Oleh Mustaqim Badrul Hisham
Sebelum ini, Aliran pernah menerbitkan penulisan saya yang mengecam Naib-Canselor Universiti Malaya Noor Azuan Abu Osman kerana mempertahankan saluran terbuka di universiti tersebut.
Kini, tidak berapa lama kemudian, Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula mempertahankan saluran serupa yang turut wujud di universiti awam itu.
Meskipun justifikasi yang diberikan berbeza, kenyataan kedua-dua mereka mendedahkan satu hakikat pahit: bahawa mereka yang diamanahkan memimpin institusi awam, yang sepatutnya menjadi penjaga prinsip pendidikan awam, sering kali gagal memahami atau mempertahankan asas penubuhan universiti awam itu sendiri.
Naib-canselor UiTM memberikan alasan bahawa hanya sejumlah kecil yang diterima masuk melalui saluran komersial. Maka, tiada isu besar kerana majoriti pelajar masih melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Hujah ini sangatlah berbahaya kerana mengabsahkan ketidakadilan atas alasan “tak ramai yang terkesan”. Ini seperti mengatakan bahawa tidak mengapa jika ada segelintir pekerja diambil melalui “kabel” kerana kebanyakan yang lain tetap melalui tapisan merit. Logik sebegini harus ditolak mentah-mentah.
Itulah yang dilakukan oleh naib-canselor UiTM dalam kes ini. Realitinya, pelajar yang diterima melalui saluran terus ini tidak melalui sistem pemarkahan merit. Tiada mekanisme telus yang dapat menjamin bahawa tiada pelajar yang lebih layak disisihkan hanya kerana mereka tidak mampu membayar yuran tinggi. Dan tiada data yang boleh membuktikan bahawa sistem ini tidak secara senyap menafikan peluang pelajar miskin untuk memasuki universiti awam.
Kewujudan saluran berdasarkan keupayaan membayar, walau sekecil mana sekalipun, telah mencemari prinsip asas universiti awam: bahawa kemasukan harus berdasarkan merit atau keperluan, bukan kekayaan.
Lebih membimbangkan, sistem sedia ada juga terikat dengan kuota etnik dan dasar afirmatif yang sudah lama menjadi titik panas dalam wacana pendidikan negara. Ramai pelajar bukan-bumiputera ditolak masuk ke universiti awam seperti UiTM, bukan kerana tidak layak dari segi akademik, tetapi kerana latar belakang etnik mereka. Ada juga yang tidak cukup ‘bumiputera’ di mata pembuat dasar, lalu juga dihalang daripada mengakses pendidikan.
Sebahagian besar daripada mereka ini kemudiannya terpaksa menuntut di institusi pengajian tinggi swasta walaupun tidak mampu menampung kos. Dalam konteks ini, kemunculan saluran komersial hanya menambahkan luka: ia membuka jalan kepada pelajar yang sanggup membayar, sambil terus menafikan tempat kepada mereka yang tersingkir kerana ‘race-based affirmative action’.
Sebaliknya, pelajar yang ditolak oleh UPU akibat polisi ini langsung tidak diberi peluang kedua. Tidak ada saluran tambahan untuk mereka dinilai semula berdasarkan pencapaian mahupun keperluan. Maka, apabila tempat-tempat diisi oleh pelajar saluran komersial – yang tidak melalui sistem penilaian UPU dan bukan pula dari kategori yang ditindas oleh sistem berasaskan etnik (dan bukannya keperluan) – maka ketidakadilan menjadi dua kali ganda. Mereka yang selama ini ‘terkandas’ kerana kaum, kini juga ‘dipintas’ kerana wang.
Ini jelas memperlihatkan bagaimana dua sistem penapisan yang berbeza boleh bersekongkol mencipta ketidakadilan yang mendalam dalam akses pendidikan tinggi. Ia mewujudkan keistimewaan kelas di atas keistimewaan keturunan.
Peluang bukan lagi berdasarkan merit, keperluan atau keadilan, tetapi siapa yang dilahirkan dalam kelompok majoriti, atau siapa yang punya poket lebih tebal.
Kesan akhirnya adalah satu sistem pendidikan tinggi yang semakin mengekalkan jurang sosioekonomi dan kaum, bukannya menguranginya. Inibukan isu skala. Ini isu struktur. Isu sistemik. Isu keadilan sosial! Satu bentuk normalisasi kasta pendidikan dalam sistem awam – sistem yang sepatutnya menjadi alat mobiliti sosial, bukan mengekalkan jurang.
Sistem yang tidak adil tetap tidak adil, tidak kira berapa ramai yang terkesan. Kronisme dalam proses pengambilan pekerja tidak akan sekali-kali dihalalkan atas dasar sejumlah kecil saja yang diterima berdasarkan prinsip itu. Maka logik sama mesti digunakan dalam kes saluran komersial ini.
Ironinya, alasan ini datang daripada naib-canselor UiTM, sebuah universiti awam yang mengutamakan bumiputera. Ketika cadangan seperti membuka sedikit ruang kepada bukan-bumiputera dibangkitkan, gamat negara. Namun jika logik naib-canselor UiTM diterima, apa masalahnya jika hanya sejumlah kecil pelajar bukan-bumiputera diterima?
Sehingga kini, UiTM mahupun universiti awam lain dengan saluran komersial masih gagal menjawab persoalan pokok. Apa rasional di sebalik pewujudan saluran terbabit?
Jika tujuannya untuk menjana pendapatan, mengapa tidak kenakan yuran lebih tinggi kepada pelajar yang benar-benar mampu, tetapi tetap melalui tapisan UPU?
Bukankah itu sejajar dengan prinsip penyasaran subsidi yang dicanangkan oleh kerajaan? Kenapa pilihan yang lebih adil itu diketepikan, dan sebaliknya saluran komersial pula diutamakan?
Dalam kes-kes tertentu, wujud saja pelajar kurang mampu yang terpaksa melalui saluran komersial dengan mengambil pinjaman atau menanggung beban kewangan yang berat, semata-mata kerana tidak ditawarkan melalui saluran UPU.
Sementara itu, anak orang kaya yang diterima melalui UPU menikmati subsidi kerajaan yang besar. Di UiTM, kadar subsidi ini antara yang tertinggi dalam sistem pendidikan tinggi awam negara.
Situasi ini bukan sahaja tidak adil, malah bertentangan sama sekali dengan semangat asal penubuhan institusi awam.
Tiada justifikasi moral atau masuk akal yang boleh mengabsahkan kewujudan saluran komersial di universiti awam. Universiti awam bukan entiti perniagaan. Ia ditubuhkan untuk menjamin akses pendidikan kepada rakyat, bukan untuk menjual peluang kepada yang mampu membayar.
Saluran komersial wajib dihapuskan. Universiti awam perlu dikembalikan kepada matlamat asalnya: memperluas akses kepada pendidikan tinggi secara adil.
Untuk ini, kerajaan harus menyediakan dana yang mencukupi. Jika ratusan juta ringgit boleh dibelanjakan untuk menangguhkan kenaikan tol atau menyelamatkan projek bermasalah, maka kekangan peruntukan untuk universiti awam sebenarnya bukan isu kemampuan – tetapi soal keutamaan.
Mustaqim Badrul Hisham ialah graduan pentadbiran awam dan seorang advokat hak mahasiswa yang aktif dalam Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram). Penulisannya banyak menumpukan kepada kritikan terhadap dasar-dasar yang meminggirkan rakyat marhaen, khususnya dalam bidang pendidikan. Beliau konsisten memperjuangkan keadilan sosial dan menuntut agar negara meletakkan kepentingan rakyat – bukan elit politik atau kelas pemodal – sebagai pusat dalam segala proses pembuatan dasar.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

