Walaupun masalah jualan majalah ini berterusan menghantui Aliran Monthly, namun ia tidak dapat mematah semangat sidang pengarang dan pihak Aliran untuk berterusan menyajikan majalah serta laman webnya untuk tatapan orang ramai, ujar Mustafa K Anuar.
Majalah bulanan Aliran Monthly telah memberhentikan jualan pasarannya baru-baru ini. Sebaliknya, penerbitan keluaran persatuan hak asasi manusia, Aliran Kesedaran Negara, yang beribu pejabat di Pulau Pinang ini boleh dilanggani oleh mereka yang mahu mengikuti analisis politik, ekonomi dan sosial.
Selain dari itu, Aliran juga telah mengambil langkah untuk mempergiatkan lagi laman webnya untuk menarik perhatian orang ramai, terutama bagi generasi muda yang mesra dengan Internet.
Keputusan untuk menghentikan penjualan majalah ini di kedai-kedai dalam masyarakat kita dibuat dengan hati yang agak sedih, lebih-lebih lagi setelah menerbitkannya sejak tahun 1980 (ketika itu majalah ini berupa Aliran Quarterly). Ini disebabkan permintaan dan penjualan yang menurun sejak beberapa tahun yang lalu yang lantas mencetuskan kerugian bagi penerbitnya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun begitu, penerbitnya, iaitu persatuan Aliran, berpendirian bahawa majalah ini masih perlu diterbitkan dan dijual melalui langganan (secara pos atau melalui laman web-nya) dalam usahanya untuk membangunkan kesedaran sosial dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan kata lain, melalui majalah bulanan ini Aliran bertekad untuk menyebarkan dan berkongsi idea dan pandangan alternatif serta analisis mendalam mengenai isu semasa serta kenyataan akhbar yang dibuatnya dari masa ke semasa. Memang menjadi impian pihak Aliran agar idea dan pandangan yang dianggap penting itu disebar luas sepanjang masa demi kebaikan bersama bagi masyarakat kita.
Isu yang menjadi tumpuan
Kandungan majalah ini rata-rata mencerminkan keprihatinan, idealisme dan prinsip asas persatuan Aliran. Persoalan atau isu yang berkaitan dengan keadilan, kebebasan, hak asasi manusia, politik, pembangunan, media, wanita, budaya, kerohanian dan hubungan etnik, antara lain, lazimnya diketengah dan diperbincangkan oleh Aliran Monthly. Sumbangan artikel untuk majalah ini bukan sahaja datang daripada ahli persatuan Aliran, malah daripada khalayak umum yang merasakan perlu mencatat sesuatu perkara untuk renungan bersama.
Penerbit majalah ini merasakan betapa pentingnya untuk rakyat Malaysia diberikan ruang seluas mungkin untuk didedahkan kepada isu-isu yang dianggap penting, dan juga untuk membolehkan mereka bertukar-tukar pandangan mengenai sesuatu isu – walaupun kadangkala berhadapan dengan cabaran dan rintangan. Misalnya, ada berlaku insiden di mana penerbit terpaksa bertukar pencetak beberapa kali dalam jangkamasa yang pendek kerana pencetak dihantui kebimbangan lesen cetak mereka boleh ditarik balik atau digantung oleh pihak berkuasa di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana menerbitkan majalah Aliran Monthly pada satu ketika dahulu yang mengandungi isu-isu tertentu yang dianggap “kontroversial’ dan “sensitif” oleh pemerintah.
Sesungguhnya, isu-isu seperti bentuk pembangunan yang tidak adil dan tidak mendatangkan manfaat yang banyak kepada rakyat majoriti; gabungan politik dan perniagaan yang lazimnya mencetuskan rasuah dalam kalangan ahli politik; mainan politik perkauman oleh ahli politik dan parti politik yang berpaksikan perkauman; serta diskriminasi yang masih berlarutan terhadap golongan wanita menjadi bahan kupasan Aliran Monthly.
Walaupun isu-isu seperti ini dirasakan penting dan boleh menarik perhatian ramai pembaca yang prihatin, namun kadar jualannya rata-rata tidak mencerminkan harapan ini. Ada beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini: Antara lain, majalah yang berbahasa Inggeris ini mempunyai pasaran sasarannya yang terhad kepada pembaca yang fasih dalam bahasa Inggeris yang bilangannya sudah tentu tidak seramai mereka yang fasih dalam bahasa Malaysia dan vernakular lain.
Jualan melambung ketika zaman Reformasi
Bukanlah ini bermakna kadar jualan majalah ini tidak pernah naik ke tahap yang membanggakan. Sebagai contoh, majalah ini pernah mencecah tahap jualan yang melambung tinggi pada tahun-tahun 1987-88 dan ketika gerakan Reformasi pada hujung ’90an menambat hati orang ramai. Inilah ketika Internet masih berusia muda di Malaysia, di mana orang ramai tercari-cari bahan bacaan alternatif dan kritis setelah berasa mual dengan apa yang disajikan oleh kebanyakan media arus perdana.
Ini membawa kita kepada faktor Internet. Internet dirasakan telah menjadi salah satu penyebab kenapa jualan majalah menurun, khususnya dalam kalangan muda mudi. Seperti kita sedia maklum, dunia maya menawarkan pelbagai bahan bacaan dengan hanya mencuit tetikus di hujung jari. Lagipun, Internet menjanjikan bukan sahaja bahan bacaan, tetapi juga video yang boleh menarik perhatian generasi yang sudah biasa dengan peralatan audio-visual dan interactivity.
Memandangkan perubahan zaman sedemikian rupa, sepertimana yang telah dinyatakan di atas, pihak Aliran telahpun mengambil langkah untuk bergiat dengan lebih aktif lagi menerusi laman webnya. Misalnya, sebahagian daripada Aliran Monthly dimuat-naik untuk tatapan bukan sahaja warga Malaysia tetapi juga orang ramai di luar negara. Adalah diharapkan bahawa penyiaran bahan dari Aliran Monthly boleh menggerakkan sebilangan pembaca melanggan dan terus melanggan majalah itu.
Selain daripada itu, Aliran juga telah menyediakan satu ruang baru di laman webnya, iaitu “Thinking Allowed Online”, di mana ahli Aliran dan juga orang ramai boleh meluahkan pandangannya tentang satu-satu isu yang timbul pada suatu ketika. Setakat ini, kunjungan laman web Aliran meningkat ke kadar yang baik.
Isu hak asasi kurang “seksi”
Seperkara lagi, pasaran majalah juga mengalami pelbagai saingan yang sengit. Banyak majalah yang cuba melayani pelbagai kehendak manusia, dan ini termasuklah hiburan, seks, selebriti, fesyen, makanan, hobi, perniagaan, ekonomi dan politik. Adalah dirasakan bahawa bagi sekelompok audiens, isu seperti keadilan dan hak asasi manusia tidak sebegitu “seksi” jika dibandingkan dengan, misalnya, gossip artis, dan cara hidup orang kaya dan ternama.
Keadaan dalam dunia penerbitan tanahair ini “dirumitkan” lagi dengan kecenderungan sekelompok ahli politik di Malaysia untuk menggunakan seks sebagai satu alat atau senjata dalam percaturan politik nasional, iaitu untuk menjatuhkan pesaing politik dengan, misalnya, dakwaan liwat maupun seks dengan wanita yang tidak dinikahi. Ini menimbulkan potensi bagi sesetengah penerbit majalah dan juga akhbar menghasilkan penerbitan yang lebih berunsur seks dan sensasi – yang sudah tentunya bertujuan untuk meraut keuntungan kewangan sebanyak mungkin.
Ini belum lagi kita memperkatakan penerbitan yang asyik dengan benda-benda tahyul atau paranormal yang dapat menarik minat para pembaca. Ada juga pemerhati media yang merasakan penerbitan sensasi seperti ini adalah satu bentuk eskapisme bagi penerbit yang dihantui gejala yang bernama Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Pendek kata, perkara tahyul lebih “mudah” diterbitkan jika dibandingkan dengan hal politik yang mungkin mengundang kemarahan pihak berkuasa.
Lagipun, pasaran majalah semakin mengecil akibat daripada cabaran Internet. Seperti dinyatakan di atas, pelbagai jenis bahan bacaan boleh diperolehi dari Internet dan ini sudah tentunya boleh menjejaskan jualan majalah pada umumnya. Di samping itu, Aliran juga mengalami masalah dari segi rangkaian pasaran yang kurang mantap. Ini menyebabkan ada tempat-tempat di negara ini di mana majalah itu tidak dapat dijual.
Seperkara lagi, Aliran juga mengalami masalah daripada pengedar majalah yang tidak mengedar majalah ini dengan lebih berkesan, dan juga masalah mendapatkan pemberesan hutang dari pengedar dan penjual kedai.
Walaupun masalah jualan majalah ini berterusan menghantui Aliran Monthly, namun ia tidak dapat mematah semangat sidang pengarang dan pihak Aliran untuk berterusan menyajikan majalah serta laman webnya untuk tatapan orang ramai. Komitmen untuk berkongsi idea dan pandangan untuk perubahan sosial sentiasa membara di hati mereka.
Mustafa K Anuar ialah Penolong Setiausaha Kehormat Aliran.
Sumber: merdekareview.com
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme