
Oleh Raveen Jeyakumar
Untuk menangani perubahan iklim, dunia mesti beralih secara berperingkat daripada pertanian perindustrian (industrial agriculture) kepada organik.
Pertanian perindustrian merupakan salah satu punca utama perubahan iklim, menyumbang sebanyak 44% ke 57% daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau.
Ini disebabkan penebangan hutan, kebergantungan terhadap baja kimia, dan penternakan intensif.
Kawasan hutan yang amat luas harus dihancurkan bagi ladang-ladang monokultur yang menghasilkan tanaman untuk tujuan komersial.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pertanian perindustrian bergantung tinggi terhadap baja kimia. Apabila nitrogen dalam baja sintetik terdedah kepada tanah, tindak balas kimia oleh mikrob menjana nitrus dioksida, yang adalah 300 kali lebih kuat daripada CO2 dalam pemanasan atmosfera.
Selain itu, traktor dan mesin pengairan memerlukan minyak untuk berfungsi. Pengangkutan produk makanan yang berjarak jauh pula menggunakan banyak lagi minyak.
Penternakan pada skala perindustrian adalah sangat intensif. Pemberian makan yang kaya dengan protein kepada ternakan sebalik daripada rumput menghasilkan jumlah baja yang besar. Baja ini pula membebaskan gas rumah hijau apabila berlakunya penguraian.
Sebenarnya, kira-kira 50% pencemaran atmosfera adalah dikaitkan dengan gas rumah hijau (CO2, nitrogen oksida dan metana, yang memanaskan dunia) yang berpunca daripada sistem makanan berasaskan perindustrian dan globalisasi.
Sistem perindustrian makanan ini bertanggungjawab untuk antara 25% dan 40% daripada jumlah CO2 yang berlebihan dalam atmosfera Bumi pada masa kini.
Ladang-ladang berskala besar dan berjentera di negara-negara utara dalam dunia menggunakan kira-kira 2.5 kali jumlah tenaga untuk menghasilkan satu tan bijiran di ladang-ladang kecil di negara-negara selatan, dan lebih tiga kali tenaga untuk setiap hektar.
Kita boleh menangani perubahan iklim dengan beralih daripada pertanian perindustrian kepada organik.
Ini adalah kerana baja berasaskan bahan bakar fosil serta kebanyakan racun perosak sintetik adalah larangan dalam pertanian organik, lalu mengurangkan jejak karbonnya secara ketara.
Data daripada beberapa kajian yang membandingkan beribuan ladang di seluruh Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa pertanian organik menghasilkan kandungan karbon organik tanah yang lebih tinggi kestabilannya dan pelepasan nitrus oksida yang lebih rendah apabila dibandingkan dengan pertanian konvensional.
Selain itu, beberapa kajian menunjukkan bahawa penyingkiran baja nitrogen sintetik saja dapat menurunkan pelepasan langsung gas rumah hijau oleh aktiviti pertanian sedunia sebanyak kira-kira 20%.
Suatu kajian yang dijalankan oleh Rodale Institute (US) selama 40 tahun menunjukkan bahawa ladang-ladang organik menggunakan 45% jumlah tenaga kurang berbanding dengan ladang-ladang konvensional, sementara mengekalkan ataupun malah melebihi hasil selepas tempoh peralihan lima tahun.
Satu perbandingan baru-baru ini di Filipina mendapati pertanian organik adalah 63% lebih cekap tenaga daripada pertanian konvensional, sementara menghasilkan jumlah hasil yang sama.
Petani kecil dapat bercucuk tanam secara produktif tanpa penggunaan bahan kimia dengan mempelbagaikan sistem-sistem tanaman, mengintegrasikan tanaman dan ternakan, dan menggabungkan pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan liar.
Dengan adanya lebih biodiversiti dan biojisim, tumbuhan tersebut berupaya menyerap lebih banyak jumlah karbon dan nitrogen daripada atmosfera, dan pelepasan serta kandungan bahan pencemar dalam udara dapat dikurangkan.
Dengan pertanian organik, penghasilan makanan diorientasikan semula terhadap pasaran tempatan dan makanan segar. Ini menyingkirkan kebanyakan pelepasan gas rumah hijau oleh sistem makanan disebabkan perdagangan makanan sedunia.
Untuk menangani isu produktiviti yang rendah dengan pertanian organik, para petani boleh mengaplikasikan baja bio (biofertilisers) atau menggabungkan baja bio dengan baja organik.
Baja bio adalah kos efektif dan mesra alam, dan penggunaannya secara berpanjangan mempertingkatkan kesuburan tanah dengan banyak. Penggunaannya dapat meningkatkan hasil tanaman sebanyak 10–40% dengan meningkatkan tahap protein, asid amino yang penting, vitamin, dan penukaran nitrogen (nitrogen fixation) dalam tanah.
Baja bio juga mungkin dapat meningkatkan kadar penghasilan makanan dan menjadikan produk ladang lebih selamat bagi para pengguna.
Jadi, untuk menangani perubahan iklim secara efektif, kita mesti beralih daripada sistem makanan perindustrian kepada pertanian organik. Komuniti-komuniti tempatan harus membangunkan pertanian organik dengan bantuan dan subsidi oleh kerajaan bagi mengurangkan beban semasa proses peralihan.
Perladangan besar-besaran tanaman komoditi perindustrian, yang merupakan pelepas terkenal gas rumah hijau, harus diperkecilkan. Polisi-polisi iklim mesti menangani bukan sahaja pelepasan gas rumah hijau, tetapi juga amalan yang memudaratkan oleh sistem pertanian perindustrian.
Tetapi, kerana kebanyakan negara di dunia mempunyai kebergantungan tinggi terhadap pertanian perindustrian, ia adalah berhemah supaya proses peralihan kepada pertanian organik dijalankan secara berperingkat. Dengan cara ini, kita dapat menganalisa impak langkah-langkah pada setiap peringkat bagi mengelakkan suatu krisis makanan serta sosioekonomi semasa tempoh peralihan.
Peralihan tersebut harus menyasarkan negara-negara dengan kebergantungan lebih tinggi terhadap pertanian perindustrian bagi memaksimumkan keputusan jangka pendek dalam perjuangan terhadap perubahan iklim.
Raveen Jeyakumar, seorang sukarelawan Aliran yang berumur 29 dan bermastautin di Ipoh, berminat dengan isu sosial dan alam sekitar
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme