Oleh Raveen Jeyakumar
Satu masalah utama yang dihadapi oleh kerajaan kita adalah kekurangan dana yang mencukupi untuk membiayai program-program pro-rakyat yang dapat meningkatkan taraf hidup serta jaminan sosioekonomi rakyat biasa.
Satu cara berkesan untuk memperoleh dana yang amat diperlukan adalah dengan membanteras semua bentuk korupsi yang melibatkan firma yang tidak tersenarai serta syarikat subsidiari di bawah syarikat berkaitan kerajaan.
Ini akan mengurangkan pembaziran dana dengan ketara dan meningkatkan keuntungan yang dijana oleh syarikat-syarikat ini. Pihak kerajaan seterusnya dapat menggunakan pendapatan berlebihan yang diperolehi melalui percukaian dan dividen daripada syarikat-syarikat ini untuk melaksanakan program-program pro-rakyat. Dr Edmund Terence Gomez, pengerusi Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), telah memberikan penerangan terhadap kebanyakan hujah dalam artikel ini.
Beberapa ahli politik dan birokrat daripada pelbagai kementerian menggunakan firma tidak tersenarai dan syarikat subsidiari ini sebagai alat untuk memperoleh sokongan melalui naungan, melibatkan diri dalam amalan ‘rent-seeking’, dan untuk memperoleh dana untuk aktiviti parti politik.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Terdapat beberapa ahli politik yang dilantik sebagai pengarah atau digajikan sebagai pegawai atasan di beberapa syarikat ini. Sebagai pengarahnya, ahli politik ini mungkin diberikan kontrak, di mana sesetengah daripadanya disubcontract pula kepada kroni masing-masing.
Dengan keuntungan yang dijana oleh syarikat-syarikat ini, sesetengah pengarah tersebut kemudian mengisytiharkan bonus untuk diri sendiri yang lagi memperkayakan mereka.
Firma-firma tidak tersenarai dan syarikat subsidiari ini di bawah syarikat berkaitan kerajaan telah lama menjadi alat ekonomi semasa musim pilihan raya untuk mendapatkan sokongan pilihan raya, terutamanya di kalangan masyarakat luar bandar.
Firma-firma ini mungkin akan melaksanakan program-program di kawasan pilihan raya (constituencies) yang miskin dan kurang dibangunkan di bawah samaran melaksanakan aktiviti CSR (corporate social responsibility).
Dan memandangkan hakikat bahawa syarikat-syarikat ini nampaknya tidak mempunyai banyak pemantauan dan akauntabiliti, peluang untuk aktiviti korupsi dan penyalahgunaan oleh ahli politik serta birokrat yang sesat adalah amat besar.
Amalan korupsi seperti naungan, ‘rent-seeking’, kronisme, dan nepotisme telah diterapkan ke dalam tadbir urus awam Malaysia untuk masa yang agak lama. Amalan korupsi sebegini selama ini telah membazirkan sejumlah besar keuntungan yang dijana oleh syarikat berkaitan kerajaan.
Dana yang terhilang ini mungkin boleh dapat digunakan oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup komuniti-komuniti yang kurang bernasib baik melalui berbagai-bagai program.
Tidak hairanlah, masalah serius seperti kemiskinan tegar dan masalah dengan infrastruktur asas di kawasan-kawasan luar bandar masih berlarutan sehingga sekarang.
Pihak kerajaan perlu membendung amalan korupsi dalam firma-firma tidak tersenarai dan syarikat subsidiari tersebut bagi menghentikan pembaziran dana yang amat diperlukan. Ia dapat melakukannya dengan melaksanakan beberapa reformasi politik pada peringkat persekutuan mahupun negeri.
Pertama, tutupkan firma tidak tersenarai dan syarikat subsidiari yang mempunyai fungsi sama, tetapi kurang berkesan berbanding perusahaan-perusahaan swasta dalam sektor yang sama.
Kerajaan harus membuat semakan yang sistematik dan teliti terhadap syarikat-syarikat sebegitu untuk mengenal pasti syarikat yang tidak lagi diperlukan dan bilangan pekerja yang terlibat.
Penutupan syarikat ini mesti dilakukan secara berperingkat. Tetapi pertamanya, kerajaan perlu menjaga jaminan pekerjaan untuk para pekerja yang terjejas. Ia mesti memastikan bahawa pekerjaan alternatif dengan gaji yang mencukupi adalah tersedia untuk pekerja tersebut.
Penutupan ini akan menyingkirkan pembaziran dana dalam syarikat yang tidak diperlukan. Dana yang dijimatkan kemudiannya boleh diserap ke dalam syarikat berkaitan kerajaan induk masing-masing. Ini akan meningkatkan keuntungan syarikat induk tersebut dan pihak kerajaan seterusnya dapat menggunakan cukai dan dividen yang berlebihan daripada keuntungan tersebut untuk melaksanakan lebih banyak program pro-rakyat.
Kedua, kenakan sistem kawal dan imbang yang ketat pada tahap institusi syarikat berkaitan kerajaan bersama dengan institusi pengawasan (oversight) yang bebas terhadap semua syarikat tersebut, terutamanya terhadap firma tidak tersenarai dan subsidiari masing-masing.
Jawatankuasa tindakan parlimen (parliamentary action committees), yang diketuai oleh ahli pembangkang, harus mempunyai pengawasan terhadap syarikat tersebut.
Pemimpin syarikat tersebut tidak harus mempunyai apa-apa kecenderungan politik. Mereka seharusnya apolitical dan patut bertindak secara bebas supaya mereka dapat menghapuskan ketidakcekapan dan penyalahgunaan kuasa dengan berkesan.
Langkah ini juga akan meningkatkan kecekapan dan menyingkirkan pembaziran dana dalam syarikat tersebut.
Hasilnya: kerajaan akan memperolehi bahagian yang lebih besar daripada keuntungan yang dijana oleh syarikat-syarikat tersebut, yang kemudiannya dapat digunakan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat biasa.
Ketiga, gubalkan perundangan untuk meluaskan definisi ‘korupsi’ untuk merangkumi kegiatan naungan, kronisme, penyalahgunaan serta penyelewangan dana.
Pada masa kini, korupsi dalam Malaysia mempunyai maksud yang sempit, iaitu rasuah – perbuatan penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu melakukan atau tidak melakukan sesuatu yang berkaitan dengan tugas rasminya. Definisi sebegini adalah jauh terlalu sempit.
Memperluaskan definisi tersebut dapat mencegah bentuk korupsi lain dan mengenakan hukuman berkesan terhadap individu-individu yang terbabit dalam kegiatan korupsi tersebut.
Secara ringkasnya, reformasi terhadap institusi syarikat berkaitan kerajaan dapat membendung pembaziran dan korupsi, sekali gus memberikan kerajaan dana yang amat diperlukan.
Dengan dana tambahan ini, pihak kerajaan kemudiannya dapatlah membasmikan kemiskinan, mengagihkan kekayaan secara saksama, dan menyelesaikan masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah. Ini akan meningkatkan tahap sokongan rakyat jelata terhadap kerajaan.
Raveen Jeyakumar, seorang sukarelawan Aliran yang berumur 29 dan bermastautin di Ipoh, berminat dengan isu sosial dan alam sekitar
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme