Besar kemungkinan tiada sesiapa pun dapat menyusun semula caca-marba yang berlaku serta membentuk sebuah kerajaan negeri dengan sokongan majoriti, tulis Jeyakumar Devaraj.
Berita bahawa Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu kehilangan undi percaya di Dewan Undangan semalam mengejutkan rakyat di Perak.
Khabar angin bertebaran bahawa beliau akan dijatuhkan setiap kali sesi dewan undangan ketika tempohnya sebagai ketua kerajaan Pakatan Harapan. Namun, tiada apa yang terjadi ketika itu. Tetapi, pada 4 Disember, beliau kehilangan undi percaya seramai 48 yang menolak berbanding hanya 10 yang mendukung.
Beberapa pemimpin masyarakat di mana Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudah lama bekerjasama kemudiannya berbincang dengan kami tentang hal ini. Apakah ianya membawa keuntungan kepada kita – mereka mahukan pendapat saya.
Saya membalasnya dengan soalan – adakah Faizal Azumu menjalankan polisi yang menguntungkan kalian?
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Seramai 20% masyarakat dengan hasil rumah terendah di Sungai Siput sudah menuntut skim sewa-beli rumah sejak pemerintahan Barisan Nasional lagi. Tuntutan mereka langsung tidak mendapat respon positif dari BN, PH dan sekarang kerajaan Perikatan Nasional.
Komuniti Orang Asli di Pos Piah dan Jalong Tinggi (keduanya di Sungai Siput) sudah menuntut kepada kerajaan untuk campurtangan dan menghentikan pembalakan berhampiran kampung mereka.
Azumu menyampaikan kepada media bagaimana beliau begitu mengambil kisah akan Orang Asli. Namun pada waktu yang sama tetap meneruskan kawasan baru untuk pembalakan.
Petani sayuran kecil di beberapa lokasi di Perak juga menuntut kepada Azumu untuk campur tangan dan menghentikan pengusiran mereka – namun semuanya tidak berhasil. Walaupun menghantar berpuluh surat, Azumu sekalipun tidak pernah menemui kelompok petani ini.
Jelas, beliau bukanlah seorang yang mendukung mereka yang di dalam kelompok-kelompok ini.
Namun adakah sebarang sebab untuk kita bergembira? Apakah pengganti Azumu, yang boleh jadi datang dari Umno, akan lebih terbuka dengan permintaan rakyat?
Apakah MB baru akan menggunakan kuasanya yang luas tentang soal tanah untuk memberi tanah kepada kerajaan persekutuan bagi membina rumah sewa-beli bagi 20% golongan miskin di Perak?
Apakah beliau akan mewartakan 300 ekar tanah bagi setiap perkampungan Orang Asli di Perak?
Apakah beliau akan memastikan semua petani yang terlibat dalam mengeluarkan hasil tani diberikan pajakan jangka masa panjang bagi memastikan keselamatan untuk menggunakan tanah bagi tujuan produksi makanan?
Menteri besar baru boleh melakukan semua ini, mengikut Perlembagaan Persekutuan kita, kerana tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri. Namun adakah beliau akan melakukannya?
Godaan pasti ada bagi pemimpin di peringkat negeri untuk menggunakan kuasa bagi memperkayakan diri mereka sendiri melalui peluang yang ada apabila pembalak, pemaju perumahan serta pengilang mahu mendapatkan permit atau geran tanah.
Sekarang, tidak ada mekanisme di dalam Kanun Tanah Negara yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang efektif kepada kuasa menteri besar yang luas. Menteri besar, pengarah Pejabat Tanah dan Galian, dan pengarah perhutanan tidak perlu menjawab kepada sesiapun tentang keputusan berkaitan soal tanah.
Apakah menteri besar yang akan datang berubah? Adakah dia akan meletakkan kepentingan 20% golongan miskin terendah, Orang Asli dan petani kecil berbanding keperluannya untuk mengumpul harta perang bagi pilihanraya akan datang?
Ataupun PH dapat menyelamatkan keadaan dengan menyatakan sokongan kepada menteri besar dari Umno dengan janji untuk serius menangani masalah dihadapi oleh 20% golongan miskin terendah, Orang Asli dan petani sayuran di Perak?
Optimis merupakan sebuah sifat yang baik namun bukanlah untuk membawa jangkaan yang tidak masuk dek akal. Kuasa hanya akan beralah apabila dicabar – apabila rakyat membentuk gerakan akar umbi rentas etnik dengan mengutamakan keadilan sosial serta merangkumi semua.
Polisi yang baik harus dari bawah! Rakyat biasa tidak hanya perlu bergantung kepada keluhuran budi para elit. Malangnya di Malaysia, kita terpesong jauh dari tujuan membina gerakan akar umbi rentas etnik sejak Mei 2018.
Tidak ada sebabnya untuk warga Perak yang biasa untuk berkobar-kobar dengan penyingkiran Azumu. Pun begitu, banyak perkara yang perlu kita takuti. Besar kemungkinan tiada sesiapa pun dapat menyusun semula caca-marba yang berlaku serta membentuk kerajaan negeri dengan dokongan majoriti. Oleh sebab itu, tidak ada pilihan lain kecuali untuk membubarkan dewan undangan negeri, yang bermakna bahawa tarikh pilihanraya perlu diumumkan di dalam 60 hari.
Kita semua melihat bagaimana pilihanraya Sabah memburukkan epidemik coronavirus. Kebanyakan rakyat Perak tidak mahu ianya berlaku semula. Bukan saja ramai akan jatuh sakit, ekonomi juga akan terkesan dengan langkah kawalan pergerakan, mengakibatkan kerugian ekonomi bagi banyak pihak.
Jika pilihanraya negeri diadakan, adakah seteru utama – BN, PH, Pas dan Bersatu akan berhujah dengan rasional dan bersaing dengan sihat – atau mereka akan terus menggunakan kebimbangan dan keraguan etnik lain sebagai ancaman jahat?
Jika ianya yang kedua, pasti ia akan membawa kita jauh dari membina gerakan politik rentas etnik – satu-satunya gerakan dengan potensi untuk menyembuhkan luka yang dilakukan oleh kita sendiri. Hanya dengan membina konsensus melangkaui etnik serta agamalah yang diperlukan kita dapat membawa negara ini menuju keharmonian serta keadilan bagi semua.
Terjemahan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme