Home TA Online Kepentingan kaum muda dan isu perempuan dan gender bukan soal remeh

Kepentingan kaum muda dan isu perempuan dan gender bukan soal remeh

Orang Asli children - CAROL YONG

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sering dikatakan generasi muda, yang dikenal golongan kaum milenial, adalah pemimpin masa depan.

Jika benar, maka anak-anak milenial ini harus seawalnya digalakkan berfikiran progresif menjadi pemimpin, pelopor dan penggerak dalam perjuangan demokrasi dan masyarakat.

Tetapi dalam konteks Malaysia, kepimpinan terutama dalam politik dan pentadbiran kerajaan masih kuat didominasi oleh kaum tua. Sesetengah lagi sudah mengusang tetapi tidak hendak mengundurkan diri.

Malah, kerajaan yang berturut-turut tidak menganggap penyertaan dan peranan aktif golongan muda, tidak kira perempuan, lelaki atau lain, sebagai keutamaan. Penolakan permohonan penubuhan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), sebuah parti politik belia, dan melambat-lambatkan proses mendaftar rakyat yang berumur 18 tahun dan ke atas sebagai pengundi dalam pilihan raya yang akan datang hanyalah dua contoh.

Sementara itu, pandemik coronavirus telah memberi dampak kepada sektor peladangan kelapa sawit Malaysia yang sangat bergantung kepada pekerja asing, sehingga 80%, terutama dalam kerja penuaian dan berkaitan lapangan.

Justeru kerajaan dan agensi berkaitan, pemilik ladang dan pakar berdebar mencadangkan strategi menangani kekurangan tenaga kerja dalam industri kelapa sawit.

Usaha perlu dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia, seperti Orang Asli, dengan menyebarkan berita mengenai manfaat industri itu serta kekurangan buruh yang dihadapinya.”

“Agak menyedihkan apabila kita melihat penurunan minat rakyat tempatan, terutamanya generasi muda sejak beberapa tahun lepas untuk mengambil peluang menyertai pelbagai pekerjaan dalam industri ini.”

Saya tertanya-tanya samada saya harus bersorak atau menangis untuk anak-anak muda kita dan Orang Asli. Apakah keupayaaan mereka cenderung saja menjadi buruh upahan ladang kelapa sawit komersial?

Walaupun dalam konteks ekonomi, ia adalah perspektif yang sempit tentang potensi, keupayaan, bakat dan visi anak-anak muda kita.

Hal ini memunculkan persoalan keseluruhan industri minyak sawit yang beroperasi atas dasar ini serta kenapa kerajaan masih tertumpu kepada suatu industri yang bertenaga buruh intensif, sedangkan majoriti belia kita tidak berminat.

Oh ya, pemilik ladang dan kerajaan giat mengambil langkah agar sektor perladangan industri sawit akan terus berkembang dan menarik untuk bekerja, seperti menambah gaji dan menerapkan mekanisasi dan automasi. Tentunya anak dan cucu cicit para menteri dan pemilik ladang komersial patut duluan didorong memasuki sektor keemasan ini untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja!

Kebanyakan anak muda lain sebenarnya berminat dan mampu melakukan kerja yang lebih berkelayakan atau bermakna daripada menjadi pekerja ladang komersial.

Jika kesaksamaan sumber, peluang dan sokongan diberikan kepada anak-anak muda – baik di kawasan luar bandar dan bandar dan tanpa mengira gender, etnik, agama,  bahkan masyarakat terpinggir dan kurang mampu – maka setiap anak muda dapat peluang optimal untuk memupuk atau membangunkan bakat, kemahiran dan impian mereka.

Kini masanya golongan muda patut diberi kuasa untuk bercakap untuk diri sendiri dan didengari dan diberi peran dan tanggungjawab membuat pilihan hidup mereka dan keputusan dalam semua bidang kehidupan mereka.

Satu lagi isu yang sering mengacau fikiran saya adalah isu-isu perempuan dan kanak-kanak, serta keadilan sosial.

Berapa kerapkah ahli dewan undangan negeri dan ahli Parlimen pilihan pengundi membangkitkan dan bertindak terhadap isu-isu penting khususnya kepada wanita dan kanak-kanak, dan hak masyarakat terpinggir (selain daripada beberapa orang, antaranya bekas Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh)?

Ini membuat isu-isu wanita dan gender semakin menjadi tema berpolitik ketimbang aksinya, dibangkitkan apabila keperluan timbul, sebagai contoh, pada 8 Mac, Hari Wanita Antarabangsa.

Atau semasa berkempen untuk menunjuk-nunjuk isu wanita disokong oleh parti dan calon. Musim pilihan raya adalah masa yang baik untuk memerhati ucapan, penampilan dan kegiatan ahli politik dan calon, baik wanita dan lelaki, mahupun hanya untuk mengira berapa kali mereka menyebut serta memuji kaum wanita dan sumbangan mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Kita harus mengharapkan ahli-ahli Parlimen dan dewan undangan negeri, terutamanya dari latar belakang NGO atau yang pernah bekerja dengan NGO, untuk membawa angin segar bagi mengetengahkan isu-isu wanita atas inisiatif mereka sendiri dan bukannya disorong oleh masyarakat sivil dan orang umum berprihatin.

Namun, selepas memenangi kerusi mereka, kebanyakan wakil yang dipilih seolah-olah lembap minat dan kesediaan untuk meneruskan perjuangan wanita dan keadilan gender bersama NGO wanita, masyarakat sivil dan terutamanya gadis dan wanita biasa.

Nah, kalau begitu, dalam pilihan raya akan datang, mengapa perlu NGO bahkan menyokong rakan-rakan aktivis mereka untuk bertanding, walhal setelah diberi mandat mereka cenderung melupakan isu-isu ini, apatah lagi jika mereka dilantik ke kabinet atau majlis eksekutif negeri.

Sekaligus kalimat seorang aktivis Orang Asli setelah melihat tanah adat masyarakat Orang Asli diambil sewenang-wenang oleh kerajaan untuk “pembangunan”, berbunyi di kepala saya: “Mengundi pun bukan ada faedahnya. Semua otak orang kita Malaysia ni ramai jadi YB hanya untuk perut sendiri dan kaum keluarga.”

Carol Yong ialah seorang aktivis veteran yang telah lama berkhidmat di Sarawak dan kemudian di Sabah

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x