Home TA Online 2013 TA Online Apakah itu ‘pertukaran rejim’?

Apakah itu ‘pertukaran rejim’?

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Yang penting ialah pertukaran rejim yang menghormati satu politik budaya (cultural politics) yang dapat berdebat, berdialog dengan masyarakat sivil, dan memahami dan menghormati isu-isu sensitif di ruang awam, ujar Rakyat Untuk Pertukaran Rejim.

Pergerakan masyarakat 'People Power' di Filipina - Photograph: Wikipedia
Pergerakan masyarakat ‘People Power’ di Filipina – Photograph: Wikipedia

Baru-baru ini wujud satu pendapat bahawa Malaysia tidak perlu ada satu pertukaran rejim.

Kenyataan ini dibuat sebagai respon kepada pilihanraya umum ke-13, iaitu setakat manakah kemusykilan sosial, politik, ekonomi Malaysia dapat ditangani sekiranya wujud satu pertukaran rejim? Rumusan kenyataan tersebut adalah pertukaran rejim tidak semestinya akan membawa kepada pembaik-pulihan keadaan – rujuk kepada isu rasuah dan integriti rejim yang baru.

Apakah itu “rejim”? Menurut Kamus Dewan, ia ditakrifkan sebagai “satu sistem pemerintahan dan pentadbiran” (rejim) atau “perancangan, aturan tetap”. Definasi ini merujuk dari segi pentadbiran dan sistem pemerintahan sesebuah negara. Dalam sudut politik, ia boleh dirujuk kepada pertukaran satu jenis Negara (state) yang otokratik kepada jenis Negara (state) yang demokratik atau sebaliknya melalui proses pemberontakan, sokongan daripada satu parti atau gabungan parti dan masyarakat sivil, atau sokongan luaran seperti negara kuasa besar, institusi antarabangsa dan pengalaman krisis seperti krisis ekonomi. Umpamanya pada tahun 1986, rejim Ferdinand Marcos telah dijatuhkan melalui pergerakan masyarakat “People Power” melalui satu gabungan kuasa politik antara masyarakat sivil, gereja, dan parti-parti politik pembangkang. Pada tahun 1998, rejim Suharto telah dijatuhkan melalui pergerakan mahasiswa Indonesia, parti-parti politik, dan NGOs setelah berlakunya krisis ekonomi Asia pada tahun 1997.

Secara amnya, pertukaran rejim daripada pengalaman Asia Tenggara merupakan satu pertukaran kerajaan jenis otokratik kepada yang lebih demoratik dan disusuli dengan pertukaran corak pemerintahan kerajaan berasaskan sistem pendemokrasian dan nyah-pemusatan. Ini tidak bemaksud bahawa tiada masalah dalam sistem politik ini. Masih banyak lagi kucar-kacir dalam sistem pemerintahan kerajaan kedua-dua negara tersebut. Namun, satu perubahan yang mendadak dan jelas telah wujud: suara rakyat diketengahkan di atas pentas sistem pemerintahan.

Pertukaran sesebuah rejim ini seperti yang dirujukkan oleh Kamus Dewan adalah pertukaran dari segi institusi politik formal. Namun, interpretasi “pertukaran rejim” itu tidak bertumpu kepada proses penglibatan rakyat dalam pembangunan dan pola-pola perubahan struktur politik, terutama sekali penglibatan mereka dalam memperbaharui sesebuah rejim yang lama kepada yang baru. Harus diperingatkan bahawa perubahan atau pertukaran juga merangkumi pembentukan satu prinsip politik. Yakni, satu keinginan dan permintaan politik yang bukan semata-mata merujuk kepada “track record” sesebuah kerajaan tetapi permintaan transformasi untuk satu sistem politik pemerintahan yang professional, berprinsip demokrasi liberal, kehormatan kepada Perlembagaan, Hak Asasi Manusia, ketelusan, kebajikan dan keadilan sosial, hak wanita, kanak-kanak, alam sekitar, kejaminan kebebasan bersuara dan banyak lagi – satu kelaungan politik yang matang.

Sejarah itu merupakan satu sumber rujukan yang objektif untuk kita membuat penilaian sama ada seseorang individu ataupun pemerintah berprestasi baik dan bertanggungjawab. Namun, penulisan sejarah rasmi itu berupaya menampilkan isu-isu yang dilihat sesuai untuk masyarakat dan bangsa oleh sekumpulan elit, termasuk para akademik. Penulisan sejarah rasmi yang mengagung-agungkan kumpulan nasionalis dan kejayaan mereka berjuang untuk kemakmuran negara lazimnya tidak mempersoalkan ketidak-seimbangan pembangunan yang berlaku. Di bawah rejim Suharto pembangunan ekonomi telah mencapai 9 peratus setahun secara purata; pada masa yang sama, juga wujudnya penindasan hak asasi manusia dalam kalangan pelajar, media disekat, tentera dan Presiden mempunyai kuasa monopoli, pembangunan ekonomi yang tidak seimbang dan sebagainya. Oleh kerana sejarah adalah satu kayu ukur penilaian sesebuah rejim, kita harus peka terhadap proses pembentukan “sejarah” dan “penentuan masa dalam sejarah” (periodisation of history).

Pertukaran rejim dalam konteks Malaysia kini, pengambilan kuasa pemerintahan daripada Putrajaya (pemerintahan pusat) bukan setakat merangkumi penyelesaian isu-isu sensitif tetapi lebih penting lagi adalah pertukaran rejim yang menghormati satu politik budaya (cultural politics) yang dapat berdebat, berdialog dengan masyarakat sivil, memahami dan menghormati isu-isu sensitif di ruang awam. Pertukaran rejim bukan setakat mengubah jenis Negara (state) A kepada B tetapi satu rejim yang peka terhadap transformasi mentaliti antara rakyat jelata sesebuah masyarakat yang ingin pembasmian politik lama (rasuah, kronisme, nepotisme, politik wang) kepada satu politik yang matang, adil dan saksama.

Persoalan politik Malaysia bukan setakat mengenai parti politik atau gabungan parti politik yang mana satu dapat berfungsi, mempunyai “track record” dan berupaya menghadapi isu-isu sensitif, bukan untuk perlindungan semangat nasionalisme, bukan nostalgia kebanggaan negara, tetapi satu pembinaan sistem dan politik budaya yang matang dan demokratik, yang menjangkaui isu-isu etnik, bahasa, dan pembangunan material!

‘Rakyat Untuk Pertukaran Rejim’ ialah nama pena seorang ahli Aliran.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x