Oleh Anil Netto and Mustafa K Anuar
Sebaik sahaja selepas enam dewan undangan negeri yang terakhir dibubarkan, Dr Mahathir Mohamad muncul untuk mendakwa bahawa usaha untuk mempromosikan negara berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan!
Ini semangnya tabiat ‘dinosaur politik’ yang geram tatkala berdepan dengan kepupusan kegelapan mereka.
Bertahun lamanya, ahli politik tertentu telah memainkan peranan mereka untuk memecah-belah dalam mengasingkan dan memburukkan golongan masyarakat tertentu untuk tujuan politik mereka, terutamanya apabila pilihan raya sedang berlangsung.
Selalunya, mereka akan tiba-tiba menuduh etnik minoriti lebih terdedah kepada rasuah, komunisme dan apa-apa sajalah. Mereka akan menuduh golongan minoriti berniat menguasai negara dan mendominasi majoriti etnik Melayu. Selalunya, akan ada seorang atau dua ahli politik memomokkan Hantu peristiwa berdarah 13 Mei pada tahun 1969 untuk menakutkan para penyokong mereka agar terus mengundi mereka.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Golongan minoriti bukanlah satu-satunya yang menjadi sasaran dalam retorik pilihan raya tersebut. Beberapa orang Islam juga dikeji kerana tidak menyokong parti berasaskan Islam tertentu. Lebih teruk lagi, mereka diberi amaran akan terlepas peluang ke syurga jika menolak pihak tertentu di muka Bumi ini.
Dakwaan sebegitu – sewaktu banyak negara maju menjadi lebih berbilang etnik – adalah cukup aneh sehingga cukup sukar untuk disanggah.
Politik usang yang memecah-belah
Politik usang yang memecahbelahkan ini telah berjalan selama beberapa dekad. Walaupun kali ini ada amaran daripada istana diraja tertentu serta kerajaan persekutuan supaya tidak ada yang terlibat dalam politik cauvinis sebegitu, jangan harap pada perubahan menjelang pilihan raya nanti. Tabiat lama sukar ditukar.
Mengikut rekod prestasi mereka, ahli politik yang muflis idea barangkali akan berkempen untuk memecahbelahkan dan menakutkan pengundi saatnya hari pengundian pada 12 Ogos semakin hampir. Ini sekali gus meningkatkan suhu politik menyamai gelombang panas terik yang telah dialami oleh planet kita ini.
Mensasarkan pilihan raya negeri, menteri besar Kedah itu sudah pun melepaskan ‘peluru’ melibatkan beberapa isu.
Mahathir yang kian terdesak, masih menjilat lukanya selepas pembantaian yang memalukan ketika pilihan raya umum lalu, telah menyatukan barisan pembangkang berasaskan kaum melalui “proklamasi orang Melayu” beliau.
Walaupun ini hanyalah pilihan raya negeri, pertaruhannya adalah tinggi, kerana mana-mana pihak yang berjaya memasuki wilayah negeri lainnya pasti akan cuba membina momentum itu ke arah pilihan raya umum akan datang dan bahkan merampas kuasa sebelumnya.
Kedua-dua pihak yang berseberangan ini mahu memenangi majoriti pengundi Melayu, memandangkan majoriti besar demografi minoriti akan menyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional.
Mengetahui bahawa “kerajaan perpaduan” beliau memerlukan lebih banyak sokongan Melayu, pemimpin PH Anwar Ibrahim telah merentas masuk ke ‘bank undi’ Melayu-Islam, terutama pelajar universiti.
Namun baru-baru ini, tindakan Anwar menjemput jabatan pembangunan Islam, Jakim, yang biasanya terkenal kerana seringkali menjalankan usaha kepolisan moral yang kontroversial, untuk memainkan peranan penting dalam penggubalan dasar menggunakan prinsip Madani cukup membingungkan.
Masih belum dapat dilihat siapa yang akan mengikuti siapa: adakah Jakim akan mengikuti pendekatan Anwar dengan “Malaysia Madani”nya atau adakah jabatan agama itulah yang akan mengkompromi atau bahkan menyingkir Madani?
Kedua-dua belah pihak yang berseberangan secara politik ini pastinya akan menggunakan cara mereka yang sudah pun ‘dicuba dan diuji berjaya’ iaitu menggunakan kaum dan agama bagi menarik pengundi Melayu-Islam.
Malangnya, cara yang sebegini telah terbukti menceroboh ruang peribadi ramai orang di Malaysia pada tahap yang membimbangkan, daripada isu kod pakaian yang terlalu berlebihan hingga sekatan ke atas konsert, terutama yang menampilkan artis asing.
Isu penting diketepikan
Isu sosial yang memecah-belahkan ini bukan sahaja menjadi tajuk utama dan mencemarkan imej negara, ia juga menggelapkan cabaran utama lain yang dihadapi rakyat.
Sayang sekali orang ramai terpaksa mempertahankan ciri demokrasi Malaysia yang terangkum dan pelbagai etnik – sesuatu yang sudah diterima di kebanyakan negara maju – dari serangan “gelombang hijau” etno-agama yang bersifat mengasingkan itu.
Pertempuran isu yang sebegitu telah mengenepikan isu-isu kritikal yang patut mendapat perhatian dan perhatian yang lebih besar.
Ambil, sebagai contoh, isu makan dan minum yang dihadapi oleh kumpulan yang rentan serta isi rumah berpendapatan rendah. Kos barangan keperluan yang semakin meningkat telah menyebabkan ramai yang bergelut setiap hari untuk meletakkan makanan di atas meja.
Masih ingat betapa gelapnya hari-hari sewaktu kuncitara Covid? Banyak keluarga terpaksa menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan, terutamanya makanan. Sebaliknya, ada ahli politik tertentu campur tangan hanya untuk menasihati mereka supaya menaikkan bendera biru (warna bendera parti tertentu) pula.
Bahkan, tindakan kerajaan perpaduan yang baru-baru ini terdorong untuk melancarkan “menu rahmah” untuk menyediakan makanan yang berpatutan supaya lebih ramai orang mampu untuk makan di luar mendedahkan kesusahan ekonomi yang dihadapi ramai. Ramai yang bergelut kerana gaji mereka yang tidak stabil tidak dapat mengimbangi kos sara hidup yang lebih tinggi.
Namun, hampir tidak ada parti politik utama yang bertanyakan soalan penting: adakah pendapatan negara yang pergi kepada golongan pekerja terlalu rendah berbanding pulangan kepada kaum pemodal?
Isu kritikal seperti itu ditepikan oleh ketaksuban terhadap retorik kaum dan agama. Golongan yang terkesan dengan ekonomi semasa dijangka terpaksa mengetatkan tali pinggang mereka manakala sebilangan orang kaya pula mempamerkan kekayaan mereka dengan gaya hidup yang megah, menikmati hidangan yang sesuai untuk seorang raja sambil berkereta mewah dan menyarung pakaian berjenama.
Setakat ini, kerajaan persekutuan dan negeri mendapati ia sesuatu yang sukar untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Dana awam yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat telah kering kerana rompakan, pembaziran dan projek-projek mega yang sebenarnya lebih menguntungkan kontraktor berbanding rakyat.
Emir Research baru-baru ini menganggarkan kerugian yang timbul daripada rasuah dan kesan dari penggandaan ekonomi adalah sekitar RM4.5 trilion sejak 26 tahun lepas.
Dengan semalam macam kekecohan yang berlaku, 1MDB, walaupun ia skandal yang cukup besar, hanyalah puncak gunung ais hang lebih besar yang akhirnya menenggelamkan ‘Titanic’ Umno-BN yang disangkakan takkan tenggelam itu.
Angka RM4.5tn ini cukup membingungkan. Bayangkan berapa banyak hospital, klinik, sekolah dan kemudahan awam lain yang baru boleh dibina. Bayangkan berapa banyak biasiswa yang boleh diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Fikirkan tentang bagaimana negara boleh menyokong petani dan nelayan serta mengukuhkan keselamatan makanan.
Isu-isu ini telah diabaikan kerana pertempuran yang hangat dalam setiap pilihan raya negeri adalah persoalan mengenai tafsiran pihak mana terhadap Islam yang lebih diterima dan terangkum serta pihak mana yang boleh memberikan pembangunan yang lebih besar.
Dua P
Namun, ia tidak semudah itu. Pengundi harus mencabar ahli politik tentang pemahaman mereka tentang dua P – pembangunan dan pengabdian pada yang Maha Kuasa. Kita tidak boleh membenarkan ahli politik yang memaksa tafsiran pembangunan dan pengabdian mereka kepada kita.
Apa lagi, bukankah pembangunan harus lebih menyeluruh dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat sambil menjaga ekosistem dan biodiversitinya?
Bukankah pengabdian kepada Yang Maha Kuasa juga bermakna kita perlu mengambil berat terhadap sesama manusia (tanpa mengira latar belakang etnik atau agama), semua makhluk hidup dan ekosistem?
Mari kita lihat di sebalik perbezaan yang dogmatik serta kedangkalan ini dan mula fokus kepada intipati kepercayaan kita masing-masing. Kita kemudiannya akan mendapati kita mempunyai banyak persamaan, termasuklah kebencian terhadap pengumpulan harta yang melewah-lewah serta penumpuan kekayaan di tangan segelintir orang manakala golongan miskin berjuang untuk mencari rezeki.
Pembangunan tulen
Semak pencapaian setiap pihak.
Janganlah kita terpesong oleh isu perkauman. Sebaliknya, cabar parti politik untuk menunjukkan kepada kita pihak mana yang boleh berkhidmat dengan lebih baik seperti disarankan oleh masyarakat sivil menerusi Agenda Rakyat untuk pembangunan yang lebih menyeluruh – dengan menolak manipulasi etnik dan agama untuk tujuan politik.
Lihatlah pendirian parti-parti dalam memerangi rasuah di semua peringkat. Periksalah pihak mana yang telah menjatuhkan negara melalui isu rasuah yang besar melibatkan kapitalisme kroni. Jelaskan pada mereka bahawa kita menolak ahli politik yang korup di kedua-dua pihak. Mereka mesti diadili – tiada cara lain.
Lihatlah pencapaian pelbagai parti ini dalam melindungi alam daripada kemerosotan ekologi. Penebangan hutan sama ada di Kelantan, Kedah, Selangor atau Perak memudaratkan habitat semula jadi dan menghapuskan flora dan fauna. Kehilangan biodiversiti mencetuskan ketidakseimbangan dalam ekosistem.
Apabila calon datang untuk memohon undi, jangan biarkan mereka mengambil mudah pertanyaan kita. Tanya soalan yang sukar kepada mereka tentang kesan sosial dan ekologi yang membimbangkan akibat pembalakan di Kelantan dan Kedah; tebus guna tanah secara besar-besaran di Pulau Pinang dan tempat lain; lebuh raya PJD Link di Selangor; dan pertumbuhan pesat melibatkan menara setinggi 40 atau bahkan 70 tingkat di kawasan perumahan yang telah sedia ada saat di mana bilangan penduduk di negara ini hampir tidak meningkat. Tanyalah mereka tentang kesan ekologi perlombongan nadir bumi, sama ada di Kedah atau Perak.
Pembangunan seperti ini tidak mampan.
Pengabdian yang sebenar
Apakah pengabdian sebenar yang dapat menyenangkan Tuhan? Ia pastinya wujud dalam menyatakan solidariti bersama golongan miskin dan sedia membantu komuniti yang terdedah. Sesungguhnya Tuhan yang berbelas kasihan dan penyayang ingin kita membantu orang miskin, tanpa mengira latar belakang mereka.
Oleh itu, orang dari semua agama harus bersuara menentang ketidakadilan sosial, terutamanya jurang kekayaan yang luas serta jurang pendapatan antara yang kaya dan yang miskin.
Bandingkan pelbagai manifesto parti yang ada mengenai rumah mampu milik, pengangkutan awam dan kesejahteraan sosial.
Apakah yang dilakukan oleh gabungan Perikatan Nasional dalam bidang ini untuk meningkatkan kualiti hidup? Bagaimanakah hutang kerajaan meningkat kepada RM1.5tn, terutamanya dari 2020 hingga 2022? Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab untuk ini?
Bahkan, di negeri-negeri yang mempunyai sumber dana yang tidak seberapa, lihatlah bagaimana kerajaan negeri mensia-siakan dana terhad untuk kenderaan mewah untuk exco kerajaan negeri. Adakah anda fikir mensia-siakan harta awam seperti itu diterima oleh Yang Maha Kuasa, tidak kiralah betapa waraknya perlakuan mereka itu?
Bagaimanakah langkah-langkah agama yang keras dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat? Adakah Tuhan benar-benar berbesar hati melihat begitu ramai orang menderita kesusahan ekonomi – terpaksa menggunakan air berlumpur dari paip mereka atau kekurangan makanan berkhasiat di atas meja?
Bagi kerajaan perpaduan pula, apakah rancangan konkrit untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat yang telah kita lihat sepanjang tempoh tujuh bulan ia memerintah? Benar, mereka hanya sekadar 10% daripada perjalanan mereka dalam tempoh lima tahun penggal kerajaan. Namun, pastinya rakyat Malaysia ingin mendengar lebih lanjut mengenai rancangan sosioekonomi kerajaan untuk meningkatkan golongan berpendapatan rendah sambil melindungi ekosistem.
Sekiranya kerajaan tidak mempunyai langkah konkrit untuk menaikkan kelas pekerja, adakah kita perlu terkejut jika ramai dalam kalangan golongan berpendapatan rendah meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan beralih sokongan mereka kepada parti yang lain?
Tidak cukup untuk hanya bercakap tentang Islam yang lebih mencerahkan melalui Malaysia Madani, yang nampaknya mulia dari perspektif idea terasnya. Orang ramai ingin melihat bagaimana penjimatan daripada membendung aktiviti rasuah akan meningkatkan kualiti hidup mereka melalui penambahbaikan sebenar dalam pendidikan, perumahan, penjagaan kesihatan, pengangkutan awam dan keselamatan makanan.
Apakah rancangan PH dan PN dalam melindungi alam sekitar kita, menghapuskan undang-undang yang menindas dan menggalakkan pembinaan negara?
Ramai di antara kita menghargai ciri demokrasi dan watak negara kita yang terangkum melibatkan pelbagai etnik. Oleh itu, kita tidak sepatutnya membenarkan parti politik dalam menetapkan tahap wacana sambil mengetepikan isu sosioekonomi kritikal yang penting kepada rakyat.
Ingatlah semula kepada Agenda Rakyat:
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Oleh itu, marilah kita menolak pihak yang mempergunakan kaum dan agama serta sering membangkitkan isu-isu yang memecahbelahkan untuk menutup tadbir urus yang lemah, dasar yang gagal, dan kesenjangan yang mendalam dan tidak adil dalam kehidupan Malaysia. Tolaklah pihak yang memanipulasi sentimen etnik dan agama untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan.
Marilah kita mengingatkan semua calon dan parti mereka tentang isu kritikal yang harus mereka fokuskan. Desaklah lebih banyak daripada calon dan parti pada pilihan raya nanti.
Undilah untuk perubahan yang tulen. Kita layak mendapat yang lebih baik.
Anil Netto merupakan presiden Aliran, manakala bekas setiausaha agung kumpulan ini, Dr Mustafa K Anuar kini merupakan ahli jawatankuasa Aliran
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme