
Perkembangan teknologi media digital memberikan satu gambaran bahawa masyarakat informasi kontemporari menjadi semakin demokratik kerana kawalan yang ketat terhadap media arus perdana oleh pihak berkuasa dari segi penyebaran ideologi politik telah dilonggarkan, terutamanya bagi negara yang bersifat semi-autoritarian seperti Malaysia.
Secara teori, ruangan awam dalam talian membolehkan rakyat jelata berdiskusi dan berwacana secara bebas.
Malangnya, kebebasan sedemikian merupakan satu mitos.
Kawalan media masih kekal wujud oleh pihak pemerintah semi-autoritarian walaupun dalam bentuk dalam talian.
Tambahan lagi, struktur pemilikan oligarki oleh beberapa syarikat teknologi global seperti Alphabet (Google), Amazon, Apple, dan Meta (Facebook) yang beroperasi dalam satu logik kapitalisme semakin melenyapkan ruangan berdiskusi secara rasional demi kepentingan penjanaan keuntungan maksima bagi syarikat tersebut.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Artikel ini mengkaji isu penyebaran berita palsu semasa perang menangani wabak Covid dan membincangkan ancamannya terhadap demokrasi dalam ekosistem media digital yang semakin kompleks.
Sejak dua tahun kebelakangan ini, penyebaran maklumat palsu mengenai wabak Covid menjadi perkara yang bertular dalam kalangan warga maya bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di arena global.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mendakwa platform seperti Facebook memainkan peranan yang “membunuh orang” dalam hal memfasilitasikan penularan berita palsu mengenai vaksin Covid. Walaupun bahasa yang digunakan merupakan retorik keterlaluan, bukannya tiada asas dalam dakwaan sedemikian.
Satu kajian terkini mengenai corak komunikasi antara pengguna-pengguna Facebook dalam isu anti-vaksin telah dilakukan oleh sekumpulan pengkaji di Eropah dan mereka mendapati bahawa pengguna warga maya media sosial jarang akses kepada mesej dan kandungan yang tidak sepandangan dengan kepercayaan mereka atau langsung tidak ada interaksi dengan mereka yang mempunyai perspektif yang berbeza dengan mereka.
Tinjauan ini menunjukkan dua masalah yang harus kita beri perhatian.
Pertama, pola penyebaran maklumat dalam Facebook bersifat homogen. Hal ini tidak menggalakkan perbincangan dan perbahasan yang rasional dan terbuka mengenai isu berpolemik. Kepercayaan orang awam terhadap sesuatu isu seperti vaksin atau anti-vaksin sering dihubungkaitkan dengan kecelaruan maklumat yang disalurkan oleh pihak berkepentingan mengikut garis polarisasi ideologi yang sedia wujud.
Hal ini memperlihatkan jenis maklumat yang bersifat “emosi” yang tidak berlandaskan bukti-bukti sains ditularkan dalam kumpulan maya seperti kumpulan anti-vaksin. Dalam kumpulan-kumpulan tersebut, pola komunikasi yang bersifat homogen memperkukuhkan kepercayaan yang bersifat subjektif dan seterusnya mengaburi kebenaran sesuatu isu/kisah/berita tersebut.
Kedua, persepsi seseorang individu bersifat bias terhadap maklumat yang selari dengan kepercayaan mereka yang sedia wujud tanpa mengambilkira keesahan sesuatu berita juga merupakan salah satu faktor penyebaran berita palsu. Berita palsu yang sengaja dihasilkan oleh pihak berkepentingan memanipulasikan ekosistem media sosial supaya mendapat perhatian yang secukupnya. Dalam proses ini, maklumat yang bersifat saintifik dan berlandaskan bukti-bukti yang sahih diketepikan.
Sebuah liputan rencana yang diterbitkan oleh Sheera Frenkel dalam The New York Times pada 24 Julai 2021 mendapati seorang doktor osteopati dari Florida merupakan penyebar utama berita palsu mengenai keselamatan vaksin Covid. Doktor tersebut dikatakan mengaut keuntungan besar daripada aktiviti penjanaan dan penyebaran maklumat palsu mengenai penggunaan vaksin dalam platform media sosial.
Satu lagi penyelidikan yang dilakukan oleh Bureau of Investigative Journalism di UK mendapati Facebook sebenarnya mengaut keuntungan kewangan yang lumayan daripada halaman anti-vaksin yang aktif dalam platformnya.
Adalah diketahui umum bahawa platform media sosial mengguna pengiraan algoritma (teknologi kecerdasan buatan) untuk menentukan pola pengaliran dan sumber maklumat mengikut kegemaran pengguna media sosial.
Logik di sebalik formula algoritma ini berpaksikan keuntungan dari segi pendominasian pasaran dan ekonomi digital.
Algoritma yang mengambilkira data “psikometrik pengguna” juga mempermainkan “emosi” pengguna supaya mendapatkan respon/klik yang sebanyak mungkin, tanpa mengira samada pola pengaliran maklumat tersebut akan mengakibatkan kualiti wacana awam semakin mengabaikan fakta yang sahih dan rasional untuk kepentingan masyarakat secara kolektif.
Oleh kerana berita palsu mempunyai sifat yang menarik perhatian orang ramai, ia akan menjana lebih banyak ‘klik’, ‘kongsi’, dan pada akhirnya menjana keuntungan yang lebih banyak kepada syarikat teknologi gergasi. Maka, tiada insentif bagi syarikat teknologi gergasi global seperti Facebook untuk menghalang dan menghapuskan berita palsu.
Kedua-dua peristiwa di atas jelas menunjukkan satu konflik kepentingan wujud dalam situasi penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin Covid dalam platform media sosial seperti Facebook.
Sifat bias manusia dan platform media sosial yang mengutamakan keuntungan saling melengkapi dan hal ini merupakan satu resipi sempurna untuk penyebaran berita palsu mengenai isu-isu keselamatan vaksin.
Maka isu kebertanggungjawaban yang terletak di tangan syarikat-syarikat gergasi teknologi perlu dipersoalkan. Ini demi mempertahankan asas sesebuah sistem demokrasi iaitu kepentingan satu lingkungan awam yang berfungsi baik bersama menegakkan satu keagungan ideal kebebasan bersuara secara rasional dan berlandaskan fakta.
Sistem demokrasi sekarang dikatakan menghadapi ancaman dan cabaran yang besar dari revolusi digital media yang terkini kerana lingkungan awam maya untuk berkomunikasikan idea dan dasar polisi yang berpaksikan fakta dan rasional semakin merosot.
Dalam konteks budaya politik di Malaysia, salah satu kebimbangan utama terhadap perkembangan terkini ialah fenomena ruang gema untuk penghasilan wacana rasis dan ekstrem.
Fenomena ruang gema merujuk kepada satu situasi di mana individu hanya terdedah kepada maklumat daripada individu yang berfikiran serupa. Dengan itu, wacana ekstrem dan rasis akan dinormalisasikan menerusi komunikasi harian dalam talian bagi sekumpulan manusia tertentu.
Masalah ini bukan sahaja membawa kesulitan kepada individu; perkembangan ini memperlihatkan sistem demokrasi Malaysia terpaksa menghadapi satu tsunami kecelaruan maklumat dalam talian yang berpaksikan bau perkauman dan sensitif keagamaan.
Cabaran utama yang akan kita hadapi dalam pilihan raya umum akan datang ialah wujudnya kempen politik yang sengaja mendapatkan manfaat daripada penularan berita palsu yang mengapi-apikan bau perkauman dan keagamaan.
Satu cadangan untuk memulihkan sistem media digital yang membawa kebaikan kepada manusia sejagat ialah penubuhan satu mekanisme kawalan, seperti polisi pelaksanaan ‘ketelusan algoritma’ buat semua platform dalam talian pada peringkat global.
Hal ini memerlukan kerjasama global yang melibatkan semua pemegang taruh utama seperti semua kerajaan dari negara maju dan juga negara sedang membangun, organisasi-organisasi masyarakat sivil antarabangsa dan warga maya. Ini untuk memastikan ekosistem media dalam talian bukan sahaja ditentukan oleh golongan kapitalis atau syarikat teknologi gergasi global, tetapi juga warganegara global.
Dr Ngo Sheau Shi ialah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme