Lanskap politik telah merosot lagi bila ramai politikus tanpa segan silu gunakan kaum dan agama untuk pecah belahkan masyarakat, Ch’ng Chin Yeow mengarang.
Walaupun beliau adalah pengasas dan presiden sulung Umno, Onn Jaafar tak setuju dengan dasar kaum parti itu ketika zaman awalnya.
Dia kemudian tinggalkan Umno untuk menubuhkan parti berbilang kaum untuk semua rakyat Malaya iaitu Parti Kemerdekaan Malaya pada 26 Ogos 1951.
Wawasan Onn Jaafar ke arah Malaya yang terangkum semua adalah luar biasa, memandangkan semasa itu terjadinya ketegangan kaum di antara orang Melayu dan kaum-kaum yang lain terhadap isu pemberian kerakyatan kepada orang Cina dan India.
Onn adalah datuk kepada sepupu bekas Perdana Menteri Najib Razak iaitu Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri kini.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Ramai politikus dan parti-parti politik sekarang yang gunakan politik kaum dan agama tak perlu lihat jauh untuk dicontohi melainkan pada Onn sahaja, itu pun jika mereka benar mahu berkhidmat demi nusa.
Pada tahun 2015, Najib menurunkan penyokong ‘baju merah’nya ke jalanan untuk mempertahankan ‘maruah Melayu’. Menurut timbalan presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man: “Ia adalah sebahagian taktik untuk mengalihkan perbualan rakyat secara tidak langsung agar rakyat terus terjerumus dalam kancah perdebatan perkauman yang tidak kesudahan” (The Malaysian Insider, 19 September 2015, “Pas berkata tindakan Najib yang memuji himpunan ‘baju merah’ dilihat sebagai muslihat untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar”).
Kehadiran Dr Mahathir Mohamad di Kongres Maruah Melayu pada Oktober 2019 apabila dia adalah Perdana Menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan merupakan satu lagi kejadian bersifat perkauman.
Satu masyarakat berbilang kaum berkemampuan untuk menjadi wadah tumpuan yang berpesekitaran sesuai bagi mengalirnya buah fikiran, pembaharuan dan sumbangan dari rakyat berbagai latar dengan bebas.
Ketika zaman kegemilangan pemerintahan Islam antara Abad Kelapan dan Abad Ke-14, apabila Eropah masih lagi berada dalam Zaman Gelap, Timur Tengah adalah pusat pembelajaran dan perdagangan. Kebudayaan, ekonomi, perubatan dan pembaharuan saintifik berkembang pesat (khanacademy.org).
Para cendekiawan dari pelbagai negara termasuklah orang Islam, Kristian dan Yahudi kesemuanya berusaha dan bekerjasama dengan aman di situ. Tanpa pemindahan songsang sains, matematik, astrologi dan teknologi dari Timur Tengah – ditemui dan ditemui semula ketika Zaman Kegemilangan Islam – kepada Eropah, benua it takkan ada Pembaharuan pada abad ke-14.
Empayar Mughal di bawah Maharaja Akbar waktu Abad Ke-16 di India telah menarik ramai cendekiawan dari serata dunia. Akbar menghapuskan cukai jizyah terhadap yang bukan Islam dan melantik mereka ke jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam dan tentera serta sekaligus meletakkan batu asas rangka tindakan politik berbilang kaum empayar tersebut.
Akbar tahu akan kepentingan empayar yang stabil adalah bergantung kepada kerjasama dan kemuhibahan rakyatnya. Dia melaksanakan pendekatan terangkum terhadap yang bukan Islam, yang membawa kepada era tolak ansur agama (huffpost.com, 4 Oktober 2013, “Finding tolerance in Akbar, the philosopher-king”).
Cogan kata Indonesia, “Bhinneka tunggal ika” (Kesatuan dalam kepelbagaian), telah diambil dari fahaman Empayar Jawa Majapahit di bawah raja agungnya, Raja Hayam Wuruk, pada Abad Ke-14.
Empayar Majapahit ketika itu ialah pusat pembelajaran dan perdagangan dalam rantau ini. Ramai yang datang sejauh dari China, India dan Timur Tengah ketika zaman kegemilangannya. Kerencaman budaya sekali lagi merupakan resepi yang terbukti untuk kejayaan dan adalah fomula untuk menjadi satu nusa yang hebat.
Wawasan ihsan yang bersifat terangkum dan rencam budaya pada Khilafah Abbasiyah, Akbar yang Agung dari Empayar Mughal, dan Raja Hayam Wuruk dari Empayar Majapahit menunjukkan kejayaan dasar-dasar politik sedemikian dan bagaimana kerajaan masing-masing berkembang pesat dek kerana dasar-dasar sebegitu.
Moyang dan leluhur kepada Najib dan Hishammuddin, Onn Jaafar, dengan keinginannya kepada masyarakat Malaysia yang adil dan terangkum hanya tinggal sebagai impian tak kesampaian setelah 70 tahun berlalu.
Lanskap politik telah merosot lagi bila ramai politikus tanpa segan silu gunakan kaum dan agama untuk pecah belahkan masyarakat. Istilah pendatang masih lagi diguna pakai secara terbuka bagi mencerca yang bukan Melayu dan untuk meraih publisiti serta daya tarikan politik.
Walaupun politik agama dan kaum – dengan gunakan bayangan ancaman oleh kaum-kaum yang lain terhadap orang Melayu sebagai asbab – ramai orang Melayu kekal miskin dan tidak mendapat manfaat dari dasar-dasar yang dilaksanakan oleh politikus-politikus ini.
Yang merasai faedah tak terperi dari dasar-dasar ini ialah elitis-elitis politik, termasuklah beberapa politikus-politikus yang telah mengguna pakai politik kaum dan agama untuk memecahkan masyarakat dan yang kini menghadapi perbicaraan rasuah. Lain-lain yang telah menerima manfaat berat sebelah dari dasar-dasar bersifat politik kaum dan agama ini adalah segolongan rakyat Malaysia yang ada-ada tanpa kira etnik mereka.
Bagaimana pun, majoriti rakyat Malaysia, khususnya mereka yang bergelut untuk mencari nafkah – termasuklah ramai orang Melayu, yang mana para politikus tersebut patutnya wakili dan juarai – merasa dibelot.
Ch’ng Chin Yeow punyai minat dalam berbagai isu dan subjek, termasuklah sejarah, mineralogi dan kelakuan manusia. Menetap di Pulau Pinang, dia benar-benar suka jadi kaki sibuk.
Terjemahan oleh Shazni Bhai.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme