Home TA Online Surat terbuka kepada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024

Surat terbuka kepada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024

EPF saving - pre-Covid lockdowns and post-Covid lockdowns

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pada pandangan saya, status ekonomi bumiputera di Malaysia masih ketinggalan berbanding masyarakat minoriti etnik (walaupun wujudnya lapisan-lapisan masyarakat minoriti etnik yang juga miskin dan menghadapi masalah ekonomi).

Hakikat ini ditunjukkan dalam angka-angka jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mengikut pecahan etnik, sebelum dan selepas perintah kawalan pergerakan. Statistik ini dilaporkan dalam Dewan Rakyat pada awal tahun 2023.

Oleh kerana ini, adalah wajar untuk negara kita mengaturkan langkah supaya mengendalikan masalah ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat etnik Melayu dan bumiputera lain, dan saya harap Kongres Ekonomi Bumiputera ini akan menentukan dasar yang berkesan untuk mengatasi masalah ekonomi masyarakat bumiputera.

Untuk menggubal dasar yang tepat dan berkesan, adalah amat perlu untuk memahami punca-punca kemiskinan dalam masyarakat Melayu terlebih dahulu.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal, saya dapati bahawa punca-punca kemiskinan masyarakat Melayu adalah seperti berikut:

  1. Kekurangan peluang kerja

Walaupun ada banyak peluang kerja di ladang-ladang skim Felda Lasah dan di kilang-kilang di sekitar kawasan Sungai Siput serta kawasan Kanthan yang terletak berhampiran Sungai Siput, masyarakat Melayu masih menghadapi masalah pengangguran.

Pihak majikan kilang lebih cenderung untuk mengambil pekerja asing kerana mereka boleh dipaksa untuk bekerja syif 12 jam secara berterusan. Pekerja asing juga lebih senang dikawal dan mereka takut untuk menyoal majikan, dalam keadaan seperti bayaran kerja lebih masa (OT) adalah kurang daripada yang sepatutnya.

Kontraktor-kontraktor yang mengendalikan pemotongan buah sawit cenderung untuk mengupah pekerja-pekerja migran tanpa dokumen kerana mereka boleh dibayar dengan kadar gaji yang jauh lebih rendah berbanding pekerja-pekerja tempatan. Dan di Malaysia, kita ada tiga atau empat juta orang pekerja migran tanpa dokumen.

Lambakan pekerja asing tanpa dokumen menekankan gaji dalam sektor bukan formal ke bawah paras gaji minimum, dan ini merupakan satu punca kesukaran mendapat kerja dengan gaji yang munasabah bagi lapisan golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah.

Jadi, kongres kali ini harus fokus pada masalah lambakan pekerja migran ini.

Pada analisis saya, sebab utama untuk lambakan pekerja migran tanpa dokumen adalah syarikat agensi buruh bertauliah yang membawa masuk lebih ramai pekerja migran daripada keperluan sebenar majikan – kerana syarikat agensi dapat keuntungan RM5,000 hingga RM10,000 daripada setiap orang pekerja asing yang dibawa masuk.

READ MORE:  Breaking chains: Empowering Indian Malaysian youth to rise above poverty

Syarikat agensi buruh – yang mempunyai ‘kabel’ kuat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen – dapat keuntungan yang lumayan, tetapi lapisan 40% terendah (ethnik Melayu dan India juga) menghadapi kesukaran dalam mencari kerja.

  1. Kelembapan permintaan kasar dalam kalangan masyarakat Melayu

Perniagaan sering dipromosi oleh beberapa agensi kerajaan sebagai jalan untuk membebaskan diri daripada cengkaman kemiskinan.

Wujudnya beberapa ratus peniaga kecil di kawasan Sungai Siput. Mereka membuka gerai di pasar malam dan gerai makanan di tepi jalan di kawasan kampung. Tetapi majoriti daripada mereka mendapat pulangan yang kecil dan tidak menentu, dan terus dibelenggu hutang.

Masalah yang dihadapi oleh mereka adalah:

  • Pelanggan mereka berpendapatan rendah. Oleh itu, mereka tidak boleh membeli banyak barangan jualan
  • Terlalu ramai gerai yang menjual benda sama

Oleh kerana masalah-masalah ini, permintaan pasaran tempatan adalah lembap, dan pendapatan bersih ramai peniaga kecil di Sungai Siput (dan saya percaya di banyak kawasan di seluruh negara) tidak sampai RM1,500 sebulan, dan mereka tetap miskin.

  1. Ketidaktelusan dalam kalangan kontraktor yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek/dasar yang digubal untuk ‘membantu’ orang kampung

Berikut adalah dua contoh:

  • Penanaman semula kelapa sawit di skim Felda telah ‘disumberkan luar’ (outsourced) kepada syarikat swasta. Persetujuan antara peserta Felda dan syarikat penanaman semula adalah:
    • Syarikat itu akan menanggung segala kos penanaman semula
    • Syarikat itu akan membayar RM1,500 kepada peserta setiap bulan sehingga kebun dikembalikan kepada peserta untuk diuruskan
    • Kebun akan diuruskan oleh syarikat dan hasilnya dijual untuk menampung kos penanaman semula dan membayar balik hutang peserta Felda kepada syarikat penanam semula itu

Masalahnya adalah penipuan dalam pengiraan akaun – pulangan daripada jualan hasil gagal direkod sepenuhnya, tetapi perbelanjaan menguruskan kebun ditingkatkan.

Oleh itu, hutang peserta kepada syarikat mengambil masa yang sangat panjang untuk diselesaikan dan kebun terus diuruskan oleh syarikat swasta untuk tempoh masa yang panjang.

READ MORE:  Urban poverty: Precarity persists, post-pandemic

Felda, sebuah skim yang baik, telah dirampas oleh syarikat penanaman semula (dengan kerjasama pihak pengurusan Felda).

  • Penanaman semula kebun getah juga telah disumberkan luar kepada kontraktor yang ‘bertauliah’ (oleh Risda, iaitu pihak berkuasa kemajuan pekebun kecil perusahaan getah). Kontraktor ini dibayar untuk menanam semula dengan menggunakan klon yang boleh menghasilkan lebih banyak susu getah. Klon ini kena dibeli oleh kontraktor. Ada pekebun kecil getah yang mengadu bahawa kontraktor telah menipu dengan menggunakan anak pokok getah yang biasa untuk menjimatkan kos dan bukan klon yang perlu dibeli. Perkara yang serupa berlaku dalam banyak lagi program yang telah digubal untuk membantu bumiputera miskin, seperti pembekalan baja kepada pesawah padi, skim jaminan harga lantai padi dan program membina rumah PPR di kawasan kampung. Program-program membantu bumiputera miskin sekarang telah ditukar menjadi sumber keuntungan mewah bagi lapisan kontraktor.

Percanggahan kepentingan kelas dalam masyarakat bumiputera

Para peserta kongres bumiputera harus mengingatkan diri bahawa masyarakat bumiputera sudah berkembang dalam tempoh 60 tahun yang lalu, dan sekarang wujudnya pelbagai strata dan kelas.

Di kemuncak ekonomi masyarakat bumiputera adalah golongan jutawan, ahli-ahli politik dan CEO-CEO kepada syarikat gergasi yang dikuasai oleh kerajaan (GLC).

Di peringkat kedua atas adalah kumpulan-kumpulan profesional – peguam, akauntan, doktor, jurutera, profesor dan kakitangan kanan kerajaan dengan gaji bulanan yang melebihi RM10,000 sebulan.

Jumlah orang dalam dua kelas atasan ini adalah lebih kurang 20% daripada bilangan bumiputera di Malaysia, iaitu kumpulan isi rumah berpendapatan 20% tertinggi.

Di bawah lapisan teratas ini, wujud lapisan kalangan isi rumah pertengahan 40%, dengan pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM10,000. Mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan menengah, kakitangan syarikat besar dan peniaga kecil.

Strata seterusnya adalah golongan isi rumah berpendapatan rendah 40% yang terdiri daripada kakitangan kerajaan bawahan, pekerja kilang, pekerja bawahan syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta, pekerja gig, peniaga mikro, pekerja kontrak di sekolah, hospital dan sektor lain, pesawah, pekebun, nelayan, kaum muda yang sedang mencari kerja, mereka yang melakukan ‘kerja kampung’ dan penganggur.

READ MORE:  What's in a bag?

Salah satu soalan yang saya ingin tujukan kepada para peserta kongres adalah – adakah masalah-masalah ekonomi lapisan bumiputera 40% terendah dan 40% pertengahan dijadikan fokus (tumpuan) kongres ini, ataupun adakah kepentingan lapisan 20% teratas yang akan menjadi fokus utamanya?

Soalan ini harus diambil kira, kerana kepentingan lapisan-lapisan yang berlainan adalah berbeza, dan mungkin bercanggah dalam beberapa kes. Misalnya,

  • Segelintir kecil bumiputera yang menguasai syarikat-syarikat yang membawa masuk beribu-ribu orang pekerja asing yang sedang menjejaskan status ekonomi lapisan 40% terendah bumiputera yang menghadapi kesukaran mendapat kerja dengan gaji bermaruah
  • Segelintir kecil bumiputera yang merupakan pelabur dan pengurus di hospital swasta yang sedang mempromosi pengembangan hospital swasta. Ini meningkatkan penghijrahan keluar doktor-doktor pakar dari hospital kerajaan, dan menjejaskan kualiti rawatan untuk kaum 40% terendah dan 40% pertengahan yang bergantung pada hospital kerajaan
  • Beberapa ribu orang peniaga yang mendapat kontrak pembersihan di sekolah dan hospital sedang menekan pekerja-pekerja bumiputera (dan lain-lain lagi) dengan tidak mematuhi perintah gaji minimum, menipu dalam bayaran KWSP dan pengiraan kerja lebih masa, dan sebagainya.

Siapakah lapisan bumiputera yang akan mendapat sokongan daripada kongres kali ini apabila percanggahan sebegini berlaku – golongan jutawan, kaum kontraktor ataupun bumiputera marhaen? Adakah percanggahan seperti ini akan dikenal pasti dan dibahaskan?

Soalan terakhir – adakah ia lebih baik untuk kaum 40% terendah jika kita kembali kepada pendekatan Abdul Razak Hussein yang mempertanggungjawabkan beberapa agensi kerajaan untuk melaksanakan program-program membantu bumiputera miskin?

Di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, hampir semua skim membantu bumiputera miskin disumberkan luar kepada kontraktor-kontraktor swasta untuk diuruskan. Dan seperti yang telah dihuraikan di atas, ketidaktelusan dan penyalahgunaan kuasa sudah menjadi kebiasaan dan bantuan tidak sampai sepenuhnya kepada lapisan yang disasarkan.

Saya harap isu-isu yang dibangkitkan dalam surat ringkas ini akan dipertimbangkan dalam perbahasan Kongres Ekonomi Bumiputera yang bermula pada 29 Februari 2024, dan masyarakat bumiputera marhaen akan mendapat manfaat daripada kongres ini.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Jeyakumar Devaraj
Dr Jeyakumar Devaraj, a long-time Aliran member and contributor, served as Member of Parliament for Sungai Siput from 2008 to 2018. A respiratory physician who was awarded a gold medal for community service, he is also a secretariat member of the Coalition Against Health Care Privatisation and chairperson of the Socialist Party of Malaysia.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x