
Wan Azizah, sebagai pengamal perubatan sains khusus mata, berkemungkinan akan mencipta satu budaya politik yang memberi kita peluang untuk membayangkan sebuah negara baru yang sebelum ini penglihatannya telah terjejas, ujar Khoo Boo Teik.
Kehidupan Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 20 tahun yang lalu penuh tragis, berinspirasi dan misterius.
Tragedi adalah peribadi. Kejatuhan Anwar Ibrahim pada September 1998 telah meletakkan isteri kepada mantan timbalan perdana menteri dan juga ibu kepada enam orang anak dalam keadaan yang sangat perit.
Inspirasinya adalah politik. Bermula dari titik lemahnya, bekas doktor pakar mata yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam politik kini telah menjadi ketua pembangkang di Parlimen dan “bakal timbalan perdana menteri” Pakatan Harapan.
Ciri misterius Wan Azizah adalah dibentuk oleh persepsi popular. Rakyat mengenali beliau sebagai isteri Anwar, terperangkap dalam perbalahan antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar. Namun sekarang, rakyat tidak melihat “bakal timbalan perdana menteri” ini sebagai figur yang berpengaruh seperti Mahathir atau pun personaliti yang berkarisma seperti Anwar. Sebaliknya beliau leka memikirkan nasib Anwar, berbelah bagi dan tidak fokus.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Bagaimana pemerhati luar menilai persepsi masyarakat atas sosok Wan Azizah menjelang pilihan raya umum ini?
Rekod awam lebih memihak kepada Wan Azizah.
Beliau merupakan pengasas Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang ditubuhkan secara terdesak. Beliau mengetuai parti tersebut apabila beberapa pemimpin tertinggi mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 2000. Beliau kemudiannya mengawasi penggabungan antara keADILan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang akhirnya membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kepimpinan pelbagai etnik dalam Keadilan bermula dengan perhubungan yang kurang senang di antara empat fahaman politik yang berbeza. Mereka adalah penyokong setia Anwar yang meninggalkan Umno; sosialis veteran PRM; aktivis masyarakat sivil yang berpengalaman; dan aktivis muda yang diinspirasikan oleh Reformasi.
Parti tersebut tidak mempunyai struktur organisasi yang matang manakala ideologinya juga tidak jelas. Perselisihan faham dalaman dan dorongan dari luar menyebabkan beberapa pemimpin berpaling tadah dan mengutuk parti dan ikon-nya, Anwar Ibrahim.
Situasi sukar tersebut berhujung dengan Wan Azizah sebagai sesatunya ahli parlimen PKR yang masih bertahan selepas kekalahan besar pembangkang dalam pilihan raya umum 2004. Tetapi beliau tetap bekerja keras bersama-sama dengan mereka yang lain untuk mempertahankan Keadilan. Kredit kepada mereka, Keadilan tidak bermutasi kepada sejenis parti seperti Umno, samada ‘Umno-plus’ atau ‘Umno-Lite’.
Hanya selepas tsunami 2008 kita dapat benar-benar menghargai apa yang dilakukan oleh Wan Azizah untuk memelihara generasi Reformasi dengan menyelamatkan parti ‘umur setahun jagung’ beliau daripada ditewaskan oleh pahit maung proses pematangan parti politik dan juga serangan bertubi-tubi dari musuh politiknya.
Keikhlasan bersahaja
Walau bagaimanapun Wan Azizah tidak mensia-siakan peluang, terjatuh, menyerah kalah atau membelot.
Beliau mempertontonkan kecekapan beliau dalam debat di Parlimen, perhimpunan parti, pelancaran manifesto, dan temubual media. Beliau akan hadir di perhimpunan, protes, dan vigil. Seni pidato beliau tidak mempunyai daya tarikan Anwar tetapi penuh keikhlasan.
Pencapaian beliau boleh dianggap lebih berjaya jika dibandingkan dengan pemimpin parti yang lain. Namun ada juga pihak berkata bahawa beliau berjaya walaupun dirinya seorang wanita. Pandangan ini salah atas dua sebab.
Sebab yang pertama berhubung dengan imej Wan Azizah sebagai ‘isteri Anwar’. Imej beliau adalah daripada persona suaminya yang kuat yang sudah lama menenggelamkan personaliti dan pencapaian individu beliau.
Tiga puluh lima tahun yang lepas, Judith Nagata, penulis buku ‘The Reflowering of Islam in Malaysia’, menulis, “Isteri Anwar (kahwin pada 1980), seorang pengamal perubatan, dilatih di Ireland.. mengikut tegas etika berpakaian mengikut agamanya dan taat kepada kepercayaan Anwar bahawa doktor wanita perlu merawat pesakit wanita sahaja.”
Nagata tidak mengemukakan sebarang bukti bagi membuktikan kesahihan kenyataan tersebut. Jadi, saya merujuk kepada kawan seperjuangan Wan Azizah untuk ‘pandangan kedua’.
Jawapan yang saya terima adalah: “Merepek. Penulis itu patut disaman! Azizah adalah seorang pakar mata yang mesra dan ‘caring’, dia layan semua pesakit dia dengan ceria, tidak kira apa jantina, bangsa, umur atau status.”
Temannya menyambung lagi: “Kami merasa seronok sekali masa itu, walaupun kami kena bekerja keras tapi dia selalu bergurau atau ada cerita lawak untuk dicerita.”
Semasa temuramah Januari yang lalu, Gan Pei Ling meminta Wan Azizah untuk membalas kritikan yang mengatakan bahawa beliau tidak hanya menjadi pemanas-kerusi untuk suaminya. “Pemanas kerusi”, Wan Azizah dengan lembut menegur, “macam botol air panas.”
Kemudian beliau menambah, “Saya sudah jangkakan soalan itu. Saya sudah menunaikan tanggungjawab saya. Walaupun saya dilihat atau dianggap sebagai ahli politik kebetulan dan sebagainya… Saya sudah sampai ke tahap ini. Saya tidak pernah sangka saya akan menjadi ketua pembangkang.”
Itulah maksudnya yang sebenar. Wanita dan lelaki menggunakan keluarga atau rangkaian kenalan untuk memulakan karier politik. Kemampuan mereka diuji dengan keikhlasan mereka untuk memenuhi tanggungjawab masing-masing.
Memuji kewanitaan beliau
Sebab kedua adalah status Wan Azizah sebagai ahli politik wanita.
Sesetengah mempertahankan beliau dengan menyalahkan keraguan terhadap kebolehan beliau adalah berpunca daripada ketidaksamarataan jender. Ada betulnya kenyataan tersebut. Jantina bukanlah satu mudarat kepada ahli politik wanita – namun cauvinisme lelaki (male chauvinism) adalah satu wabak di kalangan ahli politik kita.
“Sebagai wanita Malaysia,” Wan Azizah berkata, “Saya telah menyumbang dalam banyak bidang, dan bukan sahaja kerana saya seorang pelajar medik wanita. Saya seorang doktor, ibu dan nenek. Itu adalah sumbangan juga.”
Sudah tentu! Namun ada cara yang lebih mendalam untuk menerangkan bagaimana identiti beliau sebagai seorang wanita membentuk kualiti Wan Azizah dalam berpolitik.
Kejayaan Wan Azizah dalam kancah politik sebahagiannya berpunca kerana beliau seorang wanita. Beliau menyerap kekuatan multi-dimensi kewanitaan yang muncul dengan jelasnya semasa krisis. ‘Naluri wanita’, dipadankan dengan kebijaksanaannya, membentuk politik Wan Azizah.
Lihat bagaimana beliau menolak baiah (ikrar setia) Parti Islam SeMalaysia (Pas) di mana sekiranya ada ahli yang meninggalkan parti, maka dia harus menceraikan isterinya.
“Siapa boleh terima baiah ini? Ikrar setia yang menggadai seorang isteri?” Wan Azizah bertanya kepada rakyat. “Macam mana kita boleh buat begini terhadap seorang isteri yang bersama-sama membesarkan sebuah keluarga? Cuba bayangkan. Saya tidak dapat fikirkan ini. Saya tidak boleh terima jika inilah caranya seseorang mentadbir keluarganya sendiri dengan mengikatnya kepada politik.”
Bolehkan seorang ahli politik lelaki, menggunakan ‘naluri’, menolak baiah Pas dengan cara Wan Azizah yang rasional dan, dalam konteks seorang perempuan, emosi yang kuat?
Wan Azizah juga teringatkan Dr Siti Hasmah apabila Mahathir kembali ke arena politik: ‘Saya dapat rasakan sebagai seorang isteri. Bukan mudah untuk lelaki seusia beliau dan kemungkinan [Siti Hasmah] juga merasakan bahawa mereka perlu lalui semuanya sekali lagi dan kali ini ianya tidak mudah [bila mereka di pihak pembangkang] dibandingkan waktu mereka mempunyai kuasa.’
Rasa keprihatinan
Wan Azizah tidak menyimpan rasa prihatin tersebut terhadap wanita sahaja kerana rasa prihatin beliau melampaui ‘perasaan wanita’.
Pemerintah yang tiada perasaan belas kasihan adalah mereka yang tidak mempedulikan penderitaan orang lain. Perasaan belas kasihan adalah penting, walaupun, apabila mereka berjuang untuk pembaharuan disuruh berkorban oleh yang lain.
Ianya satu ‘keputusan perit’ untuk bekerja bersama-sama Mahathir, akui Wan Azizah. Orang beranggapan kerana Mahathir telah membuat keluarganya menderita. Tetapi beliau berkata, “Saya merasa betapa sukar orang-orang yang telah melalui zaman Reformasi untuk menerima keputusan ini dan bagaimana perasaan mereka terhadap pilihan ini.”
Walaupun begitu, beliau menegaskan, “Apa yang kita lalui menjadikan kita lebih kuat, lebih berpengalaman… Kita akan ada di mana krisis berada, dan saya fikir Tun Mahathir telah menerima hakikat yang kita perlukan perubahan.”
Daripada bekas rakan sekerja saya, Maznah Mohamad, saya belajar mengenai kualiti tersebut yang ada dalam diri Wan Azizah. Dalam keadaan Reformasi yang huru-hara, Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) telah dibangunkan oleh pergerakan Reformasi. Penaja utama mengistiharkan bahawa mereka tidak merancang untuk membentuk satu parti politik. Tapi hampir setahun kemudian, Adil diketepikan demi Keadilan.
Semuanya jatuh kepada Wan Azizah untuk menjelaskan tentang pembentukan Keadilan di suatu mesyuarat kecil. Seingat Maznah, Wan Azizah tidak melupakan pendirian Adil. Dia berterus terang: keputusan baru ini adalah satu ‘pusingan U’. Dia memohon maaf: kondisi yang drastik memerlukan strategi baru. Selepas itu, barulah beliau merayu untuk mendapatkan sokongan berterusan.
Kelakuan Wan Azizah ini tidak sama sekali menunjukkan yang beliau ini seperti lalang. Dalam kehidupan ini, ia bermaksud membuat satu keputusan yang perit demi kebaikan orang lain. Dalam politik ianya dipanggil sebagai sifat bertanggungjawab. Dan ianya satu sifat yang diperlukan oleh pemimpin lelaki mahupun wanita.
Doktor dalam politik
Tanpa dirancang, dua doktor perubatan akan mengisi dua jawatan tertinggi negara jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.
Bagaimana mereka bekerjasama setakat ini? “Baik sekali sebenarnya,” menurut pemerhatian Wan Azizah, “kerana kami berdua doktor. Mungkin sedikit susah tetapi dia (Mahathir) masih sanggup mendengar.”
Waktu dulu (baik atau buruk, pembaca harus menilai sendiri), doktor yang lebih tua berbangga dengan bagaimana beliau menggunakan pendekatan perubatan dalam politik. Beliau mendiagnosiskan segala kepincangan dalam badan politik; kemudian merawatnya. Ada juga yang takut dengan pendekatan perubatan Mahathir dalam menghapuskan lawan politiknya.
Tidak banyak yang diperkatakan oleh doktor muda Pakatan tentang penggunaan pendekatan perubatan dalam arena politik. Dengan menggunakan teknik pemulihan yang lebih manusiawi dalam politik, beliau telah memajukan visi 2008 Anwar ‘New Dawn’ melalui ‘ekonomi manusia’, di mana efisiensi digabungkan dengan rasa keprihatinan sesama manusia.
Sejarah juga boleh berulang dengan mengangkat isteri Anwar sebagai seorang perdana menteri. Beliau akan tergolong dengan Corazon (isteri Aquino), Megawati (anak Sukarno), dan Yingluck (adik Thaksin) yang “dipaksa menjadi luar biasa’ apabila krisis nasional melanda dan mereka diperlukan untuk mengisi kekosongan kepimpinan yang ditinggalkan oleh lelaki yang berpengaruh dalam hidup mereka (Aquino, Sukarno dan Thaksin).
Sekiranya itu berlaku, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai pengamal perubatan sains khusus mata, berkemungkinan akan mencipta satu budaya politik yang memberi kita peluang untuk membayangkan sebuah negara baru yang sebelum ini penglihatannya telah terjejas oleh dana yang hilang, rahsia rasmi, dan berita palsu yang benar-benar palsu.
Versi Bahasa Inggeris telah disiarkan oleh Malaysiakini. Diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia oleh Aliran.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Syabas YB Dr Wants Azizah! Timbalan Perdana Menteri Malaysia Akan datang!