Ya Allah, Ya Tuhanku, sempena Hari Kemerdekaan, hambamu yang kerdil ini ingin panjatkan doa semoga bumi bertuah ini dilimpahkan keberkatan dan kasih sayang mu.
Saya amat tertarik sebutan kita adalah Keluarga Malaysia oleh perdana menteri dengan perasaan sedikit tidak keselesaan. Pagi-pagi saya sudah dengar dalam kaca mata televisyen tentang kehebatan perjuangan anti-Malayan Union. Saya mengaku itu adalah satu episod perjuangan, tetapi bukankah perjuangan pemimpin bangsa lain pun patut disebut dalam nada yang sama? Mengapa kesombongan begini berlaku? Bukankah kita Keluarga Malaysia?
Pemimpin-pemimpin semua kaum terdiri dari Tengku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan VT Sambanthan telah bersama sama menuntut kemerdekaan di London. Mana mungkin negara kita mencapai kemerdekaan tanpa perpaduan antara kita?
Jarang kita dengar cerita perjuangan kaum lain ditemu duga dalam kaca televisyen. Banyak kaum lain yang hilang nyawa demi pertahankan negara ini. Sejarah tidak akan lupa jasa pengorbanan askar dan polis dari kaum Melayu, Cina, dan India termasuk kaum Sikh dan Gurkha.
Tidak kah kita rasa malu sembunyikan fakta sejarah dan pada nada yang sama gelar Keluarga Malaysia? PernaHkah lihat kubur Komanwel di Kuala Lumpur, Taiping dan Ipoh? Semua ini adalah pejuang Komanwel yang mati mempertahankan Malaya daripada komunis dan Jepun.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Saya tabik hormat kepada presiden Patriot Brigadier Jeneral bersara Mohd Arshad Raji yang sentiasa menegakkan kebenaran perjuangan tentera kita.
Ada satu masa pilihan raya yang lalu, seorang bekas perdana menteri ingin jaja cerita dongeng kepada rakyat bahawa ahli partinya telah berjuang menentang komunis.
Jawapan dari Arshad bahawa tidak ada rekod bertulis yang menunjuk ada seorang pun dari parti bekas PM ini yang terlibat berlawan komunis, maka terus beliau senyap seribu bahasa. Kalau dibiarkan maka cerita dongeng begini rupa akan dijaja seluruh negara sehingga yang bodoh sombong percaya. Sebaliknya, Arshad berkata askar-askar dari Rejimen Melayu, Inggeris, India, Australia, dan Fiji di antara mereka yang korban, tetapi tiada seorang pun dari parti bekas PM tersebut.
Sahabatku, kalau kita tak boleh berterima kasih kepada sumbangan orang lain, janganlah sampai menghina dan menyakitkan hati mereka. Kita mula membina negara yang merdeka pada 31 Ogos, 1957.
Apapun tersurat dalam Perlembagaan kita pegang pada janji. Rukun Negara panduan kita. Jangan tambah, jangan kurang. Tiada janji yang dibuat berbisik dalam telinga. Semua ada dalam hitam putih.
Satu contoh yang ingin saya sebut di sini. Agama Islam agama rasmi Malaysia … jangan berhenti di situ … agama-agama lain bebas dianuti. Tetapi orang politik yang berniat jahat dan juga pelampau agama selalu tak baca habis.
Saya bimbang untuk generasi akan datang tidak bersedia menghadapi cabaran di dunia moden yang tiada sempadan. Berwaspadalah dengan dua jenis manusia yang boleh membawa mudarat kepada kebahagiaan sebuah negara.
Pertama, ahli politik yang bertopengkan agama. Mereka ini akan jual apa saja untuk kepentingan diri. Mereka ini tidak akan rasa malu walaupun digelar kleptokratik, perasuah, pemfitnah atau pencuri. Tujuan mereka mencapai hasil dengan apa cara pun.
Kedua adalah penunggang agama yang bermain politik menggunakan retorik bangsa untuk memecahbelahkan rakyat. Mereka akan menampakkan luaran kosmetik hebat tapi ramai yang sakit jiwa. Mereka tidak akan memberi pendapat walaupun rasuah bermaharajalela depan mata sebab takut tak dapat cari makan.
Satu lagi kumpulan yang berpendidikan tinggi tapi senyap seribu bahasa. Kalau beri pendapat pun menjadi bahan gelakan rakyat. Tak pernah sejarah negara kita para cendekiawan dimomokkan sebagai profesor kangkung atau doktor bodoh.
Persepsi demikian adalah kerana sistem substandard pendidikan yang berleluasa. Minta maaf kepada cendekiawan tulen yang sentiasa dirujuk untuk majukan negara. Nampaknya mereka berkurangan baru-baru ini.
Sosial media dipenuhi dengan ramai ‘educated fools’ yang tak dapat bincang sesuatu isu tanpa mengeluarkan kata-kata kesat dan idea yang kurang bernas. Kumpulan ini adalah salah satu mangsa sistem pendidikan gagal.
Doa saya semoga kita keluar dari kepompong kesombongan dan kebodohan ini dan jadi contoh yang baik kepada generasi akan datang.
Sahabatku, luahan ini adalah pendapat peribadi saya tanpa dirujuk pada sesiapa pun. Saya bukannya ahli falsafah atau ahli ulama fasih hal agama. Ada pendapat saya mungkin salah dan saya bersedia ditegur. Tapi biarlah teguran itu dengan bahasa yang betul, kerana bahasa menunjukkan bangsa.
Hamba Allah ini menyusun jari yang sepuluh dan mohon ampun dan maaf sekiranya pendapat saya mengguris jiwa sesiapa yang membaca.
Salam Merdeka!
Hamzah Osman, based in Rawang, taught in a secondary school for 17 years before resigning in 1997. He then worked in an English daily, where he became foreign news editor, and later joined another English daily before retiring
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme