
Kedai rangkaian mudah-beli KK Mart sekali lagi mendapati dirinya terperangkap dalam ribut kontroversi.
Mac lalu, kedai rangkaian ini terlibat dalam kes stokin tertera kalimah Allah yang dipamerkan untuk dijual.
Kali ini, keriuhan timbul kerana logo halal terlekat pada pek sandwic ham-dan-keju, yang didakwa disalahgunakan oleh pembekal makanan.
Pek ini ditemui di cawangan KK Mart di kampus Universiti Malaya. Akibatnya, kedai-kedai itu ditutup dengan pantas sementara menunggu kesudahan siasatan.
‘Ham’ dalam kes ini ternyata ham ayam. Walau bagaimanapun, ia akan menjadi pelanggaran Akta Perihal Dagangan 2011, khususnya Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011, jika bahan makanan itu dilabelkan sebagai halal tanpa kebenaran yang sewajarnya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Seperti kebanyakan orang di Malaysia sedia maklum, undang-undang pemakanan Islam melarang orang Islam daripada mengambil makanan dan minuman tertentu, dan ham (itu daging babi) adalah salah satu daripadanya.
Tidak mengejutkan bila ketua sayap pemuda Umno, Akmal Saleh, bertindak, meluahkan rasa marah terhadap ham yang dilabelkan sebagai halal. Beliau menganggap tindakan sedemikian sebagai “memperkecilkan” Islam – ungkapan yang mungkin telah dikira untuk menarik perhatian dalam kalangan umat Islam dan kelompok etnik Melayu.
Dengan kontroversi yang meletup berkaitan stoking “Allah”, kita harapkan ahli politik tertentu, terutamanya mereka yang kehilangan idea bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup di Malaysia, tidak akan mengeksploitasi kontroversi ini untuk memajukan agenda mereka sendiri.
Rakyat di Malaysia tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan ketakutan yang didalangi oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Muslihat sebegini boleh memecah-belahkan masyarakat dan menahan negara daripada mencapai keamanan dan kemajuan.
Kita perlu jelas bahawa ham (alias babi), yang menjadi punca kebimbangan bagi sesetengah orang, adalah berbeza daripada ham ayam belanda atau ham ayam, sama seperti hamburger tidak ada kaitan dengan ham.
Begitu juga halnya dengan Pretzel Dog, Coney Dog dan hotdog tidak mempunyai kaitan dengan komuniti anjing. Oleh itu, janganlah kita melalak tak tentu halal. (Ingat bagaimana pemegang francais atau pemilik Pretzel Dog dan Coney Dog akhirnya dipujuk oleh pihak berkuasa agama di Malaysia untuk menukar nama makanan itu kepada sesuatu yang dianggap lebih sedap.)
Mengakui perbezaan sedemikian adalah penting dalam mencegah tindak balas yang tidak perlu yang boleh meningkat kepada konflik yang buruk. Sekurang-kurangnya, ia harus membantu menghalang pihak tertentu daripada memperbodohkan diri mereka sendiri.
Episod di atas menunjukkan bahawa kesedaran halal-haram telah menjadi lebih menonjol dalam kehidupan masyarakat Melayu-Islam selama ini, yang mana sebahagiannya disebabkan oleh dorongan pengIslaman berjalur tertentu yang sengit.
Sementara itu, industri halal yang menguntungkan telah berkembang melangkaui sektor makanan dan minuman. Ia kini termasuk farmaseutikal, kosmetik, perbankan, perjalanan dan kewangan. Untuk gambaran betapa besarnya industri halal, ia diunjurkan menyumbang 8.1% daripada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2022.
Dari satu segi, halal telah dipermodalkan dan sedikit sebanyak, malah dikomoditikan.
Walau bagaimanapun, kebimbangan tentang apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang dalam makanan dan minuman dalam kalangan ramai umat Islam tidak diberikan kekuatan moral dan agama yang sama dalam aspek lain dalam kehidupan orang Muslim, iaitu tadbir urus yang baik dan kehidupan beretika.
Itulah sebabnya sangat membingungkan apabila perhimpunan baru-baru ini telah berjaya diadakan dan dihadiri ramai di Putrajaya oleh mereka yang mengaku takut kepada Tuhan dan mementingkan halal – tetapi sanggup berhimpun dalam solidariti dengan seorang penjenayah yang disabitkan, yang juga terlibat dalam skandal yang digambarkan sebagai “kleptokrasi paling teruk”.
Yang pasti, Islam menganggap rasuah sebagai haram. Jadi, adalah berdosa besar jika ia melibatkan pencurian dana awam yang besar yang akan menjejaskan kesejahteraan rakyat biasa, terutamanya golongan miskin.
Diulangi, rasuah itu tidak halal sama sekali.
Masih dalam subjek makanan halal, membeli makanan dari kedai halal mungkin tidak semestinya menjadikannya halal, lebih-lebih lagi jika pembelian dibuat menggunakan wang haram.
Jika konsep halal adalah untuk membantu umat Islam membezakan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak, maka ia harus menjadi kompas moral untuk semua aspek kehidupan Muslim, terutamanya dalam politik dan pengumpulan kekayaan.
Lagipun, halal lebih dari sekadar lesen dalam Islam. Ia adalah prinsip yang dihargai.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme