Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Naina Merican (Umno) baru-baru ini mengumumkan penolakan mereka secara terang-terangan kepada projek Reklamasi Pulau Pinang Selatan (PSR). Alasan mereka sungguh tepat.
Projek reklamasi gergasi ini akan merosakkan terus ekosistem marin di Perak dan Pulau Pinang. Ia juga akan memusnahkan kehidupan ribuan nelayan di selatan Pulau Pinang dan Perak. Bukan sahaja itu, ia juga akan memberi kesan pada keselamatan makanan di kedua-dua negeri – serta wilayah utara secara keseluruhannya.
Walaupun beberapa pihak berkenaan sudah pun menulis banyak artikel memfokuskan tentang kekurangan projek mega ini dari sudut perspektif ekonomi dan alam sekitar, artikel ini akan membahaskan kesan dari sudut etno-politik projek ini.
Kemungkinan wujudnya pengkauman
Projek Tambak Pulau Pinang Selatan menunjukkan tanda wujudnya pertentangan kelas. Di sini, wujud kerajaan negeri, didukung oleh pemaju kaya, yang bersungguh untuk meneruskan projek, yang akan menghancurkan kehidupan tradisional masyarakat nelayan yang kebanyakannya berpendapatan rendah sekaligus dilemahkan.
Namun isu ini, jika dilihat dari lensa etnik, dengan mudah dapat diputar sebegini: “kerajaan negeri yang didominasi Cina-DAP berniat mahu menghancurkan kehidupan tradisional kebanyakan masyarakat Melayu nelayan pesisir”.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Ini satu perkara yang Pakatan Harapan tidak perlukan. Dalam keadaan semasa, pakatan ini sudah pun sukar untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu sejak sekian lama. Pada pilihan raya umum 2018, PH hanya memenangi 25-30% undi Melayu walaupun mendapatkan kuasa di peringkat pusat.
Bagaimana ianya akan mempengaruhi PKR dan Amanah?
Isu Projek Tambak Pulau Pinang Selatan ini akan mengakibatkan kesan negatif kepada PH, lebih-lebih lagi di mata masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
Ianya akan memberi kesan kepada keputusan di dua kerusi dewan undangan negeri di Pulau Pinang dan dua kerusi di kawasan parlimen, yang sekarang dipegang Amanah dan PKR.
Kerusi dewan negeri | Wakil |
Bayan Lepas | Azrul Mahathir Aziz (Amanah) |
Batu Maung | Abdul Halim (PKR) |
Kerusi parlimen | Wakil |
Balik Pulau | Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PKR) |
Bayan Baru | Sim Tze Tzin (PKR) |
Sehingga kini, kedua-dua ahli dewan undangan negeri tekad menyokong projek mega ini. Manakala bagi Ahli Parlimen, Bakhtiar masih tidak menyatakan pendirian tentang isu ini, manakala Sim sudah pun menyatakan pendirian menolak projek mega ini sejak dari Disember 2019 lagi, ketika beliau berjawatan selaku timbalan menteri pertanian dan industri asas tani.
Pendirian mendukung oleh kedua-dua ahli dewan negeri, serta sikap berdiam diri oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, tentang projek mega ini akan membina tanggapan bahawa kedua-dua parti bersedia untuk mengorbankan kepentingan sosioekonomi yang akan memberi kesan kepada kelas pekerja nelayan Melayu atau dilihat tunduk kepada DAP.
PH Pulau Pinang patut menjangkakan wujudnya parti pembangkang tertentu di negeri itu yang akan menggunakan isu Projek Tambak Pulau Pinang Selatan ini bagi menuduh mereka sebagai “anti-Melayu” kepada kelompok pengundi sasaran mereka pada pilihan raya akan datang.
Calon Pas dan Umno besar kemungkinan akan menjuarai isu anti-tambak ini di kerusi yang disasarkan mereka di negeri itu nanti. Parti-parti ini besar kemungkinan akan menang di sesetengah atau kebanyakan kerusi yang disasarkan mereka, sekaligus menambah perwakilan mereka di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Walaubagaimanapun, menolak tambak di Pulau Pinang akan menampakkan betapa hipokritnya parti-parti ini, saatnya beberapa kerajaan negeri yang dikawal mereka – Melaka, Kedah dan Terengganu – juga merancang untuk menjalankan projek tambak tanah mereka sendiri.
Jika ada parti yang cuba mengkaumkan isu ini, mereka tidak akan menerima apa-apa kecuali dipandang enteng oleh pengundi yang muak dengan isu politik perkauman. Namun, ada suatu kebenaran yang menjelekkan tentang ahli politik: sesetengah mereka tidak kisah jika dipanggil rasis dan hipokrit. Apa yang mereka mahukan hanyalah kuasa dan pengaruh, dan mereka akan berbuat apa saja untuk mendapatkannya.
Berikut beberapa senario yang bakal terjadi melibatkan Amanah dan PKR di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang, jika mereka bertembung dengan Umno dan Pas:
- Amanah hilang Permatang Pasir kepada Pas dan mempunyai kemungkinan 50:50 untuk hilang kerusi Bayan Lepas kepada Umno
- PKR hilang kerusi Pulau Betong dan Pinang Tunggal kepada Umno. Namun ada peluang 50:50 untuk PKR mempertahan Batu Maung dan Telok Ayer Tawar serta kerusi parlimen Balik Pulau
- Kedua-dua parti gagal untuk mendapatkan semula kerusi majoriti Melayu di Bertam, Telok Bahang dan Sungai Acheh (yang disandang oleh Bersatu sekarang) dan kerusi dewan negeri lain seperti Permatang Berangan dan Sungai Dua (disandang Umno)
(PKR sepatutnya dapat mempertahankan Penanti, Machang Bubok, Batu Uban, Pantai Jerejak, Kebun Bungah, Bukit Tambun dan Bukit Tengah. Parti ini juga sepatutnya dapat memenangi semula Seberang Jaya dari Dr Afif Bahardin, yang melompat ke Bersatu tahun lalu.)
Jika projek tambak mengakibatkan PKR dan Amanah untuk hilang kerusi, sia-sia sahajalah jika mereka kemudian mahu menyalahkan DAP kerana mendesak untuk menjalankan projek kerana itulah yang mengakibatkan mereka kehilangan kerusi.
Bagaimana ianya akan mempengaruhi DAP?
DAP akan terkesan secara politik oleh kerana sokongan kepada Projek Tambak Pulau Pinang Selatan, walaupun dominannya memperoleh kerusi di kebanyakan kawasan bukan-Melayu dan bukan-Cina.
Kesan politiknya barangkali akan dirasa di peringkat kebangsaan. Parti ini sudah pun mengalami kekurangan sokongan Melayu sejak sekian lama. Ia sering kali digambarkan (secara tidak adil?) sebagai “cauvinis Cina”, “anti-Melayu”, “rasis” malahan “komunis” oleh anasir ultra-Melayu di dalam Umno dan Pas. Terdapat segelintir di dalam parti-parti ini yang mengatakan bahawa DAP merupakan liabiliti kepada PH, barangkali dengan niat jahat untuk melaga-lagakan parti di dalam PH.
Sokongan tidak berbelah bahagi DAP kepada projek mega ini, yang akan menghancurkan kehidupan ribuan nelayan pesisir Melayu, akan memperkukuh naratif mereka yang menolaknya sebagai parti anti-Melayu.
Jadi, projek mega ini akan mengakibatkan usaha berterusan DAP bagi mendekati masyarakat Melayu serta membetulkan salah tanggap terhadap DAP sia-sia. Jujurnya, parti ini sedang menggali kuburnya sendiri pada ketika ini. Jika pun mereka cuba menjustifikasi keperluan projek mega ini dengan ianya akan menjanjikan peluang pekerjaan kepada Melayu, tapi kebanyakan mereka akan melihatnya sebagai sebuah janji yang tidak ikhlas.
Barangkali DAP tidak kisah pun PKR dan Amanah untuk hilang kerusi dewan negeri mereka di Pulau Pinang kepada Pas dan Umno hasil dari tindak balas dari pengundi Melayu. Lagi pun, mengapa DAP perlu kisah? Parti ini sudah pun selesa dengan dominasinya di kerusi bukan-Melayu serta majoriti Cina di negeri itu.
Namun jika PKR dan Amanah hilang kerusi kerana tindak balas dari pengundi Melayu, hubungan di dalam PH mungkin tegang dan hancur: besar kemungkinan pemimpin dari kedua-dua parti akan menyalahkan DAP atas kekalahan mereka.
Apa yang perlu dilakukan pemimpin PH sekarang?
Masih tidak terlambat kepada pemimpin PH di negeri itu untuk berbuat sesuatu. Ahli dewan undangan negeri dan ahli Parlimen PH dari Pulau Pinang perlu menyatakan sikap terhadap projek tambak gergasi ini jika mereka menolaknya. Pemimpin PH di negeri lain juga perlu menyatakan sikap untuk menolak tambak.
Pastinya, penolakan yang sebegini akan mengakibatkan reaksi dari parti masing-masing. Ini mengingatkan bagaimana DAP memulaukan bekas ahli dewan undangan negeri dari Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.
Namun ini sebab mengapa pemimpin PH di Pulau Pinang perlu bersedia: Projek Tambak Pulau Pinang Selatan ini adalah ‘kryptonite’ politik yang akan menjejaskan mereka. Kerajaan negeri yang melulu mahu menjalankan projek ini akan mengakibatkan PKR dan Amanah hilang kerusi di pilihan raya akan datang.
Kekalahan yang dialami mereka akan mengakibatkan kemarahan parti di dalam PH terhadap DAP. Retak hanya menanti belah bukan sahaja di dalam peringkat pimpinan PH Pulau Pinang, tapi juga di peringkat nasional.
Jadi, lakukan perkara yang sepatutnya, dan tolak tambak.
#PenangTolakTambak
R Ganesh yang menetap di Pulau Pinang merupakan nama samaran seorang pendukung Aliran yang mengikut rapat perkembangan projek tambak gergasi ini
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme