Home TA Online ‘Tuan Pembangkang’ Tan Chee Khoon telah membara api idea pelbagai bangsanya

‘Tuan Pembangkang’ Tan Chee Khoon telah membara api idea pelbagai bangsanya

Ulangtahun pemergiannya yang ke-25 jatuh pada 14 Oktober 2021

247 views

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Walaupun selepas 25 tahun pemergiannya, nama ‘Tuan Pembangkang’ masih disamakan dengan seorang ahli politik, Dr Tan Chee Khoon. Sehingga hari ini, tiada ahli politik lain dirujuk dengan nama jolokan sebegitu.

Mereka yang biasa dengan lanskap politik pasca kemerdekaan akan mengingati mendiang sebagai seorang ahli politik yang dominan serta tokoh popular dari 1959 ke 1978.

Dihormati oleh ahli politik dari kedua-dua belah pihak, beliau digelar sebagai Tuan Pembangkang kerana pandangan lantangnya, yang seringkali menimbulkan kemarahan ahli parlimen pemerintah, Perikatan di Parlimen.

Secara tertutup pula, ramai ahli parlimen Perikatan yang cukup menghormati beliau. Namun, eranya cukup berbeza, kerana ahli parlimen menghormati musuh politiknya walaupun berseberangan, bukan seperti sekarang, di mana kita sering disajikan dengan perangai tak beradab segelintir ahli parlimen.

Apabila Tan berucap, semua mendengar, kerana beliau dikenali dengan ucapan yang rapi kajiannya. Membaca kertas kerja parlimen sehingga lewat malam, beliau juga rapat dengan wartawan, peguam, ahli ekonomi dan sarjana untuk mendalami sesebuah perkara. Ini memperkukuhkan ucapan yang diberikannya.

Tan dan DR Seenivasagam barangkali dua ahli parlimen pembangkang cukup lantang di era itu.

Mengharungi cabaran fizikal serta ekonomi, Tan, yang dilahirkan kepada pasangan imigran miskin, berjaya melakar perjalanan karier sebagai seorang doktor dan ahli politik berwibawa. Walaupun permulaannya cukup sederhana sebagai seorang anak kepada petani dan berdepan kemungkinan kehilangan penglihatan ketika umurnya 12 tahun, beliau tidak pernah merasakan cabaran ini sebagai halangan dan menjadikannya sebab untuk merasa kasihan kepada diri sendiri. Sebaliknya, ia menjadi pencetus kepada kemajuan dirinya di dalam kehidupan.

Cabaran hidup Tan cukup bersimpang-siur, termasuklah jejaknya mendapat ijazah perubatan. Awalnya, beliau ditolak dari fakulti perubatan kerana cabaran fizikal yang dialaminya, namun, beliau dibenarkan masuk ke fakulti perubatan di Singapura selepas pengetua sekolahnya merayu dengan bersungguh-sungguh.

Beliau tidak pernah melupakan dua susuk yang memainkan peranan penting di dalam kariernya – ibu dan pengetua sekolahnya. Tan kemudian memperkenalkan biasiswa di atas nama ibu serta pengetua sekolahnya di sekolah lamanya.

READ MORE:  Reformasi parlimen penentu kestabilan negara

Dari usia muda, Tan menyedari akan tanggapan di mana hanya pendidikan jalan keluar dari kemiskinan. Penghormatan kepada hak asasi manusia serta kebebasan menjadi asas kepada kerjanya yang berterusan.

Sebagai seorang doktor, beliau terkenal dengan reputasi memberikan perkhidmatan kepada warga miskin dan seringkali memberi perubatan percuma kepada yang memerlukan. Bagi Tan, tangan yang memberi sepatutnya tidak melihat warga, agama dan warna, kerana semuanya adalah sebagian bangsa manusia. Berapa ramai ahli politik kita yang berkongsi falsafah sebegini pada hari ini?

Tan menyertai Parti Buruh dan dilantik sebagai Ahli Parlimen pada usia 45 tahun. Beliau menang tipis di kawasan parlimen Batu pada tahun 1945, dengan hanya dua undi – selepas enam kali kiraan undi dilakukan. Pengkritik keras kepada kerajaan, beliau dengan cepat menjadi nama yang disegani dalam dunia politik tempatan.

Ianya cukup sukar buat Parti Buruh, kecuali buat Tan, di mana kebanyakan pemimpin parti ditahan. Barangkali, beliau terlepas dari penangkapan kerana pemerintah tidak dapat mempersoal kritikannya yang membina dan ikhlas. Beliau juga tidak pernah menyerang secara peribadi.

Ketika Parti Buruh dibubarkan, Tan, bersama tokoh yang berfikiran serupa seperti Syed Hussein Alatas, V Veerapan, Prof Wang Gang Wu dan Dr Lim Chong Eu menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia pada 1968. Gerakan mensasarkan untuk menjadi sebuah parti berbilang bangsa dengan kepimpinan rencam-etnik.

Namun, Tan tidak bersetuju sepenuhnya dengan keputusan Lim untuk membawa Gerakan ke gabungan pemerintah, Perikatan, selepas pilihan raya umum 1969 kerana ia sebuah gabungan parti politik berdasarkan kaum. Tan meninggalkan Gerakan pada 1972.

Bagi memastikan api politik berbilang bangsa untuk terus dinyalakan, Tan, bersama dengan teman bekas Gerakan, Syed Hussein Alatas dan V Veerappen, menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas untuk singkatan).

Malangnya, Pekemas tidak mendapat sambutan pada pilihan raya umum 1974: parti itu hanya memenangi satu kerusi, Tan mengekalkan kerusi Batunya. Parti itu tidak lagi aktif pada 1982.

READ MORE:  Malaysia needs broad-based policymaking to beat pandemic and save livelihoods

Sungguh menyedihkan, tekanan serta cabaran menyandang beberapa peranan – menggerakkan hospital, berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, menjadi anggota gereja yang aktif serta terlibat dengan begitu banyak organisasi – memberi kesan kepada kesihatan Tan. Beliau diserang strok ketika umurnya pertengahan lima puluhan, sekaligus menandakan pengakhiran kepada penglibatan parti politik ‘Tuan Pembangkang’ ini.

Namun apabila sebuah bab kehidupannya berakhir, sebuah bab lagi dibuka. Seperti Tunku Abdul Rahman, Tan meneruskan karier keduanya sebagai kolumnis akhbar dan penulis. Ruangan mingguannya di akhbar The Star, Without Fear or Favour, merupakan beberapa ruang awam dengan pandangan berlawanan.

Beliau juga pembaca yang lahap: perpustakaannya mempunyai lebih 5,000 buah buku, merangkumi minatnya tentang sejarah ketenteraan, pengintipan, kriket sehinggalah konflik Timur Tengah.

Di luar kerjaya politik, Tan dilantik menjadi Presiden Persatuan Perubatan Malaysia pada 1967 – rakyat Malaysia berketurunan Cina yang pertama yang memegang jawatan itu. Pada tahun sama, Menteri Besar Selangor ketika itu, Harun Idris, lawan politiknya, memperuntukkan tanah bagi projek Tan – sebuah hospital swasta. Pada 1972, bekas Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein merasmikan pembukaan Pusat Perubatan Sentosa.

Ahli politik ketika itu dari baka yang berbeza: mereka tidak dikepung perbezaan politik dan mampu keluar dari kepompong perbezaan. Ramai di antara ahli politik terkemuka itu tahu bagaimana untuk mendesak perubahan dan pada waktu sama, mengekalkan kesusilaan.

Bagi ahli politik yang berprinsip seperti Tan dan mereka yang serupa, politik bukan soal kuasa atau duit, tetap prinsip dan keadilan sosial.

Sebagai seorang yang dikenali sebagai melawan arus dan menolak penghargaan terhadap apa yang dicapainya, Tan terkejut apabila beliau dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1981 dan juga gelaran Datuk Sri beberapa tahun kemudiannya.

Selepas serangan angin ahmar pertama, Tan menjalani fisioterapi bagi mengembalikan kemampuan pergerakannya. Namun, ketika usia pertengahan 70 tahun, beliau diserang angin ahmar buat kali kedua, mengakibatkan beliau lumpuh secara keseluruhan dari leher ke bawah, tanpa kemampuan untuk bercakap atau menelan makanan. Namun, hidupnya masih berseri dan senyumannya masih ada setiap kali dilawat teman-temannya.

READ MORE:  Prove PM’s legitimacy with vote of confidence in emergency Parliament sitting

Pada 14 Oktober 1996, Tuan Pembangkang meninggal dunia pada usia 77.

Tan berterusan menolak politik perkauman dan tekad dengan kepercayaannya bahawa politik berbilang bangsa adalah satu-satunya jalan ke hadapan bagi Malaysia. Beliau senang ditemani kawan-kawan dan juga melawat mereka yang ditahan dan membantu ahli keluarga mereka.

Bagi mengenang sumbangannya yang besar kepada negara, Tan dianugerahkan Anugerah Warga Malaysia Cemerlang oleh Aliran pada 1984.

Selepas pemergiannya, Aliran Monthly mengetengahkan foto Tan di muka hadapannya dengan judul, “A Special Malaysian: A Life-Long Commitment to Justice”. Di dalam penghargaan yang jarang dilakukan,  keseluruhan edisi majalah itu difokuskan kepadanya.

Artikel utama dengan judul “Juara Rakyat – Tanpa ketakutan atau pilih kasih, beliau mengangkat kebenaran, kebebasan, keadilan serta kerjasama dan kesefahaman berbilang bangsa”.

Sebahagian artikel itu berbunyi begini:

Jika sesebuah pemerintahan merasakan ianya perlu untuk berterusan menggunakan undang-undang sebagai senjata untuk menguruskan pandangan yang berbeza, barangkali apa yang diperlukan adalah warga yang berani dan komited untuk berdepan dengannya untuk menyatakan ketidakadilan serta salah laku yang dilakukannya kepada masyarakat.

Tan termasuklah dalam baka politik yang sebegitu dalam politik – seorang ahli politik yang tidak luak kepada kuasa atau jawatan dan berterusan menolak kedudukan bagi mengekalkan kepercayaan politiknya.

Dalam banyak hal, Tuan Pembangkang ini contoh tokoh berjiwa besar di dalam politik Malaysia – seorang ahli politik yang akan dikenang begitu ramai rakyat Malaysia. Beliau seorang yang baik dengan niat menyertai politik untuk menjalankan khidmat dan tugas awam, digerakkan oleh naluri moralnya.

Sehingga hari ini, ramai rakyat Malaysia yang berumur masih mengingati beliau. Cukup berbeza dari ahli politik yang kita ada hari ini!

Berehatlah dengan tenang, Tuan Pembangkang. Tuan adalah warga Malaysia yang tidak punya galang gantinya.

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Benedict Lopez was director of the Malaysian Investment Development Authority in Stockholm and economics counsellor at the Malaysian embassy there in 2010-2014. He covered all five Nordic countries in the course of his work. A pragmatic optimist and now an Aliran member, he believes Malaysia can provide its people with the same benefits and privileges found in the Nordic countries - not a far-fetched dream but one that he hopes will be realised in his lifetime
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x