyusahkan individu daripada golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membayar untuk perkhidmatan kesihatan mental dalam sektor swasta
  • Harga sesetengah ubat penyakit mental yang terlalu mahal dan tidak mampu dibeli oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah
  • Disebabkan pendidikan dan kesedaran yang terlalu kurang, masyarakat Malaysia secara amnya mempunyai persepsi negatif serta stereotaip terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental. Disebabkan ini, ramai penduduk yang ada masalah kesihatan mental rasa malu untuk mendapatkan bantuan

Terdapat beberapa langkah pihak kerajaan harus ambil melalui kementerian dan jabatan yang relevan untuk menangani isu penting ini secara berkesan:

1. Galakkan lebih banyak pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor dalam perkhidmatan kerajaan supaya masyarakat, khususnya lapisan berpendapatan rendah, mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan mental yang murah di seluruh negara (dan bukan hanya di Pulau Pinang dan KL). Kementerian Kesihatan haruslah memberikan gaji serta faedah yang cukup tinggi kepada para pakar kerajaan ini supaya mereka tidak ditarik kepada sektor swasta

2. Luaskan kursus pengajian tinggi dalam bidang psikiatri, psikologi klinikal dan perkhidmatan kaunseling kepada semua institut pengajian tinggi di Malaysia supaya lebih ramai graduan akan dihasilkan yang dapat menyertai tenaga kerja dalam bidang kesihatan mental

3. Salurkan bantuan kewangan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan mental agar harga ubat dan perkhidmatan kaunseling serta terapi dapat dikurangkan bagi melegakan beban kewangan khususnya terhadap golongan berpendapatan rendah

4. Pastikan setiap klinik kesihatan tempatan di setiap bandar di seluruh Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya seorang doktor dalam bidang psikiatri, memandangkan betapa seriusnya masalah kesihatan mental sedang melanda masyarakat kita    

5. Lancarkan kempen seluruh negara melalui media untuk mengubah persepsi serta stereotaip negatif masyarakat terhadap penyakit serta pesakit kesihatan mental

6. Sediakan pendidikan kesihatan mental pada tahap sekolah dan institut pendidikan tinggi bagi memupuk kesedaran dalam kalangan belia tentang betapa pentingya penjagaan kesihatan mental untuk kebajikan dan kemajuan sesuatu masyarakat

Kesihatan mental yang baik adalah hak setiap individu. Sebuah negara hanya dapat maju jika kesihatan mental rakyat jelatanya dijaga dengan baik dan secara komited oleh pihak kerajaan.

Oleh itu, pihak kerajaan harus menjadikan penanganan masalah kesihatan mental sebagai satu keutamaan dan mengambil langkah-langkah proaktif seperti di atas demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Raveen Jeyakumar, seorang sukarelawan Aliran yang berumur 29 dan bermastautin di Ipoh, berminat dengan isu sosial dan alam sekitar

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x