
Musim Covid-19 menggalakkan saya menyemak semula koleksi buku di atas rak-rak penuh debu.
Sungguh gembira menemui teks yang pernah dinikmati dan kini dihayati semula, iaitu drama Pulang oleh Anwar Ridhwan. Gagasan pengarang tidak lenyap atau ditelan masa.
Kini tidak senang bagi saya mengkaji mana-mana karya dalam bahasa kebangsaan memandangkan bahawa berpuluh-puluh tahun saya tidak berbuat demikian. Bahasa adalah bidang ilmu yang harus dipergunakan supaya segar, kuat dan berdaya.
Namun begitu, eloklah saya cuba menyambungkan analisis karya-karya kesusasteraan Melayu moden walaupun sudah lama bersara. Dalam hal penggunaan bahasa, moga-moga pembaca yang budiman mengetepikan salah silap saya.
Pada hemat saya, drama Pulang kekal penting kerana ia mengajak kita merenungi dan menimbangkan lagi musim bersejarah iaitu waktu menjelang kemerdekaan negara Malaya yang berdekad dijajah oleh British. Pada dasarnya, drama Anwar Ridhwan mendalami dan menilai semula isu-isu penting dalam kehidupan manusia iaitu identiti, bangsa dan budaya dan peranan politik setiap insan sebagai warganegara.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Drama Pulang memperlihatkan benih-benih idea dan persoalan yang kemudiannya diperkembangkan Anwar Ridhwan dengan lebih matang lagi. Tajuk drama ini agak ironis kerana ‘kepulangan’ membawa pelbagai konotasi.
Dari segi permukaannya, pihak penjajah, iaitu Tuan Campbell, wajarlah gembira dapat pulang ke England, tanah asalnya, selepas kemerdekaaan “British Malaya”. Tetapi, apakah Tuan Campbell begitu tenang menanggalkan tanggungjawab dan kuasanya sebagai pemilik lombong yang lama diuruskannya dengan naungan penjajah Inggeris?
Dengan kaca mata yang tajam, peka dan prihatin, dramatis mendedahkan keresahan Tuan Campbell. Campbell telah pun melintasi batasan identiti Inggeris akibat lama bermastautin di negara asing. Justeru itu, kepulangan ke England bukan hal senang atau remeh.
Di pihak yang lain, Rustam, seorang nasionalis muda yang giat menentang penjajah, juga ‘pulang’ ke kampung halaman dari penjara Inggeris, hukuman yang ditanggungnya kerana menentang pihak penjajah.
Akan tetapi, tidakkah perkataan pulang itu kompleks serta berlapisan? Pada hemat saya, kekuatan drama Anwar Ridhwan ini jelas dilihat kerana adunan beberapa isu rumit.
Walaupun teraju kerajaan Tanah Melayu akan dipulangkan kepada pemimpin tempatan, sudahkah semangat kenegaraan disemai dan difahami? Adakah rakyat jelata yakin terhadap tanggungjawab mereka sebagai rakyat sebuah negara merdeka? Adakah maruah bangsa dan kebanggaan budaya pernah ‘dipulangkan’? Nah, inilah soalan-soalan yang dramatis mahu meneroka.
Soalan-soalan tentang bangsa dan identiti menghantui rakyat menjelang kemerdekaan. Anwar Ridhwan mendedahkan bahawa segelintir rakyat tempatan tidak taat setia kepada negara yang akan didirikan selepas merdeka. Mereka langsung tidak yakin terhadap bangsa dan budaya diri mereka sendiri.
Dramatis melukiskan betapa sesatnya penduduk kampung yang telah lama menerima kehadiran pihak Inggeris. Mereka suka berjoget, berparti dan mendengar lagu Barat sehingga sepanduk perpisahan untuk Tuan Campbell mesti ditulis dalam bahasa Inggeris.
Seorang watak tempatan bernama Long menyuarakan rasa bimbangnya seolah-olah ia terhilang pegangan hidup: “Mengapa Tuan Campbell bergegas tinggalkan kita? Dia tak patut biarkan kita tanpa arah haluan.”
Watak yang menarik ialah si-mandur lombong, Yaakub, yang lebih suka dipanggil Jacob. Yaakub bercita-cita untuk berhijrah ke England, kemudian kahwin dengan wanita Inggeris dan terus bermastautin di negara asing.
Yaakub menyuarakan hasrat ini kepada Tuan Campbell, “Saya sedang kumpul duit tuan… Saya nak belayar ke England, tuan. Saya sudah berutus-utus surat dengan persatuan kelasi Melayu di Clapton, London, tuan.”
Rujukan kepada kelasi Melayu di Clapton amat penting kerana ia membawa pemikiran Anwar Ridhwan tentang orang Melayu sebagai bangsa yang suka berkelana, bangsa yang pernah belayar ke merata tempat di dunia luas ini.
Orang Nusantara memang insan kosmopolitan, bukan “katak di bawah tempurung”. Malah pelayaran orang Melayu di samudra Nusantara dan kemudian ke tempat-tempat jauh pernah dirakamkan. Kini, menjelang kemerdekaan, sempadan politik, garisan sempadan kenegaraan perlulah difikirkan.
Watak Rustam jauh berbeza dengan Yaakub. Rustam mahu memupuk konsep kenegaraan yang berkisar kepada bangsa dan budaya. Malangnya pada masa itu ramai penduduk tempatan masih menyanjung tamadun Barat seolah-olah warisan tradisional, dongeng, tradisi lisan Melayu langsung dilupai.
Justeru itu, tidak menghairankan kalau Anwar Ridhwan meneroka warisan ini dalam drama Pulang. Akan tetapi penggunaan dongeng oleh dramatis bukan sempit; ianya mengajak para pembaca serta audien drama memikir betapa kompleks makna sesuatu dongeng.
Cerita lisan tentang perigi sakti, terletak tidak jauh dari lombong itu, memperkayakan persoalan dramatis. Kisah seorang puteri Cina yang belayar ke lautan selatan bersama rombongannya melambangkan pencerobohan kuasa asing ke tanah orang lain.
Manusia, tidak kira bangsanya, kata dramatis, mengembara mencari sesuatu idam-idaman sama ada kuasa mahu pun kekayaan. Tidak kira bangsa yang mana satu, manusia sejagat ada nafsu untuk berkuasa. Dalam dongeng berkenaan, puteri Cina dan pengikut beliau telah mencemari air perigi itu serta membazirkan air jernih kurniaan alam
Saat begini membibitkan keganasan. Watak pahlawan Melayu telah membunuh para pengawal puteri Cina. Akan tetapi saat tumpahnya darah ini kemudian diikuti dengan dongeng tentang perkahwinan pahlawan Melayu dengan puteri Cina. Oleh yang demikian, dongeng manusia berbilang kaum ini bertambah kompleks.
Apakah keganasan bisa membuahkan muhibah? Saya merujuk kepada pendapat EM Forster, pengarang Inggeris, untuk memahami bahawa jiwa manusia ialah lautan yang maha dalam. Kata Forster, jiwa setiap orang menggabungkan keburukan dan kebaikan: “Good and evil in the field of the world grow up inseparably.” (Kebaikan dan keburukan dalam alam ini tumbuh serumpun).
Watak puteri Cina mewakili peranan wanita dalam drama Anwar Ridhwan. Apakah puteri Cina yang melintasi batasan kaum dengan mengahwini lelaki asing tidak boleh ‘pulang’ ke akar umbinya lagi?
Walaupun tidak diterangkan secara jelas oleh pengarang bahawa puteri berkenaan dilanda duka lara, dongeng ini disambungkan dengan rujukan kepada jed berbintik-bintik merah yang ditemui di lokasi perigi sakti itu. Jed ini dipercayai melambangkan titisan darah dan tangisan puteri Cina.
Dalam drama Pulang, Anwar Ridhwan menggunakan warisan lisan demi meneroka kekuasaan terutamanya perhubungan wanita dengan pihak berkuasa.
Tidak menghairankan apabila seorang lagi watak wanita mewarnai drama Pulang. Watak Azizah mewakili golongan wanita berpendidikan menjelang merdeka. Semangat menentang penjajahan dan tuntutan untuk kemerdekaaan tidak terhad kepada kaum lelaki. Wanita memainkan peranan penting menyemarakkan semangat orang kampung supaya berani menentang penjajah.
Dramatis menyentuh tentang ceramah Khadijah Sidek dan Ibu Zain yang begitu merangsangkan kaum wanita seperti Azizah. Azizahlah yang menggalakkan Rustam untuk memimpin pekerja lombong serta penduduk kampung menentang pihak Inggeris.
Yang lebih menarik, persoalan serius drama Pulang dicantumkan dengan unsur-unsur lucu tanpa melemahkan visi dramatis. Walaupun soal bahasa nasional (bahasa kebangsaan) merupakan isu penting menjelang kemerdekaaan, tema ini dijalinkan dengan aspek jenaka. Cantuman elemen serius dengan yang lucu bukan sekadar hiburan, ianya menjemput para penonton drama berfikir.
Sebagai contoh, watak Yaakub menterjemahkan surat Kia, bapa Azizah, yang ditujukan kepada Tuan Campbell. Yaakub membuat banyak kesilapan. Ini menjemput gelak ketawa daripada audien drama.
Namun, isu bahasa tetap serius kerana dramatis mendedahkan betapa sukar menterjemahkan mana-mana bahasa kerana bahasa bukan perkataan sahaja. Setiap bahasa adalah pembawa nilai-nilai budaya juga hati nurani sesuatu bangsa, Apakah kesulitan penggunaan bahasa kekal diwarisi rakyat Malaysia, negara berbilang kaum, sehingga masa kini?
Walau pun Pulang ialah drama ringkas, malah lebih merupakan sketsa, ia tetap relevan masa kini. Anwar Ridhwan merenungi semula warisan lisan, dongeng-dongeng seperti dongeng puteri Cina itu.
Apkah tujuan pengarang? Kemungkinan besar ia ingin memperluaskan ufuk minda audien dan pembaca dramanya supaya mereka tidak dikongkong oleh sifat etnik yang sempit serta terbatas.
Dengan cara ini, dramatis mungkin berharap agar sikap ramah, sifat saling hormat-menghormati dan toleransi akan tumbuh subur di Malaysia dan membawa negara yang tercinta ini kepada tahap yang benar-benar gemilang.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme