Home Web Specials 2011 Web Specials Gegaran medan Tahrir di dunia Islam dan Arab

Gegaran medan Tahrir di dunia Islam dan Arab

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pemerintahan yang baru di Tunisia, Mesir dan negara jiran harus mencerminkan idaman dan tuntutan rakyat yang rata-rata menginginkan keadilan dan demokrasi. Jika tidak, drama perit ini akan berulang lagi, ujar Mustafa K Anuar.

Tahrir Square, ' Friday of Departure' 8 February 2011 - Photo courtesy of Wikipedia

Api yang membakar semangat pemberontakan popular rakyat di Asia Barat, seperti mana kita sedia maklum, bermula di Tunisia di mana rakyatnya menendang keluar presidennya yang tidak demokratik, Zine El Abidine Ben Ali.

Pergolakan di Tunisia seterusnya memberi inspirasi kepada rakyat jelata Mesir yang berkerumun di Medan Tahrir di Kahirah lebih dari dua minggu dan juga di tempat-tempat lain untuk membantah beramai-ramai pemerintahan Hosni Mubarak. Akhirnya Mubarak yang memegang jawatan presiden selama tiga abad secara kuku besi itu, dipaksa melepaskan jawatan yang disayanginya yang kononnya memberi peluang bagi dirinya “untuk bekerja demi kepentingan Mesir”.

Kedua-dua rejim ini mempunyai persamaan yang dibenci rakyat mereka: ketidakadilan; penyalahgunaan kuasa; keangkuhan; rasuah; tamak haloba; kronisme; “rompakan” kekayaan negara; kekerasan rejim; kezaliman terhadap rakyat mereka sendiri; jurang antara kaya dan miskin yang membesar; pengangguran; dan pencabulan hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara.

Sesungguhnya ciri-ciri negatif ini bukan hanya eksklusif kepada dua rejim berkenaan. Sebilangan rejim yang wujud di negara lain di dunia Islam dan Arab menghadapi masalah politik dan ekonomi yang lebih kurang sama.

Itulah sebabnya selepas pemberontakan di Mesir, beberapa pemimpin di dunia Arab, seperti Yemen, Bahrain, Jordan, Maghribi, Algeria dan Palestin, ‘melatah’ setelah melihat rakyatnya menunjuk perasaan di kota rayanya. Tiba-tiba ada pemimpin negara berkenaan yang bersedia memberi bantuan kewangan kepada setiap keluarga, menyediakan subsidi, merombak semula kabinet pemerintahan, atau menjanjikan reformasi dan pilihanraya yang lebih telus dan adil pada masa akan datang.

Tetapi selepas Mesir, ada juga rejim yang menindas penunjuk perasaannya dan ada juga yang menembak orang yang memprotes hingga mati – seolah-olah tidak mendapat apa-apa iktibar dari perkembangan politik ini.

READ MORE:  Reel Bad Arabs: How Hollywood vilifies a people

Rejim teokrasi di Iran, di mana revolusi besarnya berlaku pada tahun 1979, juga menghadapi protes jalanan selepas Mesir kerana ada sebilangan rakyat yang tidak senang hati dengan apa yang disifatkan sebagai pimpinan kuku besi di Tehran.

Ironi yang pahit

Ada ironi pahit di sini. Apa yang telah dilakukan selama ini oleh rejim sedemikian rupa, khususnya rejim di Mesir dan Tunisia, adalah bercanggah dengan salah satu prinsip utama dalam ajaran agama Islam yang mereka anuti: keadilan.

Sebagai pemimpin yang sepatutnya mewakili kehendak, kepentingan dan idaman rakyat, dia sepatutnya bersikap adil dalam menentukan, misalnya, kekayaan yang ada di dalam negara itu diagih-agihkan secara adil dan saksama supaya tidak wujudnya satu kelompok besar yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, manakala ada satu golongan elit yang mana kekayaannya begitu banyak melimpah-limpah hingga tidak boleh habis ke penghujung zaman.

Dan dalam sistem yang adil, rakyat yang merana dan sengsara ini sepatutnya berkeupayaan untuk mendapatkan belaan dan perlindungan dari institusi demokrasi yang mantap, sistem pilihanraya yang adil, media yang bebas dan pemimpin politiknya yang prihatin dan berperikemanusiaan. Malah, keluh-kesah rakyat seharusnya sentiasa dipantau oleh pemimpin untuk menentukan tindakan mengatasi masalah negara – dan bukan pemantauan polis sulit yang membawa kepada kecelakaan kepada rakyat yang memprotes.

Sesungguhnya, penghinaan (misalnya, ekoran dari ketidakadilan sistem pemerintahan atau kemiskinan) terhadap maruah manusia sudah tentunya satu perlakuan yang melanggar prinsip agama Islam. Namun, itulah yang berlaku di merata-rata tempat khususnya di dunia Islam dan Arab.

Barisan penunjuk perasaan di Mesir itu, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, disatukan oleh bukan saja kebencian bersama terhadap rejim yang menindas, tetapi juga oleh satu motif yang murni dan asas, iaitu menuntut keadilan sosial.

READ MORE:  Reel Bad Arabs: How Hollywood vilifies a people

Api menular ke negara Arab yang lain?

Jadi soalannya di sini ialah bolehkah api yang membara dari Tunisia dan Mesir itu dapat diperpanjangkan ke negara-negara Arab dan Islam yang lain? Dan jika boleh, apakah kesudahannya?

Seperti yang telah dinyatakan di atas, protes besar-besaran sudahpun merebak ke Yemen, Bahrain dan Libya. Di Yemen, penunjuk perasaan menuntut presiden mereka, Ali Abdullah Saleh, meletakkan jawatan. Mereka juga mahukan kebebasan badan kehakiman. Di Bahrain, penunjuk perasaan menuntut reformasi politik dan peningkatan hak asasi manusia dari raja mereka, Sheikh Hamad bin Isa Al-Khalifa. Rakyat Libya pula mahukan pemimpin mereka selama 41 tahun, Muammar Gaddafi, mengundurkan dirinya.

Rakyat yang membuat protes rata-rata menginginkan keadilan, kemakmuran dan demokrasi dalam negara mereka. Tetapi adakah ini yang mereka akan perolehi setelah mengadakan protes jalanan secara besar-besaran hingga ada yang mengalami pembunuhan? Kita juga sedar bahawa dalam keadaan sebegini ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk memajukan agendanya yang tidak semestinya selari dengan agenda rakyat.

Bagi pemikir politik yang pesimis, pergolakan politik ini mengingatkan mereka tentang kesudahan kepada revolusi rakyat Iran pada penghujung 1970-an itu: kelompok Islamis dan elemen-elemen yang kurang demokratik akhirnya mengambil alih teraju pemerintahan manakala suara-suara yang lantang memperjuangkan demokrasi dan sekularisme diketepikan, kalau tidakpun ditindas dan dihapuskan.

Ada juga golongan pemikir yang khuatir bahawa pemberontakan popular rakyat ini akan akhirnya memberi laluan kepada barisan pemimpin yang lain tetapi tidak kurang tajam kuku besinya. Dengan kata lain, satu proses politik yang menampakkan pertukaran aktor saja, bukannya pembuangan sistem yang korup dan tidak demokratik. Misalnya, kerabat diraja yang kurang bertanggungjawab terhadap rakyatnya diganti dengan kerabat diraja yang lain yang tidak kurang rakusnya terhadap kekuasaan. Ataupun, kepimpinan lama diambilalih oleh kelompok pemimpin baru yang mewakili puak yang berlainan yang kemudiannya membolot kekuasaan dan kekayaan negara.

READ MORE:  Reel Bad Arabs: How Hollywood vilifies a people

Seperkara lagi, status quo sesuatu pemerintahan di dunia Arab juga bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada perhitungan politik kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya Israel yang mempunyai kepentingan strategiknya.

Namun begitu, hakikat di dunia Arab ialah perubahan sedang dan akan berlaku setelah Tunisia dan Mesir. Rakyat pada amnya peka terhadap isu kezaliman dan pentingnya keadilan dalam masyarakat, dan ini akan menderakan mereka menuntut hak mereka sebagai warganegara mereka.

Jalan ke arah demokrasi dan keadilan sememangnya berliku-liku. Tetapi inilah jalan pahit yang perlu dilalui rakyat lebih-lebih lagi apabila proses demokrasi yang membolehkan perubahan kepimpinan secara teratur terbantut oleh kerakusan pemimpin despot.

Salah satu pengajaran yang boleh diperolehi dari pengalaman Tunisia dan Mesir ialah pemberontakan rakyat tidak cukup sekadar memprotes dan menendang keluar pemimpin yang korup lagi zalim; sistem pemerintahan yang tidak adil dan zalim harus ditumpas dan seterusnya institusi demokrasi dibangunkan atau dimantapkan lagi bagi menjamin masa depan rakyat yang lebih cerah.

Pemerintahan yang baru harus mencerminkan idaman dan tuntutan rakyat yang rata-rata menginginkan keadilan dan demokrasi. Faktor puak (unsur asabiyah), kelas, agama dan warna kulit yang mempunyai potensi untuk memecah-belahkan rakyat tidak boleh menonjol dalam perhitungan politik yang baru ini. Jika tidak, drama perit ini akan berulang lagi dengan martabat rakyat jelata berada pada paras yang mengaibkan.

Mustafa K Anuar ialah penolong setiausaha kehormat Aliran.

Sumber: merdekareview.com

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x