Home TA Online ‘Pembonsaian’ pemikiran rakyat: Halangan utama terhadap pembangunan negara

‘Pembonsaian’ pemikiran rakyat: Halangan utama terhadap pembangunan negara

Ahli akademik separuh masak perlu dikenal pasti dan diasingkan daripada ahli akademik sebenar

A bonsai on display at the US National Arboretum - RAGESOSS/WIKIPEDIA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Teh Yik Koon

Kadangkala kita mungkin terserempak dengan buku atau penulisan yang meninggalkan kesan yang mendalam di dalam pemikiran kita.

Pada saya, salah satu daripadanya ialah rencana yang ditulis oleh Hishamuddin Rais yang bertajuk “Yang bonsai dan yang dibonsaikan“.

Istilah bonsai yang digunakan oleh Hishamuddin merujuk kepada seni tanaman hiasan Jepun yang mana pokok-pokok mini dihasilkan daripada pokok-pokok yang lebih besar dari jenis yang sama.

Dalam kontek ini, beliau telah menyamakan proses mengecilkan pokok-pokok ini dengan proses penyempitan minda orang-orang Melayu.

Menurut Hishamuddin:

Selama 22 tahun dengan pemerintahan kuku besi, Mahathir telah bersekongkol dengan Umno untuk menebar jala dan jaring agar tidak berkemungkinan manusia Melayu dapat memerdeka dan membebaskan fikrah mereka dari hegemoni Umno. Inilah yang dinamakan pembonsaian fikrah Melayu.

Umno telah memegang tampuk kuasa di negara ini selama 60 tahun, termasuk semasa negara menghadapi pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Dengan hasil minyak yang melimpah serta dibantu oleh Dasar Ekonomi Baru, pemimpin politik Umno tanpa perlu bekerja keras dapat menikmati kekayaan dan kemewahan dengan cara yang mudah.

Di zaman kegemilangan ini, acara-acara Umno tidak ubah seperti satu pertunjukan fesyen di mana unsur-unsur kemewahan baik dari segi pakaian, barang kemas atau kenderaan ditayang dengan megah untuk semua melihatnya.

Kekayaan dan kemewahan ini telah menyebabkan mereka menjadi ketagihan. Dengan itu Umno perlu terus mengekalkan kuasanya dengan plot dan perancangan yang perlu dilaksanakan dengan apa jua sekali pun.

Langkah pertama yang perlu diambil ialah dengan menanam di minda masyarakat Melayu perasaan serba kekurangan dan persepsi yang kedudukan mereka terancam.

Minda mereka telah disogok dengan amaran yang mereka telah jauh ketinggalan dalam segala bidang dan apa yang masih tinggal dengan mereka – kekayaan mereka, tanah mereka, hak-hak mereka dan lain-lain – akan diambil oleh bangsa lain terutama orang Cina.

Nada amaran yang berbaur perkauman ini menguatkan lagi perasaan yang diri mereka terancam dan menambah rasa kebencian mereka terhadap kaum Cina. Mereka seterusnya disarankan untuk menyokong Umno, satu-satunya platform yang boleh menyelamatkan mereka.

Minda penduduk luar bandar di kalangan ramai orang Melayu memang mudah dikuasai. Cabaran yang timbul ialah bagaimana untuk mempengaruhi pemikiran golongan intelektual Melayu yang sebahagian besarnya adalah dari kalangan penjawat awam kerajaan dan ahli akademik.

Bagi tujuan ini, Biro Tata Negara (BTN) telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menguasai minda mereka. Penjawat awam dan ahli akademik telah diwajibkan untuk menghadiri kursus BTN sebelum mereka diberikan biasiswa dan dilepaskan untuk menyambung pengajian.

READ MORE:  Scholarship and activism - potent mix for reform

Tidak semua di kalangan mereka ini berjaya di kuasai minda mereka.

Bagi mereka yang berjaya dipengaruhi, kumpulan ini dengan segera akan dikenalpasti untuk menjadi tompok penyebaran dalaman agenda propaganda parti pemerintah (deep state). Bagi mereka yang memilih laluan ini, syarat laluan kerjaya yang baru akan tersedia.

Kecekapan dan kecermelangan tidak lagi menjadi kriteria utama. Di sebaliknya kriteria ini telah diganti dengan tahap kesetiaan terhadap parti pemerintah dan semangat perkauman yang ditunjukkan – faktor-faktor utama yang menjadi landasan laluan alternatif yang mudah untuk peningkatan kerjaya.

Pembonsaian minda masyarakat Melayu tidak akan lengkap dengan hanya curahan propaganda dan pernyataan-pernyataan yang menakut-nakutkan. Suatu unsur yang kukuh perlu diperkenalkan. Di sinilah agama telah dieksploitasi dan disalahgunakan.

Penggabungan unsur agama dan bangsa telah memperkasakan proses pembonsaian minda Melayu. Masyarakat Melayu bukan sahaja dituntut untuk menelan propaganda yang ditabur secara bulat-bulat, tetapi dengan tafsiran agama yang telah putarbelitkan juga dituntut untuk tidak mempersoalkannya.

Dengan ini proses pembonsaian minda Melayu dapat dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Tugas untuk membonsaikan minda Melayu ini telah diberikan kepada ahli akademik Melayu yang telah dipengaruhi pemikiran mereka oleh Umno.

Mereka yang sering mengikuti perkembangan akademik tanah air mungkin menyedari tentang timbulnya isu-isu tidak puas hati mengenai perlantikan naib-canselor dan lain-lain jawatan tertinggi di universiti-universiti, yang tidak dibuat berdasarkan kebolehan tetapi berasaskan kronisme dan kesetiaan terhadap parti pemerintah.

Pucuk pimpinan tertinggi ini seterusnya akan melaksanakan agenda Umno dengan tindakan-tindakan yang cuba menutup mulut mereka-mereka yang lantang memberikan pandangan menentang dengan melabelkan mereka ini sebagai “anti-establishment”.

Dalam hal ini kesalahan mereka adalah kelantangan mereka bersuara dalam mengemukakan isu-isu yang melibatkan salah laku pentadbiran, ketiadaan langkah yang positif untuk meningkatkan taraf akademik yang semakin menurun, dan kes-kes kecurangan akademik yang tidak dibendung.

Mereka ini akan disisihkan dari arus utama kerjaya dan akan kekal di situ sehinggalah mereka bersara atau keluar meninggalkan universiti.

Layanan yang diberikan kepada mereka ini akan digunakan sebagai amaran untuk menghalang mereka-mereka yang lain dari melakukan perkara yang sama.

Langkah ini amat berkesan terutama di kalangan mereka yang baharu sahaja berkecimpung di dalam dunia akademik. Di kalangan mereka yang oportunis, ini adalah satu langkah yang mudah diikuti.

Malah ada yang sanggup untuk mengampu pucuk pimpinan universiti semata-mata untuk menentukan masa depan yang lebih cerah dan peluang kenaikan pangkat yang mudah. Tindakan mereka ini biasanya akan menghasilkan keputusan yang lumayan.

READ MORE:  Scholarship and activism - potent mix for reform

Oleh kerana tujuan utama kewujudan pucuk pimpinan sebegini adalah untuk membonsaikan pemikiran, nilai mutu akademik tidak akan dipedulikan langsung.

Kes-kes curangan akademik di kalangan para academic dan pelajar biasanya dibiarkan berleluasa malah ada yang cuba ditutup mengakibatkan perbuatan ini semakin membiak.

Mereka yang mengambil kesempatan ini juga terdapat dari golongan etnik yang lain yang menyedari akan faedah budaya mengampu bodek.

Keadaan menjadi semakin genting apabila mereka yang separuh masak diambil untuk menjadi ahli akademik. Dengan ijazah yang ada, serta mempunyai hubungan atau jaringan politik tetapi tidak mempunyai bakat, kemahiran, sikap dan tahap intelektual yang diperlukan, mereka ini diambil untuk menjadi tenaga pengajar.

Perbincangan yang rancak baru-baru ini telah membicarakan isu penghasilan graduan PhD yang amat ramai bilangannya oleh sebuah universiti dan jumlah pelajar kelas pertama yang begitu besar yang telah dikecualikan pembayaran pinjaman pelajaran oleh kerajaan.

Ini mencerminkan yang penekanan kita dalam bidang pelajaran hanyalah kepada jumlah pelajar yang dikeluarkan dan bukannya terhadap mutu pelajaran yang diberikan. Ini adalah kerana sistem pendidikan kita telah banyak dipolitikkan.

Akibatnya terdapat banyak kekeliruan yang disengajakan berlaku. Pelajaran telah disatukan dan disalah ertikan dengan kepintaran yang mana ini adalah satu tanggapan yang salah.

Sebagaimana yang pernah disuarakan oleh Richard Feynman, seorang tokoh teori fizik yang terkenal: “Jangan sekali-kali terkeliru di antara pelajaran dan kebijaksanaan. Anda mungkin mempunyai ijazah PhD tapi masih kekal sebagai seorang dungu.”

Malangnya masyarakat kita masih terperangkap di dalam kekeliruan ini.

Dengan tahap mutu akademik yang rendah kita telah di banjiri dengan gerombolan ahli akademik yang mempunyai tahap intelek dan pengetahuan yang cetek. Bagi mereka satu-satunya cara untuk meningkat adalah dengan bermain politik.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila penjawat awam  yang telah bersara, melalui jaringan kenalan mereka dilantik ke jawatan akademik yang kanan berdasarkan gred gaji mereka sebelum bersara, semata-mata atas dasar “pengalaman profesional” mereka.

Walau pun tidak mempunyai sebarang pengalaman mengajar dan menyelia pelajar, membuat penyelidikan dan menghasilkan penulisan akademik, mereka ini dibayar dengan gaji yang lumayan. Ini adalah satu tanggapan yang tidak logik dan didorong oleh kepentingan sendiri.

Setiap profesyen mempunyai laluan dan tangga kerjaya yang tersendiri yang perlu diikuti. Misalnya, seorang profesor dalam bidang pengajian ketenteraan tidak boleh dilantik sebagai seorang jeneral semata-mata di atas pengetahuan akademik beliau, dan begitu juga seorang jeneral tidak layak dilantik sebagai seorang profesor semata-mata di atas dasar pengalaman beliau.

READ MORE:  Scholarship and activism - potent mix for reform

Dengan universiti dipenuhi oleh manusia sedemikian, proses pembonsaian minda masyarakat Melayu dapat dimudahkan.

Yang amat mengejutkan ialah proses pembonsaian ini berlaku di alam yang sepatutnya proses pembangunan dan percambahan minda berlaku. Minda yang cetek akan terus menghasilkan lagi minda yang cetek – “Yang bonsai dan yang dibonsaikan”.

Jumlah mereka yang bonsai ini akan bertambah dan sekali gus akan menurunkan lagi taraf mutu akademik negara.

Di sesetengah universiti, minda ahli akademik mereka telah begitu bonsai sehinggakan perlu diwujudkan satu kod pemakaian bagi mengajar mereka bagaimana untuk mengenakan pakaian.

Keadaan sebeginilah yang merupakan satu situasi yang diperlukan dalam membonsaikan minda Melayu.

Hishamuddin mengakhiri penulisannya dengan bertanyakan soalan: “Apakah berkemungkinan si bonsai mengenali dirinya bonsai? Soalan ini amat seram lagi menyeramkan”.

Pada pandangan saya, bonsai-bonsai di dalam dunia akademik in amat selesa berada di dalam ‘zon selamat’ mereka.

Tanpa sebarang kemampuan untuk menyerlahkan diri mereka di peringkat antarabangsa dan tidak pernah didedahkan kepada apa yang dimaksudkan sebagai akademia kelas pertama, mereka diselubungi dengan perasaan yang status identiti dan kewibawaan mereka sebagai ahli akademik terancam.

Untuk menguatkan semangat dan kedudukan mereka, tanpa segan silu dan dengan angkuhnya, mereka telah mengisytiharkan diri mereka sendiri sebagai “intelek” dan “ilmuwan” – terminologi yang amat hebat bagi mereka yang pemikirannya telah dibonsaikan, tetapi merupakan satu bahan ketawa bagi mereka yang arif terhadap tindak tanduk mereka ini.

Tidak tertinggal dari deklarasi ini adalah kata-kata pujian yang kosong yang dengan jelas mengampu pucuk pimpinan politik pemerintah.

Pembonsaian minda masyarakat kita, terutamnya di kalangan orang Melayu, perlu diberhentikan segera. Bonsai-bonsai yang sedia ada perlu dicabut akar umbinya agar ianya tidak lagi bertambah dan terus merosakkan minda rakyat. Hampas perlu diasingkan dari padi. Ahli akademik separuh masak perlu dikenal pasti dan diasingkan daripada ahli akademik sebenar.

Hanya dengan langkah ini kita akan dapat mengimpikan institusi-institusi pengajian tinggi yang bermutu serta berkemampuan untuk membina dan mencambah pemikiran rakyat.

Teh Yik Koon ialah seorang ahli akademik yang telah berkhidmat selama 36 tahun. Beliau juga merupakan ahli Aliran dan ahli jawatankuasa Gerak Akademik

Artikel ini telah diterjemahkan dari artikel asal dalam Bahasa Inggeris

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x