Home TA Online Universiti awam Malaysia kini nampaknya lebih seperti syarikat swasta

Universiti awam Malaysia kini nampaknya lebih seperti syarikat swasta

Saluran ambilan terus universiti awam telah melanggar prinsip asas pendidikan tinggi untuk semua rakyat

Inside a university lecture room - AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Mustaqim Badrul Hisham

Baru-baru ini, kenyataan Naib-Canselor Universiti Malaya Prof Noor Azuan Abu Osman mengenai Saluran Terbuka UM (Satu) atau direct intake sekali lagi mengundang persoalan besar: adakah universiti awam kita masih benar-benar awam?

Azuan menyatakan bahawa saluran terbuka bukanlah pintu belakang. Namun, kenyataan ini secara halus cuba menyemai keraguan dalam kalangan rakyat dan mahasiswa. Tindakan ini dalam psikologi dipanggil gaslighting. 

Realitinya, saluran terbuka mewujudkan dua sistem berbeza – satu bersubsidi, satu lagi mahal – untuk memasuki tempat yang sama, duduk di kolej yang sama, dan menerima silibus yang sama.

Bayangkan jalan raya yang berlubang. Ada pihak diminta untuk membayar lebih untuk menggunakan infrastruktur daif yang sama. Apakah ini jika bukan suatu bentuk ketidakadilan?

Mahasiswa ambilan saluran terbuka juga merupakan warganegara yang membayar cukai. Ada dalam kalangan mereka yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan. Perbezaan yuran wujud antara dua saluran berbeza, bukannya berdasarkan latar belakang ekonomi mahasiswa.

Akibatnya, mahasiswa miskin yang melalui saluran terbuka perlu membayar yuran jauh lebih tinggi daripada sesetengah pelajar dari keluarga berada yang melalui saluran bersubsidi (UPU).

Lebih menyedihkan apabila ada yang mengatakan pelajar hanya perlu “berusaha lebih keras” untuk masuk melalui UPU.

Hujah ini tidak hanya dangkal. Ia secara tidak langsung mengakui bahawa merit tidak lagi menjadi asas pemilihan dalam saluran terbuka.

Ribuan pelajar yang layak tidak mendapat tempat bukan kerana mereka tidak cukup merit, tetapi kerana kapasiti UPU tidak bertambah. 

Mereka yang masuk melalui ‘pintu belakang’ tidak perlu bersaing dengan begitu ramai mahasiswa seperti melalui sistem UPU, yang mengambil kira markah kokurikulum dan sebagainya. Saluran terbuka hanya memerlukan kelayakan akademik minimum dan kemampuan membayar yuran mencekik.

READ MORE:  Discriminatory UPU admission filtering must be urgently addressed - disabled and advocacy community

Menafikan bahawa ini tidak lebih mudah daripada melalui saluran UPU bukan sahaja dangkal. Ia mencerminkan ketidakjujuran intelektual dalam menilai bagaimana sistem ini berfungsi.

Jika mahu menghalalkan komersialisasi pendidikan, mengapa tidak meletakkan semua pelajar dalam gelanggang pertandingan yang sama? Kemudian cas yuran berdasarkan tangga pendapatan isi rumah mereka. Bukankah itu lebih adil?

Mengapa sampai perlu wujudkan dua sistem berasingan; kemudian paksa mereka yang miskin membayar yuran yang sangat tinggi?

Jika benar universiti mahu membantu lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran, mengapa tidak tambah kapasiti UPU? Mengapa dibiarkan saja? Bukan sahaja kapasiti terhad, universiti awam baharu juga tidak dibina.

Mereka yang berada di kerusi empuk dan bilik berpenyaman udara tidak sedar betapa kejam perbuatan mereka. Sama ada mereka mahu mengakuinya atau tidak, mereka bertanggungjawab atas setiap peluang yang ditutup kepada mereka yang tiada upaya. 

Tindakan ini mendedahkan kejahilan pembuat dasar. Mereka gagal memahami maksud sebenar perkataan awam dalam frasa “universiti awam”.

Apabila rakyat dipaksa keluarkan wang sendiri sehingga setengah juta ringgit untuk melanjutkan pengajian di universiti awam – meskipun keluarga mereka telah membayar cukai – adakah universiti itu masih layak digelar universiti awam? Apa yang membezakan antara Universiti Malaya kini dengan universiti swasta?

Kedua-duanya memaksa rakyat mengeluarkan wang sendiri. Sementara itu, hasil cukai negara disedut oleh mereka yang tidak bekerja namun makan gaji lumayan. 

Naib-canselor UM secara tidak langsung mengakui bahawa tujuan saluran terbuka adalah untuk jana pendapatan universiti, apabila beliau tidak menafikan perkara tersebut. Kegagalan beliau menyentuh isu ini membuktikan Universiti Malaya telah menyimpang daripada prinsip asas penubuhan universiti awam.

Universiti awam ditubuhkan untuk sediakan pendidikan kepada rakyat – bukan sebagai entiti perniagaan yang mengejar keuntungan melalui saluran komersial. Menteri pendidikan tinggi sendiri menyatakan bahawa institut pengajian tinggi awam bukanlah badan perniagaan.

READ MORE:  Naib-canselor UiTM pun tak faham prinsip penubuhan universiti awam?

Justeru, kewujudan saluran terbuka ini wajar dihentikan kerana ia jelas melanggar prinsip tersebut.

Tanpa ketelusan, sistem ini membuka ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah. Saya mencabar Universiti Malaya untuk mendedahkan statistik penuh:

Berapa ramai pelajar yang masuk melalui UPU setiap tahun? Adakah jumlah itu konsisten atau semakin berkurang?

Jika saluran terbuka semakin meningkat jumlahnya, tidakkah itu membuktikan bahawa ada “pengalihan kuota” yang berlaku secara senyap?

Bagaimana jika tempat yang diperuntukkan untuk pelajar saluran terbuka tidak dipenuhi? Adakah kerusi itu dibiarkan kosong, sedangkan mungkin ada pelajar dari keluarga golongan terendah 40% yang sangat memerlukan tempat itu?

Adakah keputusan-keputusan ini dibuat atas dasar ilmu dan kebijaksanaan? Atau kerana nafsu untuk mengaut keuntungan?

Naib-canselor UM dan pihak pengurusan universiti itu sewajarnya meletakkan jawatan. Kalian telah gagal untuk melindungi institusi yang ditubuhkan untuk mendemokrasikan akses terhadap ilmu dan memperkasakan mereka yang tidak mampu mengikuti pendidikan swasta.

Mereka sudah mengkhianati amanah sosial kepada rakyat dan mahasiswa. 

Berdasarkan hujah-hujah yang telah dibentangkan, jelaslah ambilan terus berasaskan keuntungan di semua universiti awam ini perlu dihentikan serta-merta.

Tegakkan kembali prinsip bahawa universiti awam adalah hak rakyat – bukan ruang eksklusif untuk yang mampu. Kerajaan perlu membiayai institut pengajian tinggi awam sepenuhnya agar universiti tidak perlu jadikan pelajar sebagai ‘pelanggan’.

Tiada guna kerajaan bercakap mengenai bagaimana institut awam itu bukan berniaga, tetapi memaksa mereka berniaga dengan terus enggan memberikan peruntukan secukupnya. Sementara wang rakyat dibazirkan untuk menampung kehidupan mewah elit negara.

Mustaqim Badrul Hisham ialah graduan pentadbiran awam dan seorang advokat hak mahasiswa yang aktif dalam Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram). Beliau banyak memberi tumpuan kepada dasar pendidikan, keadilan sosial, serta keperluan meletakkan semula rakyat sebagai pusat dalam pembuatan dasar negara.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
IZHAR MOHD AMIL
IZHAR MOHD AMIL
31 Jul 2025 7.48am

INI BENAR BENAR BARU TERJADI PADA ANAK SAYA…. SUNGGUH MENYEDIHKAN KAMI SEKELUARGA……

Most Read

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x