Home Web Specials 2014 Web Specials Apakah benar hudud melalui jalan demokrasi?

Apakah benar hudud melalui jalan demokrasi?

Graphic: kelatekito.net

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pas harus berlapang dada untuk membahaskan kembali dalam kerangka teologi Islam; apakah hudud ini suatu tuntutan agama? Inilah medan demokrasi yang harus Pas tempuhi, ujar Hariszuan Jaharudin.

Graphic: kelatekito.net
Graphic: kelatekito.net

Presiden Pas Hadi Awang berkata kerajaan negeri Kelantan sudah melalui proses demokratik sepenuhnya sebelum memutuskan untuk membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat mengenai undang-undang jenayah syariah termasuk hudud.

Malah Hadi Awang menegaskan bahawa adalah menjadi hak demokratik Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat. Mudahnya, Hadi Awang mahu masyarakat percaya bahawa tidak mungkin hudud dilaksanakan tanpa melalui proses demokrasi sepenuhnya.

Namun, apakah yang dikatakan sebagai demokrasi sepenuhnya itu hanya cukup dengan membentangkannya di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri semata-mata? Pastinya Hadi Awang tidak terlalu naif untuk menyedari bahawa ranah demokrasi itu bukan sekadar terbatas pada dua bangunan ini sahaja.

Malah, Hadi Awang juga pasti maklum bahawa sekian banyak undang-undang yang tidak demokratik – yang juga selalu dicemuhnya – diluluskan oleh Dewan Rakyat yang sama. Lupakah Hadi Awang, di mana Akta Universiti dan Kolej Universiti 11971, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak 1984 dibentang, dilulus dan dipinda?

Bagaimana Hadi Awang berjaya mengeluarkan kenyataan yang sedemikian yakin bahawa hudud ini telah melalui proses demokrasi sedangkan selama ini beliau begitu gagah menyanggah kepincangan amalan demokrasi negara ini?

Tanpa adanya asas demokrasi yang kukuh, hudud akan terus berlegar sebagai mainan politik Umno-BN yang tidak pernah ikhlas mahu melihat hudud dilaksanakan tetapi sekadar alat membunuh semangat perubahan rakyat yang terbina sejak sekian lama.

Asas demokrasi yang dimaksudkan pastinya adalah kebebasan bersuara melalui media massa dan lain-lain bentuk ruang ekspresi. Ini adalah cabaran yang lebih nyata buat Pas, meyakinkan jutaan rakyat Malaysia – bukan sekadar rakan Pakatan Rakyat – bahawa Parlimen Malaysia wajib meluluskan rang undang-undang yang bakal dibentangkan kelak.

READ MORE:  No matter what Pas does, it can never win over minority voters

Penerangan inilah yang nampaknya amat sedikit dilakukan oleh Pas, tambahan pula perbincangan berkenaan hudud ini tidak pernah berjalan dengan penuh rasional dan konklusif.

Media massa tidak akan pernah adil buat Pas dan Pakatan Rakyat; justeru penerangan dan perbincangan serta pemahaman berkenaan hudud ini tidak akan mungkin dapat dicapai tanpa Pakatan Rakyat membebaskan media massa. Jalan membebaskan media massa ini, tidak boleh tidak, nampaknya harus dengan cara menjatuhkan Umno-Barisan Nasional. Ini adalah sifir paling asas politik Malaysia.

Namun, Pas tidak harus pasrah sementara menunggu perubahan regim dengan mengambus terus hasrat untuk melaksanakan hukum hudud yang Pas percaya adalah kewajiban yang telah difardukan oleh Tuhan ke atas mereka. Ya, kepercayaan ini adalah hak demokratik Pas yang sah.

Maka pada tahap ini, pastinya Pas tidak perlu gopoh-gopoh membawa segalanya ke Parlimen kerana masih ada banyak kerja untuk menerangkan isu ini kepada rakyat yang belum dibuat. Pastinya Pas tidak mahu disamakan dengan Umno-BN yang sentiasa gelojoh mahu meluluskan rang undang-undang seperti GST tanpa mempedulikan sama ada rakyat faham atau pun tidak.

Hal ini sangat penting kerana meskipun sesuatu rang undang-undang itu diluluskan dan sah untuk dilaksanakan, namun keabsahan (legitimasi) itu hanya di peringkat perundangan, bukan dari segi moral rakyat.

Antara hal yang mesti diperjelaskan adalah mengapa dalam kalangan negara yang mengamalkan hudud seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan bukan sahaja gagal untuk menurunkan statistik jenayah di negara mereka, malah dalam soal urus tadbir juga, kedudukan negara ini dalam indeks rasuah, ketelusan dan kebertanggungjawaban masih jauh ketinggalan?

Pas juga mesti mampu menghuraikan mengapa negara yang tidak mengamalkan hudud seperti Sweden, Norway, Iceland dan Denmark ini mempunyai indeks jenayah yang rendah?

READ MORE:  Pas joining government? It could be a warning to Bersatu

Pasa masa yang sama, Pas juga wajib meyakinkan kepada rakyat Malaysia bahawa perlaksanaan hudud tidak akan menyebabkan penganiayaan terhadap golongan minoriti – baik Muslim mahupun bukan Muslim – dan akan dilaksanakan dengan adil serta penuh hikmah.

Keyakinan ini penting kerana sejak sekian lama negara ini mempunyai ketua agama, mufti dan jabatan agama di setiap negeri dan di peringkat Persekutuan, masalah sosial dalam kalangan Muslim tidak selesai, malah semakin parah. Pada masa yang sama, seolah-olah polis moral ini hanya bertindak kepada anak muda Melayu yang miskin.

Tidak sedikit juga yang menyokong hudud mengatakan bahawa hukuman yang berat akan menyebabkan kadar jenayah berkurangan lantaran gerun dipancung atau dipenggal kepala. Namun, kita juga maklum bahawa undang-undang pengedaran dadah di negara ini antara yang paling keras di dunia – gantung sampai mati. Tetapi itu tetap gagal mengurangkan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah, malah pusat serenti nampaknya semakin padat. Apakah hujah hukuman keras dapat membendung jenayah ini masih lagi sah?

Pas juga mahu masyarakat Malaysia percaya bahawa hudud adalah cara untuk memartabatkan Islam di negara ini. Maka, Pas harus menyediakan jawapan mengapa Pulau Pinang menjadi pusat berkembangnya gerakan islah (pembaharuan Islam), pusat pencetakan kitab agama dan tempat bangunnya sistem pendidikan Islam moden pertama pada saat Pulau Pinang itu secara teknikalnya sekular – tiada bermufti dan berketua agama?

Semua persoalan ini wajib dijawab dan dihuraikan beserta bukti bagi meyakinkan bukan sahaja DAP dan bukan-Muslim, malahan juga ramai orang Melayu-Islam yang masih gagal memahami hudud ini.

Jauh lebih besar daripada itu, Pas juga harus berlapang dada untuk membahaskan kembali dalam kerangka teologi Islam; apakah hudud ini suatu tuntutan agama? Kerana terdapat juga kalangan Muslim yang tidak berpandangan demikian. Inilah medan demokrasi yang harus Pas tempuhi andainya Pas mahu mendakwa hudud hanya akan melalui jalan demokrasi.

READ MORE:  The further greening of Sungai Bakap

Soalan yang turut sama pentingya untuk dijawab, apakah masih wujud demokrasi setelah hudud ini dilaksanakan? Dan bagaimana rupanya kelak?

Mohd Hariszuan Jaharudin ialah seorang ahli Aliran di Pulau Pinang

Sumber: roketkini.com

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x