Home TA Online Kemahiran insaniah bukan lagi kelebihan, tapi keperluan

Kemahiran insaniah bukan lagi kelebihan, tapi keperluan

Insan yang baik akan melahirkan masyarakat yang positif yang akan membina negara yang berjaya

DR WONG SOAK KOON/ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Siti Nazziera Mokhtar

Kemajuan teknologi, ledakan media sosial dan globalisasi kini telah membawa perubahan besar dalam gaya hidup masyarakat pada hari ini.

Generasi muda kini membesar dalam dunia yang serba pantas dan penuh persaingan, dan sering didorong oleh pencapaian material.

Namun di sebalik segala kemajuan ini, nilai-nilai dan kemahiran insaniah atau kemanusiaan semakin pudar jika tidak dipupuk secara berterusan.

Apakah yang dikatakan dengan kemahiran insaniah? Kemahiran insaniah merupakan satu kemahiran yang merujuk kepada keupayaan individu itu untuk berinteraksi secara berkesan dengan individu lain, dapat menyelesaikan isu dan konflik, berjaya membuat keputusan secara beretika, serta dapat mengekalkan hubungan sosial secara sihat.

Kemahiran ini  merangkumi aspek komunikasi berkesan, sifat empati, boleh kerjasama, memiliki integriti, rasa tanggungjawab, boleh bertoleransi, memiliki sifat kepimpinan, dan kemahiran pengurusan emosi.

Dalam dunia moden yang mencabar ini, kemahiran insaniah ini bukanlah lagi satu kelebihan, malah kini, ia harus menjadi  satu keperluan asas dalam membentuk insan atau individu yang seimbang.

Secara metaforanya, generasi hari ini boleh digelar sebagai “generasi kaca” , yang menggambarkan kerapuhan emosi dan mental yang kian membimbangkan. Generasi kini mudah bersikap insecure, sensitif dan mudah triggered oleh perkara-perkara yang bertentangan dengan persepsi mereka.

Meskipun generasi ini kaya dengan informasi, celik digital, namun  kekuatan dalaman dan nilai kemahiran insaniah masih menjadi cabaran besar untuk dibentuk dalam jati diri mereka.

Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2020 melibatkan empat buah sekolah menengah pelbagai jenis di semenanjung menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif yang signifikan antara keterlibatan pelajar dengan kemahiran insaniah. Kajian tersebut mendapati bahawa penglibatan pelajar menerusi aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah, aktiviti sosial di sekolah dan aktiviti kokurikulum mampu meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

READ MORE:  Kita mempunyai tanggungjawab kolektif untuk memastikan keamanan dan kemampanan

Implikasinya, guru seharusnya memperbagaikan kaedah pengajaran yang boleh meningkatkan keterlibatan pelajar. Dalam masa yang sama, pelajar juga perlu memiliki tahap kesediaan yang tinggi untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah bagi memperkukuhkan kemahiran insaniah mereka.

Kini, tahap kesedaran sivik dan empati dalam kalangan generasi muda dilihat semakin menurun. Fenomena ini jelas dilihat dalam tingkah laku yang kurang sopan di pamerkan  di media sosial dan ketandusan sifat belas kasihan terhadap mereka yang memerlukan. Generasi kaca ini juga sering mencari kesempurnaan luaran tetapi seringkali mengabaikan  kekuatan dalaman.

Namun begitu, tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada  mereka kerana mereka merupakan hasil daripada sistem dan persekitaran yang membentuk mereka.

Hakikatnya, tanggungjawab besar sebenarnya  terletak pada bahu ibu bapa, guru, masyarakat dan institusi untuk mendidik dan membimbing mereka dengan pendekatan yang bijaksana dan berhemah.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya kemahiran insaniah dijadikan satu modul atau subjek wajib dalam sistem pendidikan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Pendidikan hari ini tidak boleh hanya tertumpu  pada pencapaian akademik semata-mata. Anak-anak perlu diberi ruang untuk mempelajari bagaimana mengurus emosi, membina keyakinan diri, menyelesaikan konflik, menghargai perbezaan dan berkomunikasi dengan beradab. 

Institusi pendidikan seharusnya menjadi ruang terbaik untuk menerapkan nilai-nilai insaniah melalui aktiviti kokurikulum, program khidmat masyarakat, pembelajaran berbentuk projek, serta sesi refleksi nilai dan karakter. Pelajar perlu diberikan peluang untuk memahami nilai melalui pengalaman, bukan hanya hafalan.

Dalam masa yang sama, peranan ibu bapa sebagai pendidik pertama dan utama sangat penting. Rumah adalah madrasah pertama, dan ibu bapa ialah guru sepanjang hayat.

Kemahiran insaniah tidak boleh dididik hanya dengan kata-kata, tetapi perlu ditunjukkan melalui teladan dan amalan harian, daripada tutur kata hingga kepada cara menyantuni orang sekeliling.

READ MORE:  Kita mempunyai tanggungjawab kolektif untuk memastikan keamanan dan kemampanan

Kerajaan dan masyarakat sivil juga perlu menggerakkan lebih banyak kempen kesedaran awam yang menarik minat golongan muda. Program seperti khidmat komuniti, sukarelawan atau kem motivasi yang menekankan aspek nilai, empati dan jati diri boleh dijadikan ruang untuk menyuburkan jiwa mereka.

Begitu juga dengan penggunaan media sosial untuk menyebarkan mesej positif dan naratif membina.

Kita tidak mahu membina generasi yang hanya hebat dari segi akademik dan teknologi, tetapi rapuh dari segi emosi dan moral. Ketahanan mental, kekuatan rohani dan akhlak mulia perlu digandingkan dengan kemajuan material dan ilmu.

Insaniah adalah asas kepada kemajuan yang seimbang. Perlu kita akui, dunia hari ini bukan mudah. Tekanan sosial, krisis identiti dan keperluan untuk sentiasa menonjol di mata masyarakat menjadikan generasi ini mudah lelah secara emosi. Maka, nilai insaniah ialah pelindung dan penawar  bagi membentuk keutuhan dalaman agar mereka tidak mudah goyah di sebalik cabaran luaran.

Akhirnya, dunia ini tidak akan berubah dengan satu tindakan besar, tetapi dengan berjuta-juta tindakan kecil yang dilakukan secara ikhlas.

Maka, mulakan dengan diri sendiri dengan melatih untuk bersikap jujur, bantu orang sekeliling, menghormati hormati perbezaan dan sebarkan kasih sayang.

Insan yang baik akan melahirkan masyarakat yang positif yang akan membina negara yang berjaya.

Dr Siti Nazziera Mokhtar merupakan felo penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz di Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x