Home TA Online Peguam negara perlu bertanggungjawab kepada Parlimen

Peguam negara perlu bertanggungjawab kepada Parlimen

Cadangan membawa peguam negara menjawab pertanyaan di Parlimen bukanlah satu idea baharu

WIKIMAPIA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Mohd Fakhrurrazi

Tahniah diucapkan kepada jentera “perpaduan” kerana berjaya mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan di kerusi dewan negeri Simpang Jeram dan parlimen Pulai di Johor.

Keputusan pada 9 September membuktikan rakyat di kedua-dua kawasan mengangkat jasa dan pemimpin bekerja keras seperti Almarhum Salahuddin Ayub.

“Rahmah” Salahuddin Ayub itu padu dan berkesan dalam jiwa rakyat. Legasi ini perlu dipikul kerajaan perpaduan agar ia terus berbakti kepada rakyat kebanyakan. Saya juga berharap lebih ramai pemimpin baharu mencontohi kepimpinan Salahuddin dalam memacu kemajuan rakyat dan negara.

Kemenangan di kedua-dua pilihan raya kecil ini bukti pemimpin yang ikhlas dan berjiwa rakyat tidak akan berdepan masalah untuk menang mana-mana pilihan raya. Ini lebih mulai daripada alasan melepaskan pemimpin yang mempunyai 47 kes pertuduhan pecah amanah atas keputusan “lepas tanpa bebas”.

Entah kenapa, segelintir penyokong kerajaan perpaduan agak pekak dan rabun mempertahankan isu ini untuk mengekalkan kestabilan kerajaan. Dalil kerajaan tidak campur tangan kian lunak didendangkan sehingga mengatakan Perikatan Nasional pernah guna keputusan lepas tanpa bebas bagi membebaskan pemimpin korup Umno. 

Sedarlah, jawaban tidak masuk akal ini telah meletakkan tahap politik PH seperti PN. Persoalannya, apakah orang Umno juga akan pertahankan Lim Guan Eng jika dilepaskan dalam kes dakwaan menerima suapan untuk kes terowong Pulau Pinang? Sudah pasti tidak.

Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki menyatakan pihaknya akan membuat siasatan lanjut ke atas kes Zahid Hamidi. Ketegasan ini mungkin melegakan rakyat, tetapi sudah terlambat.

Kebanyakan rakyat melihat kelemahan kerajaan perpaduan mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi. Faktanya, tidak pernah individu yang dikenakan keputusan lepas tanpa bebas akan didakwa semula ke mahkamah atas bukti baharu dan ia selalunya lesap secara perlahan-lahan.

READ MORE:  PM dan peguam negara digesa tak guna kuasa hentikan perbicaraan kes-kes korupsi (Malay/English)

Pencerahan yang gelap

Kenyataan media pejabat peguam negara hanya menambah defisit kepercayaan rakyat ke atas pendirian kerajaan perpaduan memerangi rasuah.

Logiknya mudah – peguam negara mana yang mampu mendakwa Timbalan PM? Kalau ada yang berani pun, dia akan ditendang keluar dari pejabat secepat mungkin.

Hairan juga bila kes ini tidak boleh dibahaskan di Parlimen kerana “Parlimen bukan mahkamah”. Ironinya, ketika isu peguam negara menggugurkan kes 1MDB era Najib Razak, pemimpin PH lah beriya-iya membawa usul untuk dibahaskan di Parlimen. Kalau begitu, apa beza integriti PH, Barisan Nasional dan PN sekarang?

Reformasi parlimen teruji dengan pendirian tempang ini. Apa guna kalau menteri undang-undang dan reformasi institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang secara langsung mengawasi peguam negara dan pendakwa raya, tetapi kes Zahid ini tidak berani menjawab dan mambahaskan kes ini?

Apa lagi yang tinggal melainkan rasa kecewa rakyat dan penyokong PH yang sedang melihat prinsip integriti dimusnahkan pemimpin PH dalam kerajaan perpaduan, yang dahulunya turun ke jalanan menolak kes rasuah. Mereka terus mendiamkan diri, kononnya perlu mengikut disiplin parti. 

Normalisasi budaya mempertahankan kerajaan secara taksub dan kurang rasional ini akan menghambat agenda reformasi, nilai politik integriti dan kejujuran yang sudah dibina sejak berdekad lamanya, khasnya dalam usaha mengangkat institusi Parlimen sebagai badan kawal dan imbang terhadap badan eksekutif. 

Suka atau tidak, peranan Parlimen dalam membahas dan mempersoal pendirian pejabat peguam negara ini perlu dilaksanakan dengan segera.

Cadangan membawa peguam negara menjawab pertanyaan di Parlimen bukanlah satu idea baharu.

Sewaktu perintah darurat dikuatkuasakan pada 2021, Azalina Othman Said, waktu itu sebagai timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, mencadangkan peguam negara pada masa itu, Idrus Harun, hadir ke Dewan Rakyat menjawab isu-isu berbangkit berkaitan Ordinan Darurat – bukan pihak ‘ketiga’ seperti menteri undang-undang. Azalina menyatakan peguam negara perlu menjadi penasihat kepada Parlimen, selain jemaah menteri dan Agong.

READ MORE:  Promise you won't drop Najib's pending cases, group urges attorney general

Peguam negara sebagai menteri kabinet

Bukankah ini cadangan yang terbaik untuk menerangkan kes Zahid di Parlimen memandangkan Azalina kini menjawat jawatan sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi kerajaan perpaduan?

Lim Kit Siang turut menyahut kenyataan Azalina ketika itu dengan mencadangkan Idrus dilantik sebagai senator dan menjadikan beliau sebagai menteri kabinet berdasarkan Perkara 145 (5) perlembagaan persekutuan. Logiknya, apabila peguam negara menjadi menteri, dia perlu hadir menjawab pertanyaan dan berbahas di Parlimen disamping menghadiri mesyuarat kabinet. 

Jika imbas kembali sejarah politik negara, peguam negara pernah menjadi sebahagian daripada jemaah menteri dan ahli Parlimen seperti Abdul Kadir Yusof (peguam negara kedua) di bawah kabinet Razak Hussein, dan Hamzah Abu Samah (peguam negara ketiga) sewaktu pentadbiran Hussein Onn.

Maka, idea diketengahkan Lim adalah selari dengan amalan yang pernah dilaksanakan bekas perdana menteri Malaysia sebelum ini. 

Kali terakhir saya semak jumlah senator di laman sesawang Parlimen, terdapat enam kekosongan senator lantikan Agong atas nasihat perdana menteri. Masih belum terlambat untuk melantik peguam negara yang baharu, Ahmad Terrirudin Salleh sebagai senator dan menjadi anggota kabinet perpaduan bagi menjawab pendirian peguam negara dalam isu 47 kes Zahid dan garis masanya untuk melakukan pendakwaan semula bila cukup bukti.

Pendekatan ini salingan kepada proses pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya yang akan dilaksanakan. Kaedah ini lebih mudah, cepat dan tidak perlu melalui proses yang panjang lebar.

Kemenangan di pilihan raya kecil Simpang Jeram dan Pulai perlu menjadi semangat buat kerajaan perpaduan membetulkan masalah struktur pentadbiran negara. Jangan gunakan kemenangan ini untuk berperindian bebas dan melepaskan kes rasuah yang lain pula.

READ MORE:  Attorney general, strict adherence to letter of law no excuse for non-transparency

Ini semua untuk membalas jasa budi dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada perdana menteri dalam menegakkan keadilan dan kemakmuran Malaysia.

Mohd Fakhurrazzi adalah seorang penganalisis politik Malaysia yang berminat tentang reformasi institusi, pilihan raya dan pembangunan belia

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x