Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman denda sebanyak RM500,000 terhadap portal berita Malaysiakini kerana kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya semasa prosiding pada 19 Februari 2021.
Keputusan ini amat membimbangkan kerana kesannya bukan semata-mata mengancam kebebasan kelangsungan sebuah portal berita independen, tetapi ia mencabuli kebebasan rakyat biasa menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu yang mempunyai kepentingan kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia.
Ruangan berbicara dalam talian di mana maklumat, idea dan perbahasan atau perdebatan rasional yang boleh dilakukan tanpa adanya perasaan takut dan tekanan daripada mana-mana pihak adalah salah satu sifat yang penting untuk memastikan sistem demokrasi dapat diamalkan dengan berkesan.
Masyarakat demokratik yang sihat sepatutnya menggalakkan perbincangan dan perdebatan mengenai isu awam di kalangan rakyat biasa. Kita boleh tidak setuju dengan apa yang disuarakan oleh mana-mana pihak tetapi individu ada hak bersuara secara rasional mengenai isu politik, sosial, mahupun agama.
Kebebasan bersuara adalah prinsip yang paling asas untuk memperjuangkan kepelbagaian idea dan pandangan awam dalam proses pembentukan persetujuan atau konsensus demi kebaikan kolektif dalam sesebuah negara.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Idea-idea individu yang wujud dalam talian tertakluk kepada penelitian oleh orang ramai. Semua pengguna media dalam talian seharusnya memikul tanggungjawab bersama untuk menilai dan mengkritik dalam usaha menambah nilai untuk kebaikan negara.
Dengan itu, adalah penting untuk melindungi kebebasan ruangan publik informal dalam talian seperti bahagian komen dalam portal berita.
Ruangan perbincangan tersebut akan membolehkan rakyat biasa membincangkan isu dalam arena pinggiran supaya dapat berkomunikasi dan mempengaruhi agenda dari pusat pembuatan keputusan dalam politik formal.
Dengan kata yang lain, ruangan awam berkomunikasi dalam talian ini amat penting kerana ia merupakan salah satu saluran bagi pembuat polisi untuk mengakses pandangan orang awam supaya dapat respon kepada perbincangan awam tersebut menerusi proses politik formal.
Cabaran terbesar untuk mewujudkan satu lingkungan awam di Malaysia pada zaman digital hari ini ialah kawalan dan penapisan golongan berkuasa terhadap kebebasan bersuara di kalangan rakyat Malaysia.
Nampaknya, satu era di mana internet berfungsi sebagai lingkungan awam yang memberikan peluang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk mengeluarkan pendapat mengenai keperluan politik, ekonomi dan keadaan sosial masing-masing telahpun ditamatkan menerusi satu proses perundangan.
Persoalannya ialah bukankah system pentadbiran sesebuah negara sepatutnya memuliakan prinsip keadilan dengan memperjuangkan kebebasan bersuara setiap individu di negara kita?
Perbincangan atau pandangan yang kritis tapi berasaskan semangat rasional dan saintifik untuk menegakkan keadilan dan membetulkan ketidakseimbangan yang masih wujud dalam masyarakat kita mesti diperjuangkan.
Tambahan lagi, kita juga mesti mempersoalkan adakah media dalam talian ini juga berfungsi untuk membantu menghalalkan strategi dan polisi elit pemerintah atau elit kapitalis yang bertujuan memperkukuhkan kuasa mereka.
Justeru, masyarakat perlu memuliakan prinsip komunikasi bebas kerana ini adalah prasyarat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan negara yang cemerlang.
Dr Ngo Sheau Shi ialah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme