Home TA Online Nukilan untuk Khairy Jamaluddin (dan golongan neokonservatif Umno)

Nukilan untuk Khairy Jamaluddin (dan golongan neokonservatif Umno)

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Di mana pergi suara mereka? Ironinya, suara-suara perubahan hanya datang dari orde lama Umno seperti Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz, ujar Muhamad Takiyuddin.

Saya berasa seperti ingin migrain apabila membaca komen ketua pemuda Umno, saudara Khairy Jamaluddin berhubung penyesalan beliau “untuk tidak bercakap benar kepada Najib” dan membiarkan Umno semakin terpisah dengan realiti selepas pemecatan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal.

Ini merupakan kenyataan lebih berterus terang beliau selepas menjadi pemimpin Umno pertama yang menyokong pengunduran Najib Razak selepas berlakunya revolusi senyap pada 9 Mei 2018.

Bagi yang mengikuti perkembangan mengenai tokoh meteorik ini dengan dekat, kenyataan seperti ini bukanlah asing dengan diri beliau. Seperti biasa, Khairy terkenal kerana seringkali menggunakan analogi dan metafora yang menarik dan catchy.

Hal ini juga tidak mengejutkan kerana beliau mempunyai pemimpin Umno yang mempunyai latar pendidikan yang begitu baik dan cemerlang. Sebagai contoh, beliau menggunakan analogi, “We got drunk on our own Kool-Aid and we got carried away” dan juga “We didn’t want to bell the cat”. Sungguh menarik sekali dan begitu sesuai dengan keadaan yang menimpa beliau dan Umno.

Hanya yang patut ditonjolkan, pengeluaran kenyataan kritis dan melankolik seperti ini seringkali dilakukan beliau apabila nasi sudah menjadi bubur. Dengan kata lain, Khairy seringkali bijak memaparkan dwi-karektor yang dipunyai beliau.

Krisis identiti

Selepas pilihan raya umum 2008 yang mengakibatkan BN-Umno kehilangan lima buah negeri, Khairy turut merupakan orang pertama yang melakukan kawalan kemusnahan khususnya dalam konteks peranannya sebagai tangki intelektual kepada pentadbiran Abdullah Badawi. Hampir semua media yang ada digunakannya bagi menerangkan “tentangan terhadap perubahan” yang berlaku dalam pentadbiran Abdullah dan mencadangkan pelan pemulihan bagi Umno.

Lihatlah temubual-temubual beliau selepas pilihan raya umum 2008 dalam Malaysiakini, theSun, Nut Graph dan Off the Edge. Cukup meyakinkan, penuh inspirasi, disulami dengan metafora dan analogi yang tidak mampu dikeluarkan oleh pemimpin Umno yang lain. Temubual-temubual yang dilakukan beliau pasca pilihan raya umum 2008 ini merumuskan bahawa Umno perlu melakukan perubahan secepat mungkin bagi mengelakkan tragedi itu berulang.

READ MORE:  Umno sliding to oblivion!

Namun 10 tahun selepas itu, Umno bukan sahaja dihadapkan dengan tragedi yang lebih besar iaitu kehilangan kuasa, namun kehilangan kuasa dalam keadaan yang tidak terduga dan lebih memalukan. Metafora saya: jika Abdullah Badawi dan Umno hanya jatuh terduduk dalam pilihan raya 2008, Najib Razak dan Umno jatuh berkecai dalam pilihan raya 2018.

Rakyat sudah memberi tempoh 10 tahun selepas 2008 untuk Umno melakukan perubahan. Dan perubahan itu wajar disumbangkan dengan signifikan oleh tokoh seperti beliau.

Bagaimanapun, wajah Khairy yang kritis pasca pilihan raya umum 2008 beransur menghilang dan digantikan semula dengan wajah Khairy pra-pilihan raya umum 2008 yang seolah-olah menghadapi krisis identiti. Mungkin beliau mabuk dengan bilangan like dan komen di Facebook ataupun dengan urusan yang lebih picisan seperti warna stokinnya yang berbeza atau soal menyimpan jambang di mukanya.

Umum tidak memahami bagaimana pemimpin berbakat seperti beliau boleh mendiamkan diri dengan begitu banyak kebejatan yang berlaku dalam pentadbiran Najib. Jika ada sebarang kritikan dan pandangan yang berbeza dalam kerajaan, ia patut datang dari Khairy terlebih dahulu kerana popularitinya. Namun ini tidak berlaku.

Selepas pemulihan imej beliau pasca pilihan raya umum 2008, khususnya selepas dilantik sebagai menteri belia dan sukan, beliau patut menggunakan peluang ini untuk terus menjadi suara pengimbang di dalam kerajaan. Sekurang-kurangnya untuk menghantar mesej kepada rakyat bahawa masih ada suara naluri dan suara penimbal di dalam Umno. Namun harapan hanya tinggal harapan.

Dan kini, Khairy mengeluarkan semula retorik-retorik lama beliau seperti “suara rakyat suara keramat”, “Umno terpisah dengan realiti”, “Umno parti elit” dan sebagainya. Ke mana 10 tahun yang rakyat berikan kepada beliau untuk berubah atau sekurang-kurangnya menjadi suara yang bersimpati dengan kehendak rakyat?

READ MORE:  Will Umno change for Malaysia and its people?

Khairy juga perlu memilih pasukan yang betul untuk melakukan perubahan. Imej beliau sebagai ketua pemuda banyak dicalari oleh naib presiden Umno, Khairul Azwan, yang kebudak-budakan.

Tidak sudah-sudah berpaut dengan “laporan polis” dan retorik “konspirasi menggulingkan kerajaan”. Sehinggalah ke tindakan klasik beliau membuat laporan polis berhubung aktiviti menggulingkan kerajaan yang kononnya didalangi oleh individu berintegriti tinggi seperti Zeti Aziz dan Abu Kassim Mohamed. Oh Tuhan. Ini merupakan jenaka terbaik bagi tahun 2016 yang lepas.

Neokonservatif Umno

Saya telah menyatakan dalam buku saya Saga Neokonservatif: Abdullah Badawi, Umno dan Konservatisme (Penerbit UKM, 2014) bahawa Khairy dan tokoh seperti Nur Jazlan dan Saifuddin Abdullah merupakan golongan neokonservatif di dalam Umno. Mereka dicirikan dengan sikap seperti kritis, moden, progresif dan responsif terhadap perubahan – elemen-elemen yang membezakan mereka dengan aliran konservatif dalam Umno. Dengan kata lain, inilah antara barisan kepimpinan Umno bagi masa hadapan.

Namun tesis saya hanya tinggal sebagai tesis. Selepas 2015, saya seringkali menyatakan pada pelajar-pelajar saya, tesis tersebut tidak lagi boleh dijadikan sandaran kerana kedua-dua mereka telah melakukan pusingan U yang substantif. Melainkan bagi Saifuddin Abdullah yang mengambil keputusan tepat dengan meninggalkan Umno, dua tokoh yang lainnya “dihanyutkan oleh arus konservatif” di dalam Umno.

Lihat apa yang berlaku pada Nur Jazlan. Sebelum menyertai kerajaan, beliau memprojekkan dirinya dengan imej yang progresif: menjadi kolumnis di portal media bebas The Malaysian Insider; mengkritik amalan etnosentrik Umno; dan menggesa agar Umno melakukan reformasi dengan menyeluruh. Pendirian ini juga masih dikekalkan beliau apabila dilantik menjadi pengerusi PAC.

Namun beliau dengan begitu mudah di-coopt oleh Umno. Apabila dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan juga memaparkan dwi-karektornya. Tidak sahaja beliau semakin keberatan menjadi suara kritis namun membuat pusingan 360 darjah.

Satu contoh yang paling ekstrem ialah apabila Nur Jazlan menuduh syarikat penerbangan Cathay Pacific terlibat dalam usaha pertukaran rejim menerusi langkahnya membatalkan yuran tempahan semula bagi penumpang yang ingin pulang untuk pilihan raya umum kali ini. Sekali lagi, Oh Tuhan. Saya tidak pernah menyangka Nur Jazlan akan menjadi serendah ini – malah tidak dalam mimpi liar saya.

READ MORE:  Umno general assembly: Will Nenggiri spark a revival?

Turut membingungkan ialah tokoh seperti Shahrir Samad. Siapa akan menyangka tokoh kritis yang pernah memenangi pilihan raya kecil Johor Bahru sebagai calon bebas pada 1988 (pilihan raya kecil klasik dalam sejarah pilihan raya kecil Malaysia) akan menamatkan kariernya dengan sebegini rupa.

Sekian lama, Shahrir dikenali sebagai suara kritis di dalam kerajaan. Beliau tidak pernah takut dan bersembunyi dalam mengeluarkan pandangan. Kelantangannya dalam era Abdulah Badawi, contohnya, turut menerima kredit dari sarjana saintis politik Malaysia yang kritikal seperti Francis Loh.

Namun di dalam era Najib, Shahrir Samad seolah-olah tidak wujud. Saya seringkali tertanya jampi apa agaknya yang digunakan Najib sehingga boleh menjinakkan tokoh seperti Shahrir Samad?

Ironinya, suara-suara perubahan hanya datang dari orde lama Umno seperti Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Rais Yatim dan Syed Hamid Albar. Mereka-mereka ini pada asalnya dikenali sebagai suara-suara status quo. Fakta bahawa perubahan yang berlaku lebih disumbangkan oleh tokoh-tokoh yang sudah hampir expired seharusnya menjadi malu paling besar buat Khairy dan Pemuda Umno.

Justeru, saya menggesa Khairy: cukuplah dengan retorik, analogi dan metafora-metafora yang mengasyikkan. Bukan menjadi rahsia, apabila diajukan soalan berhubung pemulihan Umno selepas ini, jawapan yang banyak diterima ialah agar Umno dipimpin oleh golongan muda seperti beliau. Ini menunjukkan yang beliau masih berpotensi menjadi tarikan dan aset penting buat Umno.

Sebagai ahli akademik yang percaya kepada konsep semak imbang serta difusi kuasa, saya mengharapkan golongan neokonservatif Umno akan melakukan “kelahiran semula” seterusnya menjadi mekanisme semak imbang yang efektif kepada Harapan.

Profesor Madya Dr Muhamad Takiyuddin merupakan pensyarah di program Sains Politik UKM.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
10 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Vejay Chin
17 May 2018 11.08pm

Kaki bodek – tabik…

Rajan Subramaniam
17 May 2018 8.49pm

Any party that had race as it’s model, will not be successful..it has to hv malaysia as it’s aim…

Ariffin Omar
17 May 2018 8.27pm

The … licking club of UMNO Baru.

Tengku JW
17 May 2018 6.32pm

The last laugh!

Philomena Pereira
17 May 2018 3.37pm

Salute to a world renounced thief.

Mohammad Azmi Abdul Rahim
17 May 2018 3.11pm

Bila kemewahan dan berkuasa di hati ini lah akibat nya. Pemuda UMNO telah hilang kredibiliti macam Wanita dan Puteri UMNO.

Fun Shū
17 May 2018 2.27pm

💪💪🤑🤑🤑🤣🤣🤣

Swee Keng Aw
17 May 2018 2.29pm

Saya mengharapkan pemulihan Umno supaya BN boleh menjadi parti pembangkang yang kuat.

Sophia Seow Abdullah Seow
17 May 2018 1.55pm

Terakhir ketawa n Tabit🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣

Yap Bin Chun
17 May 2018 1.48pm

Last salute.

10
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x