Baca Bahagian 2 dan Bahagian 3.
Tidak lama dahulu, kakak ipar isteri saya menceritakan tentang komunikasi yang beliau lihat di media sosial antara seorang lelaki Israel dan dua orang perempuan dari China.
Lelaki Israel itu memomok China kerana terkenal mengeluarkan barangan tiruan.
Jawapan pedas daripada warga China itu adalah: “Awak cakap apa? Seluruh negara Israel awak tu palsu!”
Hebat bagaimana sejak Oktober 2023, pemikiran orang awam memahami rasa ketidaksahan negara Israel.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
‘Eretz Israel’ yang bermaksud ‘Tanah Israel’ ialah slogan gerakan nasionalis Zionis di Eropah pada lewat Kurun ke-19. Dakwaannya adalah bahawa Palestin bersejarah ialah hak milik orang Yahudi, tanpa mengira orang Palestin peribumi yang tinggal di sana. Dan sesungguhnya Tuhan telah menjanjikan tanah itu kepada Yahudi sejak lebih daripada 3,000 tahun dahulu.
Dengan alasan Tuhan di sisi mereka, keganasan yang melampau digunakan untuk mengeluarkan penduduk asal Palestin sehinggalah termetrainya pengumuman negara Israel pada 1948.
Hal ini berlaku walaupun Zionisme bukan satu agama dan sebaliknya ialah gerakan nasionalis sekular yang mengaku bahawa Injil telah menyediakan “satu mitos tentang hak kita ke atas tanah Palestin” (lihat di bawah).
‘Ersatz’ bermaksud palsu, tidak asli. Hal di atas sudah berbau kepalsuannya. Kita akan melihat mengapa Eretz Israel akan lebih tepat dibaca sebagai Ersatz Israel.
Kepalsuan No. 1 – “Sebuah tanah tanpa penduduk untuk satu bangsa tanpa tanah”
Pernyataan ini terang-terangan adalah dusta. Palestin bersejarah bukanlah tanah yang tidak berpenduduk.
Namun, propaganda Zionis dengan licik menggambarkannya sebagai kosong dan tersedia untuk diambil dan dijajah oleh Yahudi, terutamanya Yahudi dari Eropah.
Hakikatnya, Palestin bukan sahaja kawasan geografi di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan termasuk kawasan sekitarnya. Ia merupakan tanah berpenduduk orang Palestin asal yang mempunyai akar sejarah yang panjang – yang mempunyai identiti, bahasa dan budaya yang pelbagai yang subur sejak akhir Zaman Gangsa (sekitar 1200 SM) sehingga era moden.
Nama Palestin telah direkod sejak 3,200 tahun dahulu dan merupakan nama yang kerap digunakan sejak sekitar 450 SM (Rujuk karya agung Nur Masalha, Palestin – Sejarah Empat Ribu Tahun.)
Hal ini menyangkal dakwaan yang masih kita temui berulang kali bahawa Palestin atau rakyat Palestin itu tidak wujud seolah-olah Israel tidak merampas apa-apa daripada sesiapa pun.
Nampak sangat yang dakwaan itu masih hidup, sejak dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Israel, Golda Meir pada 1969 (“There was no such thing as Palestinians”) sehinggalah ke Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, pada tahun 2023 (Smotrich says there’s no Palestinian people, declares his family ‘real Palestinians – Times of Israel).
Faktanya, apabila penghijrahan pertama ke Palestin yang diatur oleh Zionis pada tahun 1882, sudah ada masyarakat Arab yang sudah lama hidup di Palestin; kebanyakan mereka adalah Islam, dengan komuniti Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang hidup bersama-sama.
Jauh daripada merupakan sebuah gurun yang tandus, Palestin mempunyai pelabuhan dan bandar pesisir yang hidup, hubungan perdagangan dengan Eropah, ekonomi pertanian yang kaya, tradisi budaya yang mendalam, dan kota-kota bersejarah.
Di sebalik propaganda kesat, terdapat satu lagi penjelasan mengapa para Zionis awal begitu mudah menggunakan kepalsuan bahawa Palestin ‘tidak berpenduduk’ – iaitu perkauman. Penduduk asal Palestin bukan orang kulit putih dari Eropah. Oleh sebab itu, mereka boleh dilayan sebagai makhluk yang kurang – direndahkan kemanusiaan mereka, diketepikan dan tidak dianggap sebagai orang yang menduduki tanah tersebut.
Logik merendahkan kemanusiaan orang Palestin berterusan sejak kurun yang lalu sehinggalah ke hari ini. Para pemimpin dan pegawai Israel secara terbuka telah menggunakan istilah sperti ‘belalang’, ‘manusia binatang’, ‘binatang buas berkaki dua’, dan ‘lipas mabuk’ untuk menggambarkan penduduk Palestin. Boleh dikatakan kelakuan ini lebih menonjolkan hakikat orang Israel itu berbanding dengan penduduk asal Palestin yang sedang mereka halau.
Di Palestin, Zionisme adalah dalam bentuk penjajahan penempatan (settler colonialism). Satu populasi dari luar menduduki tanah penduduk asal dengan cara mendominasi, menyingkirkan dan menggantikan populasi asal.
Penjajahan ini berkongsi ciri utama penjajahan Eropah – rakus, bersifat genosid, mengamalkan penindasan, merampas hak. Ia juga melahirkan sikap perkauman yang selari dengan pandangan hidup penjajah Eropah.
