Ngo Sheau Shi
Selama beberapa dekad, masyarakat sivil dan rakyat Malaysia telah memperjuangkan penggubalan undang-undang kebebasan maklumat yang benar-benar berkesan di peringkat persekutuan.
Tuntutan itu berasaskan prinsip bahawa pengurusan sumber awam, penggubalan dasar kerajaan dan pelaksanaan kuasa pentadbiran perlu tertakluk kepada penelitian rakyat.
Demokrasi yang sihat tidak dapat berkembang sekiranya keputusan kerajaan terus dilindungi oleh budaya kerahsiaan.
Justeru, pembentangan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat 2026 sepatutnya menjadi detik penting dalam usaha memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran awam.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun, penelitian terhadap kandungan rang undang-undang berkenaan menunjukkan bahawa matlamat itu mungkin sukar dicapai sepenuhnya.
Daripada merungkai budaya kerahsiaan negara yang diwarisi sejak zaman pascakolonial, rang undang-undang itu dilihat berpotensi memperkukuh benteng perundangan yang sedia ada.
Malah, beberapa peruntukannya boleh menimbulkan risiko undang-undang terhadap rakyat yang menggunakan maklumat bagi mendedahkan salah laku atau mempertahankan kepentingan awam.
1MDB dan persoalan akauntabiliti
Kelemahan rang undang-undang ini dapat dinilai dengan melihat kembali skandal 1MDB, mungkin skandal kewangan yang terbesar dalam sejarah negara.
Seperti yang dihuraikan Clare Rewcastle Brown dalam bukunya The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Exposé, penyelewengan membabitkan berbilion-bilion ringgit terbongkar hasil tindakan pemberi maklumat dan wartawan yang memperoleh serta mendedahkan penyata kewangan, laporan audit dan rekod pemindahan wang yang sebelum itu tidak diketahui umum.
Sekiranya Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat 2026 telah berkuat kuasa ketika itu, persoalannya ialah sama ada maklumat berkaitan 1MDB boleh diperoleh langsung menerusi saluran yang disediakan.
Berdasarkan beberapa peruntukan dalam rang undang-undang berkenaan, jawapannya mungkin tidak. Malah, maklumat penting yang diperlukan untuk membongkar skandal itu berkemungkinan terus dilindungi atas alasan kerahsiaan atau pengelasan di bawah undang-undang lain.
Tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi
Antara kelemahan utama rang undang-undang berkenaan ialah kedudukannya yang masih tertakluk kepada undang-undang kerahsiaan sedia ada.
Fasal 12(a) memperuntukkan bahawa sesuatu maklumat hendaklah dikecualikan sekiranya maklumat itu berkaitan dengan dokumen rasmi, rahsia rasmi, rahsia, maklumat sulit atau maklumat yang dilindungi di bawah undang-undang bertulis lain.
Huraian rang undang-undang itu turut menyatakan bahawa akta yang dicadangkan tidak menjejaskan kuat kuasa mana-mana undang-undang bertulis yang mengawal kerahsiaan atau larangan penzahiran maklumat.
Ini bermakna maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 boleh terus dikecualikan daripada akses awam.
Pengalaman kes 1MDB menunjukkan bagaimana Akta Rahsia Rasmi pernah digunakan untuk mengklasifikasikan laporan ketua audit negara mengenai syarikat itu.
Sekiranya keadaan sama berlaku selepas rang undang-undang ini diluluskan, pihak berkuasa masih boleh menolak permintaan rakyat atas alasan bahawa dokumen berkenaan telah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.
Dalam keadaan sedemikian, rang undang-undang ini tidak mengatasi masalah pengelasan maklumat secara berlebihan. Sebaliknya, ia mengekalkan kuasa pihak berkuasa untuk menentukan maklumat yang boleh atau tidak boleh diketahui rakyat.
Syarat ‘kepentingan yang wajar dan nyata’
Rang undang-undang ini juga menetapkan batasan terhadap tujuan sesuatu permintaan maklumat boleh dibuat.
Fasal 6(1)(d) membenarkan permintaan hanya apabila pemohon mempunyai “kepentingan yang wajar dan nyata” serta telah terjejas akibat tindakan pihak berkuasa awam.
Syarat itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan rakyat yang ingin mendapatkan maklumat semata-mata atas dasar kepentingan awam.
Dalam sistem kebebasan maklumat yang berkesan, pemohon lazimnya tidak perlu membuktikan bahawa mereka telah mengalami kerugian atau kesan secara langsung sebelum diberikan akses kepada dokumen kerajaan.
Maklumat awam bukan milik mutlak kerajaan. Pihak berkuasa hanya bertindak sebagai penjaga atau pemegang amanah kepada maklumat yang diwujudkan menggunakan kuasa dan sumber awam.
Sebagai contoh, seorang pembayar cukai yang mahu mendapatkan dokumen berkaitan projek mega atau urus niaga sebuah dana pelaburan kerajaan mungkin tidak dapat menunjukkan bahawa beliau mengalami kerugian peribadi secara langsung. Namun, ini tidak bermakna beliau tidak mempunyai kepentingan yang sah untuk mengetahui bagaimana wang awam diuruskan.
Sekiranya konsep “kepentingan yang wajar dan nyata” ditafsirkan secara sempit, ia boleh menjejaskan peranan rakyat, penyelidik, aktivis dan organisasi masyarakat sivil dalam memantau tindakan kerajaan.
Kesan terhadap kewartawanan kepentingan awam
Peruntukan itu juga boleh memberi kesan terhadap kewartawanan kepentingan awam.
Walaupun Fasal 6 membenarkan permintaan bagi tujuan pelaporan, penerbitan atau penyebaran maklumat oleh pengamal media, hak itu tidak semestinya terpakai kepada semua pihak yang menjalankan fungsi kewartawanan.
Dalam persekitaran media digital hari ini, pendedahan kepentingan awam bukan sahaja dilakukan oleh organisasi media arus perdana. Ia turut dilakukan oleh wartawan bebas, penyelidik, NGO, pemberi maklumat dan rakyat biasa yang menggunakan media sosial atau platform digital untuk menyebarkan maklumat.
Sekiranya akses dibataskan kepada kategori pemohon tertentu, pihak yang menjalankan fungsi pemantauan awam di luar institusi media rasmi mungkin berdepan kesukaran mendapatkan maklumat.
Penggunaan maklumat boleh menjadi kesalahan
Antara peruntukan yang paling membimbangkan ialah Fasal 18(1)(a).
Fasal itu memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang menggunakan maklumat yang diperoleh di bawah akta berkenaan bagi tujuan yang bertentangan dengan tujuan asal permintaan boleh melakukan suatu kesalahan.
Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Peruntukan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan rakyat menggunakan, berkongsi dan membincangkan maklumat yang telah diberikan oleh pihak berkuasa.
Dalam sistem kebebasan maklumat yang sebenar, sesuatu maklumat yang telah dikeluarkan sepatutnya boleh diteliti, dianalisis, diterbitkan dan dibahaskan secara terbuka, tertakluk kepada sekatan munasabah seperti perlindungan data peribadi atau keselamatan individu.
Namun, di bawah rang undang-undang ini, penggunaan maklumat boleh dinilai berdasarkan tujuan yang dinyatakan ketika permintaan dibuat.
Keadaan itu boleh mewujudkan ketidakpastian undang-undang, terutama apabila kepentingan atau penggunaan sesuatu maklumat berubah selepas dokumen berkenaan diperoleh.
Risiko terhadap penduduk yang mempertahankan komuniti
Bayangkan seorang penduduk di kawasan perumahan lereng bukit menyedari kegiatan pembersihan tanah sedang dijalankan secara besar-besaran berhampiran kediamannya.
Bimbang kemungkinan berlaku tanah runtuh, beliau memohon laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling, laporan geoteknikal dan dokumen kelulusan projek – dengan menyatakan tujuan permohonan sebagai penyelidikan atau pendidikan.
Selepas permintaan diluluskan, dokumen yang diterima menunjukkan bahawa laporan penilaian kesan telah memberi amaran mengenai risiko tanah runtuh dan mengesyorkan beberapa langkah keselamatan. Namun, dokumen yang sama turut menunjukkan bahawa pihak berkuasa gagal memastikan langkah berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.
Penduduk itu kemudian berkongsi dokumen tersebut dengan pertubuhan alam sekitar, memuat naik sebahagian maklumat ke media sosial dan melancarkan petisyen bagi menghentikan kerja pembangunan – tindakan yang dilakukan demi keselamatan komuniti.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mungkin berhujah bahawa dokumen tersebut telah digunakan bagi tujuan kempen atau advokasi, sedangkan tujuan asal yang dinyatakan ialah penyelidikan atau pendidikan.
Dalam keadaan sedemikian, penduduk berkenaan berpotensi berdepan tindakan di bawah Fasal 18(1)(a).
Ini bermakna seorang rakyat yang cuba mencegah bencana dan melindungi nyawa boleh terdedah kepada hukuman penjara serta denda yang tinggi – kerana menggunakan maklumat untuk tujuan yang berbeza daripada tujuan asal permohonannya.
Peruntukan seperti ini boleh mewujudkan kesan gerun dalam kalangan rakyat. Pemohon mungkin takut untuk berkongsi penemuan mereka, walaupun maklumat itu menunjukkan kecuaian, salah guna kuasa atau ancaman terhadap keselamatan awam.
Benteng perundangan
Fasal 22 memperuntukkan bahawa tiada apa-apa dalam Akta berkenaan boleh ditafsirkan sebagai kebebasan asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
Menurut huraian rang undang-undang, peruntukan itu bertujuan menghalang akta berkenaan daripada dinaikkan kepada taraf hak perlembagaan yang dijamin.
Huraian tersebut turut menyatakan bahawa fasal berkenaan bertindak sebagai “benteng perundangan” dengan menjelaskan kepada badan kehakiman bahawa akta itu hanya mengawal selia suatu aktiviti tertentu dan tidak memperluas atau mengubah kerangka kebebasan asasi di Malaysia.
Peruntukan itu penting kerana ia menunjukkan bahawa hak mendapatkan maklumat tidak diiktiraf sebagai sebahagian daripada kebebasan asasi yang dijamin Perlembagaan.
Sebaliknya, akses kepada maklumat dianggap sebagai hak tatacara yang tertakluk kepada syarat, pengecualian dan budi bicara pentadbiran.
Pendekatan itu berbeza daripada prinsip bahawa kebebasan mendapatkan maklumat merupakan sebahagian daripada kebebasan bersuara, hak untuk mengambil bahagian dalam urusan awam dan hak rakyat untuk menilai tindakan kerajaan.
Kebebasan daripada akauntabiliti?
Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat sepatutnya menjadi instrumen untuk membuka pentadbiran kerajaan kepada penelitian rakyat.
Namun, peruntukan berkaitan pengecualian, tujuan permintaan, kepentingan yang wajar dan nyata, serta kesalahan penggunaan maklumat menimbulkan kebimbangan bahawa undang-undang itu boleh digunakan untuk mengawal, bukan memperluas, akses kepada maklumat.
Kerajaan masih mempunyai kuasa yang luas untuk mengekalkan pengelasan dokumen, menentukan siapa yang layak memohon dan mengehadkan cara maklumat boleh digunakan.
Pada masa sama, rakyat yang menggunakan maklumat untuk mendedahkan kecuaian atau salah laku boleh berdepan risiko pendakwaan.
Sekiranya kelemahan ini tidak diperbaiki, rang undang-undang berkenaan mungkin tidak menjadi pintu masuk kepada ketelusan.
Sebaliknya, ia boleh menjadi satu lagi benteng perundangan yang melindungi kerajaan daripada penelitian dan akauntabiliti awam.
Dr Ngo Sheau Shi merupakan pensyarah kanan di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa protem untuk penggubalan dan penyediaan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat pada tahun 2025.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











