Home TA Online Industri minyak sawit dan undang-undang antarabangsa: Kisah dua amalan bertentangan

Industri minyak sawit dan undang-undang antarabangsa: Kisah dua amalan bertentangan

Adakah majoriti pekebun kecil dan pekerja dalam industri kelapa sawit berpendapatan lumayan?

Jentera berat sedang menceroboh tanah kebun sawit milik penduduk Orang Asli - FILE FOTO

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Saya tertanya-tanya sama ada Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang baru dilantik, Ngozi Okonjo-Iweala dari Nigeria, tahu bahawa Malaysia “mencuri” kelapa sawit negaranya (elaeis guineensis)?

Atau ia sebenarnya perbuatan “Tuhan” kerana pihak British yang bertanggungjawab membawa benih kelapa sawit dari Nigeria ke Malaya pada awal tahun 1870-an sebagai tanaman perhiasan – bak tersirat dalam slogan terkini menteri perusahaan perladangan dan komoditi: “Sawit Anugerah Tuhan”?

Nigeria pernah mejadi pengeluar dan pengeksport minyak sawit terbesar di dunia. Malangnya bagi negara itu, pokok kelapa sawit juga berkembang maju di benua Asia khususnya Timur Jauh. Didorong oleh peningkatan permintaan minyak sawit sebagai minyak sayuran dan kegunaan teknikal lain semasa Revolusi Perindustrian di Eropah, kerajaan British ketika itu mengambil langkah yang bijak untuk membangunkan kelapa sawit sebagai tanaman jualan, dengan estet komersial pertama ditubuhkan di Kuala Selangor pada tahun 1917.

Selepas pihak berkuasa British meninggalkan wilayah jajahanya, kebanyakan ladang kelapa sawit komersial berskala besar terus diusahakan oleh syarikat minyak sawit milik kerajaan negeri, persekutuan dan korporat swasta di Semenanjung Malaysia, diikuti oleh Sabah dan kemudian Sarawak.

Ini mengancam industri minyak sawit tradisional di Nigeria dan negara-negara lain, yang menjejaskan beratus-ratus ribu pekebun kecil dan ramai lagi pekerja di sana.

Hari ini, industri kelapa sawit adalah sektor keemasan Indonesia dan Malaysia, dua pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit di dunia.

Kerana Eropah adalah antara pengguna minyak sawit terbesar di dunia dan pasaran utama untuk biodesel sawit Malaysia, kerajaan Malaysia bimbang akan kehilangan pasaran utama Eropah.

Malaysia dilaporkan telah memfailkan tindakan undang-undang dengan WTO tentang sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio.

Ditegaskan berulang kali oleh kerajaan Malaysia, tindakan EU itu mengancam mata pencarian 650,000 pekebun kecil dan kepentingan lebih 3.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri sawit, memacu mereka semua ke dalam kemiskinan.

Jadi, kerajaan Malaysia yang ‘penyayang’ memberi amaran akan mengambil tindakan untuk melindungi hak dan mata pencarian pekebun kecil kita jika EU melaksanakan sebarang larangan ke atas minyak sawit.

Parlimen Eropah memutuskan pada 17 Januari 2018 untuk menahapkan penggunaan minyak sawit menjelang 2021 dan mengehadkan produk biodiesel berasaskan tanaman dalam penggunaan negara anggotanya pada 2017 dan pada 7% daripada semua bahan api pengangkutan sehingga 2030, di bawah pelaksanaan Renewable Energy Directive (Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui), undang-undang EU yang menyelia semua peraturan mengenai tenaga boleh diperbaharui, termasuk bahan api minyak sawit.

Saya setuju kita perlu menyokong petani dan pekebun kecil kita. Namun, meninjau kembali selama ini, adakah model ekonomi kapitalis yang dominan sesungguhnya mendukung peranan wanita, lelaki dan belia di kalangan masyarakat pribumi dan golongan miskin lain di Semenanjung, Sarawak dan Sabah dalam pertanian sara hidup dan kebun kecil mereka?

Lakukan carian pantas laporan tahunan syarikat-syarikat tertentu yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Hai! Bukti yang mencukupi mendedahkan bahawa syarikat besar-besaran dimiliki kerajaan negeri, swasta dan tokoh terkenal yang lazimnya menguasai industri kelapa sawit di Malaysia Barat dan Timur. Apa jua retoriknya, bukankah jelas bahawa mereka bimbang akan kehilangan berbilion ringgit pendapatan minyak sawit?

Kerajaan Malaysia meyakini bahawa sektor kelapa sawit menyediakan jalan keluar daripada kemiskinan untuk lebih 650,000 pekebun kecil. Tetapi adakah majoriti pekebun kecil dalam industri kelapa sawit berpendapatan lumayan?

Walaupun Malaysia (dan Indonesia) boleh berbangga menjadi dua pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia, keadaan kehidupan dan pendapatan ramai pekerja ladang, terutamanya wanita dan keluarga golongan miskin terendah tetap mendesak dan menyedihkan. Ini jauh berbeza dengan pemilik ladang berskala besar yang berkuasa berganding bahu dengan ahli-ahli politik yang tamak dan melindungi kepentingan mereka sendiri dalam gerombolan kekayaan.

Kerajaan negeri memasuki dan mengambil alih tanah masyarakat Orang Asal dan golongan miskin lain lalu memberikan kepada syarikat milikan kerajaan negeri dan swasta bagi projek penanaman kelapa sawit komersial berskala besar masih krusial di mana-mana. Kes baru-baru ini di Kampung Lubuk Perah di Bera, Pahang, misalnya (“Syarikat mahu usahakan tanah lepas menang saman ke atas Orang Asli”).

Di manakah keadilan untuk mangsa gangguan dan deraan seksual?

Adalah malang dan ironik bahawa kerajaan Malaysia tidak menunjukkan kegigihan yang sama dalam isu mendesak yang didedahkan oleh sebuah media antarabangsa: dakwaan rogol pekerja wanita yang dilaporkan berlaku dalam ladang-ladang kelapa sawit di Malaysia.

Selain daripada seruan seorang pegawai tertinggi dalam Majlis Minyak Sawit Malaysia bahawa pelaku jenayah ini harus ditangkap dan dihukum di bawah undang-undang jenayah kerana ia merupakan kesalahan jenayah apabila berita itu terbongkar, setakat ini, semacam tiada susulan dilakukan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Nampaknya, kerajaan persekutuan dan negeri Malaysia dan pihak berkuasa penguatkuasaan terus bertelinga pekak kepada tanggisan untuk mendapatkan bantuan daripada mereka yang berada di penempatan terpencil dan terpinggir, terutamanya mangsa yang telah mengalami keganasan yang berterusan.

Namun, seorang menteri berani menuduh EU pada tahun 2017: “Dalam urutan perbuatan yang serupa dengan bentuk diskriminasi aparteid tanaman, Parlimen EU telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan sekatan perdagangan, yang membawa kepada pelanggaran muktamad komitmen EU dengan prinsip amalan WTO”.

Dalam urat yang sama, bukankah kes rogol paksa dan serangan seksual lain yang berlaku di ladang-ladang Malaysia (serta dalam rumahtangga dan di lokasi lain), bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw), yang Malaysia ratifikasi pada tahun 1995, dan instrumen hak asasi manusia yang lain?

Carol Yong ialah seorang aktivis veteran yang telah lama berkhidmat di Sarawak dan kemudian di Sabah

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x