Satu ironi timbul daripada keadaan itu. Theodor Herzl secara umumnya dianggap sebagai pengasas politik moden Zionisme pada akhir Kurun ke-19. Dia ialah seorang Yahudi sekular yang diserap (diasimilasi) yang duduk di Vienna. Namun, sifat anti-Yahudi yang dia saksikan di Eropah mendorongnya untuk mengemukakan penyelesaian bersifat nasional dan politik dalam risalahnya pada tahun 1896, The Jewish State (Negara Yahudi).
Ironinya adalah apabila Herzl bertindakbalas terhadap sifat anti-Yahudi di Eropah dengan mendukung pandangan hidup penjajah Eropah yang bersifat perkauman dan menghalakannya kepada “Asia yang tidak bertamadun”. Beliau menggambarkan sebuah negara Yahudi di Palestin sebagai berkhidmat kepada kepentingan imperial Eropah.
Dia menulis:
Untuk Eropah, kita akan menjadi sebahagian daripada tembok menentang Asia; kita akan menjadi kota kara (outpost) tamadun menentang ketidakbertamadunan [penegasan oleh penulis].
Hal ini ialah perkauman. Eropah dianggap sebagai bertamadun sementara Asia ialah orang gasar.
Faham perkauman yang sama terus membentuk budaya sosial dan politik Israel hari ini. Negara yang sering diuar-uarkan sebagai “satu-satunya yang mengamalkan demokrasi di Timur Tengah” hakikatnya, dalam dunia nyata, ialah sebuah negara yang dibentuk atas dasar aparteid dan perkauman.
Sila semak rujukan berikut:
- Apartheid – B’Tselem
- World Court Finds Israel Responsible for Apartheid – Human Rights Watch
- Israel’s apartheid against Palestinians: Cruel system of domination and crime against humanity – Amnesty International
- The Legal Architecture of Apartheid; Israeli Apartheid – Palestine Portal
Sehingga kini, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengulang-ulang ungkapan bertamadun lawan tidak bertamadun (civilisation versus barbarism).Pendek kata, “satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah” ini adalah palsu.
Kepalsuan No. 2 – Israel dijanjikan Tuhan kepada orang Yahudi lebih daripada 3,000 tahun dahulu
Pernyataan di atas bukannya hujah yang munasabah yang dapat dibahaskan dengan bermakna.
Sebagaimana dilihat di atas, dakwaan bahawa Palestin “tidak mempunyai penduduk” adalah satu dusta untuk memberikan gambaran bahawa tanah itu tersedia untuk diambil.
Di sini, dakwaannya ialah satu janji Tuhan: bahawa tanah itu boleh diambil kerana telah dijanjikan kepada orang Yahudi lebih daripada 3,000 tahun dahulu – oleh Tuhan sendiri. Namun begitu, janji ini (jika iya) akan mengorbankan penduduk asal Palestin yang, agaknya juga, ialah ciptaan Tuhan.
Betapa ironinya kerana banyak pemimpin awal Zionis seperti Theodor Herzl, Chaim Weizmann, David Ben-Gurien dan Ze’ev Jabotinsky bukanlah mereka yang mengamalkan agama Yahudi.
Namun, tetap sahaja mereka memetik Tuhan kerana dengan melakukan yang demikian dapat menyokong ideologi sekular Zionism.
Sebagaimana yang ditulis oleh Ilan Pappé dalam Ten Myths About Israel[Sepuluh Mitos Tentang Israel], seorang sosialis Zionis menggambarkan Injil sebagai menyediakan “mitos untuk hak kita ke atas tanah itu”. Lalu, sebagaimana yang dikatakan oleh Pappé, “sekalipun mereka tidak percaya pada Tuhan, Tuhan walau bagaimanapun telah menjanjikan Palestin kepada mereka.”
Kesannya, mangsa-mangsa Zionism terpaksa menanggung akibat daripada satu tuntutan agama sedangkan mereka tidak menganutnya. Dari sisi yang lain, satu kepercayaan agama dipaksakan ke atas mereka sebagai keadaan politik yang nyata.
Ada yang menganggapnya khurafat. Jika begitu, maka warga Palestin dirompak, dibunuh, dihalau secara paksa dan tanah mereka dijajah semata-mata kerana satu perkara khurafat.
Satu kepalsuan yang zalim.
Walau bagaimanapun negara berdaulat hari ini ditadbir mengikut peraturan antarabangsa, bukannya kelayakan al-kitabiah mahupun dakwaan agama kuno.
Sebuah janji dari sebuah kitab suci mungkin bermakna kepada penganut suatu agama, namun ia bukan hak milik kedaulatan di bawah undang-undang antarabangsa moden.
Kedaulatan negara hari ini bergantung kepada pelbagai faktor seperti populasi, wilayah, kerajaan, keupayaan untuk menjaringkan hubungan antarabangsa, hak menentukan nasib sendiri, kesetaraan kedaulatan dan larangan daripada pemerolehan wilayah secara paksa – bukannya dakwaan kurniaan Ilahi dari zaman dahulu.
Banyak bangsa mempunyai hubungan purba dengan tanah air yang kini telah mereka tinggalkan atau leraikan. Sekiranya sejarah purba semata-mata memberikan hak mutlak kedaulatan sesebuah negara, sebahagian besar dunia moden akan hancur-lebur oleh perebutan berdasarkan dakwaan nenek-moyang masing-masing.
Baca Bahagian 2 dan Bahagian 3.
Diterjemahkan oleh Siti Hazneza Abdul Hamid
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











