Suasana nampaknya seperti lembap, tapi jangan pandang enteng kuasa undian anda untuk membentuk lanskap politik yang lebih mengutamakan rakyat suatu hari kelak, ujar Carol Yong.
Tak usahlah orang ramai khususnya rakyat Sabah berbahas lagi bila pilihan raya negeri Sabah akan diadakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 September 2020 ini sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon adalah pada 12 September.
Kenapa adakan pilihan raya mengejut, sedangkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan belum pun genap lima tahun mentadbir Sabah?
Didesak oleh masalah beberapa ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada blok gabungan pemerintah yang lompat parti, Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah dan juga presiden Warisan, telah meyakinkan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk perkenan bubar dewan undangan negeri, dan pilihan raya mengejut diadakan dalam tempoh 60 hari. Justeru komplot bekas Ketua Menteri Musa Aman untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Warisan punah.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Musa Aman pula mendakwa beliau telah memperoleh majoriti mudah, berdasarkan surat akuan sokongan daripada 33 Adun, untuk mengetuai dan membentuk kerajaan negeri yang baru. Barangkali pengguguran 46 tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram terhadap Musa pada Jun 2020 lalu telah menaikkan nafsunya untuk menduduki kerusi ketua menteri sekali lagi.
Antara harapan dan realiti
Nah, jangan merasa ghairah. Rakyat telah berkali-kali dikhianati oleh pergolakan politik dan perebutan kuasa segelintir elit politik, seperti yang dilihat dalam peristiwa demi peristiwa baru-baru ini. Cuma pergolakan politik dalaman dan antara parti-parti di kedua-dua belah pihak (pemerintah dan pembangkang) semakin hari semakin hangat.
Ternyata sejak saat kemenangan Pakatan Harapan pada piliharan raya umum 2018 yang sekaligus berhak membentuk kerajaan persekutuan, telah bertanak perancangan besar Barisan Nasional-Umno untuk menggulingkan PH dan sekutu Warisan – bermula dengan kerajaan persekutuan kemudian menular ke peringkat negeri.
Tidak lama selepas PH tumbang, kerajaan negeri PH yakni Perak, Johor dan Kedah, dan yang terkini Sabah pimpinan Warisan, semua tumbang juga. Kenapa terjadi begitu kalau bukan kerana ada kalangan ahli Parlimen dan Adun yang kononnya ditawarkan ganjaran wang besar dan jawatan tinggi untuk melompat parti ke pihak ‘pembangkang’ ketika itu.
Pergolakan antara beberapa elit politik yang tanpa segan silu mendominasi, merampas dan memegang kuasa sentiasa berkitar. Semakin berleluasa, kita melihat ahli politik kaya mengumpan wakil rakyat tamak dalam usaha untuk mengambil alih kuasa.
Tindakan pengkhianatan kepada pengundi ini bukan sahaja dikritik hebat, malahan menghina demokrasi dan proses pemilihan. Soalan penting untuk ditanyakan adalah, bagaimana ahli politik menjadi begitu kaya pada mulanya?
Hakikatnya, semasa PH memegang kuasa di persekutuan dan Warisan di Sabah, tanda serupa juga kelihatan berlaku. Misalnya, dalam kalangan PH dan Warisan, mereka tidak mengutuk dengan tegas tindakan menyogok wakil rakyat (negeri dan persekutuan) serta gejala lompat parti, dan langsung tidak meluluskan sebarang mekanisme untuk mencegah.
Sebaliknya mereka tunduk kepada kepentingan Mahathir dan Shafie yang masing-masing menerima kemasukan ahli-ahli politik dengan DNA BN-Umno melompat ke PH dan Warisan, begitu juga lantikan wakil rakyat menjadi ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan. Ironinya, kini mereka bising tentang dakwaan pembelian ahli mereka dan menyokong pihak belah lain.
Mengundi atau tak mengundi?
Banyak pejuang hak mengundi (suffragettes) pada awal abad ke-20an mempertaruhkan bukan sahaja kediaman, keluarga dan pekerjaan, bahkan juga nyawa mereka untuk menegakkan hak wanita untuk memilih dalam pilihan raya.
Begitu juga gerakan hak sivil yang berjuang untuk mendapatkan hak orang yang memenuhi syarat umur minimum untuk layak mengundi, tanpa diskriminasi atas dasar bangsa, etnik, kelas, pendidikan, status sosial dan ekonomi, agama atau jantina.
Akhirnya, bukan sahaja secara teori malahan secara pelaksanaan, warganegara yang layak mendapat hak mereka untuk turut serta dalam proses demokrasi dan memegang kuasa untuk memutuskan siapa yang mereka inginkan sebagai penggubal undang-undang.
Di Malaysia, kerajaan persekutuan dan negeri, dan wakil rakyat yang kita pilih dari semua parti politik lazimnya menyokong dasar dan isu-isu yang jarang berpihak kepada kepentingan umum. Kecuali sebilangan kecil sahaja, ramai daripada mereka nampaknya melindungi kepentingan sendiri dan elit. Mereka lalai menegakkan keadilan sosial dan gender, hak asasi manusia dan kebebasan asasi yang kita hargai.
Lama-kelamaan membuatkan orang berfikir, apa perlunya atau ada hasilkah kalau mengundi? Ini bukan kerana ramai orang tidak memahami bagaimana sistem pengundian berfungsi, tetapi kerana sistem ini menjadi semakin tidak masuk akal.
Apatah lagi, ramai orang merasa muak, jemu dan kecewa dengan prestasi dan nilai parti-parti politik, ahli-ahli dewan di peringkat negeri dan persekutuan, dan peranan Parlimen hari ini.
Janji-janji parti-parti politik, pemimpin dan wakil rakyat semacam slogan, dan membawa perubahan kosmetik, bukan melaksanakan reformasi dan perubahan struktur secara tulen yang diharapkan oleh rakyat.
Namun, Malaysia memakai sistem demokrasi berparlimen sebagai institusi tadbir urus pemerintah. Rakyat terlibat dalam proses memilih wakil rakyat mereka.
Mengundi mengambil masa hanya beberapa minit hingga beberapa jam, bergantung kepada jarak tempat tinggal dengan pusat mengundi, tetapi akan memberi kesan untuk tahun-tahun akan datang.
Satu undi mungkin hanya satu antara berjuta, tetapi ia sebenarnya lebih berkuasa daripada apa yang kita bayangkan. Jumlah setiap satu undi orang ramai akan menentukan keputusan akhir pilihan raya.
Mengembalikan kuasa rakyat: suatu perjuangan berterusan
Kita tahu dari pilihan raya selama enam dekad yang lalu, ramai pengundi di Sarawak, Sabah dan Semenanjung yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sukar diakses, serta orang tua dan orang kurang upaya, bergantung kepada bantuan luaran – umumnya dari jentera pemerintah ketika itu – untuk membawa mereka ke tempat mengundi. Banyak undian mereka nampaknya berakhir sebagai “kemenangan” untuk BN-Umno dan sekutu mereka di Sarawak dan Sabah
Sebenarnya, majoriti pengundi menggunakan sumber daya mereka sendiri (wang dan waktu) untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dan menyuarakan pilihan mereka. Ramai pengundi – anak muda, khususnya – telah menjadi pemilih yang mengambil berat tentang isu-isu penting yang melanda negara kita dalam memutuskan sama ada akan menyokong atau menentang setiap calon.
Bersama-sama dengan orang yang berfikiran sealiran dan dengan pengajaran berharga dari sejarah, kita harus berusaha membina kekuatan rakyat sebagai kuasa ketiga dan mungkin memperolehi kembali kekuatan rakyat yang akan membawa kepada perubahan yang tulen di masa hadapan.
Para pejuang hak undi dan hak sivil era awal mempertaruhkan semua yang mereka miliki, dan ramai yang menderita, berjuang dan mati. Usaha mereka memberi petunjuk betapa pentingnya untuk kita mempertahankan hak untuk undi.
Undi anda amat bernilai.Jangan putus asa, dan gunakannya dengan bijak.
Carol Yong adalah seorang aktivis dan penulis bebas
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme