
Tugas terbesar Jokowi supaya terpilih lagi ialah mengelak daripada melakukan kesalahan yang menimpa Ahok dalam pemilihan gabenor Jakarta tahun lalu, ujar Muhammad Febriansyah.
Meskipun pemilihan presiden (pilpres) di Indonesia baru akan dilangsungkan pada bulan April tahun hadapan, tetapi peta politik menjelang perhelatan demokrasi itu sudah semakin jelas setelah proses penamaan calon presiden dan wakil presiden ditutup pada 10 Ogos 2018.
Dua calon yang akan bertanding, iaitu penyandang jawatan Jokowi dan lawannya Prabowo telah rasmi mendaftarkan diri ke Komisi Pemilihan Umum.
Dengan begitu, kita sekali lagi akan menyaksikan persaingan kembali kedua-dua tokoh tersebut seperti yang berlaku dalam pemilihan presiden tahun 2014. Ketika itu, Jokowi dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang berpasangan dengan Jusuf Kalla (Golkar) mengalahkan Prabowo dari parti Gerindra dan calon wakilnya Hatta Rajasa (Parti Amanat Nasional) dengan selisih yang sangat kecil, 53% undi.
Persaingan dua nama ini memang sudah diramalkan. Semenjak pemilihan presiden empat tahun lepas, tidak ada tokoh baru muncul yang boleh menandingi populariti kedua-duanya. Justeru, yang mengejutkan ialah nama-nama calon wakil presiden yang baru berjaya disahkan oleh kedua-dua pihak sehari menjelang batas akhir penamaan calon.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Prabowo akhirnya memilih Sandiaga Uno, wakil gabenor Jakarta saat ini yang baru terpilih lapan bulan lalu. Manakala Ma’ruf Amin, ketua Majelis Ulama Indonesia dipilih untuk mendampingi Jokowi.
Padahal beberapa jam sebelumnya media telah melaporkan beberapa nama calon lain yang lebih berpotensi. Sandiaga dan Ma’ruf bukan antara nama teratas di dalam senarai. Namun itulah rundingan politik dalam pembentukan koalisi di Indonesia, begitu dinamik sehingga terbuka kepada banyak kemungkinan. Dengan pencalonan ini, peta politik Indonesia diperkirakan akan berubah 180 darjah.
Semenjak konflik politik yang berlaku dalam pemilihan gabenor Jakarta tahun lalu, Prabowo telah berjaya mendahului Jokowi dalam mendepankan imej sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan ulama dan pembela Islam. Namun langkah memilih Sandiaga Uno yang berasal dari partinya sendiri sangat berisiko kerana cenderung mengabaikan aspirasi umat Islam yang menginginkan calon wakil Prabowo dari kalangan tokoh agama.
Lebih-lebih lagi sekelompok ulama telah melakukan ijtima dan mencadangkan dua nama, iaitu Salim Assegaf, wakil dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS), parti berfahaman Ikhwanul Muslimin yang selalu setia dalam koalisi Prabowo dan Ustaz Abdul Somad, seorang penceramah agama terkenal yang memiliki ramai pengikut untuk dipertimbangkan menjadi calon wakil presiden Prabowo.
Melihat pengalaman dalam pemilihan gabenor Jakarta tahun lalu, sentimen keagamaan umat Islam berjaya dimanfaatkan koalisi Prabowo untuk mengalahkan tokoh popular Basuki Tjahaja Purnama, yang lebih dikenal sebagai Ahok. Ramai pengamat berpandangan bahawa taktik yang sama akan digunakan untuk mengalahkan Jokowi yang saat ini popularitinya masih sangat tinggi. Serangan itu telah pun dimulakan dengan mempopularkan hastag 2019GantiPresiden, yang tidak hanya tular di media sosial, tetapi juga ikut menggerakkan massa supaya tidak lagi memilih Jokowi. Gerakan ini dipelopori oleh PKS yang berada di dalam koalisi Prabowo.
Namun sebaliknya, kubu Jokowilah yang akhirnya memilih calon dari golongan ulama. Langkah ini dapat diilihat sebagai upaya untuk menangkis tohmahan dari pihak lawan jika Jokowi dituduh tidak berpihak kepada Islam.
Tuduhan ini sudah mula dilemparkan ke atasnya ketika ia tidak bersikap tegas terhadap Ahok yang dianggap telah menghina Islam. Pada waktu itu, Majelis Ulama Indonesia yang diketuai oleh Ma’ruf telah mengeluarkan fatwa bahawa Ahok telah menghina Alqur’an dan ulama.
Walaupun Ma’ruf Amin yang berusia 75 tahun tidak begitu popular di kalangan pemilih milenial, tetapi ia mengetuai institusi ulama tertinggi dan berasal dari organisasi Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama. Ia juga memiliki banyak pengalaman di dalam pemerintahan dan parlimen.
Gabungan di antara Jokowi yang nasionalis dan ulama menandakan perdamaian di antara dua kelompok aliran tersebut yang terus bermusuh ekoran proses pemilihan gabenor Jakarta yang lalu.
Lalu, bagaimanakah kekuatan kedua-dua pasangan calon menjelang pemilihan yang akan berlangsung lapan bulan lagi?
Parti Demokrat yang telah kecewa kerana Agus Harimurti, anak pimpinan parti dan bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono ditolak oleh Prabowo tetap menyatakan sokongan yang padu kepada koalisi itu. Dengan demikian, koalisi Prabowo terdiri daripada parti Gerindra, PKS, PAN, dan Parti Demokrat. Sedangkan Jokowi disokong oleh PDIP, PKB, PPP, dan Golkar.
Di atas kertas, kedua-dua koalisi memiliki kekuatan yang seimbang dengan kekurangan dan kelebihan masing-masing. Namun berdasarkan polling yang dilakukan oleh beberapa lembaga survei, Jokowi masih jauh mendahului Prabowo.
Walau bagai manapun, pihak Jokowi tidak wajar untuk merasa selesa. Melihat pengalaman pilpres 2014, Prabowo berjaya meningkatkan sokongan di saat-saat akhir menjelang hari mengundi.
Dan mesti diingat, koalisi Prabowo saat ini terdiri daripada parti yang sama ketika berjaya mengusung Anies Baswedan sebagai Gabenor Jakarta mengalahkan Ahok. Tidak ada siapa yang menjangkakan Ahok sebagai penyandang jawatan gabenor yang sangat popular boleh dikalahkan. Tetapi Ahok membuat kesalahan dengan ucapannya yang diterjemahkan sebagai menghina Alqu’ran dan umat Islam.
Dan tugas terbesar Jokowi supaya terpilih lagi ialah mengelak daripada melakukan kesalahan yang sama.
Muhammad Febriansyah ialah pensyarah sains politik di salah satu institut pengajian tinggi awam di Malaysia.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme