Home TA Online Perang psikologi dan propaganda Umno terhadap komunis

Perang psikologi dan propaganda Umno terhadap komunis

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Bentuk pemahaman simplistik tentang persejarahan dan perbezaan gerakan komunis dan sosialisme sebenarnya dan ditentukan oleh ‘pihak yang menang’ – Umno, ujar Norhayati Ismail dan Mohd Azizi Jaeh.

Sejak akhir-akhir ini timbul semula perdebatan tentang kekalahan komunis di Malaysia selepas Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989.

Perdebatan tersebut bermula apabila mantan Perdana Menteri Najib Razak (2009-2018) mengeluarkan kenyataan berkenaan Umno telah mengalahkan komunis sehinggakan pemberontakan bawah tanah itu berjaya dilumpuhkan seterusnya menamatkan revolusi bersenjata untuk menubuhkan negara komunis.

Dari segi urutan sejarah, Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan dua kali gerakan revolusi pada 1948-1960 dan 1967-1989.

Berikutan kenyataan tersebut, S Arutchelvan, setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia, cuba untuk ‘membetulkan’ kenyataan Najib yang menurutnya Umno bukanlah organisasi yang bertanggungjawab dalam mengalahkan komunis.

Begitu pun, Najib beranggapan perlawanan terhadap komunis mempunyai maksud yang luas tidak semestinya terbatas kepada pemahaman yang literal iaitu ‘berperang mengangkat senjata’.

Pada hemat penulis, bentuk perlawanan yang dimaksudkan Najib bukan hanya berbentuk fizikal seperti operasi ketenteraan dan perbelanjaan pertahanan yang digunakan kerajaan pimpinan Umno. Tetapi perang psikologi dan propaganda melalui penyebaran ideologi, indoktrinasi agama, pengedaran bahan pembacaan serta kempen pembangunan ekonomi menjadi faktor pemberat yang telah melemahkan gerakan komunis.

Secara relatifnya tekanan yang diberikan oleh ‘komuniti antarabangsa’ – khususnya pasca keruntuhan Tembok Berlin 1989 – turut memberikan impak kepada kekalahan komunisme di Malaysia.

Ia juga disumbangkan atas faktor struktur politik antarabangsa yang tidak menyebelahi komunimse dan pengisyitharan ‘New World Order’ awal 1990-an oleh pentadbiran AS di bawah Presiden Bush Sr (1989-1993), selain kemenangan demokrasi liberal selepas kejatuhan komunisme antarabangsa.

Perang saraf dan propaganda yang dilancarkan Umno merupakan satu proses de-ideologisasi semasa era Perang Dingin dengan penyaluran maklumat dan pemaparan berita kepada masyarakat bagi menggambarkan ‘kejahatan komunis’ dan ‘keganasan komunis’ kepada keseluruhan gerakan kiri khususnya komunis.

Pengharaman dan penerbitan akhbar yang dianggap pro kepada komunis seperti Nyala dan Berita Buroh antara strategi bagi mengekang penularan ideologi tersebut meskipun media tersebut dimiliki parti sosialis.

Malah aliran sosialisme di Malaysia berjaya digambarkan rejim Umno mempunyai persamaan dengan ideologi komunis.

Pada dasarnya, komunis dan golongan kiri adalah golongan yang berbeza pada aspek tertentu, walaupun mereka berkongsi beberapa ciri ideologi yang sama.

Meskipun sosialisme dan komunisme pro kepada kepada gerakan kesatuan sekerja, Parti Komunis Malaysia yang diharamkan sejak awal oleh British lebih percaya akan revolusi kekerasan – manakala ideologi sosialisme yang beroperasi dalam kebanyakan parti-parti politik telah diiktiraf secara berperlembagaan (constitutionalism) bagi menyertai proses pilihan raya umum di Malaysia secara demokratik seperti Parti Rakyat Malaysia dan Parti Buruh Malaya.

Malahan pendekatan masyarakat tanpa kelas hanya disokong oleh kelompok minoriti berbanding majoriti yang merasa tidak tertindas ataupun tidak terkesan dengan wacana hierarki kelas yang cuba diprojekkan oleh gerakan revolusi komunis.

Ideologi komunisme secara tidak langsung mengabaikan respon terhadap pendirian masyarakat Malaysia yang majoritinya adalah Muslim. Dengan demikian, komunisme selalu dinilai masyarakat sebagai ideologi yang anti-agama khususnya ungkapan popular Karl Marx (1818-1883) ‘agama adalah candu masyarakat.’

Justeru, perang psikologi Umno merupakan langkah dan kawalan untuk mempengaruhi persepsi masyarakat agar sentiasa meneguhkan sokongan mereka terhadap kerajaan dan menghindari sarang radikalisme komunis.

Salah satu kes yang pernah berlaku apabila isu sejadah solat dengan gambar dan ilustrasi Kaabah berwarna merah dan bukan berwarna hitam seperti mana kebiasaan.

Kontroversi di perhimpunan agung Umno pada 1976 mengakibatkan sebahagian pemimpin Umno cuba mengaitkan perkara ini sebagai anasir komunis untuk mempengaruhi psikologi masyarakat Melayu/Islam dengan menggambarkan secara simbolik komunisme dan Islam itu selari.

Warna merah yang diasosiasikan dengan komunis sudah cukup menebalkan kebencian dan memupuk ketakutan orang Melayu terhadap komunis.

Malah propaganda menerusi saluran indoktrinasi agama sentiasa berterusan sehingga berjaya membentuk ‘kepercayaan yang benar’ atau mind block bahawa unsur yang dipropagandakan oleh rejim Umno adalah suatu fakta yang sentiasa ‘sahih’ dan ‘logik’ tentang kesalahan komunis.

Era pentadbiran Tun Razak (1970-1976) dan Tun Hussein Onn (1976-1981) merupakan tempoh yang agak kritikal kerana Umno juga dikatakan dipengaruhi pemimpin yang pro-komunis.

Misalnya, penangkapan Siddiq Ghouse yang merupakan setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri menggemparkan negara kerana didakwa sebagai agen perisikan KGB Kesatuan Soviet. Sebelum itu juga, beberapa pemimpin Umn seperti Abdullah Majid, Abdul Samad Ismail dan Abdullah Ahmad turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki mendalangi kegiatan komunis.

Pembendungan komunis tidak hanya terbatas kepada hubungan politik domestik; strategi dasar luar AS terhadap Malaysia secara ‘tersiratnya’ bertujuan menarik perhatian masyarakat supaya mengikuti apa yang dirancang secara tidak langsung.

Justeru, pentadbiran AS di bawah Presiden Lyndon B Johnson (1963-1969) pernah menghadirkan diri ke Malaysia pada 1966 dalam usaha menampilkan dirinya sebagai model terbaik dalam mempromosikan pembangunan ekonomi liberal.

Dalam konteks ini, kehadiran Johnson sebahagiannya untuk melihat kemajuan pembangunan tanah di luar bandar. Presiden AS telah dibawa melawat ke skim Felda dan kawasan yang dilawatinya telah dinamakan sebagai ‘Felda LBJ’ sempena lawatan rasminya.

Ketetapan pembangunan ekonomi Malaysia dengan sokongan AS seolah-olah meletakkan naratif ‘there is no alternative’ (Tina) yang merupakan satu bentuk ‘propaganda secara halus’ kerajaan dalam menyatakan ‘konfrontasi’ terhadap ideologi komunis.

Selain itu, AS perlu menempatkan posisinya sebagai aktor dalam menidakkan pengaruh komunisme di Asia Tenggara pada masa tersebut.

Kebimbangan terhadap ‘teori domino’ menjadi faktor pemberat bagi Malaysia di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman (1957-1970) yang pro-Barat untuk bekerjasama dengan AS dalam membuat persediaan dari segi langkah keselamatan dan pembangunan bagi mengendurkan pengaruh komunis.

Selain langkah diplomasi, buku-buku, risalah dan akhbar yang ditulis pemimpin politik lebih bertumpu kepada ‘komunis adalah musuh utama kita’ yang disebarkan kepada khalayak awam.

Serangan yang disasarkan kepada sejarah pemberontak-pemberontak komunis yang berhubungan dengan kaum Cina telah menghadirkan stereotaip kaum Melayu terhadap orang Cina. Kenyataan ini telah membentuk ‘memori’ dan ‘ingatan berpanjangan’ terhadap ketegangan hubungan kaum di Malaysia sejak zaman darurat dan penjajahan British.

Lebih-lebih lagi, komunis digunakan sebagai ‘faktor pencelah’ dalam menyemaikan kebencian dan ketakutan dalam soal menerangkan hubungan kaum. Pengaruh komunis juga disalahkan, dan parti pembangkang dikatakan sebagai agen dalam menimbulkan keadaan huru hara dan ketidaktenteraman awam dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Konteks ini menjelaskan kesedaran etnik lebih terinstitusi di Malaysia berbanding kesedaran kelas. Buku seperti Jalan ke Puncak (1990) dan Menghadapi Cabaran (1976) yang ditulis oleh Mahathir serta buku 13 Mei Sebelum dan Selepas (1969) yang dikarang Tunku Abdul Rahman meliputi perkara yang disebutkan tadi.

Bukan setakat di Malaysia, fenomena Red Scare antara lain merupakan bentuk dan strategi propaganda yang begitu meluas disebarkan pentadbiran White House dalam membenihkan ketakutan dalam kalangan masyarakatnya pada era Perang Dingin.

Red Scare atau ketakutan merah merujuk kebimbangan kepada kebangkitan ideologi komunisme.

Malah dalam kempen Presiden Johnson strategi penolakan kepada komunisme ini jelas dipaparkan melalui tayangan filem pendek The Daisy Girl – dan Barry Goldwater dalam kempen pilihan raya presiden AS juga memasukkan unsur propaganda dengan agenda yang sama iaitu komunisme bukanlah satu pilihan bagi generasi masa hadapan.

Tuntasnya, kemaraan Parti Komunis Malaysia telah dipatahkan oleh kerajaan pada ketika itu yang dipimpin Umno. Malah fakta ini tidak boleh disangkal lagi sama ada oleh sejarah kiri mahupun kanan.

Prinsip kenegaraan yang mengutamakan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara pada asasnya menjadi penidak kepada penolakan elemen ekstrimis dan radikal.

Perang psikologi yang dilancarkan oleh Umno merupakan antara faktor penyumbang kepada kemunduran komunisme.

Strategi tipu muslihat, pembelokan kebenaran dan penciptaan sebuah naratif telah menyempitkan pemahaman sejarah aliran kiri dan komunisme. Bentuk pemahaman simplistik tentang persejarahan dan perbezaan gerakan komunis dan sosialisme sebenarnya dikuasai dan ditentukan oleh ‘pihak yang menang’ – Umno.

Norhayati Ismail bekerja di Institut Kajian Etnik, UKM manakala Mohd Azizi Jaeh di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x