Bersih 2.0 sudah berkembang dan menjelma menjadi idea dan hasrat sebilangan besar rakyat yang menginginkan kebersihan dalam sistem politik tanah air, ujar Mustafa K Anuar.
Banyak telah disebut dan dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sejak timbulnya isu perhimpunan Bersih 2.0, dan kebanyakan apa yang telah berlaku itu adalah bertujuan, atau sekurang-kurangnya mempunyai implikasi, untuk mengalih pandangan umum dari objektif asas Bersih 2.0 itu.
Bantahan dan momokan yang dibuat oleh kelompok tertentu terhadap Bersih 2.0 telah mencetuskan keluh kesah dalam kalangan rakyat hingga menyebabkan Yang diPertuan Agong merasa terpanggil untuk menyatakan sesuatu baru-baru ini mengenai perkara besar ini. Pada asasnya, Baginda menyeru pihak yang terbabit, khususnya Bersih 2.0 dan pemerintah, untuk duduk di meja perundingan dalam usaha menyelesaikan masalah politik ini.
Cadangan Baginda ini sudah tentunya bertamadun sifatnya jika dibandingkan dengan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa, iaitu penangkapan beramai-ramai semata-mata kerana kelompok yang berkenaan bercakap tentang Bersih 2.0, mengedar risalah Bersih 2.0, pakai baju-T kuning Bersih, baju-T kuning semata-mata atau apa-apa yang dianggap kuning “merbahaya” – selain daripada mengharamkan gabungan Bersih 2.0 ini!
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sesungguhnya dalam “keributan politik” ini, kita harus sedar betapa pentingnya kita mengimbas kembali dan mengingati apa matlamat utama pihak Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan berkenaan di kawasan awam secara aman.
Bersih 2.0 merupakan satu gabungan 62 pertubuhan masyarakat sivil bebas yang mempunyai satu objektif utama dan murni, iaitu menuntut agar pertandingan dalam pilihan raya bersifat adil dan saksama bagi semua pihak yang bertanding.
Mengikut laman web Bersih 2.0, ada terdapat lapan tuntutan yang dibuat:
<1> bersihkan senarai undi untuk memastikan, antara lain, tiada ‘pengundi hantu’;
<2> mereformasikan undi pos (yang selama ini dperuntukkan bagi kegunaan pegawai polis dan tentera);
<3> guna dakwat kekal;
<4> masa kempen minima 21 hari untuk membolehkan parti berkempen di kawasan luar bandar dan pendalaman;
<5> akses media yang bebas serta adil supaya tiada parti yang dipinggirkan oleh media;
<6> kukuhkan institusi awam, seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Badan Kehakiman, supaya kakitangan pemerintahan bersikap adil dan menegakkan undang-undang dan demokrasi;
<7> hentikan rasuah seperti pembelian undi; dan
<8> hentikan politikkotor (seperti fitnah memfitnah dan politik wang).
Kalau diteliti setiap tuntutan ini, kita dapati pada prinsipnya ia mempunyai hasrat murni untuk menegakkan keadilan dan mendirikan satu pertandingan yang saksama dan sistem pengundian yang lebih telus bagi kepentingan semua pihak, khususnya Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Tuntutan ini juga bermakna keadilan disogok dan diutamakan kepada rakyat kerana tuntutan ini menentukan mereka diberi ruang dan peluang yang adil dan luas untuk mereka membuat perhitungan sebelum mereka membuat keputusan akhir untuk memilih siapa yang bakal memimpin negara. Dengan kata lain, rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang mencukupi menerusi, misalnya, media arus perdana dan kempen politik, sebelum membuat keputusan yang definitif dan penting yang melibatkan masa depan mereka dan anak-anak mereka.
Lagipun, pilihan raya yang adil dan telus sudah tentunya menjamin kesahihan kemenangan seseorang calon dan lantas mengangkat autoriti ahli politik yang menang dan mewakili kehendak rakyat secara umumnya.
Bukan itu saja. Maksud yang tersirat daripada tuntutan Bersih 2.0 ini ialah untuk mengingatkan rakyat jelata, khususnya ahli politik dan parti politik yang bertanding, bahawa dalam mana-mana pertandingan di pilihan raya, ada pihak yang menang, ada yang kalah. Yang kalah daripada pertandingan yang bercorak telus dan adil ini harus akur kepada kehendak rakyat yang telah membuat pengundian secara rahsia itu.
Dan jika ada lagi iktibar yang boleh diperolehi dari kontroversi yang dikaitkan dengan Bersih 2.0 ini, pemerintahan sesebuah parti politik tidak boleh lagi diandaikan berterusan sehingga hujung zaman, lebih-lebih lagi dalam suasana politik di mana berkembangnya idea sistem dua parti. Usaha parti lawan untuk menawan Putrajaya melalui proses pilihan raya tidak boleh lagi dicanang-canang sebagai satu tindakan yang seakan-akan subversif, yang seolah-olah “anti-nasional”.
Itulah sebabnya kita harus prihatin dan berwaspada terhadap penggunaan ungkapan dalam konteks politik masa kini seperti “menggulingkan kerajaan” yang boleh membawa makna negatif seolah-olah perubahan pemerintahan yang dibuat secara paksaan dan ganas.
Seperkara lagi, Bersih 2.0 ini juga mengingatkan kita bahawa mana-mana perhimpunan beramai-ramai secara aman adalah satu hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang subur.
Tuntutan bertentangan dengan Islam?
Tuntutan Bersih 2.0 ini didakwa oleh sebilangan orang sebagai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama, khususnya Islam. Apakah benar tuntutan yang menginginkan ketelusan dan keadilan ini tidak selari dengan agama Islam (dan juga agama lain) – yang mementingkan nilai keadilan, ketelusan dan akauntabiliti dalam segala aspek kehidupan termasuk politik?
Seperkara lagi, Bersih 2.0 didakwa berkonflik dengan nilai-nilai Islam yang mementingkan kedamaian kerana perhimpunan itu, mengikut dakwaan ini, mengundang kacau-bilau dan keganasan. Apa yang sengaja tidak ditekankan di sini oleh mereka yang anti-perhimpunan itu ialah Bersih 2.0 sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa ianya memberi penekanan terhadap keamanan, kedamaian serta keadilan dan ketelusan. Seperti yang dinyatakan di atas, tidakkah Islam mengajak pengikutnya mendirikan keadilan dan ketelusan dalam kehidupan kita melalui proses yang aman dan demokratik?
Apa yang turut menjijikkan ialah laungan-laungan pihak yang mempertikaikan Bersih 2.0 berkisar pada ke-Hindu-an ketua BERSIH 2.0, iaitu Ambiga, yang juga dicop sebagai anti-Islam. Kecaman yang tidak berasas ini adalah sekadar untuk menconteng arang ke atas muka Ambiga dan Bersih 2.0 dengan tujuan untuk meraih sokongan orang Melayu-Islam dengan memupuk kebencian mereka terhadap Ambiga dan Bersih 2.0. Tetapi apa yang menggerunkan ialah tohmahan ini juga seolah-olah menggerakkan pihak tertentu untuk menghantar ancaman maut SMS kepada Ambiga dan rakan seperjuangannya.
Sikap dan perbuatan ini sudah tentunya tidak mencerminkan nilai-nilai murni Islam yang menyanjung perasaan kasih sayang (compassion), peradaban, hemah tinggi, keadilan dan ketelusan.
“Ramuan” yang lucu
Isu Bersih 2.0 ini juga menampakkan, secara terang atau tidak langsung, gelagat dan hujahan yang aneh lagi lucu, selain daripada membahayakan paras keintelektualan dalam masyarakat kita. Ini akibat daripada beberapa golongan dan individu melatah atas sebab-sebab yang mereka sahaja yang maha mengetahui.
Misalnya, pada mulanya Bersih 2.0 ini dikecam sebagai satu pergerakan yang didokong oleh penganut Kristian yang kononnya mempunyai agenda tersirat. Selepas itu gabungan Bersih 2.0 ini dikaitkan pula dengan elemen Komunis. Rangkaian hujahan ini sudah tentunya pelik bunyinya kerana orang Komunis, yang rata-rata meragui kedudukan agama dalam kehidupan manusia, mahu bersekongkol dengan orang beragama seperti Kristian, dan sebaliknya.
Kalau “ramuan” ini masih lagi tidak mencukupi mencetuskan gelak ketawa (selain daripada usaha untuk menakut-nakutkan orang ramai), ada yang menuduh gabungan ini berkaitan dengan anasir luar negara, termasuk golongan militan selatan Thai!
Selepas itu, momokan terhadap Bersih 2.0 mencapai satu tahap yang membayangkan kecelaruan fikiran yang amat kompleks. Misalnya, stesen TV dan radio swasta diarahkan untuk tidak menyebut apa-apa perkara yang bersangkutan dengan Bersih 2.0. Pendek kata, Bersih 2.0 itu adalah suatu igauan semata-mata, bukan realiti. Dan, secara langsung dan tidak langsung,”Bersih” dilakarkan sebagai satu perkataan yang kotor!
Orang ramai sedar akan usaha untuk mengotori nama Bersih 2.0. Ada juga yang berusaha untuk menumpas semangat yang menyuburkan Bersih 2.0. Tapi tindakan ini kelihatan sia-sia saja kerana Bersih 2.0 bukan lagi hidup sebagai satu gabungan tenaga masyarakat sivil semata-mata. Bersih 2.0 sudah berkembang dan menjelma menjadi idea dan hasrat sebilangan besar rakyat yang menginginkan kebersihan dalam sistem politik tanah air.
Sesungguhnya, inspirasi bersih ini sudah tentunya sukar untuk dibendung, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang ingin bertamadun.
Mustafa K Anuar ialah pemerhati politik tanah air yang diharap berkurangan kekotorannya pada masa akan datang.
Sumber: merdekareview.com
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme