Tujuh cara semangat kesederhanaan dapat dipupuk di Malaysia

Hanya perbincangan dan kerjasama mengenai isu-isu sosioekonomi dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama dengan efektif

GERALT/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

By Raveen Jeyakumar

Semangat kesederhanaan daripada aspek kepercayaan, pengamalan serta undang-undang agama harus ditanamkan dalam sistem pentadbiran kerajaan mahupun masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

Kerajaan serta masyarakat yang berpegang teguh kepada prinsip kesederhanaan dalam agama dan ideologi politik akan mencapai kestabilan untuk jangka panjang, kerana para penduduknya tidak akan rasa hak asasi mereka tertindas atau terhakis. Ini pula dapat mengelakkan apa-apa konflik atau penentangan yang serius.

Masalah utama dalam kepercayaan, pengamalan serta undang-undang agama yang terlalu konservatif atau terlalu liberal adalah akhirnya hak asasi serta cara hidup masyarakat akan ditindas dan dijejaskan.

Kepercayaan dan undang-undang agama yang terlalu konservatif akan mengenakan kawalan serta sekatan yang semakin mengetat terhadap masyarakat sampai hak asasi mereka ditindas. Masyarakat tidak diberi pilihan, sebaliknya undang-undang terlalu konservatif tersebut dikuatkuasakan ke atas mereka.

Saya sedar bahawa satu faktor utama bagi perubahan kepada kepercayaan dan pengamalan agama yang konservatif adalah sebagai usaha pembelaan serta solidariti agama sebagai balasan terhadap beberapa kejadian: revolusi Iran, imperialisme atau neo-imperialisme terhadap beberapa negara Islam oleh puak-puak Barat tertentu, agenda geopolitik puak-puak Barat untuk memupuk ketidakstabilan dalam beberapa negara Islam, penindasan teruk terhadap rakyat Palestin, dan sebagainya.

Semua kejadian ini yang dicetuskan oleh puak-puak Barat adalah amat salah, melanggar undang-undang antarabangsa dan mesti ditentang serta dikutuk oleh semua orang tidak kira bangsa atau agama.

Tetapi, pendekatan yang terlalu konservatif dalam penentangan terhadap imperialisme adalah tidak mampan dalam jangka masa panjang secara am kerana ianya hanya melibatkan golongan orang yang menerima dan mengamalkan cara hidup yang terlalu konservatif yang sama tersebut.

Akibatnya, usaha menentang imperialisme tersebut (tanpa keganasan) adalah tidak cukup kuat dan besar untuk memberi impak yang diperlukan.

Dalam senario ini, hanya kerajaan dan golongan masyarakat yang berteraskan prinsip kesederhanaan daripada aspek agama mahupun ideologi politik dapat membentuk gabungan yang kuat dan stabil untuk jangka panjang, bersama dengan komuniti dan negara berlainan bangsa dan agama.

READ MORE:  Noor Farida Ariffin - salute to an iconic, moderate woman of valour

Ini adalah kerana kerajaan sederhana adalah lebih menghormati, bertoleransi serta bertolak ansur terhadap mereka yang mempunyai kepercayaan dan pengamalan yang berlainan daripadanya.

Pada hujung yang lain pula, iaitu pemikiran dan cara hidup yang terlalu liberal, hak asasi masyarakat akan juga tertindas kerana kerajaan lebih mementingkan kehendak golongan elit seperti bangsawan elit, syarikat-syarikat besar dan ahli politik daripada kesejahteraan penduduk biasanya melalui peraturan yang longgar.

Oleh demikian, dalam pengejaran keuntungan oleh golongan elit yang disemarakkan oleh ketamakan besar mereka, kualiti kehidupan masyarakat biasa daripada segi sosioekonomi akan terjejas.

Selain faktor geopolitik dunia, disebabkan penyalahgunaan agama dan bangsa sebagai senjata politik di Malaysia selama beberapa dekad ini, sentimen agama dalam sistem pentadbiran negara, sistem perkhidmatan sivil dan dalam sebahagian masyarakat kita telah menjadi terlalu defensif serta konservatif.

Aliran yang semakin meningkat ini telah menyebabkan penghakisan dan penindasan hak asasi serta diskriminasi terhadap beberapa golongan tertentu dalam masyarakat kita.

Untuk mengelakkan perubahan kepada keterlaluan agama daripada memusnahkan masyarakat Malaysia, pihak kerajaan melalui kementerian dan jabatan relevan harus dengan secepat mungkin mengambil tujuh langkah berikut:

Pertama, parti politik harus bekerjasama dengan pertubuhan atau NGO yang berteraskan kesederhanaan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Ikram untuk mengadakan sesi perjumpaan yang kerap dan konsisten dengan masyarakat di kawasan perumahan dan perkampungan di seluruh Malaysia.

Ini adalah supaya perbincangan yang lebih terus dan mendalam tentang isu-isu yang mereka hadapi dapat diadakan.

Peluang ini boleh digunakan untuk menyebarkan prinsip kesederhanaan dalam kepercayaan dan pengamalan agama kepada rakyat. Taktik gerak kerja turun ke lapangan ini digunakan oleh parti tertentu secara amat efektif dan terbuktinya dalam kubu mereka yang kuat.

Kedua, prinsip-prinsip berteraskan kesederhanaan – khususnya dalam bentuk belas kasihan, kemaafan, pemahaman dan timbang rasa – harus dipromosi pada tahap persekutuan mahupun negeri. Undang-undang terlalu konservatif yang berteraskan kawalan, hukuman dan paksaan adalah tidak efektif kerana para penganut tidak akan menerima kefahaman serta kesedaran tentang sebab perbuatan mereka disifatkan sebagai salah atau dilarang.

READ MORE:  Gubal rang undang-undang keharmonian nasional (Malay/English)

Pihak berkuasa boleh menasihatkan rakyat jelata tentang isu-isu berkaitan agama secara amnya. Tetapi, mereka juga harus menghormati hak asasi serta keperibadian setiap individu dan tidak bercampur tangan dalam kehidupan peribadi orang melalui tindakan moral policing.

Ketiga, tindakan afirmatif berdasarkan keperluan mesti dilaksanakan dengan serta-merta, berkesan dan bertanggungjawab hanya untuk golongan masyarakat yang masih memerlukannya, khususnya kumpulan 40% yang terendah dan kumpulan bawah-pertengahan. Ianya mesti dilaksanakan tanpa apa-apa pengambilan kesempatan oleh ahli politik untuk memfaedahkan serta mengayakan diri sendiri, kroni dan rakannya.

Laksanakan dengan serta-merta tindakan afirmatif berdasarkan kaum tetapi hanya untuk membetulkan ketidakseimbangan perwakilan kaum dalam sektor tertentu yang masih memerlukan tindakan sedemikian. Contoh-contoh khusus termasuklah terdapat terlalu kurang pekerja bukan Melayu dalam perkhidmatan sivil negara, manakala terdapat terlalu kurang pengurus dan pemilik syarikat yang berkaum Melayu dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana.

Kesemua tindakan afirmatif berdasarkan kaum melalui penguatkuasaan sistem kuota harus dilaksanakan secara beransuran dan yang memantul komposisi kaum-kaum di Malaysia. Ianya mesti dilaksanakan dalam tempoh masa munasabah yang telah ditetapkan dan mesti ditamatkan selepas tempoh masa tersebut habis. Ini adalah untuk mengelakkan diskriminasi atau ketidakadilan terhadap golongan kaum tertentu seperti apa yang berlaku sekarang untuk masa lama.

Dengan tindakan afirmatif sebegini, tahap sosioekonomi kebanyakan penduduk dapat ditingkatkan, mereka akan mencapai jaminan kewangan, dan perasaan kebebanan, stres, terdesak serta insekuriti akan turun. Ini turut akan menjadikan mereka tidak lagi mudah terpengaruh serta tertarik dengan ideologi terlalu konservatif dan ekstremis yang disebarkan oleh puak-puak tertentu dengan agenda mereka tersendiri.  

Keempat, kerajaan harus menanam prinsip kesederhanaan dalam kepercayaan dan pengamalan agama dalam perkhidmatan awam di seluruh negara. Ini adalah supaya cara pemikiran sesetengah orang yang terlalu konservatif, yang mempunyai perasaan tidak terjamin dan persepsi negatif terhadap agama atau kaum lain dapat diubah.

READ MORE:  From slogans to action: 'Malaysia Madani' must move from 'tolerance' to understanding

Kelima, pihak penguasa harus mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menghina mana-mana agama serta kaum dan budaya, tidak kira kedudukannya dalam masyarakat. Adalah tidak adil langsung jika hukuman dikenakan secara berat sebelah hanya terhadap orang biasa tetapi golongan elit seperti ahli politik yang menghina agama dan budaya lain dengan kurang ajar dan keangkuhan untuk memperoleh mata politik tidak menerima sebarang hukuman.

Keenam, kerajaan harus menggunakan semua bentuk media untuk menyebarkan prinsip kesederhanaan melalui perbincangan, perdebatan, pengumuman awam, dan sebagainya. Lebih banyak liputan berita diperlukan tentang penduduk Malaysia yang sederhana dalam kepercayaan dan pengamalan agama mereka serta mereka yang bekerjasama dengan komuniti yang berlainan bangsa dan agama.

Ketujuh, kerajaan harus menggalakkan kerjasama antara NGO yang terdiri daripada kaum dan agama berlainan untuk berbincang dan membentuk penyelesaian bagi isu-isu sosioekonomi yang dihadapi oleh masyarakat umum. Pada masa sekarang, masyarakat Malaysia dibahagikan kerana pandangan bertentangan mengenai isu agama dan bangsa.

Hanya perbincangan dan kerjasama mengenai isu-isu sosioekonomi dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama dengan efektif.

Ini adalah kerana interaksi sesama penduduk berlainan semasa proses bekerjasama tersebut akan mewujudkan kesedaran dan fahaman secara organik tentang perspektif dan pertimbangan orang yang berbangsa dan beragama lain.

Ini akan menjadikan masyarakat lebih sederhana dan menerima dalam cara pemikiran dan ideologinya serta akan mengurangkan perasaan insekuriti tentang bangsa dan agama, terlalu konservatif serta negatif terhadap kaum dan agama lain.

Oleh itu, pihak kerajaan harus mengambil isu ini dengan serius dan melaksanakan langkah-langkah proaktif seperti di atas dengan secepat mungkin.

Ini akan menanamkan semangat kesederhanaan dari aspek kepercayaan, pengamalan serta undang-undang agama dalam sistem pentadbiran kerajaan serta masyarakat Malaysia demi keharmonian, kemakmuran dan kestabilan seluruh negara yang berjangka masa panjang. 

Raveen Jeyakumar, an Aliran volunteer, is a 29-year-old based in Ipoh with an interest in social and environmental issues

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